SULUK Tok Selehor bukan bertujuan untuk menjauhi masyarakat, sebaliknya untuk mempersediakan diri untuk berhadapan dengan masyarakat yang penuh dengan pelbagai cabaran zahir dan batin. Oleh itu, sikap orang-orang sufi yang “alim amilin tidak menyalahgunakan motif mereka bersuluk, sehingga menjadi negatif, iaitu sehingga menolak segala kemudahan dan keperluan dunia dengan cara menyendiri daripada masyarakat, dan menghilangkan sifat prihatin terhadap masalah masyarakat dan dunia amnya berkaitan dengan maslalah khas atau umum.
Salah faham matlamat suluk diperbetulkan oleh Tok Selehor, yang mana hakikat kehidupannya, dalam masa beliau mengisi rutin suluk di tempat khas yang disediakan di bawah tanah dalam kawasan perkuburan, dalam masa yang sama beliau terjun dan aktif ke tengah masyarakat melakukan dakwah dan menyebarkan ilmu melalui kuliah pengajian yang disampaikan dalam pusat pengajian yang dibinanya sendiri (kepada anak murid dan mereka yang datang daripada beberapa pelusuk Negara) dan juga disampaikan di masjid dan surau dalam negeri Kelantan, yang mana beliau dijemput. Selain menyampaikan ilmu, Tok Selehor juga mengisi aktiviti lain bersama rakan-rakan dan penduduk kampungnya seperti memburu, menangkap ikan, bertani dan bermain seni silat pertahan diri, dan melakukan makrufat terhadap masyarakat dan golongan yang memerlukan.
Ini bukti, bahawa Tok Selehor bukan berada di dalam lubang kubur yang digalinya sahaja, ia cuma salah satu suatu tempat yang dijadikan untuk beribadah (caranya tersendiri), selain bentuk-bentuk ibadah lain. Tempat itu seperti lubang kubur yang mana saiznya hampir sama dengan kubur yang dibina untuk bersuluk dan beribadat (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Beliau memperuntukkan masa-masa tertentu sahaja, selaku seorang yang zuhud dan warak, atas tujuan mujahadatunnaf, kerana beliau bimbang hatinya menjadi angkuh dan riak jika tidak bawa mendekati Tuhan dan muhasabah diri, ketika beliau telah mula dimasyhurkan oleh masyarakat. Oleh itu, beliau membuat suatu lubang khas di antara perkuburan untuk dijadikan tempat SULUK beliau agar beliau sentiasa ingatkan mati, agar terbunuh segala nafsu mazmumahnya. Kerana dengan mengingati mati seseorang itu akan dianggap cerdik oleh Allah SWT, dan dengan sentiasa mengingati mati, selain menjadikan seseorang itu bertambah gigih dan progresif, akan membina diri menjadi jujur, amanah dan bertanggung jawab, kerana yakin apa yang dikerjakan semasa hidup di dunia, semuanya akan dihisab (dipersoalkan) oleh Allah di akhirat kelak setelah mati.
Sepanjang mendalami ilmu, khususnya ilmu tasawuf, beliau sedar bahawa dunia ini bukan tempat untuk kita menikmati sepuas-puasnya kehidupan ini. Dunia ini adalah tempat percaturan manusia untuk mencari bekalan selepas kematian.
Ramai tidak menghiraukan urusan mengingati kematian seolah-olah merasakan kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebajikan dan memperbaiki diri sebagai bekalan selepas hidup di dunai ini, yang mana di akhirat adalah dihidupkan semula untuk selama-lamanya. Tok Selehor tidak mahu beliau hanya mengajar orang lain mengingati mati, tanpa beliau sendiri mempraktikkan dan membuat sesuatu akan cara-cara mengingati mati dan menyediakan bekalan untuk mati.
Pesan Rasulullah SAW sentiasa diambil perhatian yang bermaksud: Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri. (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).
Daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda: Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya). [Berkata Abu Isa : Hadith ini hassan, sebagaimana riwayat at-Tirmizi, No. Hadith : 2459).]
