Dalam kehidupan kini, ilmu pengetahuan berkembang sudah cukup banyak dan masih terus berkembang. Orang sekarang mempunyai banyak peluang untuk mempelajari aneka jenis ilmu untuk manfaat diri dan keluarga. Ilmu-ilmu dalam gugusan sains, gugusan sastera malah pengajian Islam pun sudah cukup lumayan. Tidak timbul lagi masyarakat buta huruf atau buta ilmu atau mundur kerana sekarang sudah banyak ilmu. Kriteria penting sewaktu memilih ilmu antara lain ialah ilmu yang boleh membawa perubahan kepada seseorang individu atau keluarga, ilmu yang boleh menukar kehidupan sesebuah keluarga atau apa yang biasa disebut ilmu yang mempunyai nilai-nilai komersial, sama ada ia ilmu baru atau ilmu lama. Maksudnya ada nilai faedah untuk masa terdekat dan akan datang. Maka untuk itu kolej, institut atau universiti menjadi objek untuk dikejar.
Apabila kejaran ilmu jenis-jenis ini menjadi budaya, maka ilmu-ilmu yang tidak atau kurang mendukung nilai-nilai di atas dikirakan kurang faedah lalu ditinggalkan. Ilmu falsafah umpamanya kurang diminati ramai justeru sebab-sebab di atas. Ilmu ini kurang laku dan dianggap semacam tiada prospek. Mungkin ia terlalu akademik dan kilauan ilmu-ilmu lain menenggelami keunggulannya. Ini satu perkara. Satu perkara lagi menerusi pengalaman penulis sendiri, orang tidak biasa tahu tentang falsafah, apa itu falsafah, belajar tentang apa? Apakah peranannya? Sebaliknya kalau disebut ilmu ekonomi, agama, IT, sosiologi, matematik dan lain-lain lagi, ini sudah lazim dan orang tahu tentangnya serta boleh berbincang mengenai prospeknya.
Memang ilmu falsafah atau falsafah berbeza dengan ilmu-ilmu lain. Ia lebih bersifat konseptual penuh dengan teori, hujah, dalil, bukti dan sebagainya lagi. Orang yang melibatkan diri dalamnya perlu menurut kaedah berfikir secara universal, konsisten, holistik, bebas dari apa-apa pengaruh, komprehensif, teratur, berdisiplin dan lain-lain sepertinya.
Pengarang buku Philosophy (1990) di awal bahagian Introduction iaitu Richard H.Popkin dan Avrum Stroll menyifatkan ilmu falsafah sebagai ilmu yang sangat mendalam dan kabur bagi semua subjek, jauh dari urusan kehidupan biasa, tetapi lazimnya setiap kita ada mempunyai pemikiran falsafah. Kebanyakkan manusia kabur tentang falsafah tetapi istilah falsafah itu sering terjelma dalam perbualan-perbualan mereka.
Berdasarkan pengalaman penulis mengajar subjek-subjek falsafah seperti Falsafah dan Kehidupan, Pengantar Falsafah, Falsafah Islam, Falsafah Abad Pertengahaan, Falsafah Moden, Falsafah Politik dan Sosial Islam, serta Perbandingan Falsafah selain dari Pemikiran Islam untuk pelajar-pelajar pra-siswazah dan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) penulis dapat mengesan wujudnya sikap skeptis terhadap subjek yang bernama falsafah apa lagi mahu dikaitkan dengan kehidupan praktis harian. Ada beberapa perkara yang boleh dirumuskan dari tanggapan dan pemikiran pelajar-pelajar itu terhadap falsafah.
Pertama, ilmu ini adalah ilmu yang sukar dan susah untuk difahami. Kedua, ilmu ini adalah ilmu lama yang telah dibentuk kira-kira 2500 tahun dahulu di Greek. Ketiga, ilmu ini tiada hubungan dengan kehidupan praktis harian manusia berbanding dengan ilmu-ilmu agama, matematik, sains, perubatan dan seumpamanya. Paling radikal sekali iaitu komen keempat ialah ada pandangan sinis bahawa ilmu ini tiada nilai komersial. Pandangan-pandangan seperti ini dalam zaman ini dikirakan biasa justeru adanya perbandingan aspek utiliti antara falsafah dengan subjek-subjek lain apalagi yang memiliki nilai komersial.
