SERANGAN IRAN KE ATAS ISRAEL

SERANGAN IRAN KE ATAS ISRAEL

Iran melancarkan satu serangan langsung terhadap Israel, yang sebelum ini tidak pernah berlaku. Tentera Revolusi Republik Iran (IRGC) melepaskan peluru berpandu bertubi-tubi ke arah negara haram itu, dalam situasi ketegangan yang memuncak di Timur Tengah. IRGC menyatakan bahawa serangan itu adalah tindak balas terhadap keganasan Israel ke atas penduduk Gaza dan Lubnan, serta pembunuhan pemimpin tertinggi IRGC, Ismail Haniyeh dari Hamas dan Hassan Nasrallah dari Hizbullah.

Namun menurut media barat, kerjasama Israel dan Amerika Syarikat telah berjaya menumpaskan sebahagian besar daripada hampir 200 peluru yang dilepaskan oleh Iran. Adakah serangan ini akhirnya akan mengejut umat Islam
dari lena?

Kronologi serangan Israel ke atas Iran dan sekutunya bermula pada 1hb April 2024, di mana Brigadier General Mohammad Reza Zahedi, komander kanan Pasukan Elit Quds IRGC, serta timbalannya Jeneral Mohammad Hadi Hajriahimi terbunuh dalam satu serangan ke atas konsulat Iran di Syria. Kemudian pada 31hb July, ketua politik Hamas Ismail Haniyeh dibunuh dalam satu serangan bom di Tehran, semasa beliau menghadiri jemputan kerajaan Iran. Terbaharu sekali, pada 28hb September, Hizbullah mengesahkan bahawa pemimpinnya Sayyed Hassan Nasrallah terbunuh setelah pesawat dan dron Israel melancarkan kira-kira 90 serangan pada waktu petang Sabtu, mencederakan hampir 3,500 orang di Lubnan. Maka tidak hairanlah mengapa IRGC melancarkan serangan balas ke atas 3 pangkalan tentera IDF. Ia disusuli dengan serangan siber berskala besar, yang cuba untuk melumpuhkan infrastruktur rangkaian Israel.

Iran dan Timur Tengah

Iran sebagai sebuah negara tidak pernah menyembunyikan sokongannya terhadap Palestin, justeru serangan balas terbaharu ini mendapat sokongan kembali yang kuat dari umat Islam dan simpatisan Palestin seluruh dunia. Aksi serangan Iran, yang dikatakan sebagai serangan balistik terbesar dalam sejarah, adalah sangat berbeza dengan negara-negara Arab di kawasan itu seperti Arab Saudi, Qatar, Jordan, Mesir dan sebagainya, yang masih mengejar polisi ‘Normalisasi’ bersama Israel. Ketidakaktifan negara-negara Arab dalam mempertahankan Gaza dan rakyat Palestin seringkali mengundang kecaman umat Islam. Justeru mengapakah pemimpin negara-negara Islam mengambil sikap pasif seperti ini?

Pandangan Syeikh Amir Shakib Arsalan Amir Shakib Arsalan rahimahullah, mufakkir Islam pada kurun lalu dan seorang pendakwah hebat di zaman akhir Khilafah Turki Uthmaniyyah pernah berkata: “Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui tarbiyyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?”

Pada beliau, kemunduran dan kelesuan umat Islam bertitik-tolak daripada kelemahan umat Islam dalam menjiwai maksud pengorbanan. Beliau memberikan contoh dalam perang Palestin-Israel sekitar 1930-an, antara umat Islam dan Yahudi. Dana yang dikutip oleh umat Islam hanya mencecah 13,000 Pound, sedangkan Yahudi mengumpul sekitar 1 juta Pound. Padahal dari sudut geografinya, tanah Palestin itu dikelilingi oleh negara-negara Arab yang menganut Islam, sedangkan Israel hanya sebuah negara kecil di tengah-tengahnya. Tetapi semangat berkorban mereka itu jauh lebih besar.

Hal ini pada Syeikh Syakib adalah disebabkan hilangnya semangat berkorban dengan harta dan diri seperti yang disebut dalam Al-Quran serta yang dipamerkan oleh Sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat. Bahkan dalam soal
mengorbankan tenaga pun umat Islam zaman ini gagal. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” - (At-Taubah: Ayat 111)

Perjuangan Nabi SAW dalam menyampaikan kebenaran Islam, tidak pernah terhenti meskipun harta dan nyawa Baginda menjadi pertaruhan. Namun hari ini, ramai pemimpin Islam boleh berpidato di podium tentang pengorbanan, tetapi mereka sendiri belum berani untuk berkorban. Di manakah umat Islam yang sanggup berkorban seperti yang ditunjukkan bangsa Eropah ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua?