Setiap orang yang beriman akan digelar seorang yang cerdik atau benar-benar berakal apabila sentiasa bermuhasabah dan menghitung dirinya. Atau dengan erti kata lain, orang yang sentiasa memikirkan keadaan dirinya selepas kematian, lalu dia beramal dengan sesuatu yang boleh memberi faedah kepadanya selepas kematiannya, dengan menggunakan kesempatan yang ada dengan melakukan amalan yang bermanfaat tanpa mensia-siakannya, dengan bersungguh-sungguh dan dengan niat yang aikhlas.
Tok Selehor sering mengulangi pesanan Saidina Umar bin al-Khattab RA: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan persiapkanlah diri kamu untuk hari perhitungan yang besar di hadapan Allah SWT Yang Maha Agung, kerana perhitungan seseorang kamu akan menjadi ringan di akhirat nanti bagi seseorang yang sentiasa menghisab dirinya ketika di dunia. Manakala seseorang itu dianggap seorang yang lemah keimanannya apabila sentiasa mengikuti hawa nafsu dan hanya mementingkan kehidupan dunia semata-mata serta melakukan dosa-dosa tanpa menghiraukan hari pembalasannya kelak. Mereka berangan-angan kepada Allah SWT dengan andaian Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dan akan mengampuni dosa-dosanya yang suka menangguh-nangguhkan istighfar dan taubat kepada Allah SWT.”
Rasulullah SAW bersabda lagi bermaksud: Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan digunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang, tetapi digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan. (Riwayat Ahmad).
Iman Al-Ghazali berkata; Dunia tempat bercucuk tanam untuk (persediaan) hari akhirat. Agama tidak sempurna tanpa dunia (sebagai) alat. Kepimpinan dan agama merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan. Agama adalah asas, pemimpin ialah sebagai penjaga. Setiap sesuatu yang tidak memilik asas akan runtuh, dan setiap sesuatu tanpa penjaga akan hilang.”
Sebada Nabi SAW; Jangan kamu meninggalkan dunia, kerana ia merupakan kenikmatan yang paling baik bagi orang beriman, dengan dunia sebagai alat mencapai kebaikan, dan dengannya dapat selamat daripada kejahatan (kefakiran dan meminta-minta) (Lihat: Musa Muhammad Ali, Hakikatul Tawassul Wal Wasilah Ala Dhuril Kitab Wa Sunnah Hakikat Tawassul dan Wasilah Menurut Al-Quran dan Al-Sunnah, halaman 33).
Sabda Nabi SAW; Akan dating suatu zaman yang mana manusia (ketika itu) berhajat pada pada dinar dan dirham (wang dan harta) untuk menguatkan urusan agama dan urusan dunia. (Riwayat Imam Tabrani).
Daripada hadis-hadis yang dipaparkan, rasanya selama 30 tahun Tok Selehor mengaji tentu sekali beliau temuinya dan pasti dengan penuh kesedaran, Tok Selehor berusaha untuk mempraktikkannya dalam mengisi usianya yang singkat (65 tahun) dengan melakukan amalan untuk dirinya dan untuk masyarakat. Semuanya menunjukkan Tok Selehor bukan seorang yang bersufi secara jumud, sebaliknya beliau sebagai seorang yang cerdik (kerana sentiasa mengingati mati) dan seorang yang sebaik-baik manusia (yang memberi manfaat) serta berfikiran dan beramal dengan amalan dinamik kepada agama dan masyarakat.
Inilah Kesan Positif Daripada Pendidikam Sufi Tok Selehor sepertimana yang dirumuskan dalam perbincangan para ulama dan ahli akedamik semasa seminar SULUK DAN PENGHAYATAN TASAWUF TOK SELEHOR @ SELEHONG Ke-3, yang diadakan di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober 2019.
