Jam 6.30 pagi, 11 September 2024. Di dalam kegelapan subuh, pasukanJabatan Siasatan Jenayah telah menyerbu 20 premis rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, dalam sebuah operasi yang dinamakan Op Global. Operasi ini dijalankan atas laporan berlakunya jenayah eksploitasi kanak-kanak, dan melibatkan seramai 705 pegawai PDRM dan 287 pegawai dari JKM, KKM dan Jabatan Kimia Malaysia. Seramai 392 mangsa kanak-kanak berjaya diselamatkan, manakala 159 suspek telah ditahan.
Justeru berlegar soalan di minda awam - bagaimana perkara ini boleh berlaku, dan siapakah yang bertanggungjawab? Mereka yang terlibat ini kononya dikaitkan dengan GISB.Keadaan ini telah mencetuskan kecelaruan dan kekeliruan di kalangan orang awam. Op Global dilaksanakan bagi membantu siasatan kes atas 4 laporan polis, yang didakwa berlaku eksploitasi kanak-kanak dan agama. Maklumat risikan PDRM juga telah mendapati berlaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja di lokasi, penipuan status anak yatim, serta ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan terhadap kesemua mangsa tersebut.
Soal-siasat PDRM juga mendapati berlaku proses indoktrinasi, di mana anak-anak jemaah generasi ke tiga ini, telah diasingkan dari ibu-bapa dan ditempatkan di rumah amal seawal 2 tahun. Terkini, GISB Holdings juga telah dikenakan saman oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja untuk membayar tunggakan gaji seorang bekas pekerjanya sebanyak 23,100 Ringgit. Saman ini memberi isyarat bahawa memang berlaku kegagalan membayar gaji pekerja, yang GISB anggap sebagai ahli jemaah.
Masyarakat perlu mengenalpasti perbezaan antara jenayah dan penyelewengan aqidah. Jika berlaku jenayah seksual, eksploitasi kanak-kanak dan pemerdagangan manusia, maka ia menjadi tanggungjawab PDRM untuk siasat dan membawa pesalah ke muka pengadilan. Begitu juga dengan isu-isu lain, contoh isu penyalahgunaan wang derma untuk tujuan syarikat. Siasatan mengenainya adalah tanggungjawab Bank Negara Malaysia, dan BNM telah pun membekukan aset kewangan syarikat GISB di bawah AMLA.
Manakala isu berkenaan penyelewengan aqidah, eksploitasi kanak-kanak serta penindasan pekerja, sudah tentu akan menyemarakkan emosi orang awam. Namun setiap kali berlakunya isu yang menjadi topik di peringkat nasional, masyarakat tidak boleh membiarkan emosi mengatasi penilaian dan kecerdasan mental mereka.
Tanggungjawab JAKIM adalah untuk menyelaraskan siasatan berkaitan penyelewengan aqidah, seperti yang dilaksanakan ke atas Al-Arqam, Rufaqa’
dan Global Ikhwan dahulu. Perlu diingatkan proses ini memerlukan ketelitian, kerana ia melibatkan tuduhan berat ke atas mana-mana individu atau kumpulan.
Merujuk kronologi, usaha siasatan Pusat Islam yang membawa kepada pengharaman Al-Arqam tahun 1994. Usaha JAKIM juga yang membongkar ajaran sesat Rufaqa’ melalui risikan pada tahun 2006. Pembongkaran tentang ajaran menyeleweng Global Ikhwan serta eksploitasi anak yatim pada tahun 2013 juga atas usahasama antara JAKIM dan jabatan agama negeri.
Tuduhan bahawa GISB masih mengamalkan ajaran sesat memerlukan pembuktian kukuh. Sebagai contoh, video-video yang tular di media sosial, memaparkan aktiviti GISB sebelum tahun 2013, justeru tidak boleh digunakan untuk mengeluarkan fatwa pengharaman. Rekod Arqam, Rufaqa’ dan GISB hingga 2013 juga menunjukkan bahawa pesalah pandai ber-taqiyyah, merumitkan lagi kerja-kerja siasatan pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, tetap wujud ruang untuk penambahbaikan.
Jika diambil dari sudut positif, era sosial media sepatutnya membuka saluran bagi pihak awam untuk membuat aduan dengan lebih pantas tentang isu-isu aqidah dan ajaran sesat. Justeru bahagian aqidah JAKIM harus mengenalpasti mekanisme yang lebih efisien untuk tindakan susulan. Keadilan bukan sahaja harus dilaksanakan, tetapi harus dilihat dengan jelas dan nyata bahawa ia telah dilaksanakan.
YB Menteri Agama Dato Dr. Naim Mokhtar juga telah memberi amaran bahawa JPM Hal Ehwal Agama, sekali-kali tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan aqidah umat Islam. Beliau juga telah mengarahkan satu Jawatankuasa Khas bagi membanteras fahaman dan ajaran menyeleweng hingga ke akar umbi, dan menyalurkan maklumat kepada MKI dan juga PDRM. Arahan ini mencerminkan hasrat Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, supaya pihak PDRM, JAKIM, serta jabatan-jabatan lain yang berkaitan jangan lengahkan siasatan, jika segala tuduhan itu benar.
Media sosial menyaksikan satu fenomena di mana sentiasa marak ketegangan sesama umat Islam. Malah hingga timbul penghinaan dan kutukan kepada institusi seperti JAKIM, tanpa mesej yang konstruktif atau kritikan membina. Masyarakat tidak bijaksana dalam mengadili situasi dan ketegangan yang berkaitan dengan isu-isu agama.
Apakah ini satu bentuk publisiti murahan untuk menonjolkan diri? Menggunakan publisiti sebagai kaedah mengurus kes dan menjadikan sasaran publisiti sebagaipenghakiman sama sekali diluar hikmah. Ini membawa erti tujuannya ialah penghakiman dan hukuman orang ramai didahulukan, dan menimbulkan syak antara para penguasa dan masyarakat awam. Hikmah sama sekali hilang, akhirnya timbul fitnah dan ketegangan kerana diwujudkan naratif yang jauh
tersasar dari isu sebenar.
