KEWAJIPAN MENTAATI PEMIMPIN DAN IMPLIKASINYA

KEWAJIPAN MENTAATI PEMIMPIN DAN IMPLIKASINYA

Pada masa ini, pelbagai persoalan yang timbul berkaitan dengan konsep kepimpinan dalam Islam, seperti siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin sesebuah negara? Dalam hal ini, konsep kepimpinan merujuk kepada khalifah atau imam, kelayakan seorang pemimpin yang wajar untuk ditaati, hukum mentaati pemerintah Islam serta batas-batas ketaatan kepada pemimpin negara.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya perihal kepimpinannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis tersebut mengisyaratkan amanah yang perlu ditanggung oleh mereka yang layak memegang kepimpinan sama ada kepimpinan organisasi, kumpulan, masyarakat mahupun negara. Amanah yang dipikul akan dipertanggungjawabkan kembali kepada pemimpin itu sendiri pada akhirat kelak. Hal ini membawa satu peringatan bahawa isu kepimpinan ini bukanlah suatu yang dilihat secara mudah.

Malah, dalam hadis yang lain pula menyebut, "Apabila bermusafir seramai tiga orang, maka lantiklah salah seorang di antara kamu sebagai ketua." (Riwayat Abu Daud).

Terdapat beberapa pendapat yang melihat isu di sekitar pela seorang pemimpin atas dasar akal ataupun syarak. Sesetengah ulama berpendapat bahawa pelantikan seorang imam ataupun pemimpin adalah wajib berasaskan hukum akal. Bagi sesebuah entiti sama ada sebuah organisasi, masyarakat bahkan keluarga, perlu ada sebuah kepimpinan yang diketuai oleh seorang pemimpin. Apatah lagi dalam konteks negara. Tanpa kepimpinan, sesebuah negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan tiada wawasan.

Secara semula jadi, pemimpin akan dilantik dalam kalangan mereka yang adil kerana manusia memerlukan keadilan dalam kehidupan mereka dan mengharapkan pemimpin yang mampu membawa mereka ke arah keadilan. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa melantik seorang pemimpin atau khalifah atau imam merupakan perkara yang syari'e berdasarkan tugas-tugas pemimpin yang perlu menjaga kelangsungan agama Islam dan melaksanakan perintah Allah dan Rasul.

Kepimpinan bukan satu keistimewaan, tetapi ia adalah tanggungjawab. Ia juga bukan satu kemudahan, tetapi satu pengorbanan. Bukan juga sesuatu yang hanya untuk bersenang-lenang, tetapi adalah kerja keras. Kepimpinan juga bukan ruang dan peluang untuk bertindak sesuka hati, tetapi sebagai wadah untuk memberikan perkhidmatan dengan penuh kesabaran. Seterusnya, kepimpinan ialah contoh dalam berbuat sesuatu dan mempelopori sesuatu tindakan.

Dalam Kamus Dewan edisi Keempat meletakkan makna pemimpin sebagaimana berikut:
Pemimpin (kata nama): 1. orang yg memimpin; 2. buku pedoman, petunjuk; memimpin (kata kerja)
1. Bersinonim dengan membimbing menuntu memegang tangan, mengganding.
2. Bersinonim dengan mengetuai: menerajui, memerintah, mengimami, mengemudi, mengepalai, menghulukan;
3. Bersinonim dengan melatih: mengajar, membimbing, memandu, mendidik, mengasuh, memelihara, menjaga;

Manakala kata nama bagi ketua kerajaan dan ketua negara mempunyai konotasi yang berbeza sebagaimana berikut:

Ketua kerajaan: pemimpin tertinggi sesebuah kerajaan, yang dilantik daripada ketua parti politik yang memerintah. Dalam konteks Malaysia, ketua kerajaan ialah Perdana Menteri Malaysia.
Ketua negara: pemimpin tertinggi sesebuah negara yang terdiri daripada seseorang raja atau pemimpin parti politik yang memerintah. Di Malaysia, ketua negara ialah Yang Di Pertuan Agong.

Dalam mentafsirkan makna pemimpin, khalifah, imam atau ulil amri berdasarkan surah an-Nisa' ayat ke 59:
يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن لَنَتَزَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta ulil amri (orang-orang yang berkuasa) di kalangan kamu. Kemudian jika mereka berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat" (Surah an-Nisa': 59).

