JODOH DAN MATI; SURATAN DALAM HIDUP

JODOH DAN MATI; SURATAN DALAM HIDUP

Sarah Wilkinson, 43 mungkin merupakan wanita pertama yang melafazkan ikatan perkahwinan dengan dirinya sendiri setelah lebih dua puluh tahun gagal mendapatkan “Mr Right”. Sarah meraikan majlis ‘perkahwinan dengan diri sendiri’ pada 30 September 2023,  dihadiri oleh 40 orang sahabat rapatnya, dan 40 orang lagi di majlis resepsi disebuah kelab tenis pada sebelah petang, iaitu berdepanan lokasi pernikahannya/ Lokasi pernikahan ialah  di sebuah rumah  di Harvest, Felixstowe, Suffolk, England.  


Menurut Sarah: It was a lovely day for me to be centre of attention…The ceremony wasn’t an official wedding, but I had my wedding day. I think you get to the point where you thnk I might not have this with a partner by my side, but why should miss out? The money was reserved for my wedding – it was a case of it’s there and why not use it for something I want to do.”  (https://www.bbc.com/news/uk-england-suffolk-67084850.amp)


Mungkin kisah Sarah itu tidak berlaku (atau jarang berlaku, tapi tidak tular) di Malaysia. Tetapi kita pernah mendengar beberapa cerita mengenai perempuan yang sangat ingin memakai gaun pengantin tetapi gagal menggayakannya di atas pelamin kerana belum menemui “Mr Right”. Kenapa setiap daripada manusia yang berakal lebih ramai menginginkan pasangan hidup dan mengharapkan bertemu jodoh dengan “Mr Right”? Bagi saya, bukan sahaja “Mr Right” yang dicari, juga seorang lelaki berusaha keras untuk mendapatkan “Miss Right”, akhirnya menjadi bujang terlajak.


“Miss Right” bukanlah seseorang yang cukup sempurna. Sebabnya, walaupun “Miss Right” itu cantik, tentunya “Mr Right” akan merasa bahagia di awal perkahwinannya, dan akan merasa pudar setelah proses perkahwinan itu menjadikan mereka lebih faham sifat dan peribadi antara satu sama lain. Tatkala rasa sudah memahami, akhirnya muncul pula perasaan bosan dan kadangkala berlaku ‘krisis kuasa’, siapa yang sepatutnya mengawal hal ehwal rumah tangga. 


Perubahan ini melontarkan cabaran kepada sebuah pendapat yang mengatakan, semakin lama seseorang itu di kenali, maka semakin bijaklah seseorang itu mengatur selok belok dalam rumah tangga. Jika pendapat itu benar, maka kita tidak ada cerita duka bagaimana pasangan yang sudah memiliki keluarga, anak-anak sudah pun berkeluarga, tetapi berpisah antara mereka kerana ‘tidak ada lagi persefahaman’ di antara suami dan isterinya. Kenapa berlaku penceraian di usia tua? Fenomena ini seringkali kita dengar di Jepun dan Korea Selatan. Kini, ia sudah menjadi sesuatu yang cukup membimbangkan di Malaysia.


Seminggu lalu kita terbaca laporan, seorang lelaki berusia 74 tahun ditemui rangkanya di sebuah unit apartmen di Kepong, Kuala Lumpur. Menurut laporan, lelaki tersebut tinggal keseorangan, dia telah bercerai. Selepas itu, dia berkahwin dengan seorang wanita lain (rakyat asing). Wanita asing itu meninggalkannya keseorangan, khabarnya pulang ke negara asal setelah menghabiskan wang simpanannya.  Setakat ini kesahihan berita tersebut belum dapat disahkan, kerana berita mengenainya belum dibongkar.


Akibat bercerai dengan isteri pertama, dan berkahwin dengan wanita asing, konflik anak beranak mula timbul. Si anak menjauhkan diri, dan jika datang menjenguk sekali pun hanya sekadar melihat rumah. Jika mendapati lampu terpasang, si anak tidak mensyaki apa-apa, kerana menyangka ayahnya ada (hidup). Itulah yang lazim dilakukan, tetapi tidak pula diberitahu berapa kerap dia berbuat demikian.


