BILA MANUSIA HILANG KEMANUSIAAN

BILA MANUSIA HILANG KEMANUSIAAN

Agama Islam mewajibkan umatnya sentiasa memiliki perikemanusiaan dalam hidupnya. Ini kerana Islam merupakan agama damai, agama yang menuntut umatnya menuju jalan kedamaian, baik kedamaian dunia mahupun kedamaian akhirat. Kerana itu perikemanusiaan merupakan komponen terpenting dari ajaran Islam. Dalam hal perikemanusiaan ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Dan bergaullah terhadap manusia dengan perilaku (akhlak) yang baik. (Hadis Riwayat Tarmizi)
 
Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar memperkukuhkan keimanan dan ketakwaannya sehingga dengan iman dan takwa yang kuat itu akan lahir suatu pertimbangan diri yang baik terhadap orang lain iaitu pertimbangan yang menghasilkan anggapan bahawa manusia dilihat dari segi kelas dan golongan pada hakikatnya adalah sama. Harta benda dan pangkat tidak dapat dijadikan ukuran kemuliaan seseorang itu.
 
Sedangkan yang membezakan manusia menurut timbangan iman ialah orang yang paling banyak bertakwa kepada Allah. Kerana itu, dalam pergaulan hidup, setiap manusia mempunyai hak yang sama, hak mendapat jaminan untuk mencapai hidup yang lebih maju, damai dan sejahtera. Kerana itu marilah kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita agar kita dapat menyedari bahawa persoalan kelas, golongan, kemuliaan, serta material tidak akan dibawa mati. Ia akan hancur bersamaan dengan hancurnya jasad manusia, sedangkan yang akan mengangkat maruah manusia di dunia mahupun di akhirat ialah darjat ketakwaan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
 
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat: 13)
 
Golongan yang kurang memiliki perikemanusiaan adalah kerana adanya sikap sombong (takbur) dalam dirinya. Menurut Imam Ali a.s., Iblis pada mulanya adalah makhluk yang sangat taat beribadah. Enam ribu tahun menyembah Allah dengan penuh kesungguhan. Tetapi kerana takbur kepada Allah s.w.t. satu saat sahaja ia dilaknati Allah s.w.t. selama-lamanya kerana ia telah menyaingi kebesaran dan keagungan Tuhan.
 
Dengan sikap takbur itu seluruh amalan soleh tidak diterima Allah, haji kita ditolak, puasanya akan sia-sia dan solatnya akan membawa kepada kecelakaan. Salman Farsi di Tanya, Apakah perbuatan buruk yang menyebabkan semua kebaikan menjadi sia-sia? Salman mnejawab ringkas, Takbur. Betapa pun kecilnya sikap takbur ia boleh memutuskan hubungan silaturrahim antara sesama manusia.
 
Seseorang tidak mempunyai perikemanusiaan ialah kerana ia sendiri belum pernah diganggu dan disakiti orang sehingga tidak pernah merasakan betapa sakitnya hati apabila diganggu dan disakiti orang, dia sesuka hatinya mengganggu dan menyakiti orang lain, bahkan berlaku semena-mena terhadap orang lain.
 
Islam melarang umatnya mengganggu dan menyakiti orang lain, kerana pada hakikatnya setiap makhluk hidup tidak ada yang mahu diganggu dan disakiti. Jika kita tidak ingin disakiti maka janganlah menyakiti orang lain. Dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 178 menjelaskan tentang adanya kewajipan melaksanakan hukum qishah, iaitu orang yang membunuh hukumannya ialah dibalas dengan hukuman bunuh. Manakala orang yang memukul harus dipukul balik dan begitulah seterusnya. Ia bertujuan bagi mereka merasakan kesakitan pembunuhan dan sakitnya akibat dpukul. Dengan demikian mereka tidak lagi sewenang-wenangnya melakukan tindakan di luar perikemanusiaan.
 
Mereka yang tidak perikemanusiaan ini adalah manusia yang kasar jiwanya dan tidak mendapat bimbingan agama dan hidup di persekitaran orang-orang yang kasar jiwanya. Pengaruh ini cenderung untuk mereka melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan.
 
Sesungguhnya sejahat-jahat manusia kedudukannya disisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang dijauhi orang lain kerana takut akan kejahatan itu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Mereka kurang memiliki sifat perikemanusiaan kerana tidak pernah menyedari bahawa menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan, membela kebenaran, mengambil berat terhadap orang lain merupakan suatu kewajipan dan tuntutan kemanusiaan yang harus ditegakkan. Allah s.w.t. menganugerahkan akal kepada manusia bagi tujuan memelihara kemanusiaannya. Dengan akalnya manusia tidak akan secara membuta tuli mengikut hawa nafsunya. Bahkan dengan akalnya ia dapat mengendalikan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang di luar batasan perikemanusiaan. Hanya manusia yang tidak merasa malu sahaja akan melakukan apapun kehendak hatinya (maksud hadis).
 
Akal dan malu adalah dua contoh penjagaan manusia, supaya ia tidak celaka atau jatuh menjadi binatang. Kata Rasulullah s.a.w. , Seorang mukmin memiliki 72 penjagaan. Bila ia berbuat satu dosa, maka runtuhlah satu penjagaan. Semua dosa meruntuhkan perniagaan, jika masyarakat itu akan berubah menjadi masyarakat binatang
 
Kisah penderaan sesama manusia menggambarkan betapa kejamnya manusia yang ada diselubungi sifat-sifat kebinatangan yang pada kita amat sukar untuk kita mengenali golongan seperti ini. Hanya agama yang mampu memberi ketenangan yang hakiki pada jiwa manusia, mampu mengatasi kerosakan moral, memberi peraturan hidupnya yang universal sesuai dengan fitrah manusia dan mampu mengatasi persoalan-persoalan hidup yang semakin material dan hilang sifat-sifat kemanusiaan.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

048160
Hari ini: 108
Minggu Ini: 1,696
Bulan Ini: 3,622
Tahun Ini: 48,160
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.