Ulama' berselisih pendapat siapa yang dimaksudkan dengan ulil amri di dalam ayat ini:
1. Pendapat Abu Hurairah, Ibnu Abbas, dan Ibnu Zaid, maksud ulil amri di sini adalah para penguasa yang sah.
2. Pendapat Jabir bin Abdillah, Hasan al-Basri, Qotadah, Mujahid dan 'Atho', yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah ahlil ilmi (ulama) yang tegak di atas sunnah.
3. Pendapat Imam Mujahid dalam satu riwayat ulil amri adalah para sahabat Nabi SAW ada juga yang mengatakan ulil amri di sini adalah Abu Bakar dan Umar.

Berkata Ibnu Jarir al-Thabari dalam tafsirnya 5/150: pendapat yang kuat adalah pendapat yang pertama berdasarkan petunjuk Nabi SAW, dan pendapat ini dikuatkan oleh Imam Ibnu Kasir dalam tafsirnya 1/530.

Namun pendapat lain seperti Imam Ibnu Qayyim berkata: Yang sahih adalah yang mencakupi dua kelompok para penguasa dan para ulama kerana kedua-duanya sama-sama mengurus urusan manusia, dan ini adalah pendapat gurunya iaitu Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah (Lihat Majmu' Fatawa 28/180).

Dalam Tafsir al-Tabari pula, Abu Hurairah mentafsirkan perkataan "ulil amri" itu sebagai "golongan pemerintah". Pemerintah ialah mereka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk memimpin sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, pemimpin terbahagi kepada dua kategori. Pertama, pemimpin negara dan pemimpin kerajaan. Istilah pemimpin negara merujuk kepada kepimpinan tertinggi negara yang terdiri daripada Yang Di Pertuan Agong, manakala ketua kerajaan merujuk kepada kepimpinan tertinggi sesebuah kerajaan yang dipimpin oleh parti yang memenangi majoriti undi dalam Pilihan Raya Umum.

Ketua negara Islam merujuk kepada "khalifah", "amir al-mukminin". "al-hakim", sultan, "ulil amri", dan disebut oleh al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sulthaniyyah sebagai Imam. Dalam persoalan khalifah atau imamah, al-Mawardi menyatakan imamah merupakan manusia yang dilantik oleh Allah sebagai pengganti Rasulullah SAW yang akan memelihara agama dan menguruskan urus tadbir agama seperti yang disyariatkan oleh Allah.

Manakala Ibn Khaldun menyatakan dalam al-Muqaddimah:
"...menjadi khalifah (dalam sistem yang ideal) pada hakikatnya bermaksud bertindak sebagai pengganti pembawa syariat (Nabi Muhammad SAW) untuk tujuan menyebarkan syiar Islam dan menerajui kepimpinan siyasah di dunia ini..."
Oleh itu, ketua negara Islam merujuk kepada kepimpinan tertinggi bagi perkara-perkara keagamaan dan keduniaan. Firman Allah SWT.:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّا اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (٥٨)
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supay segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerima dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil). Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat." (Surah An-Nisa':58).

Sabda Rasulullah SAW:
سَيَلِيكُمْ بَعْدِي ولاةٌ ، فَيَلِيكُمُ الْبَرُّ بِيرِهِ ، وَالْفَاجِرُ بِفُجُورِهِ ، فَاسْمَعُوا لَهُمْ وَأَطِيعُوا فِيمَا وافق الحق ، وَصَلُّوا وَرَاءَهُمْ فَإِنْ أَحْسَنُوا فَلَكُمْ وَلَهُمْ ، وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِم . ( سنن الدار قطني رقم ١٧٥٩ .مجمع الزوائد رقم (٩١٠٥)
"Sepeninggalanku akan datang kepada kalian pemimpin-pemimpin, kemudian akan datang kepada kalian pemimpin yang baik dengan membawa kebaikannya. Kemudian datang kepada kalian pemimpin jahat yang membawa kejahatannya. Maka dengarkanlah mereka, dan taatilah apa sahaja yang sesuai dengan kebenaran. Jika mereka berbuat baik, maka kebaikan itu adalah untuk kalian dan mereka, dan jika berbuat jahat, maka kalian mendapat pahala dan mereka mendapat dosa." (Riwayat Abu Hurairah).

