Sejarah kehidupan keagamaan membuktikan betapa fenomena kekerasan telah banyak mengorbankan para syuhada di tangan golongan pelampau atau ekstremis. Kemurniaan dan kesederhanaan agama Islam seolah-olah tertutup oleh awan kelabu akibat perbuatan segelintir kecil umat Islam yang menghalalkan cara `kekerasan' atau `militant..
Ingatlah, Allah memerintahkan kita mempersiapkan kekuatan, bukan untuk digunakan bagi mengancam dan menakutkan orang ramai. Memiliki kekuatan bukan untuk menganiaya atau memusnahkan. Ia perlu digunakan untuk membangunkan ummah.
Dalam suasana yang diliputi unsur kekerasan dalam agama, tidak boleh tidak mata tertumpu kepada tokoh agama dari segenap kelompok. Merekalah yang harus tampil untuk meredakan naluri agresif pengikutnya.
Kemunafikan manusia hari ini jelas tergambar melalui pengakuan mereka sebagai pejuang Islam dan meletakkan diri mereka setaraf dengan ulama serta merasai lebih alim daripada manusia lain tetapi hakikatnya mereka jahil dan bodoh.
Kita memerlukan Islam yang tampil dengan wajah yang ramah dan penuh kasih sayang. Kita tidak memerlukan Islam yang terikat pada bentuk-bentuk lahiriah yang terlalu setia sehingga mengabaikan inti sebenar daripada ajaran Islam. Demikian juga apa yang berlaku kepada sesetengah golongan apabila memberi syarahan agama yang bertujuan mengajak manusia dekat dengan agama, tetapi bentuk ceramah itu pula disirami dengan celaan, ejekan, kecaman dan teriakan sehingga menjauhkan kecintaan orang ramai kepada agama.
Apa pun bentuk keimanan yang sebenarnya adalah keimanan yang dapat menarik semua orang ke pangkuan Islam. Janganlah bersikap takbur dan angkuh dalam apa juga bentuk perjuangan apatah lagi atas nama Islam. Rasulullah s.a.w pernah berkata kepada Abu Dzar.
Wahai Abu Dzar, barang siapa mati dan dalam hatinya wujud sebesar debu daripada takbur, maka ia tidak akan mencium bau syurga kecuali ia sempat bertaubat sebelum maut menjemputnya.
Hakikatnya agama mana sekalipun menolak unsur-unsur keganasan dan kekerasan yang boleh mendatangkan keburukan bukan sahaja kepada manusia, malah seluruh makhluk di muka bumi ini.Perlakuan yang bercirikan kekerasan di abad ini telah ditolak oleh keseluruhan masyarakat dunia. Masyarakat dunia hanya akan menerima sebuah sistem yang berdasarkan atas prinsip kedamaian dan antikekerasan.
Tidak ada satu kebaikan pun yang diperoleh hasil daripada tindakan kekerasan. Apa sahaja yang muncul hasil daripada tindakan kekerasan akan mengembangkan sikap egoisme yang akhirnya menghancurkan diri manusia itu sendiri. Sebaliknya sikap lembut dan antikekerasan akan menjernihkan hati nurani siapa sahaja.
Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan. Agama tidak akan aman sama sekali daripada pelampau dan penindasan segolongan daripada masyarakatnya.
Hak sebuah masyarakat dalam menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem yang diikuti dan diterima oleh mereka. Perlakuan amar makruf dan nahi mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang jelas akan mendorong mereka yang melakukan `amar makruf ini menceroboh hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan individu serta kebebasan mereka.
Fenomena kekerasan ini tidak hanya terbatas pada kurun waktu tertentu. Bahkan pada masa kini, iaitu ketika meluasnya seruan sikap muhibah, bertolak ansur dan kesefahaman antara umat beragama.
Agama bertujuan menghubungkan manusia dengan Tuhan dan tidak pernah bertujuan membangkitkan massa untuk melakukan suatu kekerasan. Walaupun tradisi menggunakan kekerasan dalam bentuk perang merupakan cara mudah untuk membangun suatu bangsa dalam sejarah peradaban manusia, namun sejarah membuktikan pula bahawa tidak satu agama pun yang membenarkan kekerasan ini.
