MELINDAS DUSTA, MENGINGAT DERITA - PART 2 (AKHIR)

MELINDAS DUSTA, MENGINGAT DERITA - PART 2 (AKHIR)

Dalam memahami isu Palestin, kita wajar melihat alur sejarahnya, bukan bermula pada 7 Oktober 2023.  Hamas ‘membalas dendam’ kerana Israel tidak pernah bersedia menerima Palestin sebagaimana sepatutnya, hidup bersama-sama, sebagaimana Islam boleh menerima penduduk berlainan kepercayaan hidupa bersama dalam satu wilayah.

Sebab itu, selagi Israel tidak berjaya membersihkan etnik Arab Palestin, selagi itulah bumi Kanaan itu akan terus bergolak. Ini dapat dilihat daripada dolak-dalik Benjamin Neetanyahu, menolak gencatan senjata kekal, dan menyerahkan setiap inci tanah yang dirampas kepada rakyat Palestin.

Neetanyahu menegaskan mereka tetap mahukan satu kawasan yang dipanggil Philadelpi, lokasinya ialah sempadan Gaza-Mesir, sebagai alasan politik. Ertinya, mereka mahu mengawal sempadan Mesir-Palestin, dengan harapan semua penduduk Palestin benar-benar berada dalam penjara terbuka ciptaannya, menjadi semakin besar dan meluas.

Sepanjang 85 hari yang kelam itu Atef Abu Saif berjaya membuka banyak perkara yang memberi makna sebenar terhadap perilaku Israel, akan melakukan apa sahaja kerana ingin menghapuskan etnik Palestin (ethnic cleansing). Buku ini cukup memberikan pengetahuan dan maklumat yang boleh menyebabkan Israel terus dibenci. Bagi Atef, apa yang ditulis itu adalah memori hidup yang perlu dikongsikan, termasuk rakaman ingatan dengan kawan-kawan yang terkorban.

Pada hari ke-80 (25 Disember), Atef menulis: “Semalam, pembantaian massa akibat serangan udara di Kem Pelarian Maghazi mengakibatkan 75 orang tewas. “Cincin Api” lain menghujani Kem Bureij. Jumlah keseluruhan yang tewas ialah 95 orang, Gambar kanak-kanak yang tercabik-cabik [berkecai] saat berbaring di tempat tidur dan video teriakan para penyintas [yang terselamat] memenuhi telefon kami. Pagi hari, semua korban yang tewas dibaringkan di tanah luar gerbang [pintu masuk] rumah sakit terdekat, tempat doa-doa dipanjatkan untuk jiwa mereka.” (ADG, hal.379).

Pada hari ke-83, tiga hari selepas Krismas, hati Atef semakin gelisah, katanya: Perang tidak pernah berakhir, Tenda [khemah] ini adalah rumah baharu kami. Kem ini adalah lingkungan baharu kami. Waktu terus berlalu, dan dalam beberapa hari lagi persis tiga bulan yang lalu ketika pagi itu aku berenang di laut dan segalanya bermula. Apa lagi yang dapat kami lakukan selain menunggu?

“Rasanya seperti menunggu kematian tiba untuk membawa kami pergi dengan keretanya. Kami menunggu hal yang tidak diketahui, menunggu Godot [jenaka sinis Perancis seperti dalam naskhah drama karangan Samuel Beckett, Waiting fo Godot (1965), yang membawa maksud, kasut (boot)’ sesuatu yang ditunggu-tunggu tapi belum muncul; tiada kepastian] yang tidak akan pernah datang, menunggu bantuan, menunggu berita, menunggu makanan. Perang menggerogoti [mengerip] hidup kami. Hari-hari kami beransur-ansur lenyap, bagai matahari di balik tirai awan gelap. Kami fikir sedang menunggu perang berakhir, tapi sebenarnya yang kami tunggu adalah hidup kami akan berakhir.” (ADG, hal.389).

Hari ke-84 adalah hari ulang tahun Yasser ke-16. Tetapi hari ulang tahun itu diraikan sehari lebih awal kerana “semua orang sangat bersemangat untuk membuat anak itu bahagia sehingga kami rayakan saat itu juga.”(ADG, hal.391). Namun, malam tadi adalah “salah satu malam mengerikan…Langit berpijar berkali-kali sebelum fajar. Pada satu titik, aku mengira bulan jatuh menimpa kami. Pijaran cahayanya sangat besar dan sangat merah. Saat berbaring di pasir, boleh kurasakan bumi bergoncang menyusul suara ledakan.

