Allah S.W.T berfirman maksudnya : Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata. (Surah al- Ahzab 33:58)
Dan firmannya lagi bermaksud : Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), yang adil. (Surah al- Baqarah 2:143)
Apabila kita memikirkan makna ayat ini kita akan mendapati bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menyukai sikap ekstrem (melampau) dalam agama. Bahkan Allah S.W.T. Mengingatkan kita agar bersederhana dan menjauhi sikap ekstrem ini. Apakan tidak, sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri telah bersabda yang mafhumnya : Hendaklah kamu menjauhi sikap ekstrem kerana sesungguhnya ia telah membinasakan orang-orang yang sebelum kamu.
Meskipun sikap ekstrem ini bukanlah sesuatu yang baru, namun apa yang dapat kita lihat dengan tambahnya gerakan ekstrem ini ada golongan yang berselindung di sebalik nama agama dan nama-nama yang wujud itu perlu semakin meningkat. Bukan itu sahaja malah wujud pula syiar-syiar yang menyeru kepada sikap ekstremisme dan bertambahnya orang yang berusaha ke arah gerakan tersebut. Justeru, persoalan ini perlu dibincangkan demi untuk menjaga kesederhanaan yang merupakan jalan keselamatan dan keamanan, juga agar para pemuda dan generasi yang sedang meningkat tidak terperangkap ke dalam jeratnya. Tulisan ini diharap akan diterima dengan penuh kesedaran dan keinsafan.
Pertamanya, kita harus membezakan antara agama yang bermaksud beriltizam dengan hukum-hakam agama dan sikap ekstrem yang merupakan sesuatu yang melampaui batas dan jauh daripada makna syariah yang mudah.
Kemunculan Ekstremisme
Sesungguhnya telah masuk ke dalam Islam satu kaum yang bersih hati mereka daripada kekotoran taklid jahili yang penuh dengan kebencian dan kebusukan assabiyyah. Hati mereka suci menerima apa yang diseru oleh Rasulullah s.a.w dan mereka adalah orang- orang yang adil, sederhana, ahli tauhid dan merupakan golongan yang selamat.
Terdapat juga golongan yang masuk ke dalam Islam demi untuk menimbulkan kacau-bilau dan mengkucar- kacirkan umat. Mereka adalah orang yang hati mereka tidak terbuka untuk menerima Islam. Mereka berselindung di sebalik nama Islam dan amal Islami. Lalu mereka menyebarkan keburukan dan memecah belahkan barisan. Antara mereka ini ada yang menyeru sesuatu seperti apa yang disebut oleh orang Majusi dan ada pula yang menyeru seperti yang dilakukan oleh para penyembah berhala sebelumnya. Pada masa yang sama mereka mendakwa bahawa mereka ini Islam dan menyeru kepada Islam. Bilangan mereka ini dikatakan menjangkau sehingga 70 golongan.
Ketika Rasulullah s.a.w wafat, orang Islam berada di atas satu landasan agama dalam perkara-perkara pokok (usul) dan cabang-cabangnya, melainkan mereka menzahirkan persetujuan mereka dan menyembunyikan sifat nifaq mereka.
Kemudian muncul pula fitnah orang murtad, Musailamah al-Kazzab (orang yang aniaya), yang keluar dari kepimpinan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib r.a. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa adalah tidak harus seseorang itu keluar daripada kepimpinan seorang Hakim melainkan apabila zahir padanya kekufuran yang nyata sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud : Barangsiapa yang membenci satu perkara pada pemimpinnya, maka hendaklah dia bersabar, kerana sesungguhnya barangsiapa yang keluar dari kepimpinan seorang pemimpin lalu dia meninggal dunia, maka matinya itu, mati seorang jahil.
Dalam hadis sahih yang mahsyur yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: Dan janganlah kita membantah arahan seorang pemimpin melainkan sekiranya melihat pada kekufuran yang nyata. Kemudian dari itu muncul pula fitnah Khawarij yang mengkafirkan Ali dan Muawiyah dan dua orang hakim iaitu Abu Musa al-Asyaari dan Amru bin Al-Aas berpunca daripada al-tahkim dan mereka ini mengkafirkan tentera-tentera perang Jamal, Talhah, Zubair, Aisyah dan semua yang reda dengan tahkim dua orang hakim tersebut.
