BANTAHAN TERBAHARU TERHADAP RUU MUFTI

BANTAHAN TERBAHARU TERHADAP RUU MUFTI

Pada Selasa 3hb Disember 2024, 2 Rang Undang-Undang berkaitan pentadbiran agama Islam telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Namun perkembangan RUU Mufti Wilayah, yang akan dibaca pada 19hb Disember nanti, masih mengundang bantahan. Terkini, dari kumpulan penggiat seni dan budaya pula, yang menyerahkan memorandum bantahan kepada parlimen bagi menyuarakan kebimbangan mereka.

Mengapakah masih ada yang gagal faham tentang RUU Mufti ini, atau adakah kekeliruan mereka kerana sesuatu yang lebih mendalam?

Dua rang undang-undang yang telah pun diluluskan pindaannya adalah RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2024. Usaha ini membuktikan komitmen pihak berkuasadalam memperjuangkan nilai-nilai keadilan dan kesejahteraan rakyat,dalam memperkasakan pentadbiran hal ehwal Islam.

Bantahan terbaharu terhadap RUU Mufti telah diketengahkan oleh beberapa badan bukan kerajaan berkaitan dengan seni dan budaya. Bantahan ini berasaskan kebimbangan bahawa RUU Mufti akan memberi kesan kepada masyarakat seni dan budaya, serta kehidupan seharian rakyat termasuk bukan Islam.

Malah mereka juga menyatakan bahawa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan diberikan kuasa untuk mengeluarkan fatwa yang mengikat, dan boleh dikuatkuasakan di mana-mana mahkamah selain mahkamah syariah.

Jurucakap mereka, Arief Hamizan, turut menekankan kebimbangan mengenai Seksyen 11 rang undang-undang itu, yang menggariskan operasi danpemakaian fatwa diperluaskan, akan mengehadkan hak asasi demokrasi.

Agak menyedihkan apabila di dalam era teknologi digital ini, yang mana maklumat sahih boleh dicari dengan begitu senang dan pantas, tuduhan sebegini masih diulang-ulang. Penerangan tentang impak RUU Mufti terhadap bukan Islam, had kuasa Mufti Wilayah dan kebebasan asas setiap muslim, telah berkali-kali disebarkan, melalui media sosial, berita dan saluran-saluran lain. Namun masih wujud mereka yang berpandangan negatif terhadapnya, atau mungkin hanya membantah, demi membantah.

Justeru, sekali lagi perlu diperjelaskan sub-seksyen 11 (b) RUU Mufti Wilayah yang dibangkitkan. Ia memperuntukkan suatu fatwa yang diwartakan hendaklah diiktiraf oleh mana-mana mahkamah berkenaan dengan semua perkara yang dinyatakan dalam fatwa itu.

Dalam seksyen 2 iaitu tafsirannya, hanya tafsiran mahkamah Syariah sahaja yang dinyatakan oleh RUU ini. Adakah “mana-mana mahkamah” dalam RUU ini juga termasuk mahkamah sivil? Dalam realiti perundangan semasa, boleh dikatakan mahkamah tidak terikat dengan fatwa yang diwartakan itu. Ini adalah kerana kuasa untuk mentafsir undang-undang itu masih terletak di tangan mahkamah.

Perkataan diiktiraf dalam sub-seksyen 11 (b) tersebut juga bukan memberi maksud ia mengikat mahkamah dalam membuat keputusan. Bagi mahkamah Syariah, ianya tidak terikat dengan fatwa, dengan hujah bahawaiaberhakuntuk berijtihad di dalam kes-kes yang dihadapkan kepadanya. Ini kerana suatu fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti lebih bersifat kepada persoalan yang umum, yang memerlukan penentuan dan penetapan hukum Syarak. Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti juga lebih bersifat umum.

Berbeza keadaannya, isu dan persoalan di hadapan mahkamah Syariah adalah lebih bersifat khusus dan bergantung kepada kes yang dibentangkan. Kemudian dengan mendengar dan mengambil keterangan pihak-pihak terbabit, saksi-saksi dan penelitian dokumen-dokumen yang ditenderkan kepada mahkamah.

Pemikiran simplistik yang mengandaikan proses mahkamah, baik sivil mahupun syariah, hanya mengandungi pendakwaan dan kemudian terus dijatuhkan hukuman, sepatutnya tidak wujud lagi di zaman ini. Sama ada mereka yang bantah ini betul-betul tidak faham proses undang-undang dalam negara, atau pun berniat untuk ‘dumb-down’ (memperbodohkan) proses ini dan mengelirukan orang awam, hanya mereka yang dapat beri jawapannya. Membantah, hanya kerana dibolehkan untuk membantah.