“Semua itu dari peta ulang tahun, fikirku dalam hati. Kedengarannya seperti sebelah timur Khan Younis. Suara berondongan peluru juga terdengar di sela-sela dentuman sonic F-16. Awalnya, aku tidak boleh tidur akibat kebisingannya, tapi kemudian aku melakukan permainan adaptasi, yang telah kukembangkan selama 83 hari terakhir. Anggap saja hingar-bingar ini sebagai sesuatu yang normal [biasa], seperti bunyi mesin penyedut debu [vacuum cleaner] atau bunyi kereta di jalan yang membunyikan klakson [meniup tanduk/tetuang].

Terima sajalah seolah-olah telah terbiasa dengannya sehingga kau tidak lagi boleh hidup tanpanya. Bayangkan betapa membosankan hidup kita jika segala sesuatunya hening dan senyap! Bayangkan, betapa menggelisahkan jika tidak ada lagi lingkungan yang mengganggumu. Bayangkan ruang hampa itu. Keheningan itu. Tidak ada seorang pun boleh hidup tanpa kebisingan.” (ADG, hal, 393).

Pada hari ke-85, Atef bersama anaknya dibenarkan keluar dari Gaza, yakni melintasi sempadan Rafah. Atef dan anaknya Yasser, berhasrat ke Mesir, namun dalam hatinya timbul perasaan serba-salah, tidak dapat menahan diri: “…untuk menengok ke Timur Laut, kembali ke Jalur Gaza, ke rumahku. Tempat aku hampir kehilangan nyawaku berkali-kali. Dan tempat, kalaupun ada, jiwaku masih bersemayam. (ADG, hal,395)

Dan, “saat kami melakukan perjalanan melintasi Sinai Utara, di pinggiran Arish, aku melihat sebuah rumah yang dibom: atapnya runtuh, hanya beberapa dindingnya masih berdiri. Aku menggigil dan sejenak berfikir masih berada di Jalur Gaza, dan apa yang kulihat adalah serangan terbaharu.

“Tapi, kemudian aku ingat – ini adalah perang lain: Perang Mesir yang tidak dilaporkan  melawan suku Badui. Aku memejam mata dan mencuba melupakan, tapi juga mencuba mengingat. Semua yang telah kulalui dan kujalani harus tetap bersamaku, berpergian bersamaku ke masa depan.” (ADG, hal.397)

Setelah menaiki teksi untuk mengunjungi Wissam, anak saudara perempuan yang sedang dirawat di Port Said, tapi sudah dipindahkan ke hospital di luar Ismailiyya, di Terusan Suez. Saat tiba, Wissam bersendirian, yang mengalami ‘gangguan saraf. Tatkala bertemu, Wissam menangis kerana tidak ada lagi saudara-mara,  kecuali Widad (saudara perempuan tiri).

Hanan telah memberitahu, Wissam akan mendengar apa yang Atef cakap,  termasuk beberapa jaminan yang dibuat sebelumnya. Dalam nada memujuk, Atef berkata: “Kau seniman, Wissam dan aku penulis. Ada pekerjaan yang harus kita selesaikan.” Dia mengangkat tangan kirinya. “Seorang seniman dengan satu tangan,” katanya. Aku tertawa, “Ini tangan ajaib. Sebuah tangan yang lebih penting daripada semua tangan manusia di Planet Bumi.” (ADG, hal. 397-398).

Dalam suasana lain, Atef terkenangkan pelbagai insiden, apa yang didengar, dibaca lewat telefon mahu apa yang dialami sepanjang 85 hari terperangkap bahawa:”Memang benar, ragaku telah pergi tapi jiwaku masih di sana. Semua fikiranku ada di sana, semua pengalaman terjadi di sana dalam kenangan masa kini yang terus berlangsung. Bahkan, konsepku tentang masa depan didasarkan pada apa yang terjadi di sana dan apa yang mungkin terjadi. Aku masih di sana meskipun berada sejauh ini, secara fizikal.”

Dan pada halaman akhir, Atef menjelaskan: “ ketika meninggalkan pejabat pada 5 Oktober  untuk perjalanan kerja singkat ke Gaza, aku terjebak di sana selama hampir tiga bulan dalam “perang” terpanjang dan paling dahsyat semasa hidupku.” Apabila melihat semula diari itu: “aku mendapati diriku tidak ingin mengingat satu pun. Aku hanya ingin mengingatkan seperti apa kehidupan sebelum perang. Aku tidak ingin mengingati bahawa ada begitu banyak orang yang dekat denganku binasa oleh perang.

