HORMATILAH ORANG LAIN SEBAGAIMANA KITA INGIN DIHORMATI

HORMATILAH ORANG LAIN SEBAGAIMANA KITA INGIN DIHORMATI

SUATU petang, Amin dan Ida berteka-teki. 
“Apa bezanya manusia dan binatang?” tanya Amin kepada Ida. Amin bukan hanya mahu menguji pengetahuan Ida, hanya sekadar pembuka kepada perbualan mereka petang itu sambil menanti hadirnya cahaya senja di pantai Teluk Bayu.  

“Manusia dengan binatang? Mudah jawapannya. Allah ciptakan manusia lengkap dengan kebolehan berfikir, sedangkan binatang tidak memiliki kelebih berfikir,” jelas Ida. Amin tersenyum kerana jawapan itu sudah diketahui oleh setiap manusia yang rasional. Amin memerlukan jawapan yang lebih lagi.

“Itu saja! Ya mungkin tepat sebahagiannya, masih ada kekurangannya,” celah Amin untuk mengorek lebih banyak jawapan.

“Ooi kalau begitu biar saya jawab, bezanya dalam kehidupan binatang tiada manusia. Dalam kehidupan manusia, banyak binatang.” Amin tercengang dengan jawapan itu. Amin tidak jangkakan isterinya boleh membuat kesimpulan yang begitu tajam, suatu rumusan dari sebuah pengamatan tentang kehidupan yang sentiasa tidak ada nokhtahnya.

Setiap pagi, ketika kita membaca akhbar, membuka dan melayari laman-laman sosial, kita akan menemukan banyak berita mengenai kebrutalan manusia sesama manusia. Isteri sanggup memotong kemaluan suami kerana dijangkiti virus cemburu berlebihan, syak dan wasangka suaminya mempunyai kekasih gelap.

Seorang suami pula sanggup menampar, menerajang, memukul dan mendera fizikal dan perasaan isteri hanya kerana cemburu, si isteri asyik melayan kenalan dalam media sosial sepanjang masa, bahkan ketika mereka sepatutnya diulek mimpi manis.

Seorang lelaki sanggup membunuh ibunya sendiri kerana tidak menunaikan permintaan. Si anak rasa tertekan bila si ibu tidak memberikan wang untuk membeli dadah. Seorang nenek terpaksa berkorban demi cucu-cucunya selepas anak menantu bercerai. Si ibu lari entah ke mana manakala si suami menghilangkan diri mengelakkan tanggungjawab.

Cerita sebegitu tidak pernah selesai dan saban hari, semakin bertambah dan memualkan. Kadangkala kita berfikir, apakah masyarakat kita yang terkenal dengan ‘akal budi’ dan bersusila sudah rosak keseluruhan organ berfikir dan mempamerkan nilai kasih sayang?

Kisah seorang ibu sanggup ‘menjual anak gadisnya’ demi wang cukup menyebabkan hati kita disaluti kemarahan dan sebak memikirkan apa yang berlaku dalam masyarakat. Manusia jenis apakah itu? Manusia binatang. Manusia yang tidak berhati perut. Manusia yang telah hilang nilai-nilai kemanusiaanya. Mungkin manusia sebegitu setaraf dengan kumpulan primat yang sentiasa bergayutan dan sanggup menceroboh masuk rumah-rumah hanya kerana lapar.

Setiap hari kita seolah-olah memahami bahawa semakin hebat teknologi, maka semakin banyaklah manusia yang dilanda kegemparan yang menggila. Manusia, menjadi lebih gila daripada binatang, kerana binatang tidak sanggup bergaduh, bertengkar dengan kumpulan sejenisnya hanya berdasarkan mesej dalam laman sosial. Binatang, jika bermusuhan pun permusuhan berlaku bila kededuanya hadir secara fizikal atas satu sebab, iaitu melanggar wilayah kuasa dan dominasi.

Tidak saperti manusia, Amin dan Ida turut menerima kecaman daripada kenalan yang tidak pernah bersua secara fizikal setelah Ida pernah menyatakan rasa sedihnya kerana belum dikurniakan zuriat walaupun sudah lima tahun berkahwin. Ada yang menyamar sebagai seorang bomoh handal memberikan petua ajaib, kononnya petua tersebut telah berjaya memberikan zuriat selepas beberapa bulan mengamalkannya.

Amin, sebagai seorang lelaki turut tercabar apabila dituduh sebagai seorang suami mandul. Ida terasa hatinya bagai dilanda tsunami perasaan apabila dituduh tidak cekap bersenggama dalam posisi yang betul, menyebabkan benih-benih yang hadir itu tidak dapat disenyawakan dengan baik untuk menghasilkan zuriat.

