KEBAHAGIAAN YANG TERCICIR

KEBAHAGIAAN YANG TERCICIR

Ketika Nur Fazura Sharifuddin (Fazura)  memfailkan proses penceraian dengan Fattah Amin (12 September 2024) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, ramai netizen melahirkan komen ‘bodohnya Fatah’. Fattah dikatakan bodoh kerana bakal berpisah dengan seorang isteri yang cantik dan mempunyai perniagaan yang menghasilkan pendapatan yang besar.

Soal mereka,: Apa lagi yang dimahukan oleh Fattah?  Alangkah ruginya jika mereka berpisah kerana sebelum ini, beberapa kali muncul dakwaan rumah tangga bergolak, tetapi Fazura menafikannya.

Setelah reda seketika, masyarakat yang pernah menganggap Fattzura sebagai pasangan yang sama cantik (padan) sebagai pasangan sejoli yang cukup bahagia. Bahagia ditakrifkan sebagai sesuatu yang harmoni dalam kehidupan berumahtangga yang dibina sejak tahun 2017. Mereka saling jatuh cinta selepas digandingkan bersama drama bersiri Hero Seorang Cinderela.

Sebelum berkahwin, mereka mengerjakan umrah (15 hingga 23 November 2017). Empat hari selepas mengerjakan umrah,  pasangan itu bernikah pada 27 November 2017. Ia diadakan  secara tertutup di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Di awal pernikahan, muncul suatu ungkapan ‘orang bercinta’ yang selalu rindu-rinduan. Fazura berkata: “Pergi ke bilik air pun dah rindu” dan mengakui “Dia wanita yang paling bahagia sejak bersuamikan Fattah Amin”. (https://www.mediahiburan.my, 6 Disember 2017).

Itu dalam fasa bulan madu, yakni ketika usia perkahwinan mereka mencecah dua minggu. Rupa-rupanya, rindu-rinduan itu tidak kekal lama, rindu-rinduan bertukar menjadi benci dan rasa bosan. Ada sesuatu yang menyebabkan rasa itu muncul, antaranya realiti kehidupan berumahtangga adalah tidak sama dengan realiti semasa bercinta. Realiti berumahtangga, tidur sebantal dan berdampingan maka sedarlah bahawa pasangan berdengkur, atau perangai sebenar antara keduanya.

Setelah dihebohkan permohonan Fazura untuk bercerai, rasa rindu Fazura yang diungkapkan pada usia dua minggu perkahwinan kembali dijadikan bahan ejekan oleh netizen. Ertinya, kalau Fattah diserang dengan kerugian (atau bodoh) bakal ditinggalkan oleh seorang isteri yang cantik dan kaya, kali ini Fazura ikut terseret dengan ejekan, kalau ke tandas pun sangat rindu, bagaimana pula jika benar-benar bercerai? Tidak adakah rindu-rinduan lagi? Sudah hilangkah rasa rindu? Rindu sudah bertukar benci.

Memang benar, rindu sudah bertukar benci. Suami yang disayangi bertukar menjadi ‘musuh’ yang perlu dikeronyokkan habis-habisan kerana kata Fazura, Fattah tidak bersedia mempertahankan rumahtangga daripada berantakan. Sejak itu, netizen mula memberikan pandangan-pandangan yang menyebabkan Fazura semakin dilihat ‘cukup mendesak’ dan pihak yang sebenarnya mahu membubarkan perkahwinan.

Muncul pula keadaan, semakin ramai yang menyebelahi Fattah berbanding Fazura. Ertinya, jika dilihat daripada perspektif ini, Fattah semakin bersinar imejnya manakala Fazura semakin kusam dan berbayang hitam. Misalnya, seseorang yang bernama Fatin menulis: Dia lebih percaya kata-kata Fattah berbanding Fazura kerana Fattah memang tak pandai berlakon.

Sebelum Fattah bersedia melafazkan cerai (7 Oktober 2024), mereka berdua bersetuju untuk tidak saling mendedahkan aib masing-masing, demi sebuah citra yang baik, bukan mengeruhkan lagi keadaan. Mungkin antara mereka ada pertimbangan agar puteri tunggal Nur Fatima Aisyah, yang berusia empat tahun tidak dihujani pelbagai ‘sampah otak’ yang boleh menyebabkan anak itu membesar dalam kutukan sosial tanpa peduli rasa simpati dan empati.

