TEGAKKAN KEADILAN!

TEGAKKAN KEADILAN!

Dalam satu hadis yang cukup popular, Nabi Muhammad bersabda “Wahai sekalian manusia sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah, apabila orang-orang terhormat (pembesar) mencuri, mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang-orang yang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka menegakkan hukuman had. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sungguh aku sendiri yg akan memotong tangannya” (HR Muslim).

Hadis di atas mengisyaratkan dengan jelas kepada kita bahawa Nabi Muhammad SAW memerintahkan kepada umat Islam khasnya kepada pihak berkuasa untuk tidak selektif dalam menegakkan undang-undang (law enforcement). Sebagai negara yang mengamalkan ketinggian undang-undang (supremacy law), sudah tentu penegakan undang-undang tidak akan memilih-milih siapa yang patut dikenakan hukuman dan siapa yang terlepas.

Falsafah undang-undang ialah berasaskan kepada penegakan keadilan kepada semua pihak. Justeru siapapun individu tersebut sama ada daripada kalangan elit atau pembesar negara mahupun rakyat biasa tidak bebas daripada hukuman sekiranya berbuat satu jenayah dan kesalahan demi memenuhi rasa keadilan tanpa mengenal pandang bulu.

Menegakkan keadilan merupakan kemuncak kepada nilai ketakwaan yang kita miliki. Keadilan mesti ditegakkan dalam keadaan apapun meskipun dalam perkara yang nyata kita benci. Kebencian kita kepada kaum atau kumpulan tertentu tidak boleh menghalang kita untuk berbuat keadilan untuk mereka yang kita benci. Perkara ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: 
“Dan janganlah kebencian kalian terhadap suatu kaum menghalangi kalian berlaku adil. Berlaku adil-lah, karena perbuatan adil itu lebih dekat kepada taqwa” (Al Maidah: 8).    

Persoalannya ialah adakah ‘keindahan’ dan idealisme undang-undang itu hanya berlaku di atas kertas dan tersimpan rapi di lemari simpanan buku? Adakah ia dapat diterapkan secara berkesan dalam konteks semasa yang menyaksikan berlakunya penyelewengan semakin berleluasa?

Fenomena memilih ‘ikan bilis’ berbanding ‘ikan jerung’ telah lama wujud. Tindakan pihak berkuasa dengan menjaring ‘ikan bilis’ ini dilihat hanya sebagai cerita ‘pembuktian’ bahawa penegakan perundangan telahpun dilaksanakan. Tidak menutup kemungkinan bahawa tindakan ini juga untuk menutup mulut beberapa pihak yang bising dan kritikal dalam isu berkenaan.  

Bagaimanapun, tindakan membiarkan ‘ikan jerung’ masih berenang bebas di ‘samudera’ kekuasaan patut disesalkan. Ini kerana ‘ikan jerung’lah sebagai pihak yang paling bertanggungjawab terhadap wilayah kekuasaannya dan sebarang polisi berkaitan dengan ketenteraman dan kesejahteraan rakyatnya. Ibarat sebuah pisau, tindakan pihak berkuasa bagi menunjukkan ‘kejantanannya’ dalam isu ini hanya tajam di bahagian bawah tapi tumpul di bahagian atas.  

Pada anggapan tertentu, "kerusi emas" yang dinikmati ‘ikan jerung’ sebagai satu kedudukan yang boleh memberikan mereka keseronokan duniawi dan seterusnya menjadi kebal. Atas sifat itulah, kedudukan dan kekebalan kedudukan itu digunakan untuk berkhianat dan membolot kekayaan negara untuk kepentingan peribadi dan puak-puaknya.

"Ikan jerung" yang tidak menunjukkan integriti dan amanah itu perlu dikenakan tindakan keras. Ketamakan mereka menyebabkan negara terus terjerumus dalam indeks persepsi rasuah dunia. Agaknya, keselesaan menduduki ‘kerusi emas’ yang terlalu lama membuatkannya terlena dan mudah terjerumus dalam amalan rasuah sepertimana diktum politik yang disuarakan sejarahwan terkenal Lord Acton bahawa kekuasaan yang terlalu lama cenderung melakukan korupsi.    

