CABARAN DAN TANTANGAN RUU MUFTI WILAYAH

CABARAN DAN TANTANGAN RUU MUFTI WILAYAH

Ketika ditanya tentang polemik RUU Mufti Wilayah, Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa wujud pihak yang gagal membezakan antara pandangan ekstremis dan fahaman Islam yang bersifat lebih moderat. Menurut beliau, setiap kali sesuatu isu timbul berhubung dengan Islam, maka akan muncul kembali gejala Islamofobia.

Justeru perlu diterangkan tentang asas RUU Mufti Wilayah Persekutuan, bagi menjawab salah faham dan keraguan yang muncul.

Cabaran yang dihadapi dalam usaha meluluskan RUU Mufti Wilayah muncul dari pelbagai sudut. Pertama, adalah pihak yang membantah takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah diperincikan, merujuk kepada aqidah Asya’irah dan Maturidiyah, serta tasawuf menurut Imam Al Ghazali dan Imam Junaid Al Baghdadi. Bantahan ini dianggap berlebih-lebihan, kerana para pengkritik mengaitkan takrifan ini dengan peperangan saudara, sikap ekstremisme, sektarian, dan naratif-naratif tidak logik lain seperti ini.

Oleh kerana kritikan serta sifat mencabar yang ditunjuk oleh pihak yang membantah, pelbagai gerakan awam muncul sebagai tindak balas, dalam bentuk wacana, dialog dan sebagainya. Menteri Agama, Dato’ Dr Na’im Mokhtar, sendiri telah hadir di dalam sebuah wawancara disiarkan oleh TV Alhijrah, sebagai usaha untuk menjawab dan menerangkan tujuan sebenar RUU Mufti Wilayah. Usaha ini adalah untuk membetulkan permainan persepsi dan penyelewengan fakta oleh pihak yang mengkritik. “Ini adalah komitmen Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mengangkat martabat institusi kefatwaan dalam aspek perundangan, semoga usaha ini akan diberkati oleh ALLAH SWT,” ujar Menteri Agama.

Kemudian, Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah, telah tampil juga di sebuah program wawancara TV Alhijrah, untuk menjawab dakwaan sebahagian pihak bahawa RUU itu bersifat sektarian, serta akan memecahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Sementara itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sedang mengadakan beberapa sesi libat urus, bagi memberi penjelasan berkaitan RUU Mufti kepada beberapa kementerian dan pemegang taruh. Antaranya adalah sesi libat urus bersama Menteri Pendidikan, Jawatankuasa Biro Agama Pakatan Harapan dan ahli parlimen Parti Agama Islam Se-Malaysia.

Timbul juga dakwaan bahawa RUU digubal secara tergesa-gesa, dan bertujuan melangkaui kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Ini juga adalah suatu tuduhan tidak bersandarkan fakta, kerana cadangan dan gerak kerja penggubalan ini telah bermula sejak 2011 lagi. Tambahan juga, Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti telah ditubuhkan pada 2021, untuk mengkaji sebelum menggubal akta yang khusus untuk Mufti. Ia dianggotai wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

Kekeliruan terbesar tentang RUU Mufti ini adalah bahawa ia akan menindas hak orang awam, baik orang Islam mahupun bukan Islam. Realitinya, RUU ini hanya terpakai kepada orang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja, dan tidak menyentuh urusan orang bukan Islam. RUU Mufti Wilayah adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubung dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak.

Disebabkan tuduhan, naratif menyeleweng dan sifat mencabar oleh sesetengah pihak, beberapa NGO telah tampil ke hadapan untuk memberi sokongan kepada RUU Mufti, serta Jabatan Hal Ehwal Agama itu sendiri. Pada 12 Oktober 2024, NGO ISLAMI telah menganjurkan Konvensyen Perpaduan Umat Islam 2024. Ia dihadiri majoriti mufti-mufti dalam negara, tokoh-tokoh agama dan para penceramah Islam, menunjukkan solidariti bersama menteri agama dan mufti wilayah persekutuan. 9 resolusi juga telah dibacakan sempena konvensyen ini, bagi meluruskan fakta tentang RUU Mufti.

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan menyokong RUU Mufti diluluskan, dan banyak badan-badan bukan kerajaan yang sepakat dalam sokongan ini.

Tokoh-tokoh dalam negara seperti mantan ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohammed, mantan ketua hakim syarie Perak, Dato’ Muhammad Asri Bin Abdullah, dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, juga menyuarakan pendapat mereka untuk menjawab tuduhan terhadap RUU Mufti yang berlegar di media sosial. Prof. Datuk Dr Shamrahayu, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Datuk Zainul Rijal Abu bakar, Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, juga telah memberi justifikasi tentang perincian RUU Mufti, demi membetulkan kenyataan-kenyataan salah yang ditularkan.

Saluran media seperti TV Alhijrah, Radio IKIM, juga telah menerbitkan beberapa dialog dan wawancara yang sangat informatif, dan berjaya menerangkan perkara teknikal tentang RUU ini dalam medium dan bahasa yang mudah dan jelas.

Antara bukti yang paling kukuh, dalam menangani tuduhan terhadap RUU Mufti, adalah bahawa Negeri Sabah dan Kedah juga telah meluluskan akta yang serupa pada tahun 2004 dan 2008. Selain itu, Ahli Sunnah wal Jamaah juga disebut secara khusus dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan, dinyatakan bahawa: “Ahli Sunnah Wal Jamaah maknanya ialah mazhab Abu Al-Hasan Al-Asy'ari dan Abu Mansur Al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah kedua-duanya…”

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015 mengambil maklum antaranya: (a) Umat Islam di Malaysia secara umumnya berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah, akidah berasaskan mazhab Asy'ariyah dan al-Maturidiah dan fiqah berdasarkan mazhab Syafie.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan takrifan “(a) Akidah dan Tauhid berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. (b) Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Syafi'i di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. (c) Tasawwuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.”

Fakta-fakta ini membuktikan bahawa tidak wujud implikasi negatif setelah akta diluluskan, tiada perang sesama muslim, dan tiada munculnya pelaku ekstremisme.

Ketika sebahagian agamawan masih bertelagah dalam isu-isu khilafiyyah, masyarakat awam semakin hanyut dalam memahami agama, juga mencari pendekatan dan cara untuk menjadi orang yang beragama. Mereka seolah hilang punca dan rujukan dalam beragama.

Kesimpulannya, dunia moden ini dipenuhi dengan pelbagai platform untuk mana-mana pihak menyuarakan pendapat mereka. Oleh kerana wujud begitu banyak suara yang bersaing untuk didengar, maka mereka memilih untuk mengambil kaedah cabar-mencabar dan kenyataan kontroversi. Sama ada sengaja atau tidak, pihak-pihak yang membantah telah menyalah tafsir RUU Mufti, dan menimbulkan salah faham di kalangan orang awam. Masyarakat Islam perlu meletakkan autoriti agama kepada pihak yang berautoriti. Mengamal agama dengan baik tidak akan membentuk ketaksuban, sikap melampau dalam menghukum orang lain. Semoga RUU Mufti Wilayah lulus tanpa pindaan.

“Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadanya hanyalah para ulama, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” - Surah Fatir, Ayat 28

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019401
Hari ini: 251
Minggu Ini: 1,996
Bulan Ini: 4,542
Tahun Ini: 19,401
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.