Mereka juga mengkafirkan orang- orang yang melakukan dosa daripada kalangan orang Muslim tanpa mengira samada dosa itu kecil atau besar. Ini bercanggahan dengan apa yang telah disepakati oleh Ahli Sunnah wal-Jamah bahawa tidak menjadi kafir seorang Islam itu dengan sebab melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya. Kemudian muncul pula fitnah Muktazilah Qadariyah yang mengatakan bahawa semua perbuatan adalah daripada hamba tanpa campur tangan Pencipta.
Bagaimanapun, bilangan mereka kemudiannya semakin berkurangan. Perkembangan ilmu telah menjadi satu jaminan untuk memahamkan para Muslimin bahawa apa yang dilakukan oleh para pemimpin bukanlah untuk memerangi Islam tetapi untuk menguburkan fitnah dan mengalahkan orang yang telah melakukan kerosakan. Kita mendapati bahawa golongan ekstremis ini telah berkurangan sehingga tidak lagi mampu memberikan kesan terhadap golongan majoriti daripada kalangan pengikut akidah yang benar.
Apabila ilmu menjadi semakin berkurungan di kalangan manusia dan dalam masa yang sama para ulama pula meninggalkan tugas mereka, sementara para pemerintah berlengah-lengah dalam membanteras anasir-anasir asing yang wujud dengan bermacam-macam cara, maka fitnah pun menjadi semakin besar. Keadaan ini menyebabkan manusia berpecah-belah menjadi puak-puak dan saling bermusuhan sehingga melemahkan umat. Kejatuhan itu adalah kejatuhan besar.
Ekstremisme Zaman Baru
Oleh sebab ekstremisme ini adalah punca penyelewengan pemikiran di kalangan pihak majoriti yang terdiri daripada kalangan pengikut-pengikut akidah yang benar sepanjang zaman, para penyelewengan ini kemudiannya mendapati bahawa mereka adalah golongan minoriti. Maka, mereka telah mengadakan perkumpulan rahsia untuk memastikan kesinambungan mereka dan penyelewengan itu berterusan ke zaman ini.
Al-Musyabbahah al-Mujassamah, Muktazilah Qadariyah, al-Huluyiah dan al-Khawarij masih lagi mempunyai para pengikut walaupun dengan nama yang berbeza. Sebagaimana orang terdahulu, golongan ini juga telah terbiasa dengan pemikiran orang-orang yang tidak seiringan dengan mereka. Mereka menggunakan alasan berkenaan untuk menyerang apabila berpeluang berbuat demikian seperti yang berlaku di kalangan pengikut khawarij yang telah membunuh sebahagian anak para sahabat.
Selain itu, puak al-Mujassamah pula membuat fitnah di Baghdad dan membunuh sesiapa yang menentang mereka. Manakala, cucu-cucu mereka pula mengkafirkan orang Islam yang lain dan melakukan pembunuhan dengan cara yang lebih dahsyat lagi daripada datuk nenek mereka kerana tiada sesiapa lagi yang menghalang mereka.
Pemikiran ekstrem yang banyak memberi kesan negatif itu, berpunca daripada pelbagai golongan antaranya :
Pemikiran jumud (kebekuan) dengan mengkafirkan sesiapa sahaja yang melakukan pekerjaan yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan pada zaman Rasulullah s.a.w.
Golongan yang mendakwa bahawa mereka memelihara Islam yang ingin membangunkan masyarakat Muslim tetapi mereka mengkafirkan semua pemerintah Negara Islam. Mereka mengatakan bahawa pemerintah terbabit memerintah dengan undang-undang buatan manusia serta turut mengkafirkan rakyat yang tidak bangkit menentang mereka itu.
Pendokong Pemikiran yang Pertama
Mereka terdiri daripada dua golongan:
Golongan yang menentang pembaharuan yang total dalam urusan keagamaan dan keduniaan. Mereka melarang penggunaan telefon, televisyen dan semua teknologi baru dengan dakwaan bahawa semua itu tidak terdapat pada zaman Nabi s.a.w.