Atas sikap ‘take thing for granted’ itu, akhirnya muncul misteri. Pada 5 September 2024, si anak cuba menjengok ayahnya, lampu terpasang dan kipas siling berpusing. Dalam hatinya cuba memberi salam dan mengetuk daun pintu, tidak ada jawapan. Setelah berkali-kali dicuba, si anak meminta bantuan jiran untuk mengumpi pintu. Akhirnya, luluh hati, terkejut dan muncul penyesalan, terlihat rangka manusia dalam keadaan sedang terbaring. 


Lima hari kemudian (10 September 2024), pihak polis mengesahkan rangka manusia itu adalah milik seorang lelaki berusia 74 tahun, dan akan diserahkan kepada keluarga untuk disemadikan. Menariknya lagi, menurut jiran-jiran yang sentiasa lalui hadapan unit rumah tersebut, berbulan-bulan dan bertahun lalu, tidak mensyaki ada sesuatu berlaku di dalamnya. Ada jiran mengatakan, setiap pagi lalu di situ untuk menghantar anak ke sekolah, tidak pernah terhidu bau busuk. Jiran yang lain pula mengatakan, kali terakhir mereka bertemu ialah ketika arwah membayar yuran service apartment untuk bulan September 2021. 


Jiran tidak mensyaki sesuatu, kerana menganggap arwah telah pulang ke kampung. Arwah pernah menyatakan hasrat itu kepada mereka, kerana mungkin bagi membolehkan anak-anak mereka mencari guru mengaji al-Qur’an yang lain sebagai pengganti, Arwah, selain aktif berjemaah di surau, mengisi masa lapang dengan mengajar anak-anak khairiah belajar membaca al-Qur’an secara sukarela.


Menurut jangkaan pihak tertentu, arwah dikatakan telah meninggal dunia dalam masa tiga tahun lalu. Namun kepastian sebenar tidak dapat ditentukan, begitu juga sebab-sebab kematiannya. Pihak polis mengesahkan, kematian warga emas itu tidak ada petunjuk adanya aksi jenayah berlaku. Segala barang milik peribadi, keadaan dalam rumah dan sebagainya tidak menunjukkan ada kecenderungan tersebut.


Timbul pula pelbagai andaian mengenai penemuan tersebut. Antaranya, kematian itu adalah sesuatu yang menarik kerana Allah SWT tidak menjadikan persekitarannya berbau busuk walaupun menurut hukum alam, tersebut apabila akan berlaku apabila daging mula menyusut, atau perut dan segala isinya ‘pecah’ selepas beberapa hari jantung terhenti. Sebaik sahaja jantung terhenti mengepam darah, tubuh akan menjadi pejal dan mengeras. Dalam keadan itu, bakteria-bakteria dalam tubuh menjadi semakin aktif, dan cepat membiat kerana imunisasi semula jadi sudah tidak ada lagi.


Bakteria-bakteria itu kemudian menyebabkan terhasilnya beberapa gas. Gas-gas itulah yang menyebabkan bau busuk, setelah cecairnya keluar melalui rongga-rongga badan (mulut, telinga, hdung, anus dan mata) dan liang roma. Disebabkan oleh kipas siling terpasang dan berfungsi dengan baik, cecair yang bercampur gas itu menjadi cepat mengering, termasuk jika kematian itu berlaku ketika musim panas. Kita ketahui, dalam tahun lalu dan beberapa bulan tahun ini, cuaca panas cukup membahang sehingga ada hari-hari hampir mencecah 40 darjah celcius. 


Persekitaran itulah mungkin membantu proses pereputan menjadi lebih cepat, dan juga bau busuk tidak berlaku. Itu sekadar perspektif sains dan pendapat ilmu kesihatan. Apa yang sebenarnya dikatakan ‘keajaiban’ tidak dapat kita rungkaikan, kerana itu adalah Kun Fayakun Allah SWT, kita hanya mampu mengatakan, jika itu adalah Kuasa Allah, apapun manusia tidak mampu mencabar apa yang berlaku.


