ANTARA HAK DAN KEWAJIPAN

ANTARA HAK DAN KEWAJIPAN

MASALAH hak dan kewajipan tidak henti-hentinya dipersoal dan diperbincangkan oleh seluruh lapisan masyarakat, mulai daripada pekerja bawahan hinggalah kepada pegawai tinggi, mulai daripada pak tani di kampung-kampung hinggalah kepada buruh-buruh kasar, semenjak berabad-abad yang lampau. Bahkan dapat dikatakan, bahawa persoalan hak dan kewajipan ini telah sama tuanya dengan umur jagat raya ini.

Tidak dapat dinafikan, bahawa di antara hak dan kewajipan ini mempunyai hubungan timbal balik yang tidak mungkin dipisahkan, iaitu hubungan di antara sebab dengan akibat. Namun ada kalanya ia dipersoalkan bagaikan teka-teki antara telur dengan ayam, yang manakah lebih dahulu? Ayamkah atau telurnya? Selaras dengan itu, timbul pula persoalan antara hak dan kewajipan, yang mana pulakah lebih dahulu di antaranya, adakah hak atau kewajipan?

Untuk menjawab persoalan ini manusia sendiripun tidak pernah sependapat. Ia bergantung kepada keadaan peribadi seseorang, sikap jiwa, watak, latar belakang, pandangan hidup serta faktor-faktor lainnya yang merangkumi kejiwaan dan persekitaran hidup seseorang.

Sebahagian peribadi menitikberatkan tujuan dan tuntutannya kepada hak semata-mata dan tidak memperdulikan masalah kewajipan yang mesti dilaksanakannya. Ke sana ke mari manusia seperti ini hanya menyuarakan tentang hak, menuntut hak, mempertahankan hak dan sebagainya. Namun,  usaha dan tindakannya untuk memperolehi hak itu amat kurang, bahkan dapat dikatakan tidak ada sama sekali.

Sikap jiwa seperti yang disebutkan di atas, masih wujud dalam masyarakat kita ketika ini. Bahkan kebanyakan yang menjadi tumpuan utama mereka adalah masalah yang berhubungan dengan kebendaan. Bagaimanapun, selain daripada watak manusia seperti ini, tidak sedikit pula orang yang berusaha dan berjuang dengan dasar keikhlasan dan cita-cita yang luhur tanpa mengutamakan masalah hak yang bakal diperolehinya.

Orang yang seperti ini didorong oleh hati nurani untuk melaksanakan kewajipan sebaik mungkin dan dia juga menyedari bahawa dengan telah terlaksanakanya kewajipan itu, maka haknya akan hadir di depan matanya tanpa diminta,  kerana memang sudah menjadi kemestian bahawa setiap kewajipan itu mesti diiringi oleh hak. Apabila hak itu telah datang, diterimanya dengnan penuh syukur dan memuji Allah s.w.t.

Apabila kita tinjau dari perspektif Islam, kewajipan adalah lebih dahulu daripada hak yang mesti diterima, sesuai dengan firman Allah s.w.t yang termaktub dalam surah al-Nahl, ayat 97 yang bermaksud: 
"Barangsiapa yang mengerjakan perbuatan baik, lelaki atau perempuan, sedangkan dia adalah orang yang beriman, nescaya akan Kami anugerahkan kepadanya kehidupan yang baik."

Ayat ini menjelaskan kepada setiap manusia, bahawa sesiapa yang melaksanakan kewajipan, iaitu berbuat kebajikan, nescaya dia aka menerima haknya, iaitu anugerah Allah s.w.t dalam bentuk kehidupan yang baik. Dari sini, jelaslah bagi kita, bahawa Islam mengutamakan kewajipan daripada hak, sedangkan hak itu sendiri adalah sebagai hasil daripada terlaksananya kewajipan.

Apabila kita tinjau, sama ada dalam al-Quran mahupun al-Sunnah, yang disebut lebih dahulu adalah kewajipan, kemudian diiringi denngan hak sebagai imbangan ke atas kewajipan yang telah dilaksanakan itu. Dengan demikian kadar hak yang bakal diperolehi itu adalah sesuai dengan kadar kewajipan yang telah dilaksanakan tersebut.