Itulah antara kenyataan-kenyataan yang sering diungkapkan oleh para pelajar di UKM apabila subjek-subjek tersebut diperuntukkan kepada mereka. Penulis yakin gaya dan corak berfikir yang serupa juga ada pada pelajar-pelajar IPTA atau IPTS yang lain. Jika ada peluang untuk menukar ke subjek lain, biasanya mereka segera menukarkannya, dan ini dikirakan amat melegakan. Soalnya, mengapakah mereka cenderung berfikiran sedemikian? Rencana ini cuba merungkai persoalan-persoalan ini dengan hasrat mahu menukar nilai negatif di atas dengan nilai baru yang positif serta berimpak tinggi terhadap kehidupan manusia. Falsafah juga ada sumbangannya yang tersendiri dalam kehidupan harian dan ia sangat penting.
Dalam kehiduan manusia dalam apa bidang dan peringkat sekalipun, ada persoala-persoalan falsafah yang relevan ditanyakan misalnya apakah falsafah boleh menyumbang sesuatu yang bermakna? Apakah jenis wisdom yang boleh dinikmati dalam kehidupan harian? Apakah falsafah boleh membantu mencapai kehidupan yang terbaik? Di tahap manakah falsafah memberi pengaruh? Apakah falsafah turut menyumbang sesuatu terhadap masa hadapan manusia? Apakah bahawa falsafah seperti agama? Cuba kita tinjau bidang ilmu ini yang langsung berbicara hal-hal berkaitan dengan kehidupan manusia.
Kehidupan harian kita tidak kira orang tua, dewasa atau muda kadangkala berhadapan dengan soalan bersifat penilaian iaitu baik, buruk, salah atau benar. Apakah yang membezakan antara dua nilai yang bertentangan dengan itu. Maka ramai yang memberi fikiran dan hujah. Pembunuhan dianggap salah dalam agama dan budaya tetapi di dalam peperangan nilainya berubah. Pembunuh dianggap hero. Membohong atau menipu itu adalah salah namun dalam situasi tertentu ia boleh jadi berubah. Ini semua dibincang dalam falsafah akhlak atau etik.
Setiap masyarakat memiliki pelbagai organisasi terutamanya siasah. Disitu sering timbul berbagai fikiran menyangkupi persoalan-persoalan negara, kepimpinan, pentadbiran, kemajuan dan sebagainya. Ada persoalan-persoalan yang bersifat domestik dan ada pula bersifat antarabangsa. Banyak juga persoalan berunsur tanggungjawab rakyat terhadap negara selain tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat, keselamatan negara, agama dan lain-lain lagi. Semua persoalan-persoalan ini melibatkan falsafah sosial atau falsafah politik. Ramai pemikir melibatkan diri dalam falsafah ini. Nama-nama seperti Plato, Aristotle, al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Thomas Hobbes, St.Augustine, Machiavelli, Confucius dan lain-lain seperti mereka.
Mengapa kejahatan atau jenayah sering berlaku? Mengapa orang-orang yang pernah mengalami hukuman umpamanya selepas dibebaskan kembali semula kepada perlakuan jenayah? Apakah hukuman yang dijalani tidak menimbulkan keinsafan? Apakah hukuman terlalu ringan atau terlalu berat hingga boleh menimbulkan dendam. Ini semua dibahaskan dalam falsafah undang-undang.
Untuk menentukan bahawa manusia hidup dalam tabii aslinya sebagai manusia dan bukan bersifat haiwan, maka pendidikan dan ilmu menjadi tuntutan asasi. Tujuan ilmu dan pendidikan dibentuk dan diajar kepada manusia. Selanjutnya tujuan dan matlamat pendidikan dibentuk. Apakah ia bermatlamatkan kesihatan fizikal, kesihatan emosi, kemahiran teknik atau vokasional atau ketinggian mental, kemulian rohani dan sebagainya. Ini semua dibincang dalam falsafah pendidikan. Plato menghuraikan persoalan ini dalam buku The Republic. Sementara Ibnu Sina dalam risalah as-Siayasah dan lain-lain lagi seperti mereka. Maksudnya, tiada bidang kehidupan manusia yang terlepas dari perhatian falsafah.