Ida juga kadangkala enggan untuk pulang ke kampong ketika bercuti. Bukan kerana dia tidak ada perasaan “home sick” terhadap kedua orang tua dan adik-adiknya, tetapi khuatir mereka akan mengulangi pertanyaan-pertanyaan yang boleh merencatkan ikatan perkahwinan hanya kerana belum dianugerahkan zuriat atau ada tanda-tanda hamil.

Bagi Amin dan Ida, kehadiran zuriat sendiri memang benar boleh membahagiakan kehidupan berumah tangga, anak-anak adalah pengikat kasih sayang setiap pasangan yang berkahwin. Tetapi, mereka berdua juga mempunyai pendirian yang lain, tanpa kehadiran zuriat tidak bermakna kasih sayang antara mereka berdua boleh terlerai dengan mudah, mereka tetap setia dengan janji ketika sesama melafazkan frasa cinta. Cinta tidak akan mati, sayang tidak akan pudar dan kasih tidak akan terjerat tanpa kehadiran seorang anak dalam rumah tangga.

Mereka sebaliknya, setiap kali terasa perasaan terganggu disebabkan tiada suara tangisan bayi, keletah nakal anak-anak yang sedang membesar, tidak lupa dengan sebuah kisah yang tertera dalam sebuah riwayat. Mereka teringat dengan kisah Nabi Zakaria a.s.. Mereka banyak kali menghafal harapan Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah SWT.
“Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku seorang yang mandul dan aku sendiri telah sampai had umur yang setua-tuanya.”

Allah SWT berfirman: Hal itu mudah bagi-Ku, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedangkan engkau pada masa itu belum ada sama sekali.” (Surah Maryam: 8-9).

Semangat Amin dan Ida tidak pernah luntur mengharapkan agar suatu hari dikurniakan zuriat. Kisah Nabi Zakaria a.s. dihafalnya setiap kali fikirannya didesak untuk mencuba satu alternative yang boleh menyebabkan Ida terkilan, iaitu berkahwin dengan seorang lagi perempuan atas alasan Ida gagal melahirkan zuriat.

Ida pernah mendengar pendapat tersebut walaupun bukan lahir daripada pandangan suaminya. Ketika itu, perasaannya berbelah bahagi. Gelombang emosi begitu kuat menghempas rasa dan jantungnya begitu kencang berdegup. Fikirannya sedikit bercelaru, apakah dengan membenarkan Amin berkahwin seorang lagi, Amin akan dapat menyulami bahagia dan akan hadir seorang anak? Ada juga pertanyaan lain, apakah dirinya sanggup berkongsi kasih, berkongsi suami dengan wanita lain?

“Aah! Jika itulah ketentuan-Nya, saya rela dimadukan.” Getus hati kecil Ida, tetapi ia hanya muncul dalam hati kecilnya. Ida tidak pernah mendengar solusi dari Amin untuk berkahwin seorang lagi hanya untuk mendapatkan zuriat. Amin tidak pernah memikirkan untuk mencubanya kerana Amin setia dengan janji-janji yang pernah dilafazkan, tanpa kehadiran seorang anak, tidak bermakna hatinya terpaksa berbahagi kasih dan berkongsi sayang. Ida hanyalah satu-satunya ‘permata hati’ dan akan diterima seadanya, walaupun jika doktor mengesahkan isterinya mandul.

Ida begitu menekuni kepasrahan Siti Sarah, isteri Nabi Ibrahim a.s. sehinggalah pada suatu hari diberitakan mula menunjukkan tanda-tanda sedang mengandung. Ketika mendapat khabar gembira itu, Siti Sarah berumur 99 tahun manakala Nabi Ibrahim berumur 100 tahun. Setiap hari, Nabi Ibrahim a.s. dan Siti Sarah tidak pernah terhenti memanjat doa, sabar menunggu dan sentiasa berharap.”Sesungguhnya Dialah yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Adz-Dzariyat: 28-30).

Amin pernah mendapat cadangan agar membawa isterinya untuk mandi di Tasik Dayang Bunting. Menurut cerita, jika seseorang itu mandi di situ, roh Dayang Bunting akan memasuki ke dalam tubuh, dan dari roh itu akan memudahkan seorang wanita peluang memperoleh zuriat. Bagaimanapun, sebagai seorang yang mengetahui sedikit sebanyak perihal agama, Amin tidak mempercayainya, kerana ia adalah mitos yang sukar dibuktikan.