Anak itu tidak bersalah, tetapi bakal membesar dengan suasana sejarah buruk keluarga sendiri. Ia membuatkan Puteri Balqis menulis surat terbuka (dalam instagram) buat Fatima: Tinggi pengorbanan ayah dan ibumu, dik. Biar ayahmu terpaksa menghilang seketika, namun rindu, tanggungjawabnya pada seorang anak, tidak sekali-kali diabai walau keadaan memaksa. Biar ibumu dihina, kasihnya padamu tiada tara. Keduanya punya cinta yang tinggu buatmu, dik.

Sambung Puteri Balqis: Masyarakat dan artis memekik, memerli sini sana ketika masih bernyawa. Mengambil tahu untuk beberapa hari Cuma. Bising seketika. Maka, biarkan dengan ilusi mereka.
“Bila kau membesar, aku pasti kau tidak akan menyalahkan sesiapa, seperti mana yang mereka gembar-gemburkan.
“Apa yang mereka harapkan padamu, sama seperti apa yang mereka harapkan akan berlaku pada aku, satu waktu dulu. Mereka mengharapkan aku membenci ibuku sehingga ada yang menulis, dia bakal bunuh ibunya sendiri. (https://ohmedia.my/trending/fazura-akhirnya-beri-respon-surat-terbuka-puteri-balqis-buat-fatima/)

Dalam coretan tersebut, Puteri Balqis pelakon yang  kini berusia 17 tahun menasihatkan Fatima: Masa akan tiba untuk kau lebih bijak berfikir, dalam membuat keputusan. Dengarlah luahan mereka, jadilah pengubat derita mereka. Aku pasti tiada ego di hati mereka untuk memohon maaf padamu, kerana kau permata, yang dikasihi, dijaga dengan cukup sempurna.

“Terlalu jauh jika ingin dibandingkan derita kehidupan ‘broken chlid’ yang sebenar. Anak-anak sepertim masih beruntung berbanding anak-anak seperti kami. Maka bergembiralah wahai anak kecil. Jangan kau bersedih dengan pandangan manusia lain. Kau berhak bahagia.

“Kau menderita kerana cinta. Maka belajarlah dari pengalaman insan yang benar-benar mengasihanimu, bukan dari musuh dalam selimut yang Cuma ada di waktu kau punya segalanya.” (https://lobakmerah.com/buat-adikku-fatima-puteri-balqis-tulis-puisi-broken-child-ini-respon-fazura-2/)

Balqis membesar dalam situasi ‘broken home’ apabila ibu bapanya bercerai. Balqis yang merupakan anak perempuan tunggal, setelah orang tuanya bercerai, tinggal berdua dengan ibunya, Norashikin Mohd Aziz. Mei 2018, Balqis disahkan mengidap masalah jantung, dan pada Julai 2018, disahkan pula mengalami kanser. Kisah hidupnya dicoretkan dalam 38 Poems of Puteri Balqis.

Dalam sebuah wawancara  pada bulan September 2022, Balqis mendedahkan dirinya menjadi mangsa serangan seksual oleh bapanya ketika berusia lima tahun. Selain diajak menonton ponografi, bahagian sulitnya diraba dan menjejakinya ke bilik air Bapanya, Azizi Aziz sering melakuk onani walaupun di hadapan ahli keluarga. Mungkin itulah punca ‘broken home’ yang menyebabkan Puteri Balqis membesar bersama ibunya, yang juga menjadi sindiran “Mereka mengharapkan aku membenci ibuku sehingga ada yang menulis, dia bakal bunuh ibunya sendiri.”  
Di awal kontroversi itu, Fattah cuba untuk mempertahan rumah tangga mereka, tetapi tidak berjaya kerana Fazura tidak bersedia ke arah itu. Menutup pintu setiap kali Fattah muncul di kediaman bersama, selain tidak menjawab panggilan dan membalas WhatsApp. Tetapi, Fazura pula memberikan komen, Fattah sebenarnya tidak bersedia untuk menyelamatkan rumah tangga. Mana satu yang betul masih menjadi tanda tanya. Tetapi, tanda tanya itu sudah dilupakan oleh netizen kerana Fattzura sudah berantakan, masing kembali ke diri asalnya, Fattah Amin kembali membujang (duda) manakala Fazura secara sahnya menjadi janda. Namun, antara mereka saling ‘bersahabat’ kerana mereka masih ada ikatan bersama, iaitu Fatima.