SYARAT-SYARAT PEMIMPIN

  1. Mempunyai wilayah (keupayaan) yang sempurna iaitu muslim, merdeka, lelaki, baligh dan sempurna akal fikiran.
  2. Adil, iaitu beragama Islam dan berakhlak mulia. Sifat tersebut diambil kira dalam semua perkara yang berkaitan dengan kuasa iaitu bersikap jujur, amanah, menjauhkan diri daripada perkara- perkara haram, suci daripada sebarang dosa, jauh daripada keraguan, terjamin benar apabila memberi persetujuan, benar apabila marah, menjaga maruah dalam urusan agama dan dunianya. Kesimpulannya ialah melaksanakan kewajipan- kewajipan syarak serta meninggalkan semua larangan agama dan maksiat.
  3. Kelayakan ilmiah iaitu mempunyai ilmu pengetahuan melayakkan berijtihad untuk mendapatkan hukum atau keputusan bagi sebarang perkara yang berlaku dalam semua aspek politik, ekonomi, sosial dan budaya.
  4. Halus dan tajam pemikirannya dalam menangani masalah- masalah politik, ketenteraan dan pentadbiran. Syarat ini memerlukan pengalaman yang cukup mengenai urusan orang awam, urusan negara, keperluan pemerintah dan politik.
  5. Berpendirian tegas iaitu berani dan suka menolong yang mendorong kepada mempertahankan kedaulatan negara.
  6. Keupayaan jasmani iaitu sempurna pancaindera yang terdiri daripada pendengaran, penglihatan, dan lidah supaya dapat mengetahui dengan sempurna terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.
  7. Keturunan Quraisy. Syarat ini mempunyai perbezaan pendapat mengenainya. Oleh itu syarat yang sesuai pada masa ini ialah.
    orang yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir urusan orang-orang Islam mestilah terdiri daripada orang yang diikuti, ditaati, dipersetujui ramai dan mempunyai kekuatan yang bersandarkan kemahuan umum, maka itu semua akan menghasilkan kesatuan dan menghapuskan perpecahan.

Para pakar yang mengkaji al-Quran dan al-Hadis menetapkan empat sifat yang harus dipenuhi oleh para nabi dan pemimpin. Pertama, al-Shidiq yang bermaksud kebenaran dan kesungguhan dalam sikap, ucapan serta berjuang melaksanakan tugas. Sifat kedua ialah al-Amanah atau kepercayaan, iaitu memelihara sebaik-baiknya tentang apa yang telah dipertanggungjawabkan, baik daripada Tuhan mahupun orang yang dipimpin sehingga mewujudkan keharmonian dalam kalangan semua pihak.

Seterusnya, al-Fathanah, bermaksud kecerdasan yang melahirkan kemampuan untuk berhadapan dengan pelbagai persoalan dan permasalahan. Dan, keempat At-Tabligh, iaitu menyampaikan sesuatu dengan penuh kejujuran dan bertanggungjawab. Hal yang demikian itu diistilahkan sebagai sifat keterbukaan.

Contoh terbaik dalam memerihalkan aspek kepimpinan ini ialah menerusi cara yang diaplikasi oleh Rasulullah SAW. Kepimpinan Rasulullah berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Baginda sayang dan kasih kepada umatnya, bukan hanya di bibir, tetapi dipamerkan pada perbuatan serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Oleh hal yang demikian, umat Islam perlu mencintai Rasulullah dengan mematuhi segenap ajaran yang disampaikan oleh baginda dan sanggup pula berkorban dalam melaksana dan mempertahankan agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.

Antara faktor yang mempengaruhi hubungan tersebut ialah ajaran-ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad, secara telus dan terus menyerap ke dalam jiwa orang ramai. Dasar-dasar kepimpinan baginda bersifat kerukunan di kalangan masyarakat serta terarah kepada kedamaian dan perdamaian yang abadi.