Amin dan Ida pernah menjalani pemeriksaan kesihatan. Mereka berdua disahkan tidak berhadapan dengan masalah mandul, hanya mungkin ada sedikit masalah daripada tahap kesuburan. Doktor menasihatkan mereka agar bersabar, terus berdoa dan tidak mudah rasa tertekan dengan masalah lambat mendapat zuriat sendiri.

Amin dan Ida faham, lambat atau cepat, jika diizinkan Allah SWT akan hadir zuriat yang amat diharapkan itu. Mereka sentiasa mengingati apa yang Allah SWT beritahu: Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah waris yang paling baik. Maka, Kami memperkenankan doanya dan Kami menganugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung.” (Al-Anbiya: 89-90).

Begitu juga dengan nabi kita Muhammad SAW yang lama tidak dikurniakan anak sejak diutus menjadi rasul daripada setiap isteri baginda. Qasim adalah putera sulung Rasululah, dia lahir dan meninggal sebelum Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertamanya. Qasim meninggal pada usia dua tahun.

Qasim lahir daripada isteri Rasulullah, Siti Khadijah RA. Manakala anak Rasulullah yang kedua iaitu Abdullah juga lahir daripada Siti Khadijah. Abdullah lahir selepas Rasullullah SAW diangkat menjadi nabi, tetapi meninggal ketika masih kecil. Ibrahim, lahir di Madinah tetapi juga meninggal ketika masih kecil.

Anak-anak Rasullullah SAW yang lain, Zainab, Roqiyah, dan Ummu Kultsum meninggal ketika baginda masih hidup. Hanya Fatimah meninggal enam bulan selepas Rasullullah SAW wafat.

Bagi Amin dan Ida, kisah-kisah keluarga Rasullullah SAW menjadi penawar menjadi penawar untuk mengubati ‘resah’ manakala kisah Nabi Zakaria menjadi motivasi yang kuat dalam hidupnya agar tidak mudah kecewa dan rasa tertekan dengan kata-kata sinis kawan-kawan dan sanak sudara. Semakin hebat dirinya disindir, semakin kuat Ida berdoa. Dalam setiap sujudnya, Ida tidak lupa memohon.

Dua tahun lalu, Amin dan Ida menghabiskan masa hampir sebulan mengerjakan umrah. Mereka bertolak dua hari sebelum tibanya Ramadhan dan kembali ke tanah air, tiga hari sebelum Penyimpan Mohor Raja-Raja mengisytiharkan tarikh sambutan Aidilfitri. Setiap selesai solat, Ida tidak terlupa untuk berdua. Begitu juga ketika selesai tawaf mengelilingi Ka’abah.

Awal tahun ini, Ida sudah mula menjalani pemeriksaan kesihatan bagi ibu-ibu mengandung. Di wajahnya terpancar rasa bahagia yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa, Ida bukanlah seorang wanita mandul. Amin juga merasakan dirinya semakin lengkap, menjelang Aidil Adha dirinya mudah-mudahan akan bergelar ayah.

Saya doakan semoga Amin dan Ida selamat menerima cahaya mata pertama setelah menanti hampir lapan tahun lamanya. Setiap ujian yang Allah SAW berikan kepada manusia, bukan hanya sekadar untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya, ia turut mencerminkan apakah manusia itu mampu menafikan cemohan, umpatan dan kata-kata sinis dari manusia yang lebih gemar menghukum. Amin dan Ida sudah tentu memahami, sebab dalam masyarakat manusia ada kumpulan haiwan, dan dalam masyarakat haiwan, tidak ada manusia.

Naluri haiwan itulah petunjuk bahawa  manusia adalah makhluk yang hanya mementingkan diri dan sentiasa berjiwa hegemonik. Apabila keadaan yang sama berlaku ke atas dirinya, mulalah bersifat sasau dan nanar, bahkan ada ketikanya mula merasa malu kerana ‘dulang’ semakin terserpih.

Tulis Ustaz Yusuf  Mansur “ketika manusia kehilangan cinta dan kasih sayang, penderitaan akan menghiasi bumi.” Hilang nilai-nilai kasih sayang itulah menyebabkan masih setiap hari bersengketa; setiap masa dilanda resah dan gelisah. Hidup menjadi semakin kucar-kacir dan tiada lagi erti kebebasan dan keharmonia. Masing-masing kita akan terus kehilangan, hilang sifat dan hilang akal yang sehat. Masing-masing tinggal dalam ‘ketakutan’ dan berselirat dengan resah dan rasa tidak selamat. Hormatilah orang lain sebagaimana kita mengharapkan orang lain menghormati kita.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

048171
Hari ini: 119
Minggu Ini: 1,707
Bulan Ini: 3,633
Tahun Ini: 48,171
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.