“Malu dan Iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya hilang, maka hilanglah yang lainnya.” - (H.R. Hakim, Sahih)
Meskipun hadis ini popular dan diketahui oleh ramai orang, namun tidak banyak yang mempraktikkannya dalam kehidupan harian. Ia kerana implementasi hadith tersebut terasa berat untuk realiti zaman ini.
Hadith tersebut menitipkan pesanan yang sangat dalam. Malu menjadi salah satu indikator keimanan seseorang. Tatkala malu telah hilang, maka pada waktu bersamaan iman mulai terkikis. Malu sebagai indikator iman memberikan makna bahawa apabila seseorang akan melakukan kesalahan atau dosa, sepatutnya ia malu untuk melakukan dosa tersebut. Meskipun mungkin manusia bisa diperdaya dengan topeng kebaikan yang mampu dimanipulasikannya, namun Allah tidak akan terperdaya.
Malu mempunyai pengertian yang cukup jelas. Dalam bahasa Melayu, secara sosiologinya ada tiga lapisan: Malu sebagai perasaan; Malu sebagai tanda harga diri; dan Malu sebagai fungsi kawalan sosial. Malu sebagai perasaan ialah rasa negatif, canggung, tidak selesa, segan dan sebagainya. Malu dalam kategori ini selalunya disebut ‘rasa malu’, ‘rasa segan’, dan paling menakutkan ialah aib. Aib membawa maksud, perbuatan keji, mencela yang dikaitkan dengan maruah.
Banyak krisis malu yang terlihat pada perilaku manusia moden. Bermula dengan hilangnya malu mengambil hak orang lain, hilangnya malu demi mencari viraliti dan duit, hilangnya malu tatkala menzalimi sesama, dan sebagainya. Bahkan, yang peliknya pula, ada sesetengah orang yang rasa malu jika hendak bersikap jujur, berlaku benar, dan bekerja dengan amanah. Dunia semakin aneh kerana semakin tidak malu melakukan perkara yang aneh.
Hampir semua dimensi kehidupan manusia moden mengalami krisis malu. Di dunia pendidikan tidak terkecuali ikut mengalami krisis malu. Bermula dengan
perasaan tidak malu mengajar yang bukan bidangnya, tidak malu memperolehi pujian orang lain dengan apa cara sekalipun, dan seterusnya malu jika jujur yang mengakibatkan dikutuk atau dipinggirkan, tetapi tidak malu menciplak untuk dapat markah tinggi. Malu kerana miskin tetapi tidak malu memperoleh kekayaan dengan cara yang haram. Malu mengakui kesalahan dengan meminta maaf tapi tidak malu berbohong dengan menyebar fitnah, dan malu mengakui kelebihan orang tapi tidak malu mempertontonkan kebodohan diri.
Dalam dunia perniagaan pula, malu kalau jujur yang menyebabkan lambat kaya, tetapi tidak malu melakukan berbagai penipuan dan kelakuan haram asalkan cepat kaya. Malu kalau gagal mendapatkan projek tetapi tidak malu mencuri projek. Malu kalau keluarganya tidak memiliki pekerjaan tetapi tidak malu menempatkan ahli keluarga yang tidak layak sebagai pengurus sesuatu jabatan. Malu tidak memiliki jawatan tinggi tetapi tidak malu jika gagal mengerjakan amanah.
Dalam aspek budaya, krisis malu mulai terlihat dengan munculnya sifat malu kalau dianggap tidak moden, tetapi tidak malu tatkala budaya moden menjadikan diri bagaikan haiwan. Malu berpakaian menutup aurat, tetapi tidak malu mendedahkan aurat. Malu untuk beristighfar, berzikir dan selawat tetapi tidak malu untuk mencarut dan bercerita tentang keintiman atau judi.
Semakin moden zaman ini, semakin terhakis sifat malu dan menjadi sesuatu yang jarang dilihat. Bahkan ada yang berpendapat jika ada sifat malu, maka kamu tidak akan dapat apa yang diinginkan. Keyakinan diri manusia semakin tinggi dan korup, hingga hilang rasa malu dalam dirinya, kerana beranggapan bahawa perlu hilangkan malu demi meraih kejayaan.
