PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) bagi memartabat dan memperkasakan institusi mufti itu digubal secara teliti dan melalui proses sewajarnya selaras Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menafikan dakwaan kononnya RUU itu digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi pihak tertentu.
Beliau berkata, penggubalan RUU itu adalah usaha diambil kerajaan bagi memartabat dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah Persekutuan.
Katanya, melalui pemerkasaan itu, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.
"Suatu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) ditubuhkan pada 2021 bagi mengkaji dan menggubal suatu akta khusus untuk mufti.
"Jawatankuasa Penggubalan ini dianggotai wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na'im sebelum ini memaklumkan, RUU Mufti akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada mesyuarat Parlimen kali ini.
Sebelum ini RUU Mufti adalah antara empat RUU yang ditangguhkan daripada dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini.
Tiga RUU lain ialah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, RUU Mufti sudah melalui proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU komprehensif digubal serta teratur selaras Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha terbabit.
Sumber: bharian.com.my
