SYRIA: KUNCI AKHIR ZAMAN

SYRIA: KUNCI AKHIR ZAMAN

Pada 8 Disember, agensi berita Rusia telah melaporkan bahawa Bashar al-Assad, mantan Presiden Syria, dan keluarganya telah tiba di Rusia, dan diberikan suaka menurut sumber Kremlin. Ia susulan kejatuhan ibu kota Syria, Damsyik, ke tangan tentera pembangkang. Apakah makna perkembangan terbaharu ini di sisi ummah, dan apakah kesudahannya?

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Nabi SAW telah berdoa: “Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Syam kami. Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Yemen kami.”Sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah dan juga pada Najd kami?’ Rasulullah SAW berdoa lagi: “Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Syam kami. Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Yemen kami.” Sahabat bertanya lagi: ‘Ya Rasulullah dan juga pada Najd kami?’ Maka seingatku, baginda bersabda pada kali ketiga: “Di sanalah munculnya kegoncangan dan fitnah serta di situlah munculnya tanduk syaitan.” -Riwayat al-Bukhari, at-Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Hibban

Doa Nabi SAW untuk Syam atau Syria ini adalah bukti keistimewaan kawasan itu dan penduduknya. Kota Damsyik terletak di bahagian barat daya Syria, kira-kira 85 km di tenggara Beirut, Lebanon. Damsyik adalah antara kota tertua di dunia dan dibangunkan sekitar 3000 tahun sebelum Masihi. Ia pernah dikuasai secara berganti-ganti oleh empayar seperti Assyria, Yunani, Rom dan Byzantium.

Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA, Damsyik ditakluk pada September 635 oleh tentera Islam. Panglima tentera Islam yang berjaya menawan Damsyik daripada Empayar Rom ialah Khalid bin al-Walid, Amru bin Al-As, Abu Ubaidah bin Jarrah, Yazid bin Abu Sufyan dan Syurahbil bin Hasanah. Sejak itu, kota yang pernah dihuni kaum Yahudi selama berabad-abad mengalami proses pengislaman secara damai, kerana Sayyidina Umar menetapkan kebebasan beragama bagi setiap penduduk.

Ketika Muawiyah bin Abu Sufyan mendirikan Kerajaan Umayyah, baginda menjadikan Damsyik sebagai ibu kota pemerintahannya. Pada masa inilah Damsyik menjadi pusat kegiatan penyebaran Islam dan perluasan wilayah. Muawiyah dan keturunannya meluaskan kuasanya sambil menyebarkan Islam ke banyak wilayah secara serentak.

Setelah zaman khalifah, Damsyik ditakluk oleh bangsa Mongol. Pada tahun 1516, Damsyik menjadi wilayah kekuasaan Turki hingga dibebaskan oleh pasukan gabungan Arab dan Pihak Berikat dalam Perang Dunia 1, 1918. Pada tahun 1920 pula,Damsyik jatuh ke tangan Perancis. Dan akhir sekali, pada tahun 1946, barulah Syria benar-benar bebas daripada penjajah, lalu mengisytiharkan kemerdekaannya dan menjadikan Damsyik ibu negaranya.

Selepas kemerdekaannya, politik di Syria sangat tidak stabil, disebabkan oleh pertempuran ideologi yang hebat antara kumpulan-kumpulan sosial, agama dan politik dalam negara. Pada tahun 1970 Syria berada di bawah pemerintah anautoritarian presiden Hafez al-Assad, setelah tewas kepada Israel pada tahun1967. Beliau meninggalkan legasi sektarian antara golongan-golongan Sunni, Nusayri-Alawi, dan minoriti lain di dalam kerajaannya. Hafez Al-Assad juga terkenal dengan pembunuhan beramai-ramai kaum Sunni di Hama pada tahun1982.

Kemudian takhta pemerintahan diturunkan ke anaknya, Bashar Al-Assad, dan semasa beliau menjadi presiden, tercetus perang saudara Syria pada tahun 2011. Perang ini menyaksikan kezaliman pada skala besar, dan mengakibatkan ramai rakyatnya terbunuh dan terpaksa menjadi pelarian di negara lain. Rakyat Syria sendiri menganggap perang ini sebagai perang proksi dan bukan perang saudara, kerana terlampau banyak campur tangan oleh kuasa-kuasa besar dunia, seperti Amerika Syarikat, Israel, Rusia dan Iran.

Kisah pemerintahan Bashar Al-Assad sudah tamat, apabila Rusia mengesahkan beliau telah mendarat di Moscow. Pengesahan itu bermakna Bashar bukan lagi pemerintah Syria secara rasmi, dan kumpulan pembangkang Hay’at Tahriral-Sham, yang diketuai Ahmed Hussein al-Sharaa, atau lebih dikenali sebagai Abu Mohamed al-Jolani, telah memilih seorang perdana menteri interim, Mohammedal-Bashir.

Dari sudut ekonomi, Syria adalah satu-satunya negara pengeluar minyak mentah yang penting di rantau timur laut Mediterranean, yang termasuk Jordan, Lubnan, Israel dan Palestin. Menurut Jurnal Minyak dan Gas, Syria mempunyai 2.5 billion tong rizab petroleum pada1Januari 2010. Walaupun kecil berbanding pengeluaran minyak negara-negara timur tengah, ia tetap penting untuk kuasa besar, oleh kerana lokasinya yang strategik antara Eropah Timur dan Laut Mediterranean.

