Islam semakin terancam. Islam semakin tergugat. Islam semakin sempit. Seringkali kenyataan seperti ini dilontarkan kepada media, sama ada daripada ‘Minda’ ahli politik, ahli merungut profesional, atau tokoh agamawan yang mempunyai motif peribadi. Kemudian kenyataan-kenyataan ini digandakan suaranya oleh tangan-tangan aktif di media sosial. Adakah benar Islam semakin terancam, atau hanya sebuah permainan sentimen, demi meraih sokongan?
Dasar melindungi kesucian Islam serta perkembangannya dalam negara, perlu dilihat dari lensa yang objektif, tanpa nuansa politik atau pengaruh naratif palsu. Seorang yang objektif akan lihat kepada struktur usaha yang dibawa oleh kerajaan hari ini secara keseluruhan, kemudian inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan dan akhir sekali impaknya kepada rakyat.
Jika hanya dengan memilih satu isu terpencil, dan terus menjadikannya alasan bahawa agama Islam dalam negara terancam, ia merupakan hujah yang terlalu simplistik dan tidak kukuh. Ia hanya bertujuan untuk membangkitkan kemarahan awam.
Tradisi keilmuan orang Melayu telah lama mengenali hujjah seakan ini dengan pepatah - Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Untuk mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan hujah emotif, seseorang memerlukan ‘Rasionaliti’. Rasionaliti adalah kebolehan menggunakan logik dan penaakulan untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Seorang yang rasional mampu membuat keputusan berdasarkan kecerdasan berfikir, dan
bukannya dengan emosi semata-mata. Dengan pemikiran rasional, beliau akan dapat menilai status agama Islam dalam negara pada hari ini, dengan adil.
“...dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum mendorongmu untuk bersikap tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat dengan taqwa.” - Surah al-Ma’idah (8)
Justeru perlu diteliti sebahagian usaha Kerajaan Madani dalam memartabatkan agama Islam. Dalam konteks Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Pelan Transformasi Al-Falah menjadi antara dokumen penting memacu perubahan dan pemerkasaan agenda hal ehwal Islam. Pelan ini menetapkan hala tuju 14 agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara terancang dan bersasar bagi mencapai objektif dan sasaran untuk tempoh lima tahun.
14 agensi ini merangkumi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Alhijrah Media Corporation, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia.
Kerajaan Madani juga komited dalam memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam. Ia adalah usaha yang menyeluruh, merangkumi aspek penggubalan undang-undang substantif dan prosedural, pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan ekosistem perundangan Syariah itu sendiri. Kajian mengenai Akta Saraan Hakim Syarie, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah dan pewujudan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia
menunjukkan keseriusan kerajaan untuk memperkasakan perundangan Syariah.
Tambahan juga, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Menggubal Undang-undang Islam. Demi menangani sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia pula, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Perpaduan. Usaha ini kesemuanya untuk mewujudkan keharmonian secara damai dan sejahtera.
Rakyat baharu saja menyaksikan Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Bukhari, yang berjalan selama 10 hari di Masjid Putra, Putrajaya. Majlis ini adalah antara inisiatif kerajaan Madani untuk menjaminkan Malaysia semakin mekar dan subur dengan majlis-majlis ilmu. Banyak program keilmuan melibatkan ulama bertaraf dunia telah dianjurkan, dan kini Malaysia menjadi tumpuan ulama tersohor dan cendekiawan daripada seluruh dunia.
Al-Imam Al-Akbar Syeikhul Azhar Dr Ahmed Mohammed Ahmed El-Tayeb, Syeikh Ali Jum’ah, Syeikh Ali al-Qaradaghi, Syeikh Abu Bakar Ahmad, Syeikh Yasir Qadhi, Syeikh Omar Suleiman, Syeikh Ahmad al-Raysuni, Syeikh Maher Al-Muayqali dan ramai lagi telah dijemput untuk memberikan tausiyah, nasihat, pesanan serta mencurahkan
ilmu mereka di Malaysia.
Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan .” - Surah Al-Mujadalah, Ayat 11
Maka apabila dilihat secara objektif, pelbagai usaha telah pun dilaksanakan kerajaan Madani untuk memartabatkan agama Islam dalam tempoh 2 tahun ini. Dan dengan pelaksanaan Pelan Transformasi Al-Falah, orang awam sememangnya akan yakin bahawa usaha ini akan berterusan. Sekiranya dicatat dan disenaraikan segala inisiatif yang telah dilaksanakan demi memartabatkan agama, pastinya ia terlalu banyak. Namun tujuannya hanya satu, iaitu untuk mengimarahkan syiar Islam, sambil membentuk umat Islam di Malaysia.
Dalam dunia pasca-kebenaran ini, umat Islam sangat memerlukan pandangan dunia yang objektif dan rasional. Ia kerana permainan naratif dan sentimen sentiasa muncul dengan isu-isu baharu, satu kaedah oleh golongan yang mengamalkan populisme. Seorang muslim mestilah berusaha untuk keluarkan diri daripada ruang gema, dan ubah perspektif hidup ke arah yang lebih positif, rasional dan bermanfaat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Ajaibnya urusan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Dan hal itu tiada bagi seorang pun melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Jika dia mendapat suatu perkara yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat suatu perkara yang menyusahkan, dia bersabar, maka itu juga ialah kebaikan bagi dirinya.” - Riwayat Muslim (2999)