Baginda terlebih dahulu menyatukan tujuan hidup dengan akidah, kemudian ditautkan hati dengan hati, jiwa dengan jiwa kerana segala sesuatu itu berkait rapat dengan sifat lahiriah yang bertunjangkan sumber-sumber rohaniah.

Kewajipan Mentaati Pemerintah

Berkata Sheikh Sa'di, "Tidak mungkin tertegak urusan agama dan urusan dunia manusia kecuali dengan memberikan ketaatan kepada penguasa."

Antara dalil-dali yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadis yang mengisyaratkan perintah wajib mentaati pemerintah adalah seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرُ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ، وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْ لَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَا تَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قليلا
Makudnya: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada "ulil-amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (An-Nisa':83)

Allah berfirman:
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ الله مع الصابرين
"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Anfal: 46)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Hai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu." (al-Maidah: 1)
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً
"Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dimintai pertanggungjawabannya." (Al-Isra':34)
وأوفوا بعهد الله إذا عاهدتُم ولا تنقُضُوا الأيمان بعد توكيدهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ الله عليكمْ كَفِيلاً إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. (al-Nahl: 91)

Manakala perintah taat daripada hadis pula:
عَلَى الْمَرْءِ المُسلِم السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَب وَكَرَهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةِ فَإِنْ أمر بمعْصِيَةِ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَة
"Wajib atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang ia sukai dan tidak ia sukai, kecuali jika diperintahkan berbuat maksiat, jika diperintahkan berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat." (HR Bukhari dan Muslim)
من أطاعني فقد أطاع الله وَمَن يَعْصِنِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعِ الأمير فقد أطاعني ومن يعص الأمير فقد عصاني . (أحمد ٧٤٣٤, البخاري ٢٩٥٧, النسائ ٤١٩٢ )
"Barangsiapa taat kepadaku bererti ia telah taat kepada Allah s.w.t. dan barangsiapa yang bermaksiat kepadaku bererti ia telah bermaksiat kepada Allah. Dan barangsiapa yang taat kepada amir (yang Muslim) maka ia taat kepadaku dan barangsiapa yang bermaksiat kepada amir, maka ia bermaksiat kepadaku," (Muttafaq Alaih)
عن أم سلمة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ستكون أمراء فتعرفون وتنكرون فمن عرف برئ ومن أنكر سلم ولكن من رضي وتابع قالوا أفلا نقاتلهم ؟ قال : لا ما صلوا ( صحيح مسلم رقم ١٨٥٤, صحيح ابن حبان ٦٦٥٨ وأحمد ٢٩٥/٦(
"Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut". Para sahabat berkata: 'Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?" Kata baginda: "Tidak boleh selagi mereka bersolat".

Sabda Baginda lagi:
مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَة لقي الله يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ وليس في عنقه بَيْعَةً مات ميتة جاهلية . (صحيح مسلم رقم ١٨٥١ وأحمد ۲ / ۱۱۱ (٥٨٩٧)).
"Sesiapa yang menarik kesetiaan terhadap pemerintah, ia menemui Allah s.w.t tanpa sebarang hujah. Sesiapa mati tanpa kesetiaan terhadap pemerintah, matinya seperti kematian dalam jahiliah (maksiat)," (Riwayat Muslim).

Begitu juga dari Ibnu Abbas r.a dari Nabi SAW:
من رأى من أميره شيئا يكرهه فليصبر فإنه من فارق الجماعة شبرا فمات فميتة جاهلية. أحمد ١ / ٢٤٨٧٢٧٥ البخاري ٧٠٥٤, مسلم (١٨٤٩ )
"Sesiapapun yang melihat sesuatu dari pemimpinnya yang tidak disukainya, hendaklah ia bersabar terhadapnya, sebab siapa yang memisahkan dirinya sejengkal dari Jemaah lalu ia mati, kecuali mati seperti mati jahiliyyah." (HR al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar menyifatkan maksud mati jahiliah di sini adalah mati dalam keadaan sesat dan maksiat. Manakala perkataan "jamaah" pula merujuk kepada jemaah pemerintah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ya'la:
"Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh dua puak semuanya dalam neraka kecuali satu puak. Kami bertanya: Wahai Nabi Allah, puak manakah itu? Baginda bersabda: "al- Jamaah". Yazid al-Raqasyi berkata: Aku berkata pada Anas, "Wahai Abu Hamzah, di manakah Jamaah itu? Berkata Anas, Bersama dengan pemerintah-pemerintah kamu."

