Perkembangan mutakhir ini menyaksikan terbentuknya pelbagai organisasi bukan kerajaan, badan kemanusiaan dan persatuan Islam yang memperjuangkan isu-isu kemasyarakatan. Dalam masa yang sama, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan juga bergerak aktif dalam lapangan dakwah. Sebahagian daripada agensi-agensi tersebut digerakkan secara bersama oleh kaum Adam dengan kaum Hawa menjadi sayap kirinya, dan ada juga yang digerakkan sepenuhnya oleh kaum Hawa. Kepelbagaian ini perlulah diraikan. Kita sewajarnya bersyukur kerana wujudnya kesedaran dan usaha-usaha murni pelbagai pihak dan agensi dakwah dalam memastikan kelangsungan hidup masyarakat Islam yang makmur dan diberkati Ilahi.
Merenung sejenak usaha gigih gerak kerja dakwah wanita hari ini, penulis berpendapat bahawa masih ada lagi ruang penambahbaikan yang dapat diusahakan. Di samping itu, kita mungkin perlu menilai semula isu-isu strategik, tumpuan dan sasaran dakwah agar tidak berlaku pertindanan yang merugikan, keciciran isu dan salah langkah di dalam menangani permasalahan masyarakat. Hal ini perlu dielakkan lebih-lebih lagi di zaman ini di mana agama Islam menjadi mangsa pertuduhan golongan liberalis sekular yang menolak kehidupan beragama sebagai suatu cara hidup.
Wanita dan Hala Tuju Dakwah
Wujudnya pelbagai agensi dakwah sememangnya memberi rahmat kepada masyarakat. Namun kepelbagaian ini juga boleh menimbulkan beberapa isu berhubung hala tuju dakwah khususnya dakwah wanita di negara ini. Apakah penglibatan wanita bersifat ad-hoc atau sekadar mengisi ruang yang dirasakan kosong. Bolehkah kita memastikan agar objektif dan modus operandi dakwah pada hari ini lebih bersifat mencegah daripada mengubat. Mahukah kita turut beriltizam untuk memperbaiki metode dan pendekatan dakwah sejajar dengan cabaran semasa.
Apakah kaum wanita yang terlibat di dalam dakwah turut prihatin dengan kelangsungan usaha dakwah mereka daripada perspektif sumber dan dana serta ilmu dan kemahiran. Persoalan-persoalan ini sewajarnya diperdebatkan bagi memperkemaskan lagi penglibatan kaum wanita di dalam gerak kerja dakwah di negara ini.
Merujuk kepada isu-isu strategik dakwah, apakah kita telah menetapkan prioritinya (awlawiyat) berdasarkan kekuatan ilmu dan kemahiran yang kita ada? Sudahkan kita mempunyai calon-calon pendakwah yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang diiktiraf? Apakah perancangan kita terhadap itu? Mungkinkah juga kita perlukan suatu analisa seumpama risk management yang menganalisis pendekatan dakwah pada hari ini dan masa akan datang? Persoalan-persoalan ini bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan usaha dakwah yang dilakukan oleh sebahagian besar daripada kita. Sebaliknya, ia mengajak kita berfikir untuk merancang hala tuju, pendekatan dan modus operandi dakwah dengan lebih berhikmah.
Wanita dan Cabaran Dakwah Masakini
Kaum wanita di negara ini rata-ratanya berpendidikan. Sebahagian besar daripadanya berkerjaya dan berkeluarga. Walaupun tiada kajian statistik dilakukan, namun secara kasarnya, kebanyakan mereka yang melibatkan diri di dalam gerakerja dakwah adalah terdiri daripada mereka yang berpendidikan, berkerjaya dan juga berkeluarga. Terdapat juga di antara wanita ini yang menjadikan dakwah sebagai karier professional mereka. Apapun juga pilihan kaum wanita, tidak dapat dinafikan bahawa bagi yang telah berkeluarga, mereka juga terikat dengan tanggungjawab asasi sebagai isteri dan ibu. Hal ini sememangnya menjadi cabaran utama para pendakwah wanita dan ia diakui sendiri oleh mereka.
Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan para pendakwah wanita memikul tanggungjawab yang pelbagai (multitasking) dan ini sedikit sebanyak memberi kekangan terhadap gerak kerja dakwah mereka.
Cabaran seterusnya ialah cabaran ilmu dan kemahiran. Tidak dapat dinafikan, bahawa fitrah kaum wanita lebih mudah tersentuh dengan fenomena kebejatan moral yang berlaku di sekelilingnya. Masalah pembuangan bayi, penderaaan kanak-kanak, kandungan luar nikah, rogol, sumbang mahram, penderaan isteri, kecurangan perkahwinan dan seumpamanya, lebih memberi kesan terhadap jiwa kaum wanita. Oleh hal yang demikian, ramai di antara pendakwah wanita merasa terpanggil untuk menyediakan bantuan yang bersifat segera seperti pusat perlindungan, khidmat nasihat dan kaunseling serta apa jua yang dirasakan boleh membantu golongan kanak-kanak dan wanita yang malang. Semangat ini amatlah mulia.