Pergi lebih khusus bagaimana falsafah boleh membantu insan individu? Bagaimana falsafah mengangkat taraf dan nilai individu? Bagaimana falsafah menyumbang sesuatu kepada kehidupan harian individu? Di sini secara ringkas dicatatkan beberapa sumbangan falsafah dalam kehidupan harian seorang insan.
Falsafah dengan menggunakan metod akal yang rasional boleh membantu individu mencapai kepuasan dalam usahanya mengetahui dan mencari jawapan mengenai sesuatu.
Falsafah akan meningkatkan tahap kematangan minda daripada peringkat rendah kepada kematangan. Pengetahuan yang akan diperolehi melalui penggunaan akal rasional membantu peningkatan ilmu dan sekaligus meningkatkan juga tahap kematangan individu.
Falsafah membina kemahiran dan kemantapan berfikir serta memperkenalkan metod berfikir yang betul. Hal ini dapat dilihat apabila individu menggunakan metod yang sejahtera dalam berfikir, ia akan membawa individu tersebut kepada penguasaan kemahiran berfikir secara tidak langsung dapat menyelesaikan segala masalah dengan mudah dan cepat serta tepat.
Falsafah membantu individu menyelesaikan permasalahan kehidupan dengan sistematik dan pasti.
Falsafah menjadi senjata kepada individu untuk mempertahankan idea, pegangan dan kepercayaan (selain daripada jalan wahyu) daripada halangan dan kritikan. Falsafah mendorong individu mencapai matlamat yang dihajatkan dalam kehidupannya sama ada mencapai kejayaan, kebaikan, kesenangan dan kebahagiaan.
Falsafah menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk individu berkembang maju terus ke hadapan menerusi pemikiran atau kreativiti, tingkah laku atau aktiviti dan menerusi model tokoh yang ideal dalam sejarah atau yang masih hidup supaya seseorang dapat mengukur kemajuannya dan memperbetulkan arah tujuannya.
Falsafah dapat mengatur dan mengawal kehidupan individu dalam satu rangka kerja, tidak kira sama ada individu itu begitu berpegang kuat pada mitos, adat istiadat, warisan, budaya tersendiri, undang-undang atau agama. Dalam semua perkara tersebut, terdapat satu rangka kerja, iaitu falsafah yang tersirat dalam sifat semulajadi dan itu yang penting untuk semua manusia. (Ensiklopedia Islam, 1998)
Falsafah dapat mempertingkatkan keyakinan individu, terhadap dirinya sendiri dan keyakinan terhadap kekuasaan mutlak bagi orang-orang Islam. Tahap ini dapat dimiliki oleh individu yang mendalami dan menghayati konsep serta falsafah yang terhurai dalam pengertian keagamaan dan ketuhanan. Merujuk kepada akhlak Islam umpamanya, falsafah ini bermula dengan memberkan pendidikan kejiwaan ataupun rohaniah kepada seseorang individu. (Imran Effendy, 2003)
Dalam menjalani kehidupan harian, banyak masalah, cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuh. Ada masalah yang mudah dan mudah pula diatasi. Ada yang sukar dan susah memerlukan ikhtiar untuk mengatasinya. Falsafah boleh membantu tentang cara-cara berfikir betul, logik dan teratur hingga masalah-masalah kehidupan tiu dapat diatasi. Falsafah memberi motivasi membuat penyelidikan terhadap masalah yang lebih rumit hingga ke tahap mengetahui dan merungkai puncanya. Falsafah boleh membimbing mengenal dasar dan makna hidup bagi seseorang yang akhirnya boleh membantu merancang kehidupan yang baik dan berjaya. Ilmu-ilmu lain boleh menolong menjayakan dasar itu. Jadi falsafah sangat penting dalam kehidupan seseorang. Sementara itu suruhan dan penegasan-penegasan agama bagi sebahagian orang dapat disempurnakan dengan baik. Namun bagi sesetengah orang lain falsafah dapat membantu mencapai kebenaran agama itu. Falsafah dapat membuka jalan, menimbulkan minat dan seterusnya membimbing ke arah kehidupan yang lebih berkualiti.