Golongan yang menentang pembaharuan terhadap perkara-perkara agama tanpa membezakan antara bida'ah sayyi'ah (yang buruk), yang bertentangan dengan syariah serta bida'ah hasanah (yang baik) yang selaras dengan syariat. Mereka menganggap bahawa sesiapa yang mengada-adakan satu perkara dalam agama maka dia telah melakukan bida'ah sesat dan tercela.
Mereka tidak memperincikan samada perkara yang dilakukannya itu selaras dengan syariat tau sebaliknya. Ini bercanggahan dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Barang siapa melakukan satu pekara yang baik dalam Islam, maka dia memperoleh ganjarannya dan ganjaran orang-orang yang mencontohi selepas itu tanpa mengurangkan sedikit pun ganjaran mereka.
Adakah apa yang dilakukan oleh Tabiin yang mulia, Yahya bin Umar yang meletakkan titik pada huruf al-Quran dianggap bida'ah yang menyesatkan? Sedangkan umat Islam seluruhnya hari ini mendapat manfaat daripada mushaf yang bertitik ini. Adakah dikatakan semua orang Muslimin hari ini berada dalam bida'ah yang sesat? Sudah pasti jawapannya tidak. Terdapat dalil yang menyangkal dakwaan mereka itu.
Golongan itu juga menganggap bahawa dengan hanya bertawasul dengan nabi atau menziarahi kubur-kubur mereka adalah syirik. Imam Shafie juga menziarahi makam Abu Hanifah ketika berada di Baghdad sebagaimana yang tercatat di dalam kitab Tarikh Baghdad tukisan al- Khatib al- Baghdadi. Shafie berkata : Aku ingin mengambil berkat Abu Hanifah lalu aku menziarahinya. Sewaktu aku berada di Baghdad, setiap kali aku mempunyai hajat, maka aku pergi ke makamnya dan bersolat dua rakaat serta berdoa untuknya, maka tidak lama selepas itu pasti hajatku akan tercapai.
Adakah apa yang dilakukan oleh Imam Shafie ini dianggap syirik? Kemudian bukankah telah dinyatakan di dalam Mustadrak al-Hakim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Akan turun Isa bin Maryam sebagai hakim yang adil dan berjalan pada satu jalan untuk menunaikan haji atau umrah dan dia akan datang ke kuburku dan memberi salam kepadaku lalu aku membalas salamnya.
Al-Hakim menyatakan ia hadis sahih dan turut dipersetujui oleh al-Zahabi. Adakah dikatakan bahawa perjalanan Isa a.s. dengan maksud menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan bukannya dengan maksud menziarahi masjid itu sebagai syirik? Kesan pemikiran mengkafirkan ini dapat kita lihat dengan jelas daripada tindakan kasar para pemuda di banyak tempat di pelbagai Negara.
Golongan yang Kedua
Kepincangan golongan ini dapat dilihat apabila mereka mengkafirkan hakim Muslim, semata-mata kerana hakim terbabit mengadili satu kes dengan undang-undang buatan manusia. Lalu mereka menyeru rakyat menentang kehakiman itu dengan cara menggulingkan dan melakukan pemberontakan bersenjata, melumpuhkan jentera kerajaan dan membunuh para tentera dan polis.
Sekiranya rakyat tidak menyahut seruan mereka maka individu terbabit dianggap kafir. Mereka kemudian menghalalkan darah, harta dan kehormatan rakyat terbabit seperti berlaku di Syria 20 tahun yang lalu. Ketika itu bas-bas awam diletupkan dan bahan-bahan letupan diletakkan di lapangan terbang dan jalan-jalan awam.
Kumpulan ini bergantung pada stategi yang digariskan dalam buku-buku yang tersebar dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Antara lain terkandung unsur-unsur mengkafirkan masyarakat Muslim. Lantaran itu pemberontakan wajib dilakukan terhadap kepimpinan yang ada demi untuk mengubah masyarakat jahiliah dan menegakkan masyarakat Muslim.