Saya tidak berminat untuk mempersoalkan tentang anak-anaknya yang ‘take things for granted’ sebagaimana mula menjadi bahan berita yang bersifat gossip ataupun telahan-telahan yang boleh menyebabkan ‘sakit hati’. Sebaliknya, memanjatkan doa agar roh arwah tenang di sana, dan dimasukkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, bersama-sama sedekahkan al-Fatihah.


**
Dua kisah yang berbeza itu menjadi latar penulisan Catatan Minggu Ini. Walaupun kedua-dua cerita itu berbeza, ia cukup berkait dapat dengan kepercayaan kita sebagai umat Islam tentang suratan takdir. Allah SWT, kita diajar sejak usia dini lagi adalah Tuhan Yang Maha Menentukan, Tuhan Yang menjadikan seluruh alam dan kehidupan yang ada di muka bumi. Setiap yang hidup, pastinya akan mati; namun dalam Islam, ada tiga tahap kematian yang berlaku. Menurut Imam al-Ghazali: “Allah telah menghendaki agar berlakunya tiga kematian untuk sekalian alam. Justeru, para penghuni alam dunia (al-‘almal-dunyawi) akan mati. Para penghuni alam malakut (al-‘alam al-malaikuti) akan mati. Dan para penghuni alam jabarut (al-‘alam al-jabaruti) pun akan mati.


“Alam yang pertama itu terdiri daripada Nabi Adam dan zuriatnya, sekalian hidupan (al-hayawanat; benda hidup) menurut tiga jenisnya. Manakala, alam malakut (penghuninya) terdiri daripada bangsa-bangsa malaikat dan jin. Akhir sekali, alam jabarut pula penghuninya ialah para malaikat yang terpilih (al-mustafun min al-mala’ikat). Allah telah berfirman: Allah memilih utusan-utusan-Nya daripada kalangan malaikat dan manusia [surah al-Hajj (22) ayat 75]. (Imam al-Ghazali, Mutiara Ilmu Akhirat, terjemahan dari kitab Al-Durrah al-Fakhirah fi Kasf ‘Ulum al-Akhirah oleh Muhammad Yusra Hulaimi, P.Jaya: Biblio Press, 2024, hal.8).


Daripada perspektif sains kesihatan, proses pereputan mayat dibahagikan kepada lima peringkat: (1) Autolisis; (2) Bloat (pengembungan); (3) Active decay (peluruhan aktif); (4) Advanced decay (peluruhan lanjutan); dan (5) Skeletonisation (pembusukan tulang). 


Pada tahap autolisis atau permulaan, ia bermula sebaik sahaja jantung berhenti berdenyut, di mana perjalanan darah tidak lagi dipam ke seluruh tubuh. Dalam tempoh 3-6 jam, tubuh mulai kaku dan jasad menjadi tegang (rigor mortis).


Pada tahap kedua, iaitu bloat atau pengembungan, ia berlaku dalam tempoh 3 hingga 5 hari, di mana bakteria yang ada dalam tubuh mulai membiak dan menghasilkan pelbagai jenis gas seperti karbon dioksida, metana, nitrojen dan hidrojen sulfik. Gas-gas inilah yang menyebabkan perut (abdomen) menjadi kembung. Gas-gas ini kemudian keluar dalam bentuk cecair  melalui rongga-rongga seperti hidung, mulut, telinga, liang roma dan anus. Gas-gas yang keluar ini berbau hamis dan busuk.


Tahap ketiga, active decay berlaku selepas 8 hingga 10 hari kematian. Ketika ini,  seluruh bahagian tubuh mulai hilang, yang tinggal adalah tulang-tulang. Pada akhir tahap ini dikatakan bahawa serangga, atau binatang-binatang kecil yang memakan daging mulai menghilang.


Tahap keempat ialah advanced decay, di mana tulang, rambut, tulang rawan dan ligament mulai membusuk. Hanya serangga yang mempunyai kemampuan memakan benda-benda yang keras mulai hadir untuk memakannya.


