(Ulasan Buku: A Diary of Genocide: Catatan Pembantaian Palestina 7 Oktober-30 Disember 2023, karangan Atef Abu Saif, terjemahan daripada Don’t Look Left: A Diary of Genocide (2023) oleh Nadya Andwiani, Jakarta: Noura Books, Mac 2004, 408 halaman)
*****
“kalau aku harus mati
biarkan kematianku membawa harapan
biarlah kematianku menjadi sebuah dongeng.”
“If I Must Die”, Refaat Alareer (23 September 1979- 6 Disember 2023)
Profesor Refaat Alareer benar-benar telah meninggal dunia hampir sebulan selepas menulis puisi “If I Must Die” (November 2023). Professor sastera Inggeris darii Universiti Islam Gaza itu mati akibat hentaman bertalu-talu peluru di kediamannya dalam serangan udara Israel pada 6 Disember 2023 (hari ke-62). Turut terkorban bersamanya ialah dua orang abang, seorang kakak dan tiga anak saudara (dua perempuan dan seorang lelaki). Selepas kematiannya, puisi tersebut diterjemahkan ke lebih 30 bahasa dan mendapat tontonan (bacaan) lebih 30 juta kali di pelbagai platform media sosial.
Refaat adalah lulusan ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) 2017. Beliau mempertahankan disestarsi mengenai John Donne (1572-1631), seorang penyair metafizik, juga bekas tentera dan setiausaha sebuah gereja di England. Refaat adalah pengasas bersama We Are Not Numbers, sebuah pertubuhan yang cuba menemukan penulis berpengalaman dan penulis muda (sastera dan penulisan kreatif) di Universiti Islam Gaza, iaitu alma maternya (ijazah pertama tahun 2001).
Refaat lahir di Shuja’iyya, Gaza City pada 23 September 1979 dan merupakan seorang aktivis yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin. Sebab itulah setiap tindakan dan kata-katanya menyebabkan Israel marah: “every move I took and every decision I made were influenced (usually negatively) by the Israeli occupation.”
Di awal Konflik Gaza-Israel, Refaat mempertahankan serangan Hamas sebagai “sah dan bermoral” dan menyifatkanya seumpama “pemberontakan Ghetto Warsaw”. Beliau turut menolak dakwaan Israel yang menipu bahawa Hamas telah melakukan keganasan seksual. Ia satu bentuk ‘helah alasan’ bagi “mewajarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza”. Genosid itu disifatkan sebagai “Barbaric Bombarment is Part of Ethnic Cleansing.” Wawancara tersebut telah disiarkan dalam slot Democracy Now ! dan BBCNews (10 Oktober 2023).
Tiada sesiapapun yang boleh mempertikaian semangat juang rakyat Palestin. Walaupun kematian demi kematian berlaku, mereka akan terus berjuang demi meraih kemerdekaan, Sejak tertubuhnya negara haram Israel (14 Mei 1948), rakyat Palestin tidak pernah takut, bahkan ketika ini, semangat mereka semakin membara.
Sebahagian besar pejuang masa kini adalah anak-anak yang hidup di kem-kem pelarian di seluruh Palestin dan disokong oleh anak-anak pelarian yang dibesarkan di kem-kem pelarian luar Palestin. Ilan Pappe menyifatkan penjara terbuka (kem pelarian) adalah penjara mega yang terbesar di dunia, dalam buku, The Biggest Prison on Earth (2017).
Kekentalan semangat rakyat Palestin dapat kita selami apabila lebih 120 orang yang sedang menerima rawatan di Malaysia berkata mereka tetap mahu pulang ke Palestin. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berjanji akan menghantar mereka pulang setelah rawatan tersebut selesai atau sembuh sepenuhnya. Mereka tidak bersedia menjadi penduduk di mana-mana negara, tekad mereka hidup dan mati adalah untuk Palestin.
Dalam konflik terbaharu yang sudah menjangkau 11 bulan, lebih 41,000 orang warga Palestin terkorban, dan hingga kini (7 September 2024), Israel yang brutal tidak pernah terfikir untuk berhenti. Beberapa rencana damai yang diusahakan oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat gagal. Benjamin Neetanyahu enggan menerima apa syarat sekali pun selagi setiap inci tanah Palestin tidak menjadi milik mereka.
Seminggu lalu, Neetanyahu mengeluarkan rencana besarnya, yakni akan kekal mengawal Koridor Philadelpi, iaitu kawasan sempadan Gaza-Mesir di Rafah (termasuk Lebuh Salehudin al-Ayubi). Alasannya, di koridor tersebut , terdapat banyak terowong yang digunakan oleh Hamas bagi menyeludup masuk senjata.