Di sini disebutkan beberapa ungkapan yang terdapat dalam buku- buku ini yang dianggap oleh puak ekstremis sebagai perlembagaan antaranya berbunyi : Zaman telah terbalik ke waktu di mana agama ini diturunkan kepada umat manusia dengan kalimah La ila ha illallah. Manusia kini telah kembali menyembah manusia, menyimpang dari agama dan meninggalkan kalimah La ila ha illallah. Malah mereka berkata: Telah murtad umat manusia seluruhnya sehinggakan mereka yang menurutkan kalimah La ila ha illallah di tempat-tempat azan tanpa sebarang makna dan penghayatan juga telah kembali kepada penyembahan manusia.
Pemikiran ini sebagaimana yang dapat kita lihat jelas daripada ungkapan mereka mengkafirkan masyarakat secara total. Mereka menganggap bahawa kita semua masih berada pada zaman jahiliah iaitu sebelum diutuskan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka juga mengkafirkan orang Islam semata-mata kerana seorang itu mengadili satu pekara dengan undang-undang buatan manusia. Mereka juga menganggap bahawa tindakan itu, hakim terbabit telah menyatakan penolakan terhadap sifat uluhiyah Allah S.W.T.
Tidaklah menjadi satu kesalahan atau melampaui batas sekirannya kita katakan bahawa pemikiran mengkafirkan hakim dan mahkum ini adalah satu ciri penyelewengan yang utama pada separuh terakhir abad ke-20. Ia telah meninggalkan tanda yang jelas dan kesan-kesan yang nyata dalam manhaj kebanyakan gerakan ekstremis di Negara Arab dan Islam.
Mereka yang menyokong golongan ekstremis atau pelampau ini mempunyai agenda yang tersembunyi iaitu mengaitkan semua aktiviti keganasan dan terorisme ini untuk mencapai tujuan mereka. Golongan ekstremis mempunyai pelbagai nama, dikuasai dan bernaung di bawah pelan dan perancangan yang diaturkan di peringkat antarabangsa yang berpusat di negara-negara maju. Mereka mengadakan persidangan dan membuat perancangan yang rapi, disamping mengumpul dana yang disumbangkan kepada mereka.
Dengan itu, perkembangan gerakan ekstremis adalah selaras dengan apa yang dirancang oleh musuh-musuh Islam, namun cara yang paling berbahaya ialah mengelirukan akidah umat Islam dengan menggunakan ulama palsu. Golongan berkenaan akan menipu dan merosakkan pegangan agama serta menyebarkan fahaman yang sesat menggunakan nama Islam.
Kewujudan golongan ini sesungguhnya satu fenoma politik dalaman yang berselindung di sebalik agama untuk mengkhianati negara sendiri dengan kejahatan mereka. Mereka ini sebenarnya adalah gerakan pengganas yang mempunyai motif sehingga ke peringkat kerajaan. Mereka digerakkan dan disokong oleh kuasa-kuasa asing. Justeru, segala aktiviti gerakan ini bersesuaian dengn kehendak kuasa asing yang berkeyakinan bahawa golongan akstremis dapat memainkan peranan mereka dan menggantikan penjajahan ketenteraan mereka ke atas negara- negara tersebut. Mereka akan dapat melemahkan kekuatan tentera, ekonomi dan kesatabilan negara itu.
Apabila golongan ekstremis ini dapat menyusup masuk hingga ke peringkat tertinggi dalam kerajaan, maka mereka akan membuka ruang untuk pencerobohan dan penjajahan semula. Jelas sekali, kuasa-kuasa asing ini sedia membantu golongan ini dan akan melindungi serta memberikan segala bentuk sumbangan memandangkan ia dapat memenuhi hasrat dan muslihat mereka untuk jangka masa panjang.
Oleh itu, sokongan negara asing kepada golongan ekstremis ini adalah satu konspirasi yang bertujuan untuk melemahkan negara-negara Arab dan negara Islam. Menggugat kesatabilan negara tersebut. Membantutkan pembangunan dan menghalang kemajuan serta melemahkan kekuatan negara tersebut.