Fasa terakhir ialah pembusukan tulang (skeletonisation). Pada tahap ini, yang tinggal adalah tulang-tulang kering dan proses pereputannya mengambil masa lebih dua tahun. Ertinya, ia bergantung kepada suhu persekitaran di mana tulang itu berada. Dalam keadaan kering dan panas, proses pereputannya akan menjadi lebih cepat. 


Berdasarkan penemuan tersebut, rangka lelaki yang dijumpai pada 5 Septemer 2024 berada di fasa keempat, masih belum memasuki fasa terakhir pereputan. Namun, berdasarkan laporan yang disiarkan, tidak pula dikatakan bahawa terdapatnya kumbang-kumbang di sekeliling rangka itu. Ini mungkin kerana keadaan rumah yang berkunci, yakni tertutup tidak membawa kepada kehadiran kumbang-kumbang. Jangka masa pereputan yang dibuat itu berdasarkan situasi mayat dalam kubur, yakni berdasarkan fenomena kehadiran binatang dalam tanah. 


Berdasarkan lisan para jiran, semasa proses bloat, tidak terhidu bau busuk. Secara asasnya, ia mungkin disebabkan persekitaran dalam rumah yang panas, kering dan kipas terpasang menyebabkan bau-bau cepat hilang. Hal itu dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT, di mana  Allah SWT melindungi mayat itu daripada mengeluarkan bau, dan bagi setiap muslim percaya itu adalah kematian  yang disifatkan sebagau khusnul khatimah (kematian yang baik). 


Walau bagaimanapun, kita sebenarnya tidak mampu berspekulasi kerana pengetahuan kita adalah cetek dalam hal kuasa Allah SWT dan perkara-perkara yang dipanggil ghaib. Itu juga merupakan suratan takdir yang telah Allah SWT tentukan, dan tiada siapa dapat menyatakan dengan tepat sebab dan bilakah sebenarnya penghuni unit berkenaan meninggal. Itu merupakan satu lagi rahsia Allah SWT, yang dapat membantu kita memahami rahsia-Nya, yakni jika Allah SWT berkehendak sesuatu terjadi, maka jadilah.  


Mengenai cerita Sarah Wilkinson, walaupun gadis tua itu bukan beragama Islam, mempunyai bentuk tubuh badan yang sedikit gempal, naluri kewanitaannya cukup terserlah, tetap menginginkan hadirnya lelaki untuk hidup sebagai pasangannya. Sarah tidak putus asa, biarpun kecewa setelah 20 tahun mencari tidak bertemu “Mr Right”, dirinya tetap mengharapkan kehadirannya walaupun pada penghujung nyawa. 


Dalam kegagalan tersebut, dengan berusaha menghibur diri dengan memakai gaun pengantin, Sarah mengambil keputusan meraikan hari bahagianya, berkahwin dengan dirinya sendiri. Kata Sarah: Not at all…but it was just a case of giving up looking because it’s a lot of effort.” Sya doakan semoga Sarah akan bertemu “Mr Right” dan merasai hakikat sebenar sebuah perkahwinan, atau hidup sebagai pasangan yang bahagia. 


Biarpun saya tidak pasti, dalam tempoh dua puluh tahun itu, berapa kali Sarah mendekati lelaki, dan berapa ramai lelaki yang didekatinya. Kita doakan yang baik-baik untuk Sarah, sebabnya Sarah sedar akan fitrah dirinya sebagai seorang wanita, bukan seperti yang dibuat-buat sesetengan orang menghindari perkahwinan dan cuba hidup sebagai pasangan tanpa ikatan perkahwinan. Trend yang menjadi budaya hidup masyarakat Barat, yang dalam masyarakat tempatan semakin terpengaruh. 


Perkahwinan bukanlah wajib, ia adalah perkara-perkara yang dikategorikan sebagai sunat berdasarkan sabda Rasulullah SAW dengan maksud:
“Wahai para pemuda! Barangsiapa di antara kalian mempunyai kemampuan, hendaklah menikah! Kerana hal itu lebih menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai bahagia.”