Ketaatan kepada pemimpin merupakan perkara usul dalam manhaj Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini berdasarkan pendapat dan tulisan daripada para ulama salaf yang ditulis dalam kitab-kitab akidah Ahlussunnah. Imam Ahmad rahimahullah berkata dalam risalah Usul Al-Sunnah, "Wajib untuk mendengar dan taat kepada para pemimpin dan amirul mukminin, baik dia orang yang baik maupun orang yang jahat."

Imam At-Thahawi berkata dalam kitab Al-Aqidah Ath-Thahawiah, "Kami memandang bahawa mentaati penguasa merupakan sebahagian dari ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla. Taat kepada pemerintah adalah suatu kewajipan selama mereka tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Kami mendoakan mereka agar mendapatkan kesalehan dan kebaikan."

Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama telah bersepakat mengenai kewajipan taat kepada pemerintah. Ia meliputi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negara bagi kaum muslimin atau pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu. Dalam konteks sebuah negara yang stabil, setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya wajib yakin bahawa pemerintah berhak mendapat taat setia rakyat. Ini merupakan kewajipan syariat.

Islam menjauhi umatnya menjauhi sikap "khuruj" iaitu melakukan pemberontakan, penderhakaan dan lain-lain cara penentangan dengan cara yang salah. Ini bermakna, sekiranya wujud kesilapan oleh pemerintah, kita tidak boleh sesuka hati menentang.

Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama. Amalan itu merupakan ajaran Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ramai yang lupa apabila keghairahan dan ketaksuban menguasai diri sehingga sanggup menderhaka kepada raja (pemerintah). Lebih dahsyat lagi ada yang sanggup menghasut masyarakat membenci raja. Perbuatan ini ternyata bertentangan dengan syariat Islam.

Apabila rakyat makmur dan sejahtera, tidak ada alasan bagi rakyat melakukan pemberontakan terhadap kerajaan. Sesungguhnya menjadi kewajipan rakyat menyokong dan membantu kerajaan sebagai balasan terhadap apa yang diberikan dan diperjuangkan kerajaan kepada rakyat.

Rasulullah SAW pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi Muhammad SAW menjawab menerusi sabda Baginda yang bermaksud: "Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang pemerintah dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah itu tetapi tetap tidak melepaskan ketaatan kepada pemerintah tersebut." (Riwayat Muslim).

Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunah.
Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda:
"Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima) arahan itu dan juga tidak boleh taat." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana. Tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya' dan juga mungkar dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi.

Dalam hal ini, menarik sekiranya kita mengambil pandangan Imam al- Ghazali mengenai cara menangani kepimpinan bermasalah. Menurut tokoh yang digelar sebagai hujjatul Islam itu, pemimpin bermasalah bahkan pemimpin zalim pun tidak boleh ditukar secara sewenang- wenangnya tanpa mempertimbangkan kerosakan dan kekacauan yang bakal timbul.

Menurut al-Ghazali pendekatan revolusi dan radikal bagi mengganti pemimpin perlu dielakkan. Sebaliknya, al-Ghazali menekankan prinsip nasihat dan rundingan sebagai kaedah untuk meluruskan pemimpin ke landasan yang benar dan diredai.

Keutamaan untuk memilih mengekalkan suasana kondusif dan mengelakkan kekacauan sebagaimana yang dianjurkan al-Ghazali bukannya tanpa asas. Perkara ini turut disentuh oleh pendapat popular Ibn Taimiyah dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar'iyyah yang menyatakan bahawa 60 tahun di bawah pemerintahan zalim lebih baik daripada satu malam tanpa pemerintahan. Negara tanpa ada kerajaan dan pemimpin akan menyebabkan kekacauan.

Ini bermakna, menciptakan keadaan sosio-politik yang stabil, damai, harmoni, meletakkan nilai kepentingan am sebagai segala-galanya, lebih diutamakan berbanding merombak dan menukar kepimpinan yang zalim sekalipun, akan tetapi natijahnya menciptakan keadaan ketidakstabilan negara, huru-hara, kekacauan dan krisis yang berpanjangan.