Perang saudara antara pro-kerajaan dan golongan ekstremis sememangnya dirancang dan telah berlaku di beberapa buah negara. Negara asing tersebut akan menjadikan alasan untuk menghapuskan golongan ekstremis demi untuk mendapatkan sokongan untuk melaksanakan misi mereka menakluki sesebuah negara seperti kes Osama Bin laden yang terjadi di Afghanistan.
Perlu dijelaskan juga disini bahawa sokongan yang diberikan oleh negara luar kepada golongan ekstremis ini ada terkandung dalam agenda mereka untuk memerangi negara Arab dan Islam sebagai alternatif kepada penceroboh secara langsung. Mereka menjalankan misi secara berperingkat-peringkat dan kemudiannya menakluki sesebuah negara untuk menguasai tempat-tempat strategik bagi mengaut sumber kekayaan semula jadi yang terdapat di negara-negara Islam.
Media antarabangsa yang di monopoli oleh golongan Yahudi telah merancang begitu rapi dengan memberikan gambaran buruk dan tanggapan negatif ke atas orang-orang Islam dan Arab. Motif propaganda media tersebut sememangnya untuk mengaitkan setiap aktiviti keganasan dengan sikap dan sifat orang Arab dan Islam.
Jalan Penyelesaian
Ramai yang tertanya-tanya apakah jalan yang terbaik untuk menangani permasalahan ekstremis yang telah memburukkan nama agama Islam dan menyebarkan kebimbangan serta keganasan dan pertumbuhan darah di negara kita?
Jawapannya ialah, kita perlu menyedari bahawa golongan ekstremis ini berlindung di sebalik nama Islam. Mereka sentiasa mengemukakan idea yang jauh tersimpang daripada ajaran sebenar. Langkah utama untuk menghadapi golongan ini adalah dengan menyingkap penyamaran dan mendedahkan identiti sebenar mereka, serta membuktikan bahawa fahaman yang mereka dokongi adalah batil dan sesat.
Memerangi golongan pelampau ini adalah satu peperangan yang berbentuk ilmiah dan harus disertakan dengan langkah berjaga-jaga, iaitu menghalang mereka daripada menerajui jawatan yang membolehkan mereka bergerak bebas dan bercakap kononnya atas nama Islam. Mereka ini perlu dihalang daripada menaiki mimbar-mimbar yang disediakan untuk menyebar kebenaran Islam dan ajarannya yang jauh daripada unsur-unsur ekstremis.
Oleh yang demikian, jelaslah peranan yang perlu dimainkan oleh para ulama dan pendakwah. Mereka inilah yang menjadi barisan hadapan dan benteng pertahanan. Sekiranya mereka tumbang, maka jalan untuk golongan pelampau terbuka luas untuk mencapai matlamat mereka. Oleh itu, penguasaan ilmu pengetahuan sebagai persediaan pendakwah amat ditekankan di sini. Pendakwah harus dilengkapi dengan hujah-hujah yang bernas dan dokumen yang lengkap untuk menyatakan hakikat golongan pelampau kepada masyarakat umum.
Sebagai contoh, penerangan yang jelas perlu diberikan kepada pendakwah dan orang awam tentang tafsir sebenar ayat al-Quran ini yang bermaksud : Barangsiapa yang tidak menjalankan hukum yang telah diturunkan Allah, nescaya mereka adalah orang- orang kafir. (Surah al- Maidah 5:44)
Pentafsiran ini dibuat oleh ahli tafsir yang muktabar. Ahli Tafsir tersebut cenderung mentafsirkan ayat di atas dua pendapat. Pertamanya, pendapat Ibn Abbas (pakar tafsir al-Quran) yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak, dan dipersetujui oleh al- Zahabi, kemudian diriwayatkan pula oleh Imam Ahmad dalam kitab Akham an-Nisa, yang mengatakan bahawa kekafiran yang disebut dalam ayat ini bukanlah bermakna kekafiran yang mengeluarkan seseorang itu daripada akidah Islam, tetapi kekafiran di bawah kekafiran, bererti kufur kecil.
Sebagaimana perbuatan riyak, yang merupakan satu dosa, dikatogerikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai syirik kecil dalam sabda Baginda yang bermaksud: Jauhilah riyak, sesungguhnya riyak itu adalah syirik kecil dan ia bukanlah satu kekufuran yang menyebabkan seseorang itu keluar dari agama.
