JANGAN MEMPERTUHANKAN POLITIK

JANGAN MEMPERTUHANKAN POLITIK

Samaada sedar mahupun tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai akhlak dan etika hingga manusia politik sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa. Lebih menyedihkan apabila senario semasa menyaksikan umat Islam sanggup menggadaikan prinsip agama bahkan lebih rela berkompromi dengan kebatilan hanya kerana kerakusan dan keghairahan untuk bertakhta.  .

Penyimpangan budaya politik ini juga seringkali mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri hingga memecahkan ikatan ukhuwah dan meleburkan kesatuan yang menjadi tunjang kekuatan bangsa dan negara.

Lihatlah apa yang berlaku apabila umat Islam terus-menerus berantakan sesama sendiri kerana politik hingga satu persatu isu-isu yang berkaitan kepentingan Islam dan umatnya mula dipersoalkan dan mudah diperkotak-katikkan oleh mereka yang berkepentingan.

Sebelum ini pernahkah kita mendengar ada pihak secara terang-terangan mempermainkan Islam dalam pelbagai bentuk melalui media-media alternatif seperti yang berlaku hari ini? Atau apakah kita pernah mendengar perkara-perkara fundamental yang sudah lama disepakati seperti kedudukan Islam dalam perlembagaan dipertikaikan semahunya walaupun rakyat selama ini hidup dengan aman lebih lima dasawarsa?

Sebenarnya ini semua berlaku lantaran wujud keghairahan dan kerakusan melampau dalam budaya perpolitikan umat di Malaysia kini yang menjadikan politik bukan sekadar alat, malah dalam banyak keadaan seolah-olah dipertuhankan dengan harapan kuasa dan pangkat mampu dikecap dengan apa cara sekalipun.

Hakikat yang harus difahami, Islam tidak pernah melarang umatnya berpolitik. Malah politik merupakan sebahagian daripada tuntutan agama yang memerlukan umat mentadbir kehidupan selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini. Cuma berpolitik dalam kerangka Islam tentunya tidak sama dengan pendekatan politik Barat acuan Machiavelli yang menghalalkan apa jua cara demi matlamat mendapatkan pangkat dan kuasa.

Sebab itulah Islam sebagai agama yang bermatlamat membebaskan manusia dari kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran yang bebas dan merdeka sejak dari awal lagi menggariskan pelbagai prinsip dan etika akhlak agar umat tahu batasan halal haram dalam berpolitik.

Sebaliknya apa yang sering terjadi ialah apabila umat terjun ke gelanggang politik mereka melupai segala perintah dan tuntunan agama. Mereka bagaikan membelakangi arahan Allah dalam Al-Quran: "Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan al-Rasul (al-Sunnah) - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya". (Al-Nisa:59).

Kealpaan ini juga didorong oleh budaya politik kesukuan atau politik asabiyah yang semakin mengakar dalam masyarakat ketika ini. Asabiyah yang dimaksudkan di sini tidak wajar disalah tafsir sebagai penentangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau bangsa. Walhal Islam sebagai agama fitrah turut memperakui tabii manusiawi yang tidak dapat lari daripada kecenderungan menyintai kaum kerabat mahupun bangsa sendiri.

Penentangan Islam terhadap sikap asabiyah yang membela atau menyokong kaum secara membuta-tuli turut dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi s.a.w.: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jamaah (kesepakatan kaum muslimin) lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan dan menyeru kepada asabiyyah atau marah kerana asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah (Riwayat Muslim).

Dengan kata lain politik asabiyah yang ditegah Allah ialah sikap perlampauan dalam mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan puak hingga membelakangi prinsip keadilan dan kebenaran yang menjadi asas politik Islam.

Budaya politik asabiyah seperti inilah yang seringkali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dokongan membuta-tuli kepada sesebuah parti politik jugalah yang mendorong gejala pelampauan hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat Islam.

Apa yang lebih menduka-citakan apabila wujud kelompok yang kononnya memperjuangkan Islam namun sikap dan tindakan lebih menjiwai politik asabiyah yang mendoktrinasi pengikut untuk menyokong parti secara membuta tuli. Kerakusan kepada kuasa juga sering mendorong perilaku songsang hingga sanggup mempertaruhkan ayat-ayat suci Allah dengan maksud menjustifikasi tindakan ataupun memburuk-burukkan parti lawan.

Semuanya dilakukan lantaran ketaksuban untuk mendapatkan kuasa hingga tergamak menggadaikan prinsip agama bahkan meleburkan nilai ukhuwah Islamiyyah yang menjadi tonggak kekuatan umat. Justeru sudah tiba masanya umat dijernihkan pemikiran mengenai budaya politik yang akan menentukan jatuh-bangunnya sesebuah tamadun.

Umat harus dipasakkan dalam pemikiran agar membebaskan diri daripada belenggu budaya politik asabiyah yang menyesatkan. Umat juga perlu disedarkan bahawa politik hanyalah alat bukannya matlamat sehingga boleh dipertuhankan melangkaui kepentingan agama. Hanya dengan kejernihan budaya politik kini, umat Islam akan dihormati dan tidak mudah diperkotak-katikkan.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

017941
Hari ini: 193
Minggu Ini: 536
Bulan Ini: 3,082
Tahun Ini: 17,941
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.