Batas Ketaatan kepada Pemimpin

Prinsip ketaatan adalah suatu yang penting bagi sesebuah negara atau jemaah bagi membolehkan negara melaksanakan matlamat negara (ghayat al-daulah) secara berkesan. Hal ini ditegaskan melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa' ayat ke 58 dan 59,
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بصير ال (٥٨)
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil). Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat."(Surah An-Nisa':58)


يَتَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن لَنَتَزَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) di kalangan kamu. Kemudian jika mereka berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat". (Surah al-Nisa': 59)

Perintah ketaatan datang setelah perintah untuk pemerintah melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka. Sepertimana yang disebut oleh al-Mawardi bahawa menjadi tanggungjawab rakyat pula memberi ketaatan kepada pemerintah. Walau bagaimanapun, ketaatan kepada pemerintah muslim adalah dibatasi atas perkara ma'ruf sahaja dan tidak dibenarkan mentaati dalam perkara maksiat.

Sabda Rasulullah s.a.w,

لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق ( سنن الترمذي رقم ۱۷۰۷الطبراني ۲۸۱ شرح السنة للبغوي رقم ٤٥٥(
"Tiada taat kepada makhluk pada perintah maksiat kepada al-Khaliq (Allah s.w.t)." (Muttafaq Alaih)
Hadis tersebut menunjukkan hak sesorang pemerintah untuk ditaati tidak sama dengan hak untuk mentaati Allah s.w.t dan Rasulullah. Hal ini dibatasi selagi mana tidak menampakkan kekufuran yang nyata. Sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w:
حدثنا إسحق بن بن إبراهيم الحنظلي أخبرنا عيسى يونس حدثنا الأوزاعي عن يزيد بن يزيد بن جابر عن رزيق بن حيان عن مسلم بن قرظة عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم قيل يا رسول الله أفلا ننا بذهم بالسيف فقال لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولاتكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة» (أحمد ٢٤٤٨١/6/٢٤سنن الدارمي ۲۷۹۷ مسلم ٤٨٢٢)
"Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu suka dan mereka juga menyukai kamu, mereka mendoakan untukmu, dan kamu juga mendoakan untuk mereka. Pemimpin-pemimpin kamu yang tidak baik pula ialah mereka yang kamu tidak suka dan mereka juga tidak menyukai kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka juga mengutuk kamu. Rasulullah s.a.w ditanya, "Bolehkah kami menentang mereka dengan pedang (kekuatan)? "Rasulullah s.a.w menjawab, "Tidak boleh, selagi mereka menegakkan solat di kalangan kamu. Apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak suka pada pemerintah kamu maka hendaklah kamu membenci perbuatannya sahaja tetapi janganlah kamu menarik balik kesetiaan kamu terhadapnya."

Dalam hadis tersebut menjelaskan bahawa kewajipan rakyat untuk terus memberikan kesetiaan kepada pemerintah selagi mana tindakan pemerintah tersebut tidak membawa kepada kemungkaran dan mafsadah (keburukan).

Walau bagaimanapun, seruan kewajipan untuk mentaati pemimpin tidak menghalang sesiapa pun menegur dan menasihati pemimpin yang melakukan kesalahan. Hal ini kerana seorang pemimpin tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Firman Allah yang bermaksud:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ، وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (surah An-Nahl: 125)

Menurut Imam al-Ghazali, proses amar makruf terbahagi kepada lima peringkat:
1. Takrif (memberitahu)
2. Menasihati dengan kata-kata yang lembut
3. Menggunakan kata-kata yang keras
4. Mencegah dengan kekuatan
5. Menggunakan cara ugutan

Tamim Bin Aus meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w:
إن الدين النصيحة الله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم (رواه رواه مسلم وأحمد وأبو داود النسائي والترمذي والبناري)
"Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi (mentaati) Allah dan RasulNya, bagi menolong para pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.

Menurut al-Khatibi, makna perkataan nasihat adalah:
)النصيحة كلمة يعبر بها عن جملة هي : إرادة الخير للمنصوح له(
"Nasihat adalah suatu perkataan yang digunapakai bagi menerangkan sejumlah makna iaitu inginkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati."

Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan makna nasihat untuk para pemerintah umat Islam berkata:
أما النصيحة لأئمة المسلمين : فحب صلاحهم ورشدهم وعدلهم وحب الإجتماع الأمة عليهم وكراهية افتراق الأمة عليهم وكراهية افتراق الأمة عليهم والتدين بطاعتهم في طاعة الله عز وجل
"Adapun pengertian nasihat kepada para pemerintah umat Islam ialah: Ingin supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, supaya umat bersatu di bawah pemerintahan mereka dan tidak berpecah-belah.'

Manakala Abu Amr bin al-Salah menyatakan:
أما النصيحة لأئمة المسلمين : معاونتهم على الحق وطاعتهم فيه وتذكيرهم به ونتبيههم في رفق ولطف ومجانبة الوثوب عليهم والدعاء لهم بالتوفيق وحث الأغيار على ذلك
"Nasihat untuk pemerintah umat Islam ialah membantu mereka dalam perkara yang benar, taat kepada mereka pada perkara yang benar, mengingatkan mereka pada kebenaran, menegur mereka dengan cara yang lemah lembut, menjauhkan diri daripada bertindak menentang mereka, menggalakkan orang ramai berbuat demikian."

Sabda Rasulullah SAW:
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان ) رواه مسلم ٤٩ / ابن ماجه ٤٠١٣ ابن حبان و البيهقي(
Dari Abu Sa'id Al Khudri radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda: "Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah (kemungkaran tersebut) dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman."

Kemampuan menegur seorang pemimpin merupakan suatu dakwah yang paling besar kerana bukan semua orang diharuskan menasihati pemimpin. Bahkan dalam hadis tersebut jelas menunjukkan mencegah atau menegur pemimpin pada perkara yang munkar sahaja sebagaimana terdapat di dalam matan hadis tersebut. Walau bagaimanapun, Islam tetap menitik beratkan tentang adab dan akhlak serta menegah daripada bersikap berlebihan dalam menasihati seperti menghina dan mencerca secara peribadi.

Malah dalam sabda Rasulullah SAW dalam hal menyampaikan nasihat,
من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده له علانية ولكن ليأخذ بيده فليخلو به فإن قبل منه فذاك وإلا فقد أدى الذي عليه
"Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah ia menyampaikan secara terang- terangan tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian. Sekiranya nasihat itu diterima maka itulah yang baik tetapi sekiranya tidak diterima, maka ia (pemberi nasihat) dikira telah melaksanakan tanggungjawabnya." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Implikasi Tidak Mentaati Pemimpin

Perpaduan merupakan satu rahmat yang diberikan oleh Allah SWT. Malah perpaduan merupakan tulang belakang kepada sesebuah negara. Mana mungkin sebuah negara yang mampu berdiri teguh tanpa ada kesatuan dan kesalinghubungan yang harmoni antara rakyat dan pemerintah. Kelangsungan hubungan antara pemerintah dan rakyat berasaskan konsep khalifah dan amanah. Dalam nada yang sama, pemerintahan itu adalah suatu taklif dan amanah yang diberikan kepada mereka supaya merealisasikan tugas-tugas dan kewajipan mereka sebagai pemerintah. Allah berfirman:
قَالُوا أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِنْ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا قَالَ عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ (٢)
"Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian la akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?" (Surah al-A'raf: 129).

Maka, kewajipan rakyat bersama-sama kepimpinan negara adalah suatu yang tidak dapat dinafikan lagi sekiranya pemimpin menjalankan amanah mereka dengan adil. Oleh yang demikian kegagalan rakyat mentaati arahan pemimpin mengakibatkan pemimpin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna.

Seterusnya, implikasi yang akan dihadapi apabila rakyat enggan mentaati pemimpin Islam akan membantut perkembangan Islamisasi dalam pentadbiran negara. Dalam Islam mengiktiraf kedudukan penguasa atau ketua negara sebagai khalifah Allah yang menjadi penerus kepada kelangsungan ajaran Islam dalam sesebuah negara.