Selepas Fattah melafazkan cerai talak satu, Fazura memberikan komen sebab-sebab penceraian berlaku biarpun telah berjanji tidak akan mengaibkan sesama mereka. Situasinya menjadi semakin berkabut. Ia dikabutkan oleh pendirian Fazura yang tidak mematuhi persetujuan sebelum Fattah benar-benar melafazkan cerai, dengan mendedahkan sekurang-kurang lima sebab menuntut cerai, yang ternyata tidak mampu mententeramkan keadaan, sebaliknya lebih mengharukan lagi emosi.

Lima sebab itu ialah (1) Fattah berlaku curang dan tidak pernah berubah; (2) Fattah tiada inisiatif mahu pujuk dan baiki hubungan rumah tangga; (3) Mengabaikan nafkah terhadap Fazura dan Fatima; (4)  Hadiahkan Fattah kereta Range Rover; dan (5) Keadaan terkini Fatima. Kesemua dakwaan itu telah berjaya disangkal oleh Fattah, termasuk dakwaan tidak memberikan nafkah, duit raya, berlaku curang, enggan memujuk bila rumah tangga bermasalah dan hadiah sebuah kereta. (mStar Online, 7 Oktober 2024).

Kata Fattah, kereta yang dikatakan sebagai hadiah itu sebenarnya bukan hadiah, ia dipotong daripada gaji yang diterima setiap bulan dalam syarikat (milik Fazura), di mana Fattah turut bekerja. Mengenai nafkah, Fattah memberitahu, tidak betul beliau tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut, sebaliknya mungkin pemberian itu tidak mencukupi. Ia mungkin kerana Fazura terlalu ‘high taste’ dan ingin hidup dalam kemewahan. Angpau hari raya, Fazura sebenarnya terperangkap kerana tular klip video yang menunjukkan Fattah pernah menghulurkannya.

Berkenaan Fattah tidak berusaha ‘memujuk’ dan ‘memperbaiki’ kemelut rumah tangga, Fattah mengakui bukan tidak ada, tetapi Fazura tidak ‘membuka pintu rundingan’ apabila dihalang memasuki rumah, tidak menjawab WhatApp dan panggilan telefon, dan sebagainya. Perihal Fatima, Fattah menjawab: Kesal dengan situasi sekarang di mana Fatima tak sepatutnya hadapi perkara begini pada usianya empat tahun. Dia terpaksa menerima situasi ini, saya kesal dan kasihankan dia, cakap fasal anal saya memang sedih. Boleh tengok sendiri dia rapat dengan siapa?

Memang kita tahu, apabila berlakunya penceraian, anaklah yang menjadi mangsa yang cukup parah dari segi emosinya. Namun, secara jelasnya, perceraian berlaku kerana kesilapan pasangan, yang tidak sepatutnya menambahkan beban kepada anak, terutama pada peringkat yang cukup memerlukan perhatian ibu bapa. Apa pun, kerana penceraian sudah pun berlaku, walaupun masih ada peluang untuk kembali bersama, dalam tempoh tersebut si anak boleh jadi jatuh sakit ‘rindu’ apabila salah seorang tidak ada di sisi.

Fatima perlu berhadapan dengan situasi tersebut, dan ketika ini, Fazura perlu kuat untuk bermuhasabah diri dan mendidik anaknya agar tidak dilanda demam rindu yang keterlaluan. Itu adalah pilihan Fazura sendiri, kerana tidak mengizinkan Fattah untuk memperbaikinya setelah dicuba berkali-kali dan enggan bercakap untuk menyelesaikan kemelut setelah memfailkan penceraian. Netizen dapat membaca komen-komen awal Fattah, yang di antaranya cukup membuktikan bahawa beliau masih sayangkan Fazura, dan tidak ingin bercerai.