Bagaimanapun, perlu diingati bahawa, semangat tanpa ilmu dan kemahiran boleh membantutkan niat dan usaha murni dakwah. Kita mendapati, sebahagian pusat perlindungan berhadapan dengan masalah kewangan, tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang diperlukan seperti psikologi, kaunseling dan perundangan. Kekangan seumpama ini tentunya menjadi bebanan yang tidak sepatutnya kepada kerja-kerja dakwah.
Sememangnya tidak ada kerja dakwah yang mudah, namun tidak bermakna bahawa kerja dakwah mesti dilakukan dengan penuh kekurangan dan ketidaksempurnaan. Sehubungan dengan itu, penulis menyarankan agar agensi kerajaan membantu dalam usaha membekalkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan kepada penggiat-penggiat dakwah yang terbabit. Hal ini boleh dilaksanakan dengan menganjurkan bengkel dan seminar yang yang melibatkan para pendakwah wanita. Perlu juga diadakan sebagai sebahagian modul bengkel ialah projek turun ke lapangan di mana para pendakwah boleh belajar daripada pengalaman secara langsung bertemu dengan masyarakat.
Memandangkan kekangan dan hambatan tanggung-jawab yang bertindan, pendakwah wanita juga sewajarnya bersikap realistik dan lebih strategik dalam usaha dakwahnya. Ada baiknya sekiranya pendakwah wanita mengenal pasti isu-isu besar yang relevan untuk ditangani.
Penulis menyentuh hal ini dalam perspektif mencegah lebih baik daripada mengubat. Benar bahawa kita tidak redha dengan penderitaan yang dialami oleh sebahagian daripada masyarakat. Tetapi kita juga bukan malaikat atau tuhan yang boleh menyelesaikan semua penderitaan manusia. Kita juga perlu menumpukan usaha mencegah kemungkaran seperti yang telah disebutkan daripada terus terjadi. Maka kita perlu memanfaatkan sebahagian besar daripada masa, dana dan kekuatan untuk mendidik masyarakat terutamanya generasi muda agar mereka cenderung memilih kebaikan dan membenci kemungkaran. Penulis secara peribadi berpendapat bahawa mendidik generasi muda adalah lebih strategik dan berkesan daripada segi jangka masa panjang, bahkan hal ini boleh dianggap sebagai langkah pemuliharaan yang efektif.
Bercakap dalam konteks ini, kita menyeru agar pendakwah wanita juga menumpukan usaha meyakinkan jabatan agama di peringkat negeri dan kebangsaan untuk memperkemaskan modul dan silibus kursus perkahwinan dengan harapan masalah-masalah perkahwinan dapat dikurangkan berikutan kefahaman yang jelas terhadap tanggungjawab dalam perkahwinan. Isu poligami contohnya, hendaklah dikupas secara adil. Modul khas perlu diwujudkan bagi perkahwinan poligami dan perkahwinan dengan saudara baru. Masalah kahwin lari atau kahwin di luar negara tidak seharusnya diselesaikan dengan denda oleh mahkamah sahaja. Penulis percaya terdapat ruang-ruang dakwah yang lebih luas dalam isu ini yang boleh diusahakan oleh pendakwah wanita lebih-lebih lagi mereka yang berkhidmat dengan agensi kerajaan.
Pendakwah wanita juga sewajarnya turut menumpukan jihad mempertingkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak. Hari ini kebanyakan wanita berkarier menghadapi masalah penjagaan anak-anak yang sangat serius. Bukan sedikit kes deraan kanak-kanak oleh orang gaji asing mahupun kemalangan dan kehilangan nyawa anak-anak kecil di rumah pengasuh mahupun di pusat asuhan kanak-kanak. Sehingga ke saat ini, selain daripada projek PERMATA NEGARA, kita tidak nampak adanya usaha secara tersusun dan kolektif oleh badan agama bukan kerajaan mahupun kerajaan melakukan usaha dakwah dalam konteks ini. Jika adapun, ia lebih kepada inisiatif individu dan tidak memberi impak secara langsung dan signifikan kepada ummat.
Satu lagi isu yang tidak mendapat tindakan sewajarnya ialah isu aqidah yang seringkali membangkitkan sentimen umat Islam di negara ini. Walaupun kita dibimbangkan oleh kes-kes murtad (sama ada ia dilaporkan secara adil atau tidak) tidak ramai pendakwah wanita yang melihat peluang dakwah terhadap fenomena yang malang ini. Penulis berpendapat, pendakwah wanita sewajarnya melihat isu ini dengan fitrah keibuan yang cenderung untuk mendidik berbanding menghukum.