Ajaran serta pandangan Islam terhadap hak dan kewajipan ini menjadi perhatian para tokoh dunioa yang mempunyai cita-cita murni. Sebagai contoh, kita petik ucapan atau pendapat Mahatma Gandhi yang pernah disampaikannya di London berkenaan dengan persoalan hak dan kewajipan. Antara lain beliau mengatakan: “Anda mulailah lebih dahulu merancang kewajipan anda. Apabila seseorang sudah menyedari dan melaksanakan kewajipannya, maka tidak syak lagi hak-haknya akan datang dengan sendirinya, seperti datangnya musim bunga sesudah musim sejuk."

Selaras dengan perkara di atas, di negara kita juga sentiasa terpampang slogan yang berbunyi: "Apakah sumbangan anda kepada agama dan negara?" Apabila kita merenung dengan lebih jauh, susunan kalimat yang indah itu sebenarnya menuntut kewajipan kepada kita, yakni sudah sejauhmanakah kita melaksanakan kewajipan terhadap negara?

Apakah kita hanya sebagai warganegara yang hanya tahu menyuarakan dan menuntut hak tetapi membisu apabila orang berbicara mengenai kewajipan? Apakah kita ini lahir haya sebagai manusia "subsidisme". Apabila subsidi ditiada atau dikurangkan, maka kita mengabaikan kewajipan atau tidak melaksanakannya sama sekali? Inilah persoalan yang boleh kita simpulkan dari slogan tersebut.

Oleh yang demikian, supaya masyarakat dapat menginsafi, apakah kewajipannya terhadap negara, maka perlu sekali diadakan pendidikan ketatanegaraan secarah terarah kepada segenap masyarakat kita. Agar mereka dapat mengetahui tanggungjawabnya sebagai seorang warganegara.

Di samping itu, bagi ummat Islam pula perlu memiliki kesedaran beragama yang tidak dapat digangung gugat, tidak membiarkan sebarang peluang baik yang disaranka oleh agama itu dibiarkan berlaku begitu saja. Kerana kita beranggapan, bahawa semua itu telah menjadi tanggungjawab negara, tanggungjawab kerajaan. Kita percaya, selagi ummat Islam masih berfikiran seperti itu, yakni menjadi ummat yang hanya menuntut hak semata-mata, kejayaan dan kebaikan yang kita dambakan selama ini hanya akan tinggal sebagai sebuah harapan saja, dan kesalahan itu berpunca dari diri kita sendiri yang tidak mahu melaksanakan kewajipan.

Sebagai seorang warganegara yang setia dan sebagai peganut Islam yang taat, marilah lebih dahulu kita sama-sama melaksanakan kewajipan kita, kerana setiap kewajipan itu pasti akan diiringi oleh hak yang menjadi milik kita.

Orang yang berpidato ke sana ke mari mempersoalkan hak dengan rethoric yang memukau pendengar, yang menuntut hak itu dan ini dengan ungkapan yang berapi-api, yang mengatakan bahawa kerajaan telah merampas hak rakyat, yang mempersoalkan subsidi dan sebagainya, dan tidak jarang pula yang mengeluarkan kata-kata kasar, bahasa yang biadab, mencaci dan memaki, menfitnah dan menghasut yang kononnya kerana haknya tidak diberikan.

Maka perlu diketahui, bahawa pada hakikatnya orang-orang yang seperti ini adalah manusia-manusia yang lemah, manusia-manusia yang tidak menyedari hakikat perjuangan dalam sebuah kehidupan. Kerana orang yang hanya tahu menuntut hak adalah bayi yang sedang menyusu kepada ibunya. Bayi-bayi ini belum menyedari makna kewajipan, dan belum memiliki kewajipan yang perlu ditunaikannya.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

048148
Hari ini: 96
Minggu Ini: 1,684
Bulan Ini: 3,610
Tahun Ini: 48,148
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.