Kesemua komen, jawapan dan dakwaan berlegar di dalam media sosial sehingga ramai juga tampil memberikan nasihat, pandangan dan tidak kurang yang mula menyalahkan sikap Fazura. Pada suatu ketika, Rosyam Nor memberikan pandangan kepada pasangan yang mempunyai isteri yang berpendapatan besar (lebih kaya) daripada suami sebagai sesuatu yang ‘bahaya’, dan dalam kalangan selebriti lain cuba menggambarkan apa yang mereka tahu dan pernah tahu mengenai Fazura. Dalam media sosial secara tidak langsung seakan-akan muncul kelab penyokong Fattah Amin.

Secara umumnya, persepsi netizen cukup mengecewakan Fazura, dan ada yang memberikan pandangan, suka berparti, ego dan kadangkala tidak menghormati suami yang pernah dirinduinya tatkala ‘berpisah’ untuk hanya ke bilik air. Dalam hal ini, ketika ini, imej Fattah lebih baik dan boleh diterima oleh netizen sehingga mereka menyokong penceraian tersebut sebagai tindakan terbaik buat Fattah dan mengharapkan  semoga Fattah akan menemui kebahagiaan sejati. Ada juga yang mengharapkan, demi Fatima, Fattah dan Fazura kembali bertaut sebagai pasangan bahagia.

Banyak juga nasihat, dan kata-kata semangat diberikan oleh netizen kepada Fattah. Menariknya lagi apabila ada yang memuatnaikkan pelbagai kutipan dan ungkapan motivasi, termasuk ungkapan: Jika anda ingin berkahwin, kahwinilah seseorang yang boleh membuatkan  rumah tangga anda indah, bukan berkahwin kerana seseorang itu cantik. Atau dalam bahasa Inggeris: Don’t choose to love most beautiful person in the world. Choose to love the one who makes your world beautiful.

Dalam Islam juga ada peringatan, harta, kecantikan, keturunan bukanlah menjamin kebahagiaan rumahtangga. Kebahagiaan rumahtangga terjamin kerana adanya keindahan dalam beragama, kerana perkahwinan itu adalah ibadah, bukan pilihan untuk mencari keseronokan dan mendapatkan kesempurnaan. Kesempurnaan itu hadir melalui pengorbanan, tanggungjawab, empati dan persefahaman terhadap makna ibadah’ Saling memenuhi tanggungjawab dan memahami diri sendiri di atas kekurangan atau kelebihan untuk berkongi dengan kelebihan dan kekurangan pasangan. Ada give and take: memberi dan menerima. Dan tentunya, yang paling mustahak ialah syukur dan sabar.

Dalam novel Tenggelamnya Kapal Van der Vicks, Hamka menyusun pengajaran moral melalui apa yang dilafazkan oleh Zainudin. Zainudin mengungkapkan seorang perempuan itu: "Demikianlah perempuan ia hanya ingat kekejaman orang lain pada dirinya walaupun kecil. Dan, dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walaupun begitu besarnya."

Secara psikologinya, perempuan mempunyai memori yang sangat hebat berbanding lelaki (John Medina, Brain Rules, 2008). Atas sebab itulah bila berlaku konflik perhubungan, perempuan akan ungkitkan apa sahaja bagi menunjukkan dirinya tidak bersalah dan berlakon sebagai mangsa kekejaman (play victim), termasuk dalam rumahtangga. Hal ini berlaku kerana pada anggapan umum bahawa ‘wanita lemah lembut’ kerana mereka dijadikan ‘daripada tulang yang bengkok’ dan seorang suami diharapkan dapat mendidik seorang isteri. Realitinya, oleh kerana berlakunya perbezaan psikologi dan pengaruh tertentu, wanita kadangkala bukanlah ‘mangsa keganasan rumah tangga’; semakin membarah sebagai ‘pemangsa rumah tangga’.

Tidak bermakna semua wanita menjadi semakin celaru dengan fitrah dirinya. Sebahagiannya sahaja menjadi sangat ego dengan pencapaian diri, walhal secara tidak langsungnya, pencapaian itu turut melibatkan peranan seorang suami secara langsung atau tidak langsung.

Kalau dahulu kita diberikan peringatan, kejayaan seseorang lelaki kerana di belakangnya ada seorang wanita, ibu atau isteri. Tetapi kini, tidak semua kejayaan seorang wanita merupakan kejayaan peribadinya, tentu ada dorongan dan sokongan daripada seorang lelaki. Itu sebabnya, lelaki dan perempuan merupakan ‘gandingan’ yang boleh menzahirkan sebuah momentum yang cukup kuat dan mempengaruhi sesuatu pekerjaan atau bidang kerjaya.

