PERUNDANGAN SYARIAH: IHSAN, KEADILAN DAN PENGAJARAN

PERUNDANGAN SYARIAH: IHSAN, KEADILAN DAN PENGAJARAN

DARI Imran bin Husain, dikisahkan mengenai seorang wanita dari Juhainah yang sedang hamil kerana berzina, telah datang menghadap Rasulullah SAW. Berkata wanita itu, “Wahai Rasulullah, aku telah melanggar hukum, oleh kerana itu tegakkanlah hukuman itu (rejam) ke atasku.”

Rasulullah SAW memanggil wali wanita itu dan berkata, “Rawatlah wanita ini sebaik-baiknya. Apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku.” Lalu, walinya melakukan pesan tersebut. Kemudiannya, Rasulullah SAW memerintahkan hukuman rejam ke atas wanita itu. Sebelum hukuman dijalankan, pakaian wanita itu dirapikan supaya auratnya tidak terbuka ketika direjam. Kemudian, barulah hukuman dijalankan.

Setelah selesai hukuman, Rasulullah SAW melakukan solat jenazah ke atas wanita tersebut. Melihatkan hal tersebut, Umar Al-Khattab RA bertanya, “Wahai Nabi Allah, perlukah dia disolatkan? Bukankah dia telah berzina?” Baginda SAW menjawab, “Sungguh, dia telah bertaubat. Sekiranya taubatnya dibahagi-bahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti taubatnya akan mencukupi mereka semua. Adakah taubat yang lebih utama (hebat) daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Taala secara ikhlas?” (Sahih Muslim, no. 3209, Sunan Abu Daud, no. 3852)

Riwayat di atas menunjukkan bahawa hukuman jenayah dalam Islam telah dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Hukuman jenayah Islam ataupun hukum hudud adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan tidak boleh diubah-ubah. Hukum jenayah di dalam Islam dikategorikan kepada tiga jenis iaitu hudud, takzir dan qisas. Hukum hudud merangkumi hukuman sebat. Perlu diambil perhatian bahawa hukum sebat adalah untuk kesalahan-kesalahan tertentu sahaja; tidak semua kesalahan hudud dikenakan hukuman sebat.

Apapun jua jenayah yang dilakukan, hukuman hudud hanya dilaksanakan setelah dijalankan siasatan dan penelitian terperinci terhadap kejadian yang dilaporkan, setelah ada pengakuan atas pertuduhan ataupun bukti jelas dan nyata terhadap dakwaan. Hukuman dilaksanakan juga mengambil kira keadaan pesalah termasuk maruah dan kesihatannya. Ciri kemanusiaan, iaitu menjaga maruah, merupakan salah satu objektif pelaksanaan hukum hudud; ciri kedua yang diambil kira ialah hukuman tersebut mestilah memberi pengajaran kepada pesalah dan juga masyarakat.

Melihat pada ciri kemanusiaan diteliti, jelas tiada percanggahan antara hukuman yang dijalankan dengan tujuan dan pengajaran dalam pelaksanaan hukum hudud dengan dikaitkan kepada satu kes di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman enam sebatan terhadap pesalah khalwat berulang selepas pelaksanaannya digantung sementara susulan ada permohonan semakan keputusan. 

Hukuman sebatan itu yang dijadualkan semalam dan bertempat di lokasi yang ditetapkan sebelum ini, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Ladang, Kuala Terengganu dan hukuman akan dijalankan selepas solat Jumaat dengan kehadiran 70 orang khalayak yang dipilih.

Pesalah yang memakai pakaian lokap berwarna merah dan memakai pelitup muka kelihatan dan reda sewaktu menerima enam sebatan tersebut yang mengambil masa kira-kira dua minit. Dia menjalani hukuman berkenaan dalam keadaan berdiri membelakangi sebuah meja mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022. Bahagian belakang Mohd. Affendi dirotan oleh seorang tukang sebat lelaki dari Jabatan Penjara Marang.

Terdahulu, Mohd. Affendi dibawa pekarangan masjid dengan menaiki van sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pakar perubatan pada pukul 2.30 petang. Seramai 70 individu termasuk pengamal media dibenar memasuki dewan masjid untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman itu.

Pada 20 Nov lalu, seorang duda muncul sebagai pesalah pertama yang akan dihukum sebat secara terbuka atas kesalahan jenayah syariah di Terengganu. Hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menetapkan hukuman tersebut terhadap pesalah yang mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.

Pesalah telah didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. Dia turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. 

Pesalah yang juga seorang tukang rumah itu pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman. Bapa kepada lima anak itu sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jan lalu dan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000. Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman enam sebatan dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 6 Dis lalu namun dua hari sebelum itu, kerajaan negeri memaklumkan pelaksanaan hukuman digantung sementara.

Sebatan syariah dilakukan secara minimal. Antara garis panduan yang perlu dipenuhi ialah: menggunakan rotan yang sederhana saiznya – tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil, tidak berbuku dan tidak pecah-pecah agar tidak melukakan kulit pesalah. Mereka yang disebat berpakaian (tidak terlalu tebal) supaya rotan tidak mengenai kulit secara langsung. Sebatan secara duduk bagi perempuan dan berdiri bagi lelaki. Sebatan secara sederhana: terlalu kuat dan tidak terlalu ringan. Sebatan mengenai seluruh anggota kecuali kepala dan bahagian sulit. Tukang sebat tidak boleh mengangkat tangan melebihi paras bahunya ketika menghayun rotan dan menyebat menggunakan hanya sebelah tangan. Akhir sekali, tidak menjalankan hukuman sebat sekiranya pesalah sedang mengandung atau sakit atau sedang menyusui bayi

Berbalik kepada kes khalwat tersebut yang dihukum sebat ini, masyarakat sama ada Islam mahupun bukan Islam perlulah melihat kes ini tanpa prejudis. Pesalah tersebut adalah seorang Islam; perbuatan khalwat adalah salah dalam hukum syariah. Maka, sewajarnya pesalah dihukum dengan hukuman syariah. Apatah lagi, pesalah menjalani proses perundangan syariah yang betul. Hak kemanusiaan mereka dijaga sejak awal sehingga selesai hukuman.  

Secara keseluruhannya hukuman sebat tersebut boleh dianggap sebagai amaran supaya masyarakat termasuk pesalah menjauhi dan tidak mengulangi perbuatan zina yang termasuk antara dosa-dosa besar dalam Islam. Di sinilah masyarakat perlu mengambil iktibar dan pengajaran akan perkara ini tidak  berulang.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016818
Hari ini: 253
Minggu Ini: 1,623
Bulan Ini: 1,959
Tahun Ini: 16,818
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.