Untuk menunjukkan betapa kejinya penerima dan pemberi rasuah, menurut undang-undang negara, kedua-dua pihak terlibat dikira bersalah dan boleh ditangkap dan apabila sabit kesalahan boleh dihukum, sama ada penjara atau denda. Manakala mana-mana pegawai atau kakitangan kerajaan yang sabit dengan kesalahan itu juga boleh dibuang kerja. 

Jika menghubungkan tingkah laku mereka yang diberikan tanggungjawab tersebut dengan keimanan dalam Islam, maka ternyata mereka menyalahi konteks keimanan. Mereka mengkhianati amanah. Rasullullah SAW bersabda: "Tidak ada iman bagi seseorang yang tidak menunaikan amanah, tidak ada agama bagi orang yang tidak memenuhi janjinya."

Rasuah boleh muncul dalam setiap lapisan pekerjaan. Ahli politik, kakitangan pentadbiran, tentera, kehakiman dan sebagainya. Para pelaku telah menodai hakikat kebertanggungjawaban. Jika seorang ahli politik, kewujudannya untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya memboleh sumber kekayaan dari rakyat. Seorang hakim perlu melakukan keputusan yang adil dan bukannya berdasarkan naluri mencari kesalahan teknikal kerana dibayar upah lebih tinggi.

Umat Islam juga harus berani menegur dan membongkar segala penyelewengan yang berunsur rasuah. Ini adalah jihad sosial yang amat dituntut bagi menegakkan keadilan dalam masyarakat. Rasulullah SAW memberi amaran keras dalam sabda Baginda: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dan mereka yang menjadi orang tengah (perantaraan) keduanya. Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka."

Oleh itu amat diperlukan batasan-batasan dalam rangka menjaga kekuasaan tersebut. Batasan itu bergantung juga pada budaya bangsa. Bagaimanapun kalau kita beranjak daripada Islam, tentu saja kita menekankan lebih kepada soal iman, soal Islam, dan soal ihsan.

Fikiran dan perbuatan haruslah disandarkan pada ajaran ini. Orang yang berkuasa itu boleh saja mempunyai ilmu apa lagi pada zaman serba canggih ini. Dalam Islam dituntut bahawa ilmu itu juga disandarkan pada iman. Kita memang mempunyai akal, tetapi dalam Islam hendaknya kita menyedari bahawa akal pun harus ditundukkan pada Allah. Kepercayaan seperti ini mengajak kita menjaga kekuasaan.

Antara lain, umpamanya kalau kita (si penguasa) diingatkan orang, kita perlu mendengarnya; kalau ditegur orang, kita perhatikan; kalau orang mempunyai pendapat lain, kita usahakan supaya kita dapat bertukar-tukar fikiran. Kita mencari yang benar yang mungkin muncul daripada orang lain.

Pemimpin hendaklah sedar akan kedudukannya sebagai `khalifatullah fi'ardh', yang memegang amanah, yang ditunjangi oleh iman, Islam dan ihsan; mempunyai akhlak yang baik. Tentunya pula disandarkan pada niat yang sentiasa baik untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Pemimpin itu adalah seorang yang ihsan, yang bukan sekadar berbuat baik, tetapi juga menyedari bahawa semua sikap, fikiran dan perbuatannya sentiasa diketahui atau diawasi Allah SWT.  Pemimpin itu hendaknya jangan membuat kerosakan di muka bumi ataupun bersifat munafik iaitu berkata yang baik-baik namun dari segi praktiknya, perbuatannya tidak baik.

Pemimpin itu bukan seorang yang khianat. Maksudnya kalau ia bersumpah untuk memajukan rakyat maka hendaknya jangan berbuat sesuatu yang terbalik, memiskinkan rakyat. Pemimpin juga jangan berlebihan dalam memiliki harta, dalam berkata-kata, ataupun mengeluarkan perintah yang tidak boleh dipatuhi oleh orang lain.

Bersolat tidak melambangkan seseorang itu tidak melakukan rasuah, tetapi rasa cinta kepada Allah SWT dalam mutiara ketaqwaan akan membawa kepada terhindar daripada tragedi hidup oleh tangan kita sendiri, iaitu perangkap rasuah. Negara boleh hancur bila rasuah berleluasa jika masyarakatnya menganggap ia adalah sesuatu yang wajar kerana telah berjaya mendorong mendapatkan sesuatu kepada seseorang.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019363
Hari ini: 213
Minggu Ini: 1,958
Bulan Ini: 4,504
Tahun Ini: 19,363
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.