Jika krisis malu mula menghantui diri, sebaik-baiknya renungkan sabda Nabi SAW bahawa setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin pasti akan diminta pertanggungjawabannya kelak dihadapan Allah. Mungkin kita akan hebat dengan hilangnya malu untuk merebut dan menguasai dunia, tetapi pada waktu
yang sama kita sesungguhnya telah mencampakkan diri pada kehinaan yang abadi.
Dalam konteks masyarakat pula, umat Islam malu untuk tunjukkan akhlak yang baik kepada yang bukan muslim, tetapi tidak malu untuk memperlihatkan budaya buruk serta melanggar ajaran suci agama. Mereka hilang malu untuk memberi atau menerima rasuah, yang kini masih wujud di pelbagai peringkat dalam masyarakat, baik sektor awam maupun swasta.
“Contohnya, duit rasuah pergi haji. Dia ambil rasuah banyak-banyak, RM3 ke RM4 juta setahun, dan tiap-tiap tahun dia pergi menunaikan haji. Lepas itu dia minta ampunlah. Balik, minta rasuah lagi. Tahun depan pergi haji lagi. Betul? Ada karakter macam itu, kan?” dedah Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Ayob Khan, dalam satu kenyataan.
Pemimpin yang ada sudah tidak malu memperlihatkan kelakuan yang jelek di dewan rakyat, dan dengan senangnya berjanji sebelum dimungkiri. Islam hanya tinggal kepada nama dan slogan, tetapi dari segi perbuatan dan kelakuan amat jauh sekali dengan jiwa.
Rasulullah SAW merupakan sosok hamba Allah SWT yang memiliki rasa malu. Meskipun Rasulullah sudah memperoleh jaminan surga dari Allah, namun beliau malu bila tidak melaksanakan perintah-Nya. Dikisahkan pada suatu hari bahagian aurat Rasul tersingkap kerana angin, muka Rasul memerah menahan malu. Sementara umatnya kini rasa malu ketika menutup aurat, kerana tidak mahu dianggap kuno atau tidak bergaya, dan tidak malu mempertontonkan auratnya.
Di bidang penegakan hukum, Rasulullah SAW malu jika melaksanakan hukum dengan tidak adil, sehingga Baginda pernah mengatakan bahwa jika Fatimah anaknya mencuri, maka potong tangannya. Meskipun Fatimah merupakan puterinya, tetapi Rasulullah tetap malu jika hukum tidak dijalankan secara benar, tanpa memandang status atau hubungan keluarga.
Demikian juga yang dilakukan oleh Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz, yang malu mempergunakan kemudahan negara untuk keluarganya. Hal ini terlihat dari ketegasan Khalifah Umar mempertahankan rasa malu apabila puterinya menghadap ingin berbicara dengannya. Beliau bertanya kepada puterinya, “Apakah kamu mau berjumpa untuk membicarakan masalah dalam kapasiti sendiri sebagai anak khalifah, atau rakyat jelata? Jika sebagai anak khalifah, maka aku akan mematikan lampu kerana kemudahan ini untuk rakyat. Aku akan menghidupkan lampu yang aku miliki sendiri.” Demikian sifat malu yang wujud pada seorang yang berkualiti keimanannya.
Dari Abu Mas’ûd ‘Uqbah bin ‘Amr al-Anshârî al-Badri radhiyallâhu ‘anhu ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia dari kalimat kenabian terdahulu adalah, ‘Jika engkau tidak malu, maka buatlah sesukamu.’” - (H.R. Bukhari, Ahmad, Abu Dawud, Sahih)
Justeru pilihan tetap wujud bagi mereka yang memiliki akal yang sihat dan hati yang bersih, untuk mempertahankan rasa malu secara benar sebagai harga diri yang harus dijaga. Apabila sifat mampu tertanam dalam diri dan terimplementasi dalam kehidupan, Insya-Allah akan diraih keberkatan hidup. Hanya dengan demikian, kehidupan masyarakat akan lebih baik dan bermakna.
