MENCONTOHI SIKAP NABI MENGHORMATI AGAMA LAIN

MENCONTOHI SIKAP NABI MENGHORMATI AGAMA LAIN

Kalau dilihat dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk yang telah berjaya membawa keserasian sosial di negara ini, ia adalah salah satu hakikat daripada ajaran Nabi Muhammad s. a.w. Kita amat bersyukur kerana dunia tertumpu kepada kita dengan penuh penghargaan bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w terpancar dalam kehidupan bangsa Malaysia.

Musibah banjir yg yang menimpa negara kita baru-baru ini boleh diambil ikhtibar oleh seluruh rakyat Malaysia bagaimana  sikap prihatin kita dengan mengetepikan perbezaan agama itu membantu mereka yang di dalam darurat menbawa masuk ke dalam Masjid adalah tepat, sekali gus melambangkan semangat Keperihatinan yang patut dicontohi dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Tindakan pengurusan surau dan masjid yang membuka pintu sebagai tempat berlindung kepada mangsa banjir yang bukan beragama islam harus dipuji.

Islam di Malaysia, menurut pandangan dunia luar, menampakkan wajah-wajah yang menarik dan karakternya yang memikat sebagai kerahmatan lil alamin (sebagai rahmat bagi seluruh alam, seluruh manusia) jauh daripada radikalisme dan ekstremisme yang melanda dunia masa kini. Mereka mengagumi pendekatan keagamaan kita, mereka menunjuki Malaysia sebagai model alternatif bagi kewujudan kerukunan hidup antara umat beragama di permukaan bumi ini. Ramai di kalangan cendekiawan Muslim terkenal meramalkan bahawa Islam yang indah, sejuk dan menarik yang menghidupkan kembali nilai-nilai luhur, toleransi daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w akan menyingsing dari bumi Malaysia.

Jelas sekali bahawa pengamalan agama dalam masyarakat Malaysia dibanding dengan masyarakat Islam lainnya, merupakan model yang paling dekat dengan nilai al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Banyak kalangan kita yang menganggap bahawa kerukunan hidup dalam masyarakat majmuk adalah hal yang biasa dan lumrah, kerana telah sebati dalam jiwa raga bangsa, sehingga prestasi ini tidak kita anggap suatu keunggulan dan keistimewaan yang patut diyakini.

Namun jika kita melihat dari dunia luar, kita akan tahu dan sedar betapa besar nikmat Allah yang dilimpahkan kepada bangsa kita. Nilai luhur bangsa serta ajaran toleransi Nabi Muhammad s.a.w telah berakar dalam jiwa, berkat kearifan dan jasa para pemimpin terdahulu yang kemudian diteruskan oleh pemimpin-pemimpin yang ada hari ini. Dalam konteks ini, kepada golongan generasi muda, hendaklah memperhatikan pesan Allah dalam firmannya yang bermaksud:
Janganlah kamu menjadi seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi bercerai-berai. (Surah al-Nahl ayat 92).

Untuk memulihkan prestasi gemilang ini orang Melayu khususnya generasi penerus, dituntut bukan sahaja mempertahankan dan melestarikan apa yang telah dicapai tetapi meningkatkannya sehingga model dan pendekatan kita dapat mula diperkenalkan dan aplikasikan di dunia luar demi tanggungjawab moral kita menciptakan perdamaian dunia. Kerana pada hakikatnya perdamaian dunia tidak akan tercapai tanpa perdamaian antara umat beragama. Untuk mencapai hakikat dan tujuan ini, kita harus mampu mensosialisasikan semangat ajaran serta keteladanan Nabi Muhammad s.a.w.

Toleransi yang Rasulullah ajar harus sentiasa menjadi acuan dan pedoman dalam interaksi kita dengan umat agama lain. Di antara sekian banyak contoh yang ditunjukkan oleh Nabi dalam menjalin hubungan keakraban ialah sikap lapang dada. Baginda mengizinkan rombongan Kristian Najran yang berkunjung ke Madinah untuk berdoa di kediaman beliau, sebagaimana diungkapkan oleh sejarahwan Islam Ali bin Burhanuddin Al Habibi Al Shafie dalam bukunya Al Shirah.

Dalam usaha merealisasikan kehidupan yang damai, umat Islam, mahupun juga penganut agama lain, sepatutnya tidak terpengaruh oleh sejarah konflik yang pernah terjadi di dunia luar. Sejarah konflik antara umat beragama di dunia luar telah melahirkan kesalahfahaman, rasa curiga dan permusuhan. Ia harus dibuang jauh dari bumi kita. Dari apa yang diutarakan di atas tersimpul suatu harapan yang mendorong kepada umat beragama untuk menunjukkan semangat keakraban dan persaudaraan mendalam terhadap saudara-saudaranya umat agama lain.

Kalau harapan ini dapat wujud, insya-Allah akan tercipta suatu model unik yang mampu menerobos tembok pemisah psikologi yang selama ini menghambat kemesraan hubungan antara umat beragama.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

048146
Hari ini: 94
Minggu Ini: 1,682
Bulan Ini: 3,608
Tahun Ini: 48,146
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.