Generasi muda perlu dididik menyayangi dan menghargai akidah mereka. Sudah sewajarnya lebih banyak program yang mendidik generasi muda mengenali Islam dan ajaran Islam dianjurkan. Perlu juga diingatkan bahawa program tersebut perlu mengambil kira kecenderungan generasi muda ini yang cenderung menyoal banyak perkara daripada menelan bulat-bulat maklumat yang diterima lebih-lebih lagi dalam soal yang membabitkan agama dan tanggung-jawab. Generasi muda pada hari ini juga terlalu banyak terdedah dengan nilai-nilai sekular berbanding nilai agama. Persoalannya, apakah program-program dakwah hari ini membantu golongan muda membuat pilihan yang bertepatan dengan fitrah mereka?
Penulis berpendapat, para pendakwah wanita juga perlu mengambil kesempatan menggunakan peluang berdakwah di hujung jari yang sangat terbuka luas pada hari ini. Sebahagian besar daripada kita adalah pengguna setia laman sosial, penulis atau pelayar blog yang tegar. Sejauh manakah badan dakwah bukan kerajaan mahupun kerajaan merebut peluang ini. Pengalaman penulis sewaktu melayari laman-laman web badan dakwah di negara ini bagi mendapatkan bahan pengajaran adalah sangat mendukacitakan. Kebanyakan laman web tersebut jarang dikemaskini, tidak menarik dan sangat membosankan berbanding dengan laman web oleh badan dakwah antarabangsa.
Amat ironi sekali kerana para pendakwah wanita boleh sahaja menggunakan peluang berdakwah di alam siber tanpa perlu keluar daripada rumah. Hal ini sewajarnya diberi perhatian serius oleh para pendakwah wanita dan organisasi yang terbabit.
Akhir sekali, cabaran paling utama dalam dakwah wanita pada hari ini ialah untuk memperkenalkan Islam sebagai alternatif terbaik. Ianya tidak cukup dengan slogan Islam sebagai cara hidup semata-mata. Dakwah yang proaktif sifatnya bermula dengan diri pendakwah itu sendiri sebagai qudwah hasanah. Para pendakwah perlu menjadi contoh ikutan yang baik daripada segi akhlak, personaliti bahkan juga keluarga. Seluruh ahli keluarga pendakwah sebenarnya adalah sasaran dakwah yang pertama. Inilah jihad awal individu pendakwah. Hal ini mungkin ringan bagi sebahagian daripada kita. Tetapi inilah sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda berdakwah dengan saudara terdekat sebelum melebarkan sayap dakwah kepada kaumnya.
Cabaran para pendakwah wanita ialah untuk memastikan agar suami dan anak-anaknya juga mengamalkan Islam sebagai cara hidup agar tidak berlaku apa yang disebut sebagai kera di hutan disusukan, ayam di kepuk mati kelaparan atau kuman seberang laut nampak tetapi tidak gajah di depan mata.
Memandangkan kekangan yang dihadapi oleh pendakwah wanita, dan realiti hari ini masalah datang silih berganti, penulis menyarankan agar dianjurkan pertemuan yang lebih kerap di peringkat kebangsaan yang mempertemukan para pendakwah wanita daripada pelbagai organisasi dakwah. Pertemuan ini boleh dijadikan platform untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan maklumat, mencapai kesepakatan dan kesatuan pemikiran berkaitan gerak kerja dakwah.
Penulis juga mencadangkan agar setiap badan dakwah kerajaan dan bukan kerajaan berganding bahu dengan pusat pengajian tinggi untuk melakukan penyelidikan terhadap isu-isu yang melibatkan dakwah dan masyarakat. Penyelidikan sangat penting bagi memperoleh perspektif yang lebih objektif tentang sesuatu isu. Perspektif yang jelas akan memandu jalan penyelesaian dan mengelakkan tindakan berlandaskan sentimen dan emosi semata-mata. Oleh hal yang demikian, geran penyelidikan hendaklah diwujudkan bagi membolehkan kajian lapangan dan unjuran statistik dapat dilakukan demi mendapatkan gambaran yang objektif terhadap sesuatu isu yang melanda masyarakat.
Selain daripada itu, para pendakwah wanita boleh diberi peranan, ilmu dan kemahiran berkaitan dakwah di hujung jari oleh badan-badan dakwah di negara ini. Kemahiran yang dimaksudkan bukan sahaja terhad kepada kemahiran menggunakan software malah melibatkan kemampuan ilmu dan kebolehan menulis yang berkesan. Sudah tiba masanya badan-badan dakwah di Malaysia memanfaatkan ruang berdakwah di hujung jari yang sangat terbuka luas.
Oleh DR. HASLINA IBRAHIM
Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