Pengorbanan harta mesti tetap dilakukan oleh umat Islam sebagai usaha untuk membela saudara Islam seperti di Palestin. Walaupun kecil dari segi nilai fiskalnya, pengorbanan itu tetap dapat memelihara maruah kehormatan Islam, dan menunjukkan dengan jelas kepada musuh bahawa Islam tidak mati. Umat Islam tidak akan sekali-kali membiarkan negara Islam dijajah tanpa pertahanan dan pengorbanan, sekaligus melemahkan moral musuh dalam perang psikologi.

Seterusnya, Syeikh Shakib menyatakan faktor kemunduran ummah kedua ialah kerana kerosakan akhlak yang meluas. Faktor keruntuhan akhlak yang berlaku adalah disebabkan kejahilan umat Muslimin itu sendiri. Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah kategorikan kejahilan kepada dua, iaitu Jahl Al-Basit atau jahil kerana tidak tahu, dan Jahl Al-Murakkab, iaitu kejahilan yang tidak disedari, malah ditambah pula dengan kesombongan untuk menuntut ilmu.

Mengikut Syeikh Syakib, kejahilan menyebabkan pandangan umat muslimin itu menjadi kabur, hingga tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Tambahan pula, fahaman yang sempit tentang apa itu amar ma’ruf di sisi Islam
juga menjadi sebab kemunduran umat Islam dalam ilmu akhlak. Misalnya, menganggap amar ma’ruf itu hanya perihal hukum syara’ seperti solat, zikir, puasa, mengeluarkan zakat. Sedangkan, menepati masa, sikap amanah, berpegang kepada janji, menjaga kehormatan diri, juga semuanya termasuk dalam amal kebaikan malah diseru oleh syara’. Jika diluaskan lagi skop amal baik itu, melawan rasuah dan korupsi juga termasuk dalam amar ma’ruf.

Syeikh Syakib juga menerangkan dua kaum ekstrim yang wujud di kalangan umat Islam. Satunya ialah kaum ‘Jamid’ iaitu kaum yang jumud. Beliau menerangkan kelompok inilah yang membekukan atau menjumudkan segenap pandangan Islam tentang kehidupan. Mereka kurang berusaha, tetapi sering memberi alasan bahawa takdir Allah yang menetapkan mereka sedemikian.

Mereka juga cenderung menolak unsur keduniaan. Syeikh Syakib menyelar kaum jamid itu: “Adalah si jamid yang mengakibatkan umat Islam jatuh miskin, kerana ia meletakkan Islam sebagai agama akhirat sahaja. Padahal, Islam adalah agama dunia dan akhirat. Si jamid yang memukul gendang perang terhadap ilmu-ilmu alam, matematik, falsafah, dan sebagainya, dengan alasan bahawa itu semua adalah ilmu-ilmu orang kafir.”

Menjadi seorang Islam yang kuat pegangan agama, tidak sepatutnya melemahkan semangat untuk mengkaji ilmu-ilmu keduniaan, tidak menghalang kemajuan dalam ekonomi dan politik, dan juga tidak menghalang untuk menjadi
kaya dalam mengumpul harta.

Kaum kedua yang dikritik Syeikh Syakib adalah kaum ‘Jahid’ atau kaum yang ingkar. Mereka yang terikut-ikut dengan budaya barat, malah mereka memeluk ideologi sekular secara terang-terangan. Mereka mengatakan umat Islam tidak akan maju jika masih berpegang dengan agama, dan kemajuan hanya dapat dicapai apabila Islam ditinggalkan. Mereka terlalu mengagungkan Barat sehingga hilang identiti sendiri. Tiada keperluan untuk tinggalkan agama dan budaya, kerana ia bukan syarat kemajuan sesuatu ketamadunan.

Kritikan yang dibuat oleh Syeikh Amir Syakib Arsalan masih relevan untuk umat Islam di seluruh dunia. Ia mungkin memegang kunci kemenangan atas puak Zionis dan adikuasa Barat. Dari ilmu-ilmu keduniaan sehingga ilmu-ilmu agama, kedua-duanya perlu diseimbangkan dan jangan dipisahkan antaranya. Al-Quran dan As-Sunnah itu merupakan inti pencerahan akal umat manusia untuk memahami ilmu-ilmu keduniaan. Sebagai epilog, Syeikh Syakib menulis;

“Sejatinya, persoalan-persoalan ilmiah itu hanyalah cabang bukan akar; adalah hasil bukan premis. Sementara jihad dengan harta dan jiwa adalah ilmu tertinggi yang diserukan semua ilmu. Jika umat Islam mempelajari ilmu ini dan mengamalkannya, seluruh ilmu dan pengetahuan yang lain pasti dapat dikuasai.”

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019367
Hari ini: 217
Minggu Ini: 1,962
Bulan Ini: 4,508
Tahun Ini: 19,367
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.