Tulisan ini mengambil contoh dari kenyataan akhbar harian di Malaysia iaitu pertama News Strait Times 15 Januari 2008, halaman 16, melaporkan pengalaman Prof Dr.Rosnani Hashim, ketua Pusat Penyelidikan Falsafah Penyelidikan di Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) Malaysia. Beliau giat menjalankan penyelidikan falsafah untuk pelajar-pelajar sekolah dan pelajar ijazah pertama di universiti berkenaan. Dari usaha-usaha yang beliau lakukan didapati falsafah berjaya menyumbang sesuatu yang positif terhadap para pelajar itu. Participants become more articulate in expressing their thoughts. Topik-topik bersifat falsafah yang diberikan memberi peluang para pelajar itu berbincang dan hasilnya the children become more confident and tolerant of the views of others. Maksudnya, dengan falsafah banyak hasil positif dapat dicapai. Oleh kerana itu, beliau mencadangkan pelajaran falsafah boleh diajar di tahap sekolah.
Keratan akhbar kedua ialah Utusan Malaysia 14 Mac 2009, halaman 7, melaporkan kejayaan satu keluarga melayu di mana dua anak kembar pasangan En.Sahimie Musa, 44, dan isterinya Jamaliah Aman, 43, berjaya mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM bagi tahun 2008. Anak mereka Muhammad Farid Farhan memperolehi 11 A1 dan kembarnya pula Muhammad Faiz Fikri mendapai 10 A1. Kedua-duanya mendapat A1 dalam semua subjek yang diambil. Apabila ditanya oleh pihak akhbar, apakah rahsia pendidikan yang dilakukan mereka hingga dua anak kembar itu mendapat kejayaan cemerlang? En.Sahimie menyebut yang beliau mengaplikasikan falsafah Confucius dalam mendidik anak kembarnya itu sehingga kedua-dua berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau menyambung falsafah Confucius adalah satu kaedah mengenal potensi anak-anak supaya dapat membentuk anak-anak ke arah kecemerlangan dan pendekatan itu dilakukan sejak anak kembar itu berusia tiga tahun dalam usahanya mengasuh dan mendorong mereka ke arah yang betul.
En.Sahimie juga menerangkan yang beliau dan isterinya memberi kebebasan kepada anak mereka untuk memilih apa yang terbaik untuk diri mereka tanpa sebarang tekanan keluarga. Kejayaan cemerlang sehingga menjadi antara pelajar terbaik di negeri Perak adalah bukti bahawa pendekatan falsafah Confucius telah membuahkan hasil yang cemerlang.
Kedua-dua berita dari keratan akhbar itu menunjukkan ada hubungan positif antara falsafah yang sifatnya idea yang abstrak dengan kehidupan harian insan yang praktikal. Memang sukar untuk diceritakan tentang hubungan antara falsafah dengan kehidupan praktis itu berbanding dengan sumbangan ilmu-ilmu lain seperti matematik, perubatan, ekonomi dan seumpamanya tetapi falsafah seperti yang terbukti dari dua keratan akhbar di atas didapati mempunyai kuasa dan pengaruh yang tersendiri hingga mempengaruhi kehidupan seseorang.
Rencana ringkas ini diakhiri dengan beberapa soalan : apakah dia kehidupan? Apakah tujuan kita hidup? Apakah ia hanya saja-saja hidup? Lepas itu mati dan habis? Apakah tujuan perkahwinan? Apakah hanya untuk tujuan biologi atau kelahiran zuriat? Atau apa? Apakah tujuan kita belajar? Apakah kerana bosan duduk di rumah terperap di hadapan TV atau komputer? Atau kerana mahu mengangkat nilai diri dan darjat atau apa? Inilah antara realiti kehidupan kita di mana kalau tidak dipasak dengan kuat pada falsafah hidup yang jelas, tepat dan benar, maka kehidupan itu bagai kiambang di air, bergerak ke sana ke mari menurut arus dan angin. Maka kehidupan bagai sebuah hanyutan yang memberi impak negatif terhadap individu terbabit. Justeru falsafah memang tabiinya menyumbang sesuatu yang bermakna kepada manusia dulu, kini dan selamanya.
Apakah falsafah hidup anda?