Seni adalah keindahan. Ia merupakan ekspresi roh dan budaya manusia yang mengandungi serta mengungkapkan keindahan. Ia lahir dalam diri manusia didorong oleh kecenderungan seniman kepada yang indah biar apa pun jenis keindahan itu. Dorongan tersebut memaparkan naluri manusia atau fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya. Allah Maha Indah menyukai keindahan (Hadis riwatar Muslim)
Kerana itu Islam dapat menerima aneka ekspresi keindahan selama tidak bertentangan dengan nilai-nilai al-khair dan al-ma'aruf. Kesenian adalah unsur dan alat yang ampuh dalam pertumbuhan pendidikan dan kebudayaan bangsa yang sedang membangun. Islam sebagai sistem hidup yang sempurna mengharuskan hiburan dengan maksud tertentu yang boleh membawa kebaikan.
Bidang kebudayaan dan kesenian merupakan alat untuk menentukan karakter bangsa. Bidang seni dan kebudayaan dianggap sebagai alat pembangunan. Oleh itu, meninggalkan cabang ini bererti menyisihkan jalan yang boleh membantu mencapai pembangunan bangsa.
Menikmat keindahan adalah fitrah manusia secara universal sedang Islam adalah agama universal yang bertujuan membangun peradaban, kebenaran, kebaikan, dan keindahan adalah tiga unsur mutlak bagi satu peradaban. Seni Islam itu adalah untuk mendekati Tuhan. Yang tidak mempertemukan denganNYA bukanlah seni Islam. Kerana itu Art for Art tidak dikenal oleh kamus ajaran Islam sebab bagi seorang muslim seluruh gerak dan diamnya harus diarahkan kepada Allah.
Seni muzik telah dilihat sebagai sesuatu yang melalaikan, melekakan, membuang masa dan mendorong manusia melakukan kemungkaran. Dengan kata lain, unsur-unsur harmoni yang positif sudah tidak wujud lagi dan jauh sekali dikaitkan dengan ketenangan, kedamaian, zikir, ketakwaan dan keimanan. Batas-batas yang tidak wajar dan membawa ke alam maksiat inilah yang dilarang oleh hukum-hukum agama.
Sesungguhnya kehidupan Rasulullah membuktikan bahawa baginda tidak melarang nyanyian yang bukan membawa kepada kemaksiatan. Nyanyian yang sangat popular di kalangan umat Islam seperti berzanji dan marhaban yang memuji Rasulullah, nyanyian yang sarat dengan nilai-nilai agama. Lagu-lagu seperti inilah yang dinyanyikan oleh kaum Ansar di Madinah ketika menyambut kedatangan Nabi Muhammad.
Sementara itu, Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa dua orang wanita mendendangkan lagu yang isinya mengenang para pahlawan yang gugur dalam peperangan Badar sambil memukul gendang. Di samping itu, terdapat beberapa hadis tentang hal ini dan diperkuatkan lagi dengan dalil dalam surah Luqman, ayat 19. Mengulas tentang ayat itu, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa Allah memuji suara yang baik sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik.
Muzik yang harus adalah muzik yang berilmu, membawa kepada kemurnian hati sanubari insan. Muzik yang bersifat kejahilan, merangsang kegelisahan hati nurani insan yang boleh membawa kepada kekaburan kemuliaan insan adalah dilarang. Seni kata lagu juga harus mengandungi mesej ke arah akhlak mulia dan tidak melanggar batasan akidah Islam. Lagu-lagu cinta yang memuja perasaan terhadap wanita secara berlebih-lebihan misalnya dan terkandung kesesatan nafsu seksual adalah haram.
Sebaliknya, lagu-lagu sedemikian boleh menjadi kebaikan sekiranya seni kata lagu menjurus ke arah pujian terhadap wanita yang baik akhlaknya dan beragama serta mulia. Namun begitu, pujian atau sanjungan itu bukan ditujukan kepada wanita tetapi kepada nilai-nilai agama yang mulia dan terpapar pada golongan tersebut.
Memang Islam tidak merestui ekspresi keindahan yang terlepas dari nilai-nilai luhur tetapi Islam sangat merestui dan mendorong semua yang menampilkan keindahan yang sesuai dengan nilai-nilai moral dan jati diri manusia.