“Aku ingin mengenang mereka bersamaku, berpura-pura mereka masih di sini. Aku tidak ingin mengingat kengerian yang terjadi setiap hari dan tekanan kerana harus bertahan dari satu waktu makan ke waktu berikutnya, mencubit diri sendiri setiap pagi untuk menyakinkanku bahawa diriku masih hidup.

Katanya lagi, buku yang diterbitkan ini, “tidak dimaksudkan sebagai buku harian ketika aku memulainya. Aku menulis artikel ini setiap hari kerana aku ingin orang lain mengetahui apa yang terjadi, aku ingin ada kronik kejadian seandainya aku mati. Aku merasakan kehadiran kematian berkali-kali. Aku boleh merasakannya menjulang di belakangku, di atas bahuku, dan aku menulis sebagai cara untuk menangkisnya, menentangnya, jika tidak untuk mengalahkannya, dan, jika tidak ada yang lain, mengalihkan fikiranku darinya. Saat perang berlanjutan, aku hanya boleh memikirkan cara bertahan hidup.

“Aku tidak boleh berduka. Aku tidak boleh memulihkan diri. Rasa sakitku harus ditangguhkan. Kesedihanku ditunda. Sekarang bukan waktunya memikirkan semua ini. Namun, dalam buku ini, aku dapat melihat semua orang yang kucintai, yang telah hilang dariku, dan dapat terus berbicara dengan mereka. Dalam buku ini, boleh meloloskan diri dengan keyakinan bahawa mereka masih ada bersamaku.” (ADG, hal. 404- 406).

Saya sengaja menelusuri buku ini dengan petikan langsung beberapa catatan harian Atef Abu Saif, saya bimbang jika dibuat ulasan secara umum mungkin ada lebih banyak perasaan sedih, marah dan kecewa pembaca. Sebabnya, apa yang dicatatkan adalah kisah benar, yang benar-benar dialami sendiri oleh pengarangnya. Saya petik penutup Chris Hedges dalam  “Kata Pengantar”: Kejahatan tidak berubah selama ribuan tahun. Begitu juga dengan kebaikan.” Chris Hedges pernah mewawancara Atef mengenai buku ini, yang disiarkan dalam https://countercurrents.org/2024/08/a-diary-of-genocide-w-atef-abu-saif/ pada 1 Ogos 2024.

Fahamilah, yang jahat itu adalah satu kumpulan (sangat-sangat kejam) dan mahu merampas, menakluki setiap inci tanah Palestin, dengan apa cara sekalipun. Namun, kejahatan cuba diputih atau dinormalisasikan, mendakwa apa yang dilakukan itu adalah untuk “keselamtan dan mempertahankan diri,” Apakah ‘merampas hak orang dan mengakui secara tidak sah’ itu sebagai tindakan ‘mempertahankan diri?.”

Seperti kata Ilan Pappe, Israel sangat rasa tidak bersalah dengan apa yang dilakukan walaupun menjarah dan mengambil rumah orang lain, dan kemudian membenarkan ‘tuan rumah kembali untuk mengambil barang-barang miliknya di dalam rumah’ sebelum dihalau kembali agar kekal menjadi milik secara haram? Tindakan itu diistilahkan sebagai settler-colonialism, peneroka-penjajah: Peneroka berkulit putih membinasakan penduduk asal dengan pelbagai cara, antaranya melalui genosid, agar mereka boleh menjadikan diri mereka sebagai pemilik negara tersebut dan mengubah identity mereka sebagai penduduk asal.

“…Gerakan baharu ini [settler colonialism] lebih cenderung melihat keseluruhan Palestin sebagai tanah yang memerlukan sokongan dan perubahan. …seluruh tanah Palestin adalah kawasan yang dijajah dan dikepung oleh Israel, dan dalam kawasan tersebut rakyat Palestin hidup dalam undang-undang dan rejim yang menindas dan berakar dari sumber ideologi yang sama: Zionisme. Ia menekankan perkaitan antara ideologi dan posisi Israel sekarang berkenaan soal demografi dan kaum sebagai penghalang terbesar usaha perdamaian antara Israel dan Palestin.

Pandangan ini lebih mudah untuk dijelaskan pada hari ini. Sejak 2010, perundangan Israel di Knesset – memaksa orang Palestin berwarganegara Israel memberikan kesetiaan pada negara Yahudi, dengan mengkodifikasikan (setakat ini) diskriminasi dalam pemberian kebajikan, hak tanah, dan pengambilan pekerja terhadap golongan minority Palestin – hal ini tentunya menyerlahkan sifat perkauman dan apartheid Israel sebagai sebuah negara. ….Bahkan, penindasan yang berlapis terhadap orang Palestin yang tinggal di Israel adakalanya lebih teruk berbanding penindasan yang dikenakan [ada penduduk yang tinggal di bawah pentadbiran ketenteraan yang rasmi atau tidak rasmi di Tebing Barat…..