Sejak serangan balas Israel tersebut, bukan sahaja puluhan ribu rakyat Palestin terkorban, malah ratusan pekerja sukarela dan para petugas antarabangsa terbunuh. Para wartawan (dianggarkan hampir 700 orang) dan jurugambar turut menjadi mangsa brutal tentera Israel (IDF). Para wartawan dan jurugambar menjadi sasaran, kerana mereka melaporkan berita dan menyiarkan gambar sebenar apa yang berlaku, buka menurut sumber berita propaganda Israel.
Beberapa agensi berita diarahkan keluar daripada Gaza. Sebagai seorang yang hebat menulis, Atef Abu Saif, sasterawan dan Menteri Kebudayaan Pihak Berkuasa Palestin dibawah pimpinan Mahmoud Abas membawa kita ke pengalaman sebenar yang cukup dahsyat sepanjang dirinya terperangkap hampir tiga bulan di Gaza.
Atef adalah seorang yang banyak alami penderitaan hidup di tanah kelahirannya. Atef lahir tahun 1973, di Kem Pelarian Jabalia, Genting Gaza dan meraih ijazah kedoktoran (PhD) dari University of Florence, Itali. Sewaktu Israel menyerang Gaza tahun 1973, Atef baharu berusia dua bulan. Atef pernah mengajar sains politik di Universiti al-Azhar, Universiti Islam Gaza dan berperanan sebagai Ketua Pengarang majalah Siyasat di bawah Institut Dasar Awam di Ramalah.
Antara karyanya: enam buah novel berbahasa Arab ialah Shadows in the Memory (1997), The Tale of the Harvest (1999), Snowball (2000), The Salty Grapes of Paradise (2003), A Suspended Life (2014) dan Christina (2016); dua buah kumpulan cerpen (berbahasa Arab), Everything is Normal (2004) dan Still Life: Stories From Gaza Time (2013); dan, dua buah buku catatan harian mengenai serangan ke atas Gaza, The Drone Eats with Me: Diaries from a City Under Fire, (2014) dan terbaharu, Don’t Look Left: A Diary of Genocide (2023).
A Suspended Life diterjemahkan ke bahasa Inggeris (2016) dan The Drone Eats With Me diterjemahkan ke bahasa Jerman dengan judul Frühstück mit der Drohne (2015). Pernah disenarai pendek untuk International Prize for Arab Fiction 2015 (Arabic Man Booker) dan tahun 2018 memenangi Katari Prize for Best Arabic Novel (kategori penulis muda).
Catatan harian (diari) pertama diberikan kata pengantar oleh Noam Chomsky, seorang pakar bahasa (keturunan Yahudi) Amerika Syarikat yang terkenal dalam analisis politik antarabangsa dan sangat mengecam sikap dan tindak-tanduk Israel. Manakala catatan diari kedua, rakaman selama 85 hari konflik terbaharu (7 Oktober 2023 – 30 Disember 2023) diberikan kata pengantar oleh Chris Hedges, wartawan Amerika Syarikat yang memenangi Pulitzer Prize tahun 2002.
Don’t Look Left: A Diary of Genocide pada awalnya merupakan catatan harian yang disiarkan secara bersiri dalam The New York Times (USA), The Guardian (England), Guenirca (majalah dalam talian Amerika Syarikat) dan Slate (majalah dalam talian Amerika Syarikat). Ia diterbitkan sebagai buku bulan Januari 2024 oleh Comma Press, United Kingdom. Diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan judul A Diary of Genocide: Catatan Pembantaian Palestina 7 Oktober – 30 Disember 2023 (ADG), Mac 2024.
Atef pergi ke Gaza pada petang Khamis, 5 Oktober bersama anak lelakinya, Yasser (15 tahun), mengunjungi sanak saudaranya dan pada 7 Oktober, dijadualkan melancarkan Hari Warisan Nasional di Karara, dekat Khan Younis, Gaza City. Setelah dilantik sebagai Menteri Kebudayaan (2019), Atef dan keluarga berpindah ke Tebing Barat. Oleh kerana di sebelah pagi tidak ada apa-apa temujanji, Atef mengambil kesempatan mandi laut dan malam sebelumnya menumpang tidur di rumah saudara perempuan, Halina di Beit Lahia.
