Kegiatan Persundalan Masih Berleluasa dimana-mana. Isu lubuk kegiatan pelacuran di ibu negara yang sudah wujud berdekad-dekad lamanya, masih berlangsung hingga ke hari ini. Antara lubuk lama berakar umbinya kegiatan pelacuran dibongkar semula dalam laporan Harian Metro baru-baru ini adalah di kawasan Pudu, termasuk premis sekitar Masjid Jamek Alam Shah di Jalan Tun Razak, menyebabkan kariah di situ pening disebabkan maksiat yang berdekatan dengan masjid.
Tetapi maksiat zina yang lahir dari aktiviti persundalan ini seperti barah di kalangan masyarakat, yang tersembunyi dari khalayak ramai. Para penguasa boleh membanteras jenayah ini melalui penguatkuasaan undang-undang, tetapi
selagi mana masih wujud lagi para pelanggan, selagi itulah jenayah persundalan ini akan tetap tumbuh di sebalik kegelapan.
Pelacuran tergolong sebagai dosa berzina dalam konteks Islam. Zina termasuk perbuatan dosa besar, dan dapat dilihat dari urutan penyebutannya setelah dosa musyrik dan membunuh tanpa alasan yang hak. Dijelaskan pada firman Allah pada Surah Al-Furqan ayat 78:
“Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan (alasan) yang benar dan tidak berzina.” - Surah Al-Furqan, ayat 78
Menurut Imam Ahmad, perbuatan dosa besar setelah membunuh adalah zina. Imam Al-Qurthubi menjelaskan: “Ayat ini menunjukkan bahwa tidak ada dosa yang lebih besar setelah kufur selain membunuh tanpa alasan yang dibenarkan dan zina.” Mana-mana perniagaan baik yang halal mahupun haram, bergantung kepada satu teori atau prinsip yang universal iaitu; “Apabila terdapat permintaan yang tinggi untuk sesuatu produk atau servis, terdapat juga tahap keperluan yang tinggi untuk pembekalannya.” Ini dikenali sebagai ‘Law of Supply and Demand.” Di sini dapat ditentukan punca sebenar kepada kesulitan untuk membanteras jenayah persundalan.
Masyarakat moden hari ini ada di tahap hypersexualiti yang belum pernah dialami tamadun sebelum ini. Dengan pornografi yang berleluasa, media sosial yang menunjukkan aurat tanpa takut dan malu, dan filem-filem Hollywood yang menormalisasi hubungan intim di luar pernikahan, ramai orang Islam mengambil sikap alah bisa, tegal biasa. Secara tidak langsung, maksiat dan dosa-dosa besar seperti zina, dianggap sebagai jenaka, satu perkara yang remeh.
Justeru hypersexualiti dan normalisasi hubungan seksual akan membawa kepada nafsu syahwat yang tidak dapat dikawal. Lalu golongan ini akan sentiasa mencari jalan untuk melempiaskan nafsunya itu, kepada kegiatan persundalan. Adakah hidup kita di dunia ini semata-mata memuaskan nafsu syahwat? Adakah kita sudah lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba, seorang anak, seorang suami, seorang bapa, dan sanggup membayar duit untuk berzina?
Apa yang sedang berlaku kini amat memalukan. Bagaimanapun, tanpa disedari, sebenarnya kita sendiri menjadi punca hingga menyebabkan golongan pelacuran semakin membiak dan berani. Meskipun demikian, mereka masih tidak sedar dan terus-menerus melakukan maksiat kepada Allah SWT, baik secara institusi mahupun secara individu. Berbagai tempat maksiat didirikan dan dikembangkan secara terbuka. Yusuf al-Qaradawi RH mengungkapkan sejumlah prasyarat untuk mengubah kemungkaran bersesuaian dengan hadis yang bermaksud; “Barangsiapa di
antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya dan seterusnya.”
Pertama, kemungkaran itu adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat Islam dan bukan sesuatu yang khilafiah. Ini bermakna seseorang itu tidak boleh menetapkan sesuatu perkara yang masih menjadi perdebatan para fuqaha, sebagai sesuatu yang mungkar.
Kedua, kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan. Ketiga, kemampuan untuk bertindak dan mengubah kemungkaran. Jika seseorang itu tidak mampu dengan tangan maka dapatlah dilakukan secara lisan. Biasanya yang dapat mengubah sesuatu dengan tangan adalah penguasa. Bagaimana pula jika kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah atau pihak lain yang dilindunginya?
Menurut Qaradawi, para aktivis itu haruslah mempunyai salah satu daripada tiga kekuatan iaitu ketenteraan, suara majoriti perwakilan dan kekuatan media massa dan media sosial. Jika salah satu daripada tiga kekuatan itu tidak dimiliki, Qaradawi menganjurkan usaha mencegah kemungkaran dilakukan menggunakan cara lisan iaitu dengan tulisan, dakwah, nasihat, sehingga dapat mempengaruhi masyarakat bagi tujuan menghapus kemungkaran.
Keempat, untuk mencegah sesuatu kemungkaran perlu dilihat ke atas kesannya sama ada ia menimbulkan kemudaratan yang lebih besar atau tidak. Kita tidak mahu masyarakat akan menghadapi masalah sosial sebagaimana berlaku pada zaman Nabi Lut AS. Kita juga tidak lupa kepada sejarah kuno orang Romawi, sebuah bandar yang lahir dari sebuah tamadun tinggi. Bandar Pompei masih memberikan kita pengajaran jelas, akibat penduduknya leka dan mengamalkan zina secara bebas, .Allah SWT menurunkan bala ke atas mereka sehingga musnah secara total.
Jangan kita membiarkan saudara-saudara kita itu terus bergelumang dengan dosa dan membiarkan bumi ini dicemari gejala yang boleh menterbalikan bumi tercinta ini. Dan ingat apabila malapetaka itu diturunkan, ia tidak akan memilih mangsa. Membiarkan masalah moral bermaharajalela mendekatkan waktu kehancuran sesebuah umat, sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat kepincangan moral yang parah dalam masyarakat.
Renungkan maksud surah al-Isra’ ayat 16, yang bermaksud:
“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesuatu tempat dan negeri itu, akan Kami arahkan mereka yang melampau dalam semua perkara, lalu mereka melakukan kerosakan dalamnya (kampung dan negeri itu), maka berhaklah negeri itu untuk dibinasakan, lalu Kami hancurkannya dengan sehancur-hancurnya.” - Al-Isra’, ayat 16
