PEMBANGUNAN ISLAM 67 TAHUN MERDEKA

PEMBANGUNAN ISLAM 67 TAHUN MERDEKA

AJARAN Islam adalah gagasan komprehensif yang mengatur hidup manusia ke arah kesempurnaan. Aturcara kehidupan ditata dan disusun, daripada perkara yang sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, mempamerkan betapa lengkap dan syumulnya petunjuk yang dibekalkan. Sejarah merekodkan betapa tamadun Islam atau Hadharah Islamiyyah itu tampil dengan kehadiran bermakna dan diterima sebagai manifestasi keunggulan ajaran ilahi.


Islam adalah ajaran yang sangat mesra terhadap pembangunan dan sentiasa memastikan elemen keseimbangan antara segala komponen kehidupan mesti diperkasakan. Cabaran-cabaran dalam zaman dan masyarakat yang berubah menagih kita supaya sentiasa mengemaskinikan ilmu, skil dan keupayaan untuk menjawab persoalan-persoalan semasa dan akan datang. 


Begitulah juga dengan usaha-usaha pembangunan. Sekiranya pembangunan itu membawa kepada lahirnya manusia-manusia yang derhaka kepada Allah, maka status manusia sebagai khalifah dan penguasa di bumi luruh dengan segera, malah terus bertukar menjadi hamba pembangunan, bukan lagi hamba Allah. Oleh itu pembangunan berteraskan Islam merupakan satu sistem pembangunan yang dapat mempertahankan status manusia sebagai khalifah dan penguasa di bumi. 


Ringkasnya, pendorong utama pembangunan berteraskan Islam ialah ibadat, bukan keuntungan atau ganjaran material. Pembentukan institusi-institusi Islam secara terpisah boleh menimbulkan satu persoalan penting. Dapatkah ia berfungsi dengan berkesan di kalangan manusia yang masih dikuasai oleh nafsu amarah?


Jika pembentukan institusi-institusi itu hanya untuk memenuhi kehendak-kehendak pembangunan luaran diri manusia tanpa sekali gus menekankan kepada proses pendidikan nafsu, maka manusia akan terus tetap menjadi hak pembangunan, bukan pembangunan menjadi hak manusia.  Situasi gawat dalam menangani isu pembangunan adalah universal sifatnya. 


Gagasan penyelesaian yang ditawarkan oleh ajaran Islam yang kita perhalusi untuk menyesuaikan dengan situasi dan kondisi masarakat Malaysia adalah sesuatu yang sangat mencabar. Keghairahan menampilkan pendekatan ini dipintas pula oleh arus besar globalisasi yang kadangkala berusaha dan mampu mencairkan semangat. 


Fenomena yang berlaku sebagai indikator kegelisahan masyarakat dalam pelbagai perkara seumpama masalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, masalah perumahan, harga barangan yang melambung, inflasi, jurang kemiskinan-kemewahan terlalu besar, gaya hidup yang telah diglobalkan, keruntuhan akhlak masyarakat khasnya golongan muda dan sebagainya. Ini semua mengasak kita untuk memiliki keprihatinan yang tinggi dan memerah otak dan keringat untuk menemukan formula-formula penyelesaian yang berkesan.


Formula penyelesaian yang dikemukakan oleh ajaran Islam mesti digunakan semaksima mungkin dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran masa kini apatah lagi dengan pendekatan  gagasan Madani punya bukan sahaja dasar-dasar pedoman tetapi juga punya pangkalan yang boleh dirujuk kembali jika kita tersesat jalan atau menyimpang dari sasaran asal. Kita tidak sepatutnya malu untuk mengaku kesilapan masa silam tetapi mempergunakan kesilapan dan ketidaktepatan masa silam itu untuk masa depan yang lebih baik. 


Banyak masalah telah timbul apabila manusia atau masyarakat manusia tergelincir dari landasan yang lurus dan tepat khasnya apabila aspek al-tawazun (keseimbangan) tidak dapat dicapai.  Dalam skima ajaran Islam, manusia diajar menuju ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hakiki dan mengelakkan kemusnahan dan penderitaan.


Apa yang mampu dicapai oleh watan tercinta sejak 66 tahun kemerdekaannya dalam pelbagai aspek sememangnya boleh dibanggakan. Walaupun usaha di peringkat awal berlaku secara natural sebagai negara yang baru mengecapi kebebasan politik dan kuasa  di dekad ketiga iaitu pada era tahun 1980-an, dasar penerapan nilai-nilai Islam telah menyaksikan peranan prinsip-prinsip Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.


Gabungan pemimpin berwawasan  pentadbir berdedikasi dan rakyat yang bersemangat menyaksikan tercapainya pelbagai dimensi baru kejayaan dalam meningkatkan kualiti hidup dan kemakmuran. Kemakmuran adalah indikator paling ketara untuk mewakili kejayaan pengurusan pembangunan di Malaysia. Kenyataan ini bukanlah simplistik kerana kita tidak pernah menafikan dan menidakkan masalah- masalah serta kesukaran-kesukaran yang kita sama-sama hadapi. 


Apa yang dapat dilihat dan dinikmati oleh generasi Malaysia masa kini menunjukkan tahap kemakmuran segenap bidang yang sudah meningkat. Prasarana dan kemudahan asas dalam bidang pendidikan, kegiatan ekonomi dan kesihatan yang menjadi pemangkin ke arah pelbagai kejayaan bidang lain. 


Selain dari itu, bangsa Melayu dan umat Islam telah dikeluarkan dari lingkaran kemiskinan masa silam. Sungguhpun aspek ini masih lagi merupakan paradoks kerana bangsa dan umat masih lagi struggle (terumbang-ambing) dengan isu ini, namun pada masa yang sama kejayaan ini juga tidak boleh dinafikan.


Kejayaan Malaysia sebagai little dragon tetapi tetap negara bercirikan prinsip keislaman tidak wajar dipandang ringan. Ramuan yang dimiliki negara ini dari sudut kestabilan politik, keboleh saingan ekonomi, kekuatan pendidikan, wawasan pimpinan  semuanya telah meyumbang ke arah kejayaan tersebut. Komponen Islam yang dibawa masuk telah menjadi sumber kekuatan baru yang mampu menjadi pendorong ke arah usaha gigih semua pihak terlibat.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019389
Hari ini: 239
Minggu Ini: 1,984
Bulan Ini: 4,530
Tahun Ini: 19,389
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.