Pemikiran baru tentang peraturan kehidupan sosio-politik masuk pada abad ke-19 dari Eropah serta Amerika ke Timur Tengah dan mempengaruhi pemikiran pemimpin Islam. Menurut mereka, umat Islam dapat mengambil secara selektif undang-undang dan konsep baru dari Barat. Salah satunya ialah system demokrasi, yang kemudiannya memancing perdebatan tentang konstitusionalisme (batasan kuasa dan jaminan hak rakyat melalui perlembagaan) dalam system pemerintahan moden dan ajaran Islam tentang syura (majlis).
Kata demokrasi berasal daripada bahasa Yunani: demos (rakyat) dan kratos (pemerintahan). Dalam system demokrasi, masyarakat bertanggungjawab atas nasibnya sendiri. Rakyat berhak menentukan keperluan mereka sendiri dan merupakan sumber kuasa. Rakyat bebas menentukan pilihan yang terbaik baginya. Dalam demokrasi sebenar, setiap warganegara mempunyai hak yang sama untuk turut serta dalam menentukan arah pemerintahan.
DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT
Dalam ucapannya di Gettysburg (November 1863), Abraham Lincoln (presiden As) menggambarkan model pemerintahan ideal sebagai dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Pernyataan ini sering kali dirujuk sebagai takrif demokrasi dan merupakan bentuk ideal yang terus dilaksanakan pada abad berikutnya. Idea ini berdasarkan konsep bahawa semua manusia setara dan mempunyai hak asasi (seperti hak hidup, kebebasan dan pencapaian kebahagiaan) yang tidak boleh dirampas.
TEODEMOKRASI
Menurut Abu Ala al-Maududi (m.d. 1979), tokoh Islam India dan Pakistan, syura menjadikan negara Islam mengamalkan demokrasi. Sebutan paling sesuai bagi negara Islam ialah kerajaan Tuhan dengan nama teodemokrasi, yang berdasarkan prinsip kedaulatan Tuhan dan kekhalifahan manusia. Teodemokrasi bersifat teokrasi (segalanya berdasarkan perintah agama) dan mengamalkan demokrasi (setiap umat Islam ialah ejen realisasi mengikut kehendak Tuhan, dan masyarakat harus bermusyawarah).
KONSTITUSIONALISME
Pada akhir abad ke-19, ulama Iran telah memperdebatkan fahaman konstitusionalisme. Oleh sebab peranan pentingnya dalam kehidupan agama, sosial dan politik, ulama Iran merupakan pendukung gerakan konstitusional berpengaruh besar dalam Revolusi Konstitusional (1906). Inti pemikiran konstitusional ini mencakupi batasan kuasa raja. Syeikh Muhammad Husain Naini (m.d. 1936) ialah tokoh Iran yang menegaskan peri pentingnya demokrasi dan konstitusionalisme menurut Islam.
PADANAN SYURA
Ramai pemikir moden Islam menganggap demokrasi sebagai padanan syura dan ijmak (kata sepakat) asalkan bebas daripada pengertian yang bertentangan dengan ajaran Islam. Syura mewakili kedaulatan Tuhan, sedangkan demokrasi berkaitan dengan kedaulatan manusia (rakyat). Syura berfungsi sebagai penasihat (mulimah) dan pengikat (mulzimah) pemerintah. Syura sangat penting kerana tidak ada jaminan bahawa pemerintah, sekalipun orang Islam, selalu mendahulukan kepentingan iman dan rakyat.
PERINTAH AGAMA
Pada abad ke-20, wacana syura dilatarbelakangi oleh pemerintahan autokratik dan diktator di banyak negara Islam. Syura menjadi saluran antara warga dengan negara. Syura menyalurkan nasihat, pengawasan, penyertaan dan kuasa rakyat. Syura ialah perintah wajib agama kepada pemimpin untuk memusyawarahkan pendapatnya dengan rakyat. Masyarakat juga wajib menasihati, mendorong berbuat baik dan melarang pemimpin mereka berbuat mungkar.
AMALAN SYURA
1808- Dalam Kerajaan Uthmaniyah: Sultan Mahmud II mengadakan pertemuan badan penasihat Meclis-I Mesyveret (majlis musyawarah) untuk pertama kali.
1829- Di Mesir: Muhammad Ali (gabenor 1805-1848) menamai salah satu badan penasihat pemerintahannya Majlis al-Masyawarah.
1839- Dalam Kerajaan Uthmaniyah: ada institusi perunding yang disebut sebagai Meclis-I Syura.
1866- Di Mesir: Khedive Ismail menamai majlis penasihatnya Majlis Syura al-Nuwwab (majlis permusyawaratan utusan).
Di Parlimen, rakyat dapat menyuarakan pendapat mereka untuk menjamin kesejahteraan negara melalui wakil yang dipilih dalam pilihan raya umum. Pungutan suara dalam pilihan raya umum di Yaman. Melalui pilihan raya umum, rakyat menentukan calonnya sebagai wakil mereka di perlimen. Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln, pencetus idea demokrasi moden. Majlis Syura Iran. Konsep syura diwujudkan dalam bentuk perwakilan perlimen sebagai pengawal pemerintah.