Sebenarnya pemikiran sebegini adalah mirip dengan awal permulaan Gerakan Liberalisme. Gerakan ini bermula daripada gerakan reformasi yang bertujuan untuk menentang kekuasaan Gereja, menghadkan kekuasaan politik, mempertahankan kepemilikan serta menetapkan hak asasi manusia. Kemudian ia berkembang ke dalam seluruh bidang kehidupan, seperti liberalisme ekonomi, liberalisme budaya, liberalisme politik,dan liberalisme agama.

Sejarah menunjukkan bahawa Liberalisme, khususnya liberalisasi agama, telah lama meresap ke dalam agama Yahudi dan Kristian. Contohnya, Gerakan Yahudi Liberal pada abad ke-19, dan Gerakan Kristian Liberal, dimana berlaku rekonstruksi keimanan dan hukum agama mereka, dan memisahkan kepercayaan kepada perkara Ghaib daripada agama mereka.

Zaman ini, pengaruh liberalisme yang telah terjadi dalam agama Yahudi dan Kristian mulai diikuti oleh kelompok pemikir muslim seperti Jaringan Islam Liberal Indonesia, dan Sisters in Islam Malaysia. Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai ateis atau anti-agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, dan menilai semula syariat.

Bagi mereka agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, walaupun hukum-hakam itu telah sabit dengan dalil-dalil qat’ie, dan menolak segala tafsiran yang dianggap kolot, termasuk tafsiran daripada Rasulullah, para sahabat serta ulama mujtahid. Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, hak-hak manusia, dan persepsi tamadun global, maka hukum itu hendaklah digugurkan.

Bagi pendukungnya, liberalisme agama atau aqidah bertujuan untuk membawa manusia ke arah “satu kuasa progresif yang akan membebaskan manusia daripada kejahilan dan pemikiran tidak rasional”. Lutfi Syaukani, pengasas Jaringan Islam Liberal di Jakarta telah mengatakan “Keyakinan bahawa Al-Quran itu firman Allah SWT adalah satu angan-angan teologis, atau alkhayal al-diniy. Ia direka oleh para ulama’ terdahulu sebagai satu doktrin Islam, untuk mengawal orang awam.”

Cabaran gerakan liberalisme semakin menyerlah pada zaman ini, dan antara sebabnya adalah dengan berkembangnya golongan educated laity, atau orang awam yang berpendidikan. Pada dasarnya, meningkatkan tahap pendidikan orang awam tidak salah, malah disarankan oleh agama Islam. Namun kesilapannya adalah dengan memisahkan pendidikan dunia dan pendidikan agama, dan mencairkan kepentingan adab dalam pendidikan. Sekularisasi pendidikan menyebabkan seseorang yang telah melalui prosesnya, menganggap Islam serta pembangunan ilmiah dan tamadunnya bersifat jumud dan tidak sesuai dengan dunia sekarang.

Islam mengakui ada perkara yang bersifat keyakinan dan hukum yang bersifat tetap tidak berubah, iaitu hukum-hukum yang telah ditetapkan dengan dalil-dalil dan nas yang qat’ie berdasarkan al-Quran dan Hadis. Walaupun di sana terdapat hukum ijtihad yang dapat berubah tetapi tetap di bawah panduan nas-nas al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qiyas. Islam menolak kebebasan berfikir dalam hukum-hukum syariah, apalagi sampai merubah sesuatu yang sudah tetap dan “muhkamat” dari al-Quran dan Hadis.

“Dia-lah yang menurunkan kitab (al-Quran) kepada kamu, di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamat (ayat-ayat yang mempunyai pengertian dan hukum yang tetap dan pasti) , Itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain ayat-ayat mutasyaabihat (ayat-ayat yang mempunyai makna dapat ditakwilkan). Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari takwilnya, Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah, dan orang-orang yang mendalamilmunya berkata : “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami.” Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang yang berakal.” - (Surah Ali Imran : 7)

Bagi muslim liberal pula, ke semua ayat boleh ditakwilkan tanpa disiplin atau metodologi Islam, hanya mengikut kesesuaian akal fikiran mereka. Jika pemikiran terhadap Islam hanya menggunakan dasar rasional dan akal semata-mata, ia merupakan jalan menuju kesesatan. Begitu juga akal fikiran itu dipandu oleh hawa nafsu sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran:

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat dari agama itu Maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” - (Surah Al-Jasiyah : 18)

Justeru setiap muslim dalam negara harus peka tentang perkembangan pemikiran Islam liberal ini, terutama sekali pada golongan muda yang akan mewarisi negara. Sementara itu, mereka yang berkuasa untuk menggubal undang-undang perlu terus berusaha untuk menetapkan dan memperkasakan perundangan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di Malaysia. Ia adalah amanah besar yang perlu dipikul bersama, demi manfaat ummah dan negara.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019398
Hari ini: 248
Minggu Ini: 1,993
Bulan Ini: 4,539
Tahun Ini: 19,398
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.