Dalam surah an-Nur ayat 33, Allah SWT berfirman dengan maksud: Dan orang-orang yang tidak mampu berkahwin hendaklah menjaga (kesucian) dirinya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurnia-Nya”


Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, seperti diriwayatkan oleh Abu Ya;ala dan at-Tabrani, dengan maksud: Seburuk-buruk kalian adalah orang yang hidup membujang di antara kalian. Paling tercela bagi orang yang mati di antara kalian adalah orang yang mati dalam keadaan membujang”


Jadi dalam hal ‘menemukan jodoh’, walaupun Allah SWT menjelaskan ia adalah ketentuanNya, ia tidak bermakna seseorang itu tidak wajar mencarinya, hanya menunggu jodoh itu tiba. Mencari atau menjemput jodoh membawa maksud, menyambut kehadiran seorang pendamping hidup dengan rasa cinta. Menurut Muhammad Muhyiddin: Pengertian ini mempunyai dua kata kunci (keywords), yakni ‘menjemput’ dan ‘cinta’. 


“Menjemput bereti menunggu dengan pasti bahawa ia pasti akan hadir atau datangnya sesuatu atau seseorang kepadanya. Bererti mengandaikan bahawa sesuatu atau seseorang yang ditunggu-tunggu itu benar-benar akan hadir di hadapannya.Dengan kata lain, menjemput boleh diertikan sebagai menunggu dengan kepastian akan datangnya seseorang yang kita cintai sebagai calon pendamping hidup kita dalam rumah tangga. Cinta dimaksudkan sebagai ekspresi bahagia, suka, sayang dan berbagai-bagai emosi manis yang lain (meminjam istilah al-Ghazali).”


Jelas Muhammad Muhyiddin lagi:…mengandaikan jodoh akan datang pada kita dengan seyuman menghias di bibir dan wajah yang cerah berseri-seri disertai dengan sikap kita yang menampakkan perasaan cinta kepadanya, bererti wujudnya konsep dan praktikal untuk mendatangkan jodoh itu sendiri. Ertinya, jodoh akan datang ketika kita telah berusaha untuk menghadirkannya pada kita. “ (Muhammad Muhyiddin, Menjemput Jodoh Memikat Sahabat, Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd., 2013, hal.128-129).


Keperluan manusia kepada perkahwinan adalah kerana sesebuah perkahwinan yang sah (Islam mewajibkan ijab dan kabul, dan disahkan oleh undang-undang) dakan memudahkan pengendalin masalah di kemudian hari, apabila salah seorang meninggal dunia dan berlakunya penceraian.  Jika perkahwinan itu tidak sah, yang menderita ialah anak-anak yang dilahirkan oleh pasangan tersebut termasuk proses tuntutan harta sepencaraian, keputusan tuntutan nafkah dan sedikit sebanyak akan menjejaskan masa depan anak-anak.


Pada asasnya, naluri manusia untuk hidup berpasangan-pasangan adalah kehendak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT apabila menciptakan manusia dengan kelainan jantina, dan setiapnya dilengkapkan dengan kemahuan dalaman, iaitu nafsu syahwat. Dalam surah al-Hujurat ayat ke-13, Allah SWT berfirman dengan maksud: 
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan dijadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”


Secara maknawinya, ayat tersebut boleh digunakan sebagai sebab kenapa cinta (sesama manusia dan berlainan jantina) itu diperbolehkan dan dalam pemahaman yang lain, juga sebagai satu bentuk pelarangan bercinta sebelum kahwin, kerana lebih banyak mudaratnya berbanding cinta selepas kahwin. Itu tidak pula bermakna, seorang lelaki dan seorang wanita tidak dibenarkan saling kenal mengenali, dan prosesnya ada caranya: termasuk melalui perantaraan orang dikenali, sanak saudara dan sebagainya. 


Ia tidak dibolehkan ‘dating’ sebagaimana kita fahami dalam dunia moden yang dipengaruhi oleh gaya hidup bebas. Proses salng kenal mengenali diharamkan jika ia membawa kepada maksiat, sehingga menganggap proses kenal mengenal itu sebagai aksi menyulam cinta, yang akhirnya, kerana cinta maruah diri dan tahap keinsanan tercalar. 


