ANWAR PETIK UNGKAPAN AHLI FALSAFAH DARI SELURUH DUNIA

ANWAR PETIK UNGKAPAN AHLI FALSAFAH DARI SELURUH DUNIA

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2025, memetik ungkapan daripada beberapa ahli falsafah Greek, China dan India, sama seperti ucapan belanjawan sebelum ini.

Bermula dengan ulama tafsir Imam al-Baydawi dalam kitabnya yang tersohor Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil (Cahaya wahyu dan rahsia tafsir) , Anwar berkata sunnatullah alam harus digarap tatkala kitaran hujan dari langit menjadi prasyarat penting yang menyuburkan tanaman dan memberikan banyak manfaat kepada manusia. 

"Semuanya diciptakan Allah SWT agar manusia memerhati, merenung, mempelajari, mengolah dan menguruskannya dengan penuh amanah. 

“Tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan usaha terancang, kita tidak akan mampu meraih manfaat daripada bumi bertuah ini,” katanya.

Anwar juga mengungkap kata-kata ahli falsafah Yunani Kuno, Aristoteles daripada Etika Nicomachus buku IV yang menyentuh tentang ilmu kebaikan untuk kehidupan manusia, iaitu matlamat atau penghujung yang menjadi sasaran tindakan manusia.

Dia memetik Aristoteles sebagai menyebut, "Keutamaan kekayaan bukanlah memilikinya tetapi menggunakannya dengan betul."

Anwar dalam ucapan pembentangan itu mengungkap petikan daripada Konfucius dalam The Analects yang berkisar tentang etik, moral, politik selain memberi tumpuan tentang pentingnya kebajikan peribadi dan tadbir urus.

"Seperti yang diungkapkan dengan bijaksana oleh Konfucius dalam The Analectsguò ér bù gǎi, shì wèiguò yǐ, (maksudnya) jika berlaku kesilapan, dan kita tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar. 

"Kesilapan fatal inilah—menurut Konfucius—yang telah menjerumuskan kita ke perangkap putaran ganas yī cuò zài cuò iaitu mengulangi kegagalan yang sama berulang kali," katanya.

Justeru, tambahnya bahawa kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani.

Bagaimanapun, Anwar mengundang gelak tawa ahli Dewan Rakyat susulan cuba membaca (buku klasik) Thirukkural dalam bahasa Tamil.

"Ini Thirukkural dalam bahasa Tamil. Saya cari hilang (di skrin ucapan teks), saya dah hafal tadi. Saya latih dua jam tadi. Kena izin saya baca bahasa lain," katanya dia tidak dapat mencari dalam skrin ucapan teks.

Namun, dia menemui semula Thirukkural itu dan membaca dalam bahasa Tamil, Urupasiyum Oova piniyum serupagaiyum, seraa thiyalvadu naadu, sambil ahli parlimen menepuk meja sebagai tanda menyokong perdana menteri.

Thirukkural itu menyentuh tanggungjawab pemimpin dan kerajaan yang membawa maksud: 

“Adalah untuk membangun sebuah negara yang bukan sahaja komited mengangkat martabat kehidupan rakyat yang miskin dan daif, bahkan untuk membasmi wabak penyakit dan musuh yang membinasakan.”

Anwar juga turut memetik puisi nukilan A Samad Said berjudul Langkah Lestari selain beberapa bait sajak berjudul Anak Muda oleh penyair Indonesia, WS Rendra.

Belanjawan 2025 Malaysia, juga dikenali sebagai Bajet Madani 2025, bertemakan “Membugar ekonomi, Menjana perubahan dan Mensejahtera rakyat”.

Sumber: malaysiakini.com

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019367
Hari ini: 217
Minggu Ini: 1,962
Bulan Ini: 4,508
Tahun Ini: 19,367
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.