Syria mempunyai populasi berjumlah lebih daripada 23 juta orang pada tahun 2023. Sehingga Disember 2024, terdapat kira-kira 6.3 juta pelarian Syria yang bertebaran di seluruh dunia, terutama di negara Turkiye, Lebanon dan Jordan. Ia merupakan antara krisis pelarian terbesar dalam sejarah moden, yang telah menyebabkan lebih daripada separuh penduduk Syria kehilangan tempat tinggal.

Rakyat Syria menganuti pelbagai agama berbeza. Majoritinya beragama Islam Sunni, diikuti Syiah, Kristian, Yahudi, Yazidi, Druze dan yang menganut agama Nusayri Alawi seperti Bashar al-Assad. Hafez dan anaknya Bashar al-Assad tidak menggunakan kekuatan melalui kepelbagaian agama ini, tetapi memilih untuk membahagikan kerajaan dan rakyatnya mengikut kepercayaan mereka. Minoriti Nusayri Alawi, kelompok ekstremis Syiah yang percaya bahawa Sayyidina Ali RA adalah jelmaan Allah SWT di atas dunia, diberikan pangkat dan kuasa di dalam angkatan tentera Syria. Manakala orang Islam Sunni dan Syiah, serta kaum Kristian diletakkan dalam institusi kerajaan.

Akibat amalan sektarian ini, kepimpinan Syria menjadi lemah, dan terlalu senang untuk dimanipulasi oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Eropah Barat, dan Rusia. Malah pada tahun 2018, Benjamin Netanyahu berkata bahawa Israel tidak membantah Bashar al-Assad mengambil semula kawalan ke atas Syria dan menstabilkan kuasa rejimnya. “Kami tidak mempunyai masalah dengan rejim Assad, selama 40 tahun tiada satu peluru pun dilepaskan ke Bukit Golan (oleh Bashar),” kata Netanyahu. Maka adakah dengan kejatuhan Bashar ini akan memberi tekanan kepada Israel, atau sebaliknya?

Beberapa hadith yang diriwayatkan menunjukkan bahawa bumi Syam serta kota Damsyik, merupakan kunci di akhir zaman dalam perspektif Islam. Di dalam sebuah hadith daripada an-Nawwas bin Sam’aan, Nabi SAW telah bersabda; “Allah mengutus Isa bin Maryam. Dia turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik dengan mengenakan pakaian yang dicelup dengan za'faran dalam keadaan berpegang kepada sayap dua malaikat.”-(RiwayatMuslim)

Imam Ibnu Kathir mengatakan bahawa Nabi Isa AS akan turun pada masa Imam Mahdi di Menara Putih, bahagian timur Masjid al Umawi, Kota Damsyik, Syria. Kemudian, daripada Abdullah bin Amru RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku bermimpi seakan-akan tonggak Al-Kitab telah tercabut dari bantalku, maka aku mengikuti arah perginya ia dengan penglihatanku. Tiba-tiba muncul cahaya yang terang-benderang menghala ke Syam. Ketahuilah, sesungguhnya iman pada saat fitnah berada di Syam.” - HR Al-Mundziri, At-Targhib Wa At-Tarhib (4/103).

Sultan Ulama’ Al'Izz bin Abdis Salam rahimahullah mengatakan bahawa Rasulullah SAW menyampaikan bahawa tiang Islam, iaitu iman, pada saat terjadinya fitnah-fitnah, berada di Syam. Apabila fitnah-fitnah yang muncul telah mengancam agama Islam,maka penduduk Syam berlepas diri darinya.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan terjadi Hari Kiamat sehingga tentera Rom menduduki A’maq atau Dabiq (Syria),maka keluarlah satu pasukan tentera untuk menghadapi mereka dari Madinah, yang terdiri daripada orang-orang yang terbaik ketika itu…” - HR Muslim, Sahih Muslim, no.2897

Justeru gambaran peperangan besar ini akan berlaku pada ketika kemunculan Imam al-Mahdi, dan peperangan yang akan berlaku ini sengit sehingga mengambil masa yang panjang dan mengorbankan nyawa yang ramai. Walaubagai mana pun, masa kejadiannya hanya diketahui Allah SWT.

Sejujurnya, adalah terlalu awal untuk meneliti strategi Hay’at Tahrir as-Syamatau HTS, serta kesatuan pembangkang, dan hubungan mereka terhadap Amerika Syarikat, puak Yahudi, Rusia dan negara-negara lain. Dalam perkembangan terbaharu, Israel telah melancarkan serangan udara berskala besar di Syria, menyasarkan lebih 500 sasaran termasuk lapangan terbang, dan turut merampas kawasan berhampiran Bukit Golan. Sementara itu, tentera diketuai puak Kurd dan disokong Amerika Syarikat, Syrian Democratic Forces (SDF), masih lagi bertempur dengan Syrian National Army (SNA), yang disokong olehTurkiye.

Perjalanan rakyat Syria masih panjang, dan kini mereka hanya fokus untuk membina balik dari sisa-sisa perang yang berlangsung lebih daripada sedekad. Mereka berhadapan dengan cabaran yang baharu dan berat, mungkin lebih berat daripada zaman rejim Bashar dan ayahnya sebelum ini. Kejatuhan Gaddafi di Libya, Saddam di Iraq dan Hosni Mubarak serta Syed Mursi di Mesir, memberi pengajaran buat kepimpinan dan rakyat Syria. Oleh itu, umat Islam di seluruh dunia harus elak daripada bertelagah tentang bumi Syam, tetapi panjatkan doa buat mereka, serta umat Islam di Palestin.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016818
Hari ini: 253
Minggu Ini: 1,623
Bulan Ini: 1,959
Tahun Ini: 16,818
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.