Atas dasar itulah, setelah berlaku penceraian, semuanya dipersalahkan bekas suami sehingga muncul persepsi awam, isteri tidak salah, isteri semuanya betul dan semua masalah adalah berpunca daripada suami, yakni lelaki tanpa sedikitpun ada kesalahan di pihak isteri. Itulah yang digambarkan oleh bekas isteri terhadap bekas suaminya yang berlegar dalam media sosial: abaikan tanggungjawab, berlaku curang dan isteri telah berkorban segala-galanya (tempat tinggal, perbelanjaan rumah, kenderaan dan sebagainya). Apakah logiknya huraian begitu? Apakah mereka lupa, Allah SWT akan membuka pintu rezeki melalui perkahwinan? Tetapi ‘pintu rezeki’ itu mestilah hadir dalam suasana syukur dan berusaha dengan gigih, dalam proses yang tidak melanggar hukum, etika dan nilai-nilai moral.

Kita lihat pada sejarah, daripada teladan Khadijah Khuwailid berkorban segalanya untuk suaminya, Nabi Muhammad SAW tanpa ada sifat ungkit mengungkit sehingga rumah tangga mereka cukup bahagia. Khadijah, seorang hartawan berkahwin dengan seorang pemuda yang miskin, mengorbankan kedudukan dan harta hanya kerana ketulusan hati dan kejujuran suaminya dalam melaksanakan dakwah.

Kita juga tahu sejarah kisah Umar bin Abdul Aziz, seorang hartawan sebelum dilantik sebagai Khalifah Umayyah ke-8. Semasa menjadi khalifah, seluruh hartanya dimasukkan ke dalam Baitul Mal, dan hanya sedikit sahaja disisakan untuk kegunaan peribadi. Bahkan, pada suatu hari, Umar bertanya kepada isterinya, Fatimah binti Abdul Malik, yang juga seorang puteri Khalifah Abdul Malik bin Marwan, yang menjadi tunjang Dinasti Umayyah (keturunan Marwan) pada period kedua selepas jurai keturunan Muawiyah secara langsung berakhir setelah kematian Yazid bin Muawiyah.

Pada suatu hari, Fatimah berkata, Umar bernostalgia tentang zaman kemewahan mereka di Dabiq "Demi Allah, saat aku lebih tidak suka pada kemewahan daripada kamu. Kini, engkau pula lebih tidak suka kepada kemewahan daripadaku. Dan, suatu hari Umar menemui Fatimah dan berkata: "Wahai Fatimah! Adakah engkau mempunyai duit untuk membeli anggur? Bila dijawab tidak, Umar bertanya lagi: "Apakah engkau mempunyai sebarang mata wang lain yang boleh digunakan untuk membeli anggur?

Fatimah berkata: Engkau seoang amirul mukminin. Apakah munasabah orang seperti engkau tidak mempunyai apa-apa untuk membeli anggur? Umar lantas berkata: Keadaan (tiada wang) ini lebih memudahkan kita untuk melepaskan diri daripada segala jenis yang terdapat di dalam neraka Jahanam. Memang di akhirat nanti, kita akan ditanya dari mana punca kekayaan kita, dan ke mana kekayaan  itu dibelanjakan. Semuanya ini melambatkan proses penghisaban amalan kita, apalagi jika terdapat kecurangan dalam kegiatan ekonomi kita." (KH Firdaus AN, Khalifah Umar bin Abdul Aziz, 2001;  Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari, Khalifah Zuhud Umar bin Abdul Aziz, 2002; dan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Umar Abdul Aziz, 2014).

Pada suatu ketika menjelang Aidil Fitri, Umar melihat anaknya keluar rumah dengan pakaian yang amat sederhana, bahkan koyak walaupun bersih. Manakala anak-anak orang lain, pakaian mereka serba baharu, Umar menitis air mata. Namun, setiap isi keluarganya telah ditanam dengan pakaian taqwa, tiada ahli keluarganya memberontak dengan apa yang mereka pakai berbanding anak-anak orang lain. Bahkan, pada suatu ketika, Umar agak lambat menuju ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Jumaat kerana menunggu pakaiannya kering.