Rasulullah SAW bersabda, dengan maksud: “Sesungguhnya seseorang itu beramal dengan (mempunyai) niat dan sesungguhnya tiap-tiap orang bergantung pada niatnya (itu). Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RAsul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya untuk mendapatkan hasil keduniaan atau wanita yang akan dikahwininya itu, maka hijrahnya adalah sesuai dengan tujuan hijrahnya.” (Riwayat Muslim).


Sigmund Freud seorang psikoanalisa yang terkenal pernah berkata: Selama tiga puluh tahun mempelajari sifat-sifat wanita, saya bertanya pada diri saya sendiri: Apakah sebenarnya yang diinginkan oleh seorang wanita? 


Seorang wanita tertarik kepada seorang lelaki kerana: (1) fizikal seorang lelaki (gagah, tampan, perkasa, macho); (2) kedudukan sosial seseorang lelaki (kaya, dermawan, berkuasa); (3) peribadi atau perwatakan (setia, jujur, bertanggungjawab, pendiam, cerdas, ramah, baik dan matang, juga kelakar); (4) pegangan agama (taat beragama, sabar dan tenang); (5) penampilan diri (rambut disikat rapi, senyuman, pandangan mata yang bersinar-sinar dan nampak berani); dan (6) hormat dan rendah diri (ahli keluarga, kawan-kawan dan sesiapa sahaja). Apa pun, pilihannya ia bergantung kepada kesesuaian dengan diri sendiri atau menurut nasihat (pilihan) orang tua. Lelaki juga memiliki kriteria yang hampir sama dengan minat wanita. 


Namun, dalam Islam ada panduan yang lebih besar daripada itu tatkala memilih seorang wanita untuk dijadikan pasangan hidupnya. Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: “Wanita itu dinikahi dengan empat perkara: Harta, keturunan, kecantikan dan agamanya.Maka hendaklah engkau mengutamakan wanita yang memiliki agama!”
Ada pandangan bahawa: Gadis yang cantik tetapi tidak beragama adalah lebih buruk daripada budak hitam legam dan hodoh, manakala budak hitam dan hodoh yang beragama adalah lebih berharga daripada seorang yang hanya cantik tetapi tidak beragama


Seorang penyair Arab sebelum Islam, Zuhair bin Abi Sulma mengungkapkan: Siapa yang menjadikan kemurahan hati sebagai perisai kemuliaannya, maka kemuliaan itulah akan hidup. Tetapi, siapa yang tidak menjaga dirinya daripada kesalahan, maka dia akan disalahkan.”


Dan, ingatlah Rasulullah SAW pernah berpesan: Manusia yang menanam sebatang pokok akan diberi pahala apabila manusia atau burung mendapat keuntungan daripada buahnya. Seseorang masuk syurga kerana memberi air kepada seekor anjing yang hampir mati kehausan. Dan seseorang lainnya dihukum kerana ia mengikat seekor kucing sehingga mati kelaparan.” 


Soalnya sekarang, bilakah untuk kita memulakan melakukan kebaikan? Jawabnya sekarang, dan bertangguh-tangguh lagi kerana kita tidak tahu bilakan tarikhnya kita akan mati. Sekiranya kita mati dengan timbunan kebaikan, kematian itu dalam suasana yang baik. Jika di sebaliknya, ajal tiba ketika dalam persekitaran maksiat, maka kemaksiatan itulah dikenang orang, biarpun sebahagian daripada kita cuba menutup aibnya itu.  


***
Jodoh dan maut adalah ketentuan-Nya. Bagaimana dan bila masanya, hanyalah Dia yang Mahu Tahu. Jadi, berbuatlah kebaikan sebelum ‘maut menjemput’ dan hidup berpasangan dalam sebuah perkahwinan terlepas.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049184
Hari ini: 106
Minggu Ini: 614
Bulan Ini: 4,646
Tahun Ini: 49,184
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.