’Untuk meneroka dan menduduki’ adalah sebahagian daripada perilaku penjajah dalam kamus-kamus akademik dan politik sejak abad kedua puluh dan kedua puluh satu hari ini. Maka mereka tidak mempunyai alasan lain lagi: meskipun gerakan Zionis dan kemudiannya negara Israel tidak menganggap pengambilan tanah Palestin boleh menatijahkan penduduk asal terbuang daripada tanah mereka sendiri, sepertimana yang biasa dilakukan penjajah, dunia tidak akan tertipu dengan helah mereka.”

Itulah perangai Israel yang tamak, tidak berperikemanusiaan dan menjarah hak rakyat Palestin yang akhirnya mengisytiharkan ‘milik yang dirampas’ itu adalah miliknya. (Noam Chomsky dan Ilan Pappe, Perihal Palestin, terjemahan Maryam Zakiah, P.Jaya: Biblio Press-Hashim Sani Centre for Palestine Studies, 2024, hal. 24-27). Setelah ‘memiliknya secara haram’ ia dipertahankan dan apabila ‘tuan asal’ bangun mempersoalkan penjarahan tersebut, Israel akan berkata: itu adalah tanggungjawab saya untuk mempertahankan keselamatan Israel.

Semoga Israel tenggelam dalam paksi kejahatan yang dilakukannya sendiri sebagai satu bentuk karma dan Palestin akan merdeka: dari sungai ke segara. A Diary of Genocide merupakan sebuah catatan yang membuatkan kita berfikir, merenung dan seterusnya menghulurkan simpati selama-lamanya, selagi Palestin tidak merdeka. Saya ulangi beberapa kali membaca catatan ini, sejak membelinya lebih dua bulan lalu.

Kita doakan semoga Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) benar-benar mencapai satu keputusan bahawa Israel adalah pelaku genosid yang terkejam bagi abad ke-21. Dan, semoga Afrika Selatan mencapai kejayaan dalam tuntutan tersebut yang akan membuatkan Amerika Syarikat ‘sedar diri’ dan sekutunya ‘memintal semula mimpi mereka’ untuk hidup bersama aktivis Zionis yang ‘buta hati dan buta perut’.

Setakat ini, ada beberapa kejayaan yang mampu memberikan sedikit ‘cahaya buat Palestin’: semakin banyak negara mendokong hasrat Palestin merdeka; persetujuan buat Palestin menjadi anggota rasmi PBB kian melepasi syarat yang ditetapkan; kemunculan anak muda menolak dasar kerajaan di beberapa buah negara yang pernah menjadi kuasa penjajah dan peneroka-penjajah menunjukkan makna ‘kebebasan dan hak asasi’ yang diajar dan dipraktik semakin bergeser di dalam negara sendiri yang mendabik dada sebagai pengamal demokrasi; kejayaan gerakan BDS – boycott, diversment dan sanction – menunjukkan kejayaan dan semakin berkesan apabila jenama francais antarabangsa yang mendokong Israel semakin hilang pelanggan dan merosot perniagaannya (alami kerugian besar); dan akibat sistem yang tidak benar-benar bebas (pasaran bebas), atas desakan politik muncul pelbagai halangan (tariff, sekatan ekonomi dan kewangan), Amerika Syarikat terpaksa menerima kenyataan pahit, walaupun masih menjadi kuasa ekonomi terbesar (termasuk kekuatan dolar), kemunculan China (dan kini dalam kesatuan BRICS), dalam tempoh kurang tiga dekad lagi, ia akan berubah sekiranya diteruskan ‘perangai buruk’ kapitalis barat dan sikap tamak ‘kapitalis Yahudi’ yang selama ini berjaya membentuk pola oligarki ekonomi-politik tidak berubah kepada nilai kebersamaan dan tanpa prejudis.

(Ulasan Buku: A Diary of Genocide: Catatan Pembantaian Palestina 7 Oktober-30 Disember 2023, karangan Atef Abu Saif, terjemahan daripada Don’t Look Left: A Diary of Genocide (2023) oleh Nadya Andwiani, Jakarta: Noura Books, Mac 2004, 408 halaman)

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016909
Hari ini: 5
Minggu Ini: 1,714
Bulan Ini: 2,050
Tahun Ini: 16,909
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.