Beliau hanya mempunyai sehelai pakaian dan ketika meninggal, Umar dikafankan dengan sehelai pakaian yang dimilikinya itu walaupun dalam keadaan compang-camping. Beliau tidak meninggalkan banyak harta, walhal kalau diikutkan fragmen hidup seorang pemimpin di zaman kini, penuh dengan kemewahan. Tetapi, ia tidak bagi Umar Abdul Aziz, bahkan isterinya sanggup hidup dalam keadaan paling sederhana, walhal sebelumnya mereka cukup berharta dan hidup dalam suasana mewah. Fatimah tidak mengungkit-ungkit, malah sanggup hidup dalam semangat zuhud dan penuh taqwa.

Itulah makna sebuah kehidupan yang sangat didambakan oleh Islam, tidak terpesona dengan dunia yang menipu; kerana terpesona dengan dunia yang menipu itulah muncul konflik dalam kehidupan, termasuk kehidupan rumahtangga.

Kata orang, kebahagiaan itu apa yang kita rasa setelah kita memberi, bukan apa yang kita rasa dengan apa yang kita terima. Seorang ibu akan merasa bahagia bila anak-anaknya membesar dengan sihat, dan akhirnya menjadi 'orang yang berguna' dan hatinya sentiasa ingat.

Seorang ibu yang bahagia, tidak akan mengukur apa yang anak-anak berikan dalam bentuk material setiap bulan, tetapi apa yang diberikan perhatian oleh anak-anak, di setiap hujung minggu atau cuti, datang bertandang sehingga suasana rumah menjadi meriah dan penuh aksi cucu-cucu. Keletah mereka cukup menggembirakan, dan setelah mereka pulang, seorang nenek akan terkenangkan aksi-aksi itu sehingga ingatan itu menjadi sebahagian penawar sepi bersendirian.

Dalam media sosial, kerana hebohnya kisah kontroversi penceraian selebriti, kita temui infografik yang cukup mengingatkan kita bahawa hidup ini bukan untuk mencari kekayaan. Tetapi, kebahagiaan dalam hidup hadir dalam perspektif saling memahami dan penuh kejujuran, dan didaki bersama dengan penuh kesabaran, disaluti dengan iman dan disertai dengan doa yang tulus ikhlas. Saya ambil infografik itu sebagai peledak motivasi:

Harta terbaik ialah kejujuran. Senjata terkuat ialah kesabaran. Kekayaan terbesar ialah iman. Komunikasi paling berkesan ialah doa. Kebahagiaan paling besar ialah keberkatan.

Akibat tiada keberkatan itulah maka kebahagiaan semakin tercicir. Ia tercicir kerana tiada keikhlasan dan setiap pengorbanan diminta balasannya. Setiap proses perlu diikuti dengan imbalan dan konsekuensinya, sehingga hidup ini dilihat ada sebab-akibatnya, bukan suatu proses mencari redha-Nya.

Sebabnya, ada peringatan yang menarik untuk setiap daripada kita bahawa: Real growth is when you start checking and correcting yourself instead of balimh others. You take your power back by being responsible for your life.

Dan dalam Islam, kita diperingatkan: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanyai (dipertanggungjawabkan) tentang rakyat yang dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanyai tentang rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya, Seorang perempuan adalah pemimpin bagi keluarga suaminya dan akan ditanyai tentang mereka. Seorang hamba sahay (pembantu) akan ditanyai tentang harta majikannya. Dan setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanyai tentang kepimpinannya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud dan al-Tarmidhi).

Oleh itu, jangan kerana dibingkaikan oleh ego, pesona dunia maka kita lupa diri dan sedang meminggirkan kebahagiaan yang kita idam-idamkan, kerana kebahagiaan itu tidak akan hadir sebagai sesuatu yang konkrit jika dalam fikiran sentiasa berlegar dalam khayalan dan petua yang sangat abstrak. Kebahagiaan itu adalah apa yang kita rasai, atas apa yang kita lakukan, termasuk sikap kita terhadap orang lain, alam dan kehidupan denga rasa senang, tenang dan lapang daripada pelbagai kekusutan.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049187
Hari ini: 109
Minggu Ini: 617
Bulan Ini: 4,649
Tahun Ini: 49,187
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.