Mereka yang terlibat dalam perbincangan itu ialah terdiri para ahli akedamik, para pakar dan ulama, antaranya Riduan Makhtar dari Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Pusat Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr. Khairatulakmar Abdul Latif, dari Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr. Norfazila Abdul Hamid dari Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, dan Abdul Ganing Laengkang, dari Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Dalam perbincangan khusus berkaitan SUFI TOK SELEHOR, tokoh-tokoh ilmu yang hadir dalam seminar itu merumuskan bahawa, Pendekatan yang digunakan oleh Tok Selehor, iaitu menguzlahkan diri daripada dunia luar melalui bersuluk telah memberikan kesan yang sangat baik (positif) kepada hati manusia. Hasil dapatan menunjukkan bahawa, suluk dan penghayatan tasawuf yang diamalkan oleh Tok Selehor sangat memberi kesan kepada pendidikan hati dan seterusnya telah menjadikan beliau seorang yang warak, alim dan terdidik hatinya dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT, selain beliau juga mendekati dirinya dengan masyarakat, seperti mana yang dianjurkan dan diperingatka noleh Allah dalam Al-Quran surah 3, Ali Imrah ayat 112; Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali (tidak dihina) jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu (ditimpa kehinaan, kerendahan, dan kemurkaan dari Allah), kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.”
Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa, penggunaan pendekatan yang digunakan oleh Tok Selehor iaitu menggunakan kaedah suluk bagi mentarbiah diri beliau terbukti sangat berkesan menjadi seorang yang dinamik dan berjaya. Ini dapat dilihat pada personaliti beliau yang sering mendekati masyarakat melakukan kerja-kerja dakwah dan makrufat. Amalan suluk yang dilakukan oleh beliau tidak menjadikan beliau pasif terahadap masyarakat dan alam sekeliling. Bahkan, seperti yang dipaparkan terdahulu kisah beliau mempunyai empat orang isteri, dan ini sudah menjadi kebiasaan bagi beliau, dan juga beliau mempunyai dua ekor kuda, dua laras senapang, sebuah perahu bidar untuk jadi pengangkutan jalan sungai Tumpat. Tok Selehor juga gemar memburu, memukat dan menjala ikan. Ini menunjukkan Tok Selehor tidak pisahkan dirinya dengan dunia, bahkan memiliknya serta diurus dengan baik mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya.
Seperti mana dipaparkan terdahulu juga, Tok Selehor selaku seorang ulama yang mempelajari dan mempunyai pelbagai kelebihan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Walaupun beliau cerderung menampilkan bidang ilmu yang paling diminati oleh beliau ialah bidang ilmu tasawuf atau kesufian, tetapi penampilan beliau di tengah masyarakat bukan sebagai seorang yang berpakaian compang-camping dengan rambut dan misai serta janggut yang tidak terurus. Sebaliknya, beliau kelihatan sebagai seorang yang bergaya (smart) ditambah dengan wajahnya yang handsome (tampan) serta susuk badan kelihatan gagah bak panglima. Lantaran itu, beliau diminati oleh ramai wanita sehingga dalam sejarah pernah berkahwin sebanyak 11 kali dan beristeri 4 dalam satu masa. Karektor beliau juga selari dengan watak Rasulallah SAW yang juga menjadikan wanita (beristeri ramai) salah satu kegemaran selain minyak wangi dan Solat sebagai penyejuk matanya. (Hadis riwayat Imam Ahmad). Bahkan, terdahulu telah dinukil hadis bahawa Rasulallah SAW pernah bersabda, sebaik-baik manusia (lelaki) ialah yang banyak isteri. Jadi, dalam hal ini, Tok Selehor tergolongan ke dalam sebaik-baik manusia (lelaki) kerana mempraktikkan apa yang di amal dan dianjurkan oleh Rasulallah SAW.
Selain itu, bidang ilmu tasawuf yang diminati, beliau tidak gunakan untuk seorang diri, sebaliknya dikongsikan ilmu itu kepada umum. Seperti mana yang kita tahu Kitab Hikam oleh Ibn Ataillah yang merupakan kitab amat sulit untuk difahami dangan gaya bahasa yang penuh dengan simbolik, tetapi Tok Selehor mengolahnya dengan gaya yang mudah difahami umum. Pendekatan yang digunakan oleh beliau mudah menyentuh hati para pendengarnya walaupun berulang-ulang kali mendengarnya. Keadaan ini turut diceritakan oleh Tuan Guru Hasan Ahmad, Kubang Batang (murid Tok Selehor), katanya; Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih mempesonakan lagi begitu berkesan yang dapat mengatasi kepandaian Tok Selehong.”