Dalam catatan hari Ahad, 8 Oktober, hari di mana Israel melakukan serangan balas terhadap Hamas, Atef menulis: “ Sejak perang pertamaku pecah, pada 1973, dan terus hidup dalam peperangan sejak saat itu. Aku memulai novelku, A Suspended Life, dengan kalimat, “Naem lahir dalam perang dan mati pun dalam perang.” Mengingat hal ini, dan serangan gencar selama 51 hari yang kualami pada 2014, aku semakin yakin dengan keputusanku: kehidupan adalah jeda antara dua kematian, pun Palestin, sebagai sebuah kewujudan, adalah jeda di tengah peperangan. (ADG, hal.26).
Pada malam itu, Atef tidak dapat tidur. Ketika cuba berbaring, dirasakan seluruh hotel bergoncang. Dalam hatinya tertanya-tanya, gambaran apakah yang terlintas ketika itu dan akhirnya menduga: ” Aku melihat penggalan-penggalan kepala, potongan tangan, serakan gigi, sungai darah. Dalam mimpiku, aku teringat adegan perang tahun 2014 ketika cuba membantu pasukan penyelamat mengumpulkan potongan-potongan tubuh seorang perempuan yang berserakan. Aku membawa kulit kepalanya di tanganku.
“Rumahnya dekat dengan pemakaman Kem Jabalia. Aroma kematian yang menyelimuti pemandangan itu, dipadukan dengan pemandangan gerbang pemakaman, sungguh tak tertahankan. Semakin dalam mimpiku, semakin aku berjuang kembali ke dunia nyata, sangat berharap bahawa semua itu hanya kilas balik, pengulangan trauma lama. Hanya kenangan.” (ADG, hal.24).
Dalam lamunannya, Atef berkata bahawa Yasser: “…sudah menyaksikan dua perang – masih terpukul oleh kenangan konflik 2014. Dia berusia tujuh tahun ketika itu dan mengingat segalanya dengan jelas. Adik perempuannya, Jaffa, yang baru berusia dua tahun, mengaku mengingatinya. Namun ketika diminta menerangkannya, sepertinya dia hanya mendeskripsikan video perang yang dia tonton. Jaffa juga tahu aku banyak membicarakan dirinya di bukuku, sehingga dia punya semacam nostalgia yang aneh terhadapnya. Anehnya, kenangan tentang perang itu positif, kerana untuk memilikinya, bererti kau mesti bertahan hidup.” (ADG, hal, 25-26).
Sejak itu, Atef tidak dapat berenggan dengan telefon genggamnya, ia adalah satu-satunya saluran berita yang cepat dan boleh dibaca (catatan 9 Oktober) : “…peringatan berita terus bermunculan di ponselku [telefon selular, atau hand phone]. Desingan misil dari kapal perang sungguh memekakkan telinga. Kawasan pantai sepertinya dipenuhi ledakan. Berkali-kali aku harus menoleh ke belakang untuk memeriksa apakah kamarku [bilik hotel] masih utuh [baik].
“Peringatan berita memberitahuku bahawa serangan udara terbaharu di “Al-Tirrans” Jabalia telah menewaskan 50 orang. Aku pun memohon diri kepada menteri lainya dan kembali ke kem. Al-Tirrans adalah jantung Jabalia. Dari sana, kau dapat mencapai titik lain di kem dengan cepat. Souk [pasar] hanya beberapa ratus meter ke arah selatan, sekolah dasar [rendah] berada di sebelah barat, wilayah tempat keluargaku tinggal di dekat situ, ke sebelah timur.
“Semua jaringan pengangkutan ke bandar-bandar dan desa-desa terdekat bertemu di titik ini: teksi dan minibus ke Beit Hanoun, Beit Lahia, Desa Bedouin, dan tempat lain di sebelah utara Gaza. Boleh dikatakan, kau tidak boleh memiliki Jabalia tanpa “Al-Tirrans”. Kata ‘tirrans” bererti transistor letrik, sebagai transistor utama kem yang ditempatkan di sana.” (ADG, hal.31-32.)
Seterusnya, cerita Atef; “Aku merasa ngeri dengan apa yang kulihat: semuanya hilang. Seluruh jalan, kedua sisinya, rata dengan tanah. Supermarket, agen pengurup wang, kedai falafel [sejenis makanan Timur Tengah], gerai buah-buahan, gerai minyak wangi, kedai manisan, kedai jualan barang permainan…semua habis terbakar. Terbakar dan terkubur. Satu-satunya yang tersisa hanya transistor itu sendiri. Masih berdiri kukuh, bagaikan monumen kuno.
