MENGEKALKAN AHLUS SUNNAH WALJAMAAH DI NUSANTARA

MENGEKALKAN AHLUS SUNNAH WALJAMAAH DI NUSANTARA

Kejayaan negara dalam bidang ekonomi dan kemampuan rakyat menikmati kestabilan politik yang membanggakan, malah kebolehan para pemimpin-pemimpin di bawah kerajaan perpaduan mengurus pentadbiran masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama merupakan kejayaan besar yang tidak boleh diremehkan. Kejayaan tersebut merupakan alat atau pemangkin bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna yang berhubung kait dengan mutu kehidupan dan nilai serta tamadun yang luhur seperti keadilan sosial, ketinggian budi pekerti dan akhlak, ketulusan tindakan dan amal serta nilai dan kualiti hidup yang tinggi. 

Justeru, bagi menjamin kejayaan ini, khususnya dalam bidang pembangunan agama, perlulah dipertahankan keamanan rantau ini dengan memelihara akidah Ahli Sunah Waljamaah yang berpegang pada mazhab Shafie. Seboleh-bolehnya kita jangan terperangkap dengan kumpulan yang mahu mencipta mazhab tersendiri. Inilah karakter dan jenis muka yang cuba menyerang ulama arus perdana kononnya ia berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Mereka cuba mempengaruhi masyarakat malah dalam masa yang sama cuba menjadi juara mengajak masyarakat awam menolak mazhab baik dalam ilmu aqidah, tauhid dan tasawwuf. Kumpulan ini telah dan sedang memperdaya atau menipu orang awam dari sudut ilmu Islam atau agama kononya umat tidak perlu ikut mazhab kerana ia bermaksud mengikut mazhab mengikut ulama dan bukan Al-Quran dan Sunnah.

Inilah antara kumpulan serpihan yang pada pendapat penulis dianggap pemecah belah masyarakat dan terlalu banyak dosa mereka terhadap ulama kerana membuat fitnah, adu domba, malah tidak segan silu menghina dan mencaci serta memberi gelaran-gelaran yang buruk terhadap ulama.

Pada ketika yang sama mereka sedang mengeksploitasi  keegoan intelektual  dalam mempengaruhi orang awam yang tidak memiliki kemahiran dalam ilmu Islam. Dengan cara inilah apa yang sedang dilakukan oleh mereka dengan menghasut orang awam kononya RUU Mufti W/P perlu ditolak atas alasan mazhab.

Dalam sepanjang sejarah perjalanan tradisi Islam tidak pernah aliran-aliran mazhab yang ada meninggalkan Al-Quran As-Sunnah. Malah ulama-ulama mazhab inilah yang membimbing umat (termasuk orang awam). Oleh hal yang demikian, tindakan tegas ke arah menghalang perkembangan yang lain mestilah diambil supaya pegangan Ahli Sunah Waljamaah itu tidak tergugat. Rantau nusantara yang stabil dengan fahaman Sunni atau Ahli Sunnah Waljamaah tidak sepatutnya dibiar menjadi sasaran resapan mana-mana mazhab yang memungkinkan kepada perseteruan atau permusuhan.

Salah satu aliran teologi (akidah) dalam Islam adalah Ahli Sunah Waljamaah. Sekitar 70 peratus umat Islam di dunia mengikuti faham ini. Ahli Sunah Waljamaah sering juga disebut aliran Sunni. Sesuai dengan namanya, Ahli Sunah Waljamaah merupakan aliran yang percaya sepenuhnya kepada sunnah atau hadis Nabi Muhammad s.a.w yang sahih.

Aliran ini juga merupakan golongan majoriti dalam Islam sesuai dengan sabda Nabi bermaksud umatku (majoritinya) sentiasa berada atas jalan kebenaran (agama yang benar), sehingga kiamat  tidak menjejaskan mereka oleh mereka yang menyalahi mereka sekali-kali (HR Muslim) sehingga dinamakan jamaah. Golongan Ahli Sunah Waljamaah berasal dari dua kelompok Islam, iaitu pengikut aliran Asy'ariah dan pengikut aliran Maturidiah. Kedua-dua aliran itu lahir sebagai reaksi terhadap fahaman Muktazilah yang rasional dan falsafah, terutama dalam menanggapi hadis Nabi s.a.w.

Tokoh yang berjasa membangun fahaman Ahli Sunah Waljamaah adalah Abu Hassan al-Asyaari dan Abu Mansur Muhammad al-Maturidi. Kedua-duanya berusaha menampung aspirasi umat Islam yang berpegang pada sunnah Nabi s.a.w. dan tradisi sahabat. Fahaman yang dikembangkan al-Asyaari (Asyaariah) menjadi pegangan para pengikut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hambali di Iraq. Pada waktu berikutnya, tokoh yang paling berjasa mengembangkan fahaman ini adalah Imam al-Ghazali. Berkat usaha beliaulah fahaman ini tersebar luas di seluruh dunia Islam.

Terdapat empat sumber hukum bagi kalangan Ahli Sunah Waljamaah iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak (kesepakatan para ulama terutama mengenai suatu pertimbangan hukum) dan Kias. Hal ini berbeza daripada kalangan Syiah yang menolak kias, dan kalangan Muktazillah yang tidak menggunakan ijmak. Adalah penting seluruh ulama di rantau nusantara melakukan ijmak, mengisytiharkan bahawa nusantara sebagai wilayah sunni. Amat ditakuti apabila sesuatu fahaman lain bertapak kukuh dan berpengaruh di kalangan rakyat, sudah tentu apa yang kita bina sejak beratus-ratus tahun di rantau ini akan musnah begitu sahaja.

Dalam konteks negara kita Malaysia, para ulama dan cendiakawan Islam telah pun menegaskan perlunya Islam sebagai agama rasmi negara yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunah Waljamaah. Fahaman Ahli Sunah Waljamaah merupakan pegangan majoriti umat Islam sepanjang zaman yang merangkumi aliran salaf dan khalaf. Ia bersendikan empat mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali. Dan kita yakin dari segi kesepaduan budaya `akliah' silam, melalui bahasa Melayu (jawi) yang merupakan lambang keutuhan jamaah nusantara dengan Islam adalah hasil perjuangan ulama pembela dan penegak konsep Ahli Sunnah Waljamaah.

Justeru, roh dan konsep Ahli Sunnah Waljamaah harus dipertegaskan kembali. Para ulama harus mendekati semula hikmah ini. Dan menjadikan ia tapak ke arah kegemilangan berilmu dan berbudaya. Kita harus menegaskan bahawa Ahli Sunnah Waljamaah bukan sekadar mazhab. Ia suatu konsep yang luas lagi murni dan berjaya menyerap hubungan persaudaraan dan kekuatan umat Islam.

Bayangkan sikap fanatik mazhab yang sanggup membatalkan sembahyang menyembah Allah al-Maliku al-Quddus kerana merasa lebih utama memerangi orang yang berlainan mazhab. Betapa perasaan Ubudiyyah dirosakkan oleh rasa sikap fanatik (merasa dirinya benar) dan menghukum orang lain yang berlainan fahaman dalam soal Fururiyyah sebagai sesat dan wajib dipatuhi telunjuknya.

Oleh demikian, adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan dan semua rakyat Malaysia untuk membanteras gejala kerosakan dan pencemaran akidah ini sebelum ia menular dan sebati dalam kehidupan kita. Sesungguhnya gejala ini amat berbahaya bagi umat Islam dan keselamatan negara. 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019365
Hari ini: 215
Minggu Ini: 1,960
Bulan Ini: 4,506
Tahun Ini: 19,365
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.