TAMADUN BARAT TIDAK SESUAI DENGAN KITA

TAMADUN BARAT TIDAK SESUAI DENGAN KITA

SESIAPA pun tidak menafikan bahawa tamadun yang menguasai dunia pada hari ini ialah tamadun Barat. Namun pada hakikatnya bukanlah tamadun Barat itu lebih unggul daripada tamadun Islam sepertimana anggapan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi. Kenyataan beliau jelas menggambarkan `kejahilan'nya tentang hakikat sebenar sejarah perkembangan tamadun itu sendiri.

Kenyataan itu juga menyerlahkan keperibadian Berlusconi yang tidak tahu bahawa individu yang gemar berkata-kata dengan niat menafi dan merendahkan kedudukan orang lain, sebenarnya adalah individu yang `sakit' dan memerlukan rawatan. Ini kerana beliau tergolong dalam golongan yang menghadapi masalah kurang keyakinan pada diri sendiri sehingga memaksa beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian bagi mengabui mata orang lain terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya.

Inilah antara ciri-ciri dan sifat pendukung tamadun Barat yang merasakan dirinya lebih tinggi daripada bangsa lain. Kononnya mereka telah diciptakan untuk memimpin, memerintah dan menguasai sesiapa sahaja. Manakala bangsa lain diciptakan untuk mengabdi diri dan tunduk kepada mereka.

Orang Eropah berkeyakinan bahawa benua itu adalah pusat dunia. Sejarah manusia bermula daripadanya dan akan kembali kepadanya. Sejarah tamadun kuno, abad pertengahan dan moden adalah sejarah Eropah sahaja dan tamadun yang sebenarnya adalah hanya tamadun daripada mereka sahaja.

Sebenarnya kita tidak pernah mengingkari atau menafikan kecemerlangan tamadun Barat yang mempunyai kesan positif dan hasil yang baik bagi kehidupan manusia. Ini dirasai oleh setiap manusia dalam dirinya dan di persekitarannya. Tamadun ini telah mampu menerokai ilmu-ilmu seperti matematik, fizik dan seterusnya penerapan teknologinya yang memberi kepada manusia kemampuan dan kekuatan menghayati kehidupan duniawi. Namun di sebalik keunggulan tamadun ciptaan Barat itu terdapat lebih banyak kesan keburukkan yang ditimbulkannya seperti keruntuhan akhlak, kemusnahan institusi keluarga, kegelisahan jiwa manusia dan kecelaruan akal sehingga membawa kesengsaraan hidup manusia.

Kalau kita menyingkap kembali sejarah kecemerlangan tamadun Islam Andalusia Sepanyol, bagaimana Raja Inggeris King George II pernah mengutus surat kepada Khalifah Hisham III (Kerajaan Umayyah Sepanyol), antara lain maksud surat itu memberitahu tentang keinginan bangsa Eropah yang di kelilingi kebodohan waktu itu untuk menimba ilmu di Andalusia. Inilah hadiah peradaban yang paling besar Islam kepada Barat yang kini dinafikan oleh mereka. Mereka bangkit di atas pundak kemajuan ilmu pengetahuan kaum Muslimin.

Tidak keterlaluan juga, jika dikatakan bahawa orang Barat sebenarnya `mudah lupa'. Mereka `lupa' dan mungkin juga `buat-buat lupa' bahawa kemajuan dan kecemerlangan yang dicapai oleh mereka adalah hasil sumbangan tamadun Islam yang terlebih dahulu mempelopori ilmu-ilmu moden yang ada pada hari ini.

Maka dalam hal ini, Barat seharusnya berterima kasih dan bersikap benar serta adil kerana pendapat yang lebih ekstrem pernah meletakkan bahawa peradaban Barat moden itulah seperti Dajal yang ditunggu-tunggu.

Siapa boleh menyelamatkan umat manusia moden yang sedang mengalami kecemasan dan kegelisahan di bawah dominan tamadun Barat moden yang berkuasa sekarang. Agama Kristian jauh sama sekali, apatah lagi untuk membina manusia yang dicitakan oleh tamadun manusia. Demikian juga agama Yahudi, lebih tidak mampu.

Umat manusia memerlukan tamadun baru yang memberikan ia agama, tetapi ia tidak kehilangan ilmu pengetahuan yang dapat memberikan keimanan tetapi tidak melenyapkan akal, yang memberi roh (jiwa) tetapi tidak menghalang material, yang memberi akhirat tetapi tidak menghalang ia dari dunia. Tamadun sedemikian ini hanya pada tamadun Islam.

Peradaban Barat sebenarnya muncul dalam suatu bangsa yang tidak memiliki sumber air jernih dan tidak mempunyai mata air sejuk untuk menghayati hikmah llahi. Orang Barat sendiri kini mula menyedari kesan-kesan buruk dan bahaya dari tamadunnya yang mengutamakan kebendaan semata-mata. Mereka cuba kembali semula kepada agama dan menatap masa depan dengan keyakinan agama. Namun hakikatnya mereka sebenarnya sudah terlambat.

Pada dasarnya tamadun Barat yang berlandaskan kebendaan, kepentingan diri dan hawa nafsu sebenarnya tidak mampu bertahan kerana mereka hanya bersandarkan kepada pemikiran manusia semata-mata. Mereka tidak dapat memberi apa-apa dan ada yang tidak dapat diterima langsung kerana perbezaan masyarakat, masa dan suasana.
Perkara ini senada dengan pandangan Alexis Carel iaitu tokoh ilmuan Barat, pemenang Hadiah Nobel dalam bidang sains dan juga penulis buku Manusia Makhluk Yang Misteri telah memberi kritikan ilmiah terhadap tamadun Barat berdasarkan kepada logik dan paradigma ilmu. Dalam buku tersebut beliau menyatakan:

``Tamadun Barat moden sedang menemukan dirinya pada posisi yang sulit kerana tamadun itu tidak sesuai dengan kita. Tamadun ini dibentuk tanpa mengenal tabiat kita yang sebenarnya. Ini disebabkan ia dilahirkan daripada khayalan-khayalan penemuan ilmiah, hawa nafsu, imaginasi, teori-teori dan hasrat manusia. Meskipun ia diciptakan dengan jerih payah kita, namun ia tidak sesuai jika dilihat dari ukuran dan bentuk kita''.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016819
Hari ini: 254
Minggu Ini: 1,624
Bulan Ini: 1,960
Tahun Ini: 16,819
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.