Allah telah menyatakan kedaulatan-Nya supaya ditaati oleh sekalian makhluk seperti firman-Nya dalam surah al-Nisa': 80:
مَن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَن تَوَلَّى فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

Firman Allah s.w.t lagi yang menegaskan pengiktirafan pemimpin atau ketua negara sebagai pemegang kedaulatan dalam kalangan manusia iaitu khalifah di muka bumi ini:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا 
"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata."(Al-Ahzab: 36).

Dalam konteks yang lebih luas, implikasi daripada tidak mentaati kepimpinan negara ialah wujudnya sikap yang ekstrem dalam diri manusia. Setiap kali mereka beranggapan pemerintah bertindak tidak adil atau zalim, mereka cenderung bertindak balas dengan cara-cara yang ganas dan mencetuskan mudarat yang lebih besar. Walhal, dalam Islam perjuangan yang bercirikan anarkisme, revolusi, kudeta, provokasi, propaganda serta rampasan kuasa adalah tidak sesuai dengan tuntutan fitrah agama dan ia adalah haram.

Hasan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin juga mengambil kaedah mendekatkan masyarakat menerusi pemahaman dan membudayakan syariat. Meskipun dibatalkan kemenangan pertamanya di Ismailiyyah, Hassan al-Banna tidak pernah memprovokasi dengan menentang pemerintah menerusi revolusi atau kekerasan. Sebaliknya, apa yang dilakukan adalah mengajak penyokongnya memperbaiki dasar pemerintah menerusi dakwah dan ketajaman intelek.

Menurut Hasan al-Banna manusia sebenarnya sering terkeliru sehingga tenggelam dalam lautan falsafah dan merasa lapang menerima contoh- contoh yang berdasarkan sumber akal, sebagaimana terkelirunya ulama politik apabila mengeluarkan resolusi wajib menyertai perhimpunan berkenaan. Bagi pengasas Ikhwanul Muslimin itu, apabila sesebuah negara itu berada dalam keadaan aman, kehidupan masyarakat sejahtera dan makmur, maka rakyat wajib menyokong dan membantu pemerintah.

Perkembangan semasa negara ini telah mendesak para penguasa memperbaiki malah mengubah sistem sedia ada kepada sistem pentadbiran berlandaskan Islam. Hasilnya yang dapat kita lihat ialah perkembangan institusi-institusi pentadbiran Islam yang tujuannya menjaga kemaslahatan dan lima prinsip maqasid Islam untuk setiap muslim di negara ini.

Rakyat yang tidak taat kepada pemimpin juga boleh membawa implikasi terhadap hak-hak mutlak Islam dan kesuciannya di negara ini. Sebagai contoh, isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Herald The Catholic Weekly boleh dijadikan rujukan kes yang menunjukkan polemik yang melibatkan akidah tauhid bagi agama Islam. Di sinilah menunjukkan pentingnya penglibatan pemerintah dalam memastikan kesucian agama Islam tetap terpelihara. Peranan pemerintah sama ada menggubal undang-undang bagi menghalang sebarang tindakan yang akan menjejaskan kesucian nilai ketauhidan dalam kalimah Allah yang telah diguna pakai oleh umat Islam adalah dianggap syarie.

Hal ini berdasarkan tanggungjawab pemimpin iaitu melindungi agama dan menguruskan urusan keduniaan. Secara lebih terperinci, al-Mawardi telah mengemukakan sepuluh tugas dan tanggungjawab yang harus dilakukan oleh pemimpin (khalifah) yang meliputi memelihara akidah, melindungi wilayah negara, menguatkuasakan hukum syariah, melindungi sempadan negara, mengawal pengurusan kewangan tanpa berlaku pembaziran, mengangkat tenaga kerja yang terlatih dan beramanah, serta memastikan hal ehwal awam terjaga.

Kesimpulannya, pendekatan menasihati pemerintah adalah pendekatan yang utama dalam mengekalkan kesepaduan ummah. Kepentingan agama dan kedaulatan ummah adalah perkara yang menjadi tanggungjawab ke atas pemimpin. Namun setiap manusia yang melakukan kesalahan perlulah diberikan nasihat dengan cara yang tepat yang berlandaskan ajaran Islam.

 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019402
Hari ini: 252
Minggu Ini: 1,997
Bulan Ini: 4,543
Tahun Ini: 19,402
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.