Begitu jugalah dengan perlaksanan undang-undang manusia. Ia bukanlah kekufuran yang mengeluarkan daripada Islam, kecuali dalam hal- hal yang jelas bercanggah dengan al-Quran, maka perlaksanaan adalah haram. Manakala pendapat kedua pula dalam mentafsirkan ayat ini adalah tafsir al-Bara bin Azib, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih beliau, bahawa ketiga-tiga ayat yang disebut dalam surah al-Maidah itu telah turunkan kepada golongan Yahudi. Mereka telah menokok tambah agama dan menuduh Rasulullah s.a.w. sebagai pembohong apabila baginda menerangkan bahawa disebut dalam kitab Taurat hukuman berzina bagi orang yang telah berkahwin ialah rejam sampai mati. Mereka berdegil dan mengatakan bahawa tiada hukuman rejam diturunkan dalam kitab Taurat dan menuduh Rasulullah s.a.w. sebagai pembohong. Ini adalah satu penolakan yang jelas terhadap hukum agama dan merupakan kekufuran nyata yang terkeluar daripada agama Islam.
Tidak dinafikan juga peranan pihak-pihak berkuasa tempatan dalam memerangi puak eksterims ini, iaitu dengan menghalang mereka daripada menguasai pemikiran orang ramai. Mereka tidak harus diberikan ruang untuk bersuara atas nama kebebasan. Ini kerana mereka akan mengancam kepentingan awam dan menggugat kestabilan ummah. Ini merupakan bahaya besar kerana aliran mereka sukar untuk disekat.
Golongan ekstremis ini bergerak mengikut perancangan yang teliti. Mereka mempunyai misi yang jelas serta dibiyai oleh kuasa luar demi untuk menggugat kestabilan dan keamanan di negara-negara Arabn dan Islam. Perancangan mereka juga bertujuan melekakan umat Islam dengan perbalahan dan pertelingkahan dalaman serta keganasan sehingga ruang terbuka luas kepada musuh Islam yang sentiasa menunggu masa dan peluang untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara serta memainkan peranannya mengikut muslihat mereka.
Justeru, peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk membanteras gejala ekstrem ini hanya tertumpu kepada pembanteras kelakuan jahat yang lahir daripada fahaman melampau ini tanpa menghapuskan punca-puncanya. Langkah yang diambil ini hanya memerangi tindak balas fizikal daripada pemikiran pelampau termasuk pembunuhan dan kemusnahan serta kegiatan keganasan lain yang membahayakan masyarakat dan bukannya membanteras aliran pemikiran itu sendiri.
Ini berlaku kerana bertanggungjawab memerangi golongan eksterims hanya dipikul oleh pihak berkuasa tempatan dan kadangkala ia mendorong puak pelampau untuk mengapi-apikan lagi pertelingkahan ini kepada generasi akan datang. Rasionalnya ialah apabila sesuatu pihak menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa, mereka akan bangkit dan bersedia untuk mengharungi perjuangan mereka untuk jangka masa panjang. Perjuangan mereka ini bertujuan melemahkan negara dengan sokongan pihak-pihak yang akan mendapat manfaat daripada kesan pertelingkahan ini. Mereka akan berjuang habis-habisan, memberontak dan membalas dendam. Oleh itu, mana- mana pertelingkahan yang berlaku di mana-mana negara dengan golongan pelampau ini tidak harus dihapuskan dengan kuasa senjata semata-mata. Sebagai contoh, menggunakan perkhidmatan polis semata-mata untuk menangani golongan ekstremis ini tidak memberi sebarang kesan, malah mereka mungkin akan meraih simpati daripada orang yang tidak faham dengan keadaan sebenar.
Oleh yang demikian, kita harus menyebarkan fahaman sebenar tentang Islam di kalangan orang awam dengan menggunakan semua saluran yang ada, termasuklah melalui televisyen, radio, masjid, forum dan sebagainya supaya masyarakat dapat melengkapkan diri dengan ilmu agama yang betul, seterusnya dapat membezakan antara kesederhanaan dengan ekstremisme.