“Melangkah di antara reruntuhan sungguh menindas [menyiksa]. Darah berceceran di mana-mana. Aku harus berhati-hati agar tidak memijaknya. Potongan mainan kanak-kanak, tin-tin dari supermarket, buah-buahan yang hancur, basikal yang rosak, dan pecahan botol minyak wangi.
Di tengah timbunan debu dan asap, aku mulai batuk-batuk. Aku tidak tahan lagi. Aku membawa Yasser kembali ke rumah keluargaku. Ketika menengok “Al-Tirrans”, tempat itu terlihat seperti lukisan pensil arang keruh yang menggambarkan kota yang hangus dibinasakan seekor naga. (ADG, hal.33)
Membaca catatan diari Atef Abu Syaif selama 85 hari ini cukup menginsafkan kita, kerana pengalaman dukanya telah menyelubungi seluruh kehidupan sejak dilahirkan (1973). Dukanya terus berlari dan hidup adalah ibarat kontrak yang perlu diperbaharui setiap hari, sebaik sahaja bangun dan masih bernafas. Bagi mereka, hidupnya tidak pernah muncul kegembiraan selagi bumi Palestin terus menjadi sasaran gelora nafsu kerajaan negara haram Israel.
Sejak konflik itu berakar, Jalur Gaza sudah dikuasai oleh Israel lebih 88 peratus, manakala hak milik Palestin setiap hari dipersempitkan oleh perang. Sebelumnya, Israel menjarah Tebing Barat sehingga sempadan yang ditetapkan oleh PBB pada tahun 1948 diceroboh tanpa rasa bersalah. Muncul pelbagai provokasi, tindakan untuk menghalau pemilik asal, kerana tanah-tanah itu penting untuk memenuhi keperluan pendatang haram Yahudi yang kian bertambah.
Jutaan rakyat Palestin menjadi pelarian, di Palestin, Jordan, Lubnan, Syria dan Mesir. Pelarian ini menjadi satu tekanan bagi Israel, kerana dalam sebarang rundingan damai, kepulangan pelarian tanpa syarat menjadi salah satu daripada tuntutan terbesar Palestin. Dua lagi ialah pemulangan tanah-tanah yang dirampas merujuk kepada sempadan yang dibuat pada tahun 1967; dan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka.
Sebab itulah konsep penyelesaian dua negara tidak pernah mencapai kemajuan dalam setiap kali rundingan damai diadakan. Israel ‘sampai mati pun’ tidak akan mengiktiraf Palestin. Penyelesaian dua negara menjadi natijah dan peluang untuk Israel mengganas, membunuh dan merampas apa saja milik warga Palestin, dengan provokasi memancing warga Palestin bangkit memberontak. Pemberontakan membuka peluang terbuka untuk menjarah dan menjajah.
Tidak ada kaitannya Zionis dengan Jerusalem. Zionis hanya muncul pada pertengahan Abad ke-19, sedangkan Palestin telah muncul sejak ribuan tahun silam, yang dikenali sebagai bumi Kanaan. Begitu juga dakwaan bahawa orang Yahudi telah membentuk kerajaan di Jerusalem lebih awal daripada Islam, sedangkan daripada arus sejarah, Nabi Daud (King David), Nabi Sulaiman (King Solomon), Nabi Ibrahim (Abraham), Nabi Yusof (Joseph), Nabi Isa (Jesus), Nabi Musa (Moses) adalah pembawa agama wahyu yang kemudiannya berakhir dengan Nabi Muhammad SAW, iaitu Islam.
Islam mencapai kesempurnaan pada zaman Nabi Muhammad SAW. Untuk menidakkannya, mereka menggelapkan sejarah dengan mengakui bahawa ajaran agama mereka telah membenarkan tuntutan “tanah yang dijanjikan”, iaitu Palestin. Agama-agama wahyu yang turun lebih awal tidak pernah disebut sebagai Kristian dan Yahudi dalam kitab suci masing-masing. Tetapi, Islam disebut dalam al-Qur’an sebagai agama yang diturunkan untuk membaiki akhlak manusia.
Dua agama sebelumnya semakin besar penyelewengan, atas sebab segelintir pemuka agama berusaha menjadikan kedudukan mereka lebih dominan, orang suci dan pembuat keputusan yang wajib dipatuhi. Sebab itulah dua agama tersebut ada konsep kerahiban, sedangkan dalam Islam, tiada. Dalam Islam, apa yang ada dan menjadi tunjang kemuliaan penganutnya ialah taqwa.
(BERSAMBUNG)
