Isu pasangan pempengaruh suami isteri Alif Teega dan Aisyah Hijanah, yang terpalit dengan kes menyeleweng kutipan derma orang awam, seharusnya menjadi iktibar kepada masyarakat. Ini kerana melaksanakan amanah khususnya dalam pengurusan sumbangan orang awam, adalah sesuatu yang dititik-beratkan oleh agama, dan menjadi dosa besar jika tidak mengurusnya dengan jujur.
Seorang muslim yang menjalankan amanah dengan baik maka Allah menjanjikan pahala dan balasan yang baik. Sedangkan orang-orang yang mengkhianati amanah, Allah memberi peringatan kepada mereka dengan balasan yang buruk. Terdapat banyak dalil-dalil yang berkaitan dengan peringatan serta khabar ancaman yang Allah berikan kepada orang-orang yang mengkhianati Amanah. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Anfal Ayat 58 yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak suka dengan orang-orang yang khianat.”
Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal jilid 3 halaman 154, terdapat hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya.”
- H.R Ahmad dan Baihaqi, status Hasan
Namun demikian, lihatlah berapa ramai manusia yang diselubungi dengan amalan rasuah, penyelewengan harta awam, harta anak yatim, dan pecah amanah. Walaupun undang-undang sudah ditegakkan dan ada yang sudah dijatuhkan hukuman, namun ia tidak sekali-kali menakutkan mereka yang masih belum ditangkap penguatkuasa. Mereka tetap hidup bermewah tanpa rasa bersalah.
Tambahan pula sambil mempamerkan kekayaan yang diperolehi, di dalam media sosial. Mereka seperti tidak mempedulikan amanah itu, dan segala-galanya sudah menjadi darah daging. Adakah mereka lalai tentang akhirat, di mana setiap anggota badan akan bercakap dan menjawab segala kelakuan kita di dunia?
Jika keadaan sudah seperti ini, maka di manakah jiwa yang ‘takut’ kepada Allah? Di manakah letaknya sifat waspada diri terhadap Yang Maha Mengetahui? Allah SWT telah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 42 dan 43 yang bermaksud; “Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. Mereka lari bergegas-gegas sambil mendongak kepalanya sedang pandangan mereka tidak dipulangkan kepada mereka dan hati mereka kosong.”
Janganlah kita termasuk golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah dengan firman-Nya dalam surah al-Hijr ayat 3 yang bermaksud; “Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).”
Imam Nawawi dalam kitab Naṡaiḥul ‘Ibâd menjelaskan bahwa pamer harta dengan sikap sombong dapat membahayakan orang yang membuat demikian. Imam Nawawi mengatakan dari tiga perkara yang dapat menyebabkan manusia rosak, salah satunya ialah membanggakan diri sendiri dengan harta yang dimilikinya.
Apatah lagi mereka yang telah digelapkan hatinya oleh iblis dengan memamerkan kemewahan dari harta yang tidak halal. Apakah kenikmatan yang dirasakan dengan kemewahan yang hanya sementara itu, dibandingkan dengan seksaan yang berpanjangan di dalam neraka nanti.
Nilai amanah dalam kehidupan seharusnya berpangkal dari hakikat paling dasar iaitu amanah sebagai misi keinsanan yang terpenting sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya Kami telah tawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi mereka enggan memikulnya kerana takut akan mengkhianatinya. Tetapi manusia (sanggup) memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”
Surah al Ahzab : ayat 72
Peningkatan kes-kes pecah amanah dan juga berleluasanya jenayah ekonomi dalam masyarakat masa kini adalah merupakan gejala penyakit rohaniah yang antaranya adalah berpunca dari sifat tamak. Penyakit rohaniah hanya dapat disembuhkan menerusi ibadah-ibadah yang telah ditentukan oleh Allah seperti solat, puasa, zakat, haji, zikir dan sebagainya.
Oleh itu, amalan-amalan kerohanian ini seharusnya diintegrasikan dalam kurikulum pembinaan pengurusan dan pentadbiran. Ianya perlu disuburkan ke dalam masyarakat menerusi program-program pembinaan insan agar nilai-nilai yang baik meresap masuk ke dalam jiwa masyarakat dan pada masa yang sama penyakit-penyakit rohaniah yang merosakkan ini dapat dikikis dari sanubari kolektif.
Begitu juga amalan rohaniah seperti membaca al-Quran amat ditekankan dalam tradisi kepemimpinan Islam. Membaca al-Quran dalam konteks ini harus diertikan sebagai proses muhasabah, mengkritik dan menilai diri. Sebagai contoh, Umar ibn Abdul Aziz, seorang Khalifah Islam yang terkenal dengan keadilannya itu dikatakan mempunyai amalan rutin membaca al-Quran setiap hari, termasuk hari-harinya yang paling sibuk.
Masyarakat yang telah hilang nilai amanah akan segera ditimpa krisis kepercayaan, dan demikian pulalah halnya dengan kehidupan yang hilang nilai amanah pasti akan runtuh. Apa yang jelas ialah, amanah merupakan nilai yang
menjadi landasan segala aktiviti manusia. Darinya akan lahir individu-individu yang mengenal erti hidup dan mampu mengisi keperluan hidup dengan bijaksana.