Dengan itu, tugas dan tanggungjawab untuk memerangi fikrah ekstrem serta menyebarkan kefahaman tentang kesederhanan Islam di kalangan masyarakat merupakan antara langkah yang berkesan terutamanya jika dilakukan secara konsisten.
Walaupun terdapat pelbagai cara untuk memerangi eksterisme, usaha ini harus diiringi dengan menyampaikan penerangan secara berterusan dan berlipat ganda demi untuk menyedarkan orang awam tentang hakikat sebenar fahaman puak pelampau serta menjelaskan bahayanya terhadap umat Islam, di samping menyebarkan fahaman kesederhanaan, serta menekankan tentang kepentingan berpegang teguh kepada agama dan fahaman yang sederhana dan betul.
Kepentingan memerangi fahaman pelampau yang mula menyusur masuk ke rumah-rumah, institusi swasta dan juga awam. Demi untuk memastikan kejayaan usaha ini, maka kita harus mendedahkan dalang di sebalik golongan ekstremis ini dan mendedahkan fikrah melampau mereka yang hanya berasaskan kepada beberapa tafsir yang salah, disamping mengharamkan buku-buku hasil tulisan mereka daripada dijual dan digunakan di masjid, sekolah, universiti dan perpustakaan.
Dengan itu, maka strategi mendekati rakyat semasa berhadapan dengan puak ekstremis dapat membantu ke arah kemenangan. Ini kerana rakyat akan mengutuk segala aktiviti golongan pelampau dan akhirnya mereka akan dilabelkan sebagai puak yang tidak diterima oleh masyarakat. Justeru, harus ditonjolkan bahawa pertembungan yang berlaku adalah antara golongan pelampau dengan rakyat dan bukannya dengan sistem pemerintahan, memandangkan strategi mereka adalah untuk mengambil kesempatan atas apa sahaja bentuk perselisihan yang mungkin wujud antara rakyat dengan kerajaan. Dan apa yang menguntungkan adalah mereka ini tidak akan melibatkan rakyat dalam aktiviti keganasan mereka, sebaliknya rakyat dijadikan alat untuk mendapat sokongan dan memaksa kerajaan supaya menerima mereka untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan.
Kewujudan puak eksterims bukan berpunca daripada satu faktor, malah terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhinya. Antaranya faktor piskologi, sosial, sejarah dan juga politik. Adakalanya kesemua faktor ini bercampur-aduk dan melahirkan puak ekstremis. Maka tidak wajar jika fenomena ini ditangani dari satu sudut sahaja tanpa mengambil kira faktor penyumbang yang lain. Sebaliknya kita harus berani dan berhikmah dalam menangani isu ini dari pelbagai sudut, dengan berbekalkan keyakinan bahawa kejahilan, sikap ekstremis dan kebatilan hanya dapat kita hapuskan dengan ilmu, kesederhanaan dan kebenaran.
Akhir kata, alangkah bergunanya jika manusia kembali ke sumber asal agama Islam, dan berpegang teguh dengannya dengan tulus. Sesungguhnya ilmu agama yang betul dapat memelihara manusia daripada pelbagai ancaman ekstremisme. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Wahai manusia, belajarlah. Sesunguhnya ilmu itu akan diperoleh hanya dengan pembelajaran dan penguasaan ilmu itu diperolehi hanya dengan mendalaminya. (diriwayatkan oleh at-Tabarani dalam kitab al-Mujam al-Kabir dengan sanad Hasan)
Kita mahukan istiqamah dalam agama sebagai jalan penyelesaian kepada assabiyyah negatif atau sikap melampau yang makin berleluasa. Ia menyokong kezaliman dan bukannya menyekat kezaliman itu daripada berlaku. Sikap ekstremis ini makin mekar dengan unsur-unsur kebencian. Sikap negatif ini hanya dapat diperangi dengan beristiqamah dengan agama Islam yang suci dan kita pasti dapat menumpaskan musuh-musuh dan mengembalikan kesatuan ummah. Bersegeralah kembali ke jalan para anbiya. Di sana pasti kita akan menemui kebahagian dan keamanan.
