YANG TERBAIK UNTUK KELUARGAKU

YANG TERBAIK UNTUK KELUARGAKU

Semua orang yang bergelar ibu dan bapa ingin menjadi yang terbaik buat anak-anaknya. Malah rasa keinginan itu menjadi kuat apabila mengingatkan sabdaan Nabi s.a.w, daripada Aisyah r.a, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya, dan aku adalah yang paling baik kepada keluargaku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ini bermaksud, menjadi yang terbaik buat anak-anak dan keluarga bukan sahaja merupakan suatu keinginan, tetapi saranan dan sunnah baginda s.a.w. Rasulullah memberikan pujian secara tidak langsung menjadi galakan kepada lelaki supaya berbuat baik kepada keluarganya dengan gelaran ‘sebaik-baik kamu’.

Apabila melihat anak-anak, maka kita sedang melihat refleksi diri semasa masih kanak-kanak dan remaja. Mereka bagaikan cermin yang memantulkan kembali kenangan silam yang penuh dengan kesilapan dan pembetulan. Kita sentiasa melihat perjalanan hidup menjadi dewasa pada hari ini adalah dengan melewati jejak-jejak naif yang memberi kesan pelajaran serta kebangkitan pada masa lalu.

Banyak sekali peristiwa atau kenangan pada zaman kanak-kanak yang masih kita ingati sampai hari ini seperti menerima sijil kecemerlangan, dipuji di hadapan orang lain dan pelbagai lagi. Begitu juga dengan kenangan pahit yang masih terpahat di ingatan kita, seperti dimarahi oleh guru, pergaduhan dengan rakan sekelas, atau dimalukan oleh ahli keluarga di hadapan orang lain.

Interaksi dua hala pada zaman kanak-kanak merupakan tempoh mempengaruhi minda separa sedar seorang insan. Kenangan termanis akan terakam dan kenangan terpahit akan terpahat dan mudah terpancar dalam ingatan bila sudah dewasa kelak. Dewasanya kita pada hari ini adalah hasil interaksi orang lain, khususnya ibu bapa kita semasa kanak-kanak.

Perhatikan bagaimana layanan Rasulullah s.a.w terhadap kanak-kanak. Apabila baginda melewati kanak-kanak sedang bermain, baginda akan menegur mereka. Apabila baginda menziarahi kaum Ansar, baginda akan menyapa anak-anak mereka dan meletakkan tangannya di atas kepala mereka menunjukkan belas kasihan baginda. Apabila tentera Islam pulang dari medan Mu’tah, Rasulullah s.a.w melihat kanak-kanak yang datang menyambut mereka dalam perjalanan pulang ke Madinah. Rasulullah s.a.w bersabda, “Ambil anak-anak itu dan dukung mereka dan berikan saya Ibnu Ja‘far.” Mereka memberikan ‘Abdullah bin Ja‘far kepada baginda dan baginda memegang tangan kanak-kanak itu. Begitulah halus dan penuh kasih sayangnya cara interaksi Rasulullah s.a.w kepada kanak-kanak.

Apabila kita berbicara tentang cara interaksi kepada anak-anak, maka perbincangan ini tidak lengkap sekiranya kita melupakan cara interaksi dengan ibu anak-anak itu. Malah sepatutnya perbincangan ini perlu dimulakan dengan cara interaksi dengan isteri dahulu kerana interaksi pertama bagi seorang lelaki sebelum adanya anak-anak adalah interaksi kepada isterinya.

Cara interaksi yang bijak dengan seorang wanita adalah dengan mencari kunci kepada emosinya. Rasulullah s.a.w menasihatkan para lelaki untuk melayani kaum wanita dengan penuh kebaikan dan sentiasa berusaha memahami emosi mereka. Rasulullah s.a.w menasihati para bapa untuk mendidik anak perempuan mereka dengan cara yang terbaik. Malah ganjaran menjaga anak perempuan dengan baik ini adalah keakraban dengan Rasulullah s.a.w di Akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang menjaga dua orang anak perempuan sehingga mereka dewasa, dia dan aku pada Hari Kebangkitan nanti seperti ini.” Rasulullah s.a.w bersabda sambil merapatkan dua jarinya.

Perhatikan wanita-wanita di sekeliling kita mengikut peringkatnya. Yang pertama tentulah ibu, kedua adalah isteri, dan yang ketiga adalah anak perempuan. Justeru, kebaikan yang kita tonjolkan kepada anak perempuan tidak bermakna, tanpa didahului dengan kebaikan yang ditonjolkan kepada isteri, bahkan didahului dengan ibu sendiri!

Asas interaksi sesama manusia ini boleh disuluh melalui hadith Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya Allah menciptakan Nabi Adam dari segenggam tanah, yang Allah ambil dari semua (arah) bumi, maka bani Adam datang (tercipta) mengikut kadar bumi, di antara mereka ada yang (berkulit) merah, putih dan hitam, dan di antara mereka ada yang lembut, keras, jelik (perangai) dan bagus (perangai).” (Riwayat al-Tirmizi)

Perhatikan rupa bentuk bumi yang berbeza. Jenis tanah yang berbeza. Langsung memberi kesan perbezaan kita berjalan dan merentas di atasnya. Cara kita berjalan di atas tanah keras berbeza dengan cara kita berjalan di atas tanah yang lembut. Seseorang akan berjalan dengan bersahaja di atas tanah yang keras, tetapi penuh berhati-hati berjalan di atas tanah yang lembut.

Sifat semulajadi insan yang berbeza mempengaruhi keputusan yang diambil. Jika kita bertanya soalan yang sama kepada beberapa individu mesti kita akan menemukan jawapan yang tidak sama, bersesuaian dengan karakter individu-individu tersebut.

Cuba kita bertanya kepada seorang individu yang mungkin agak keras karakternya tentang bagaimana dia memperlakukan anaknya yang suka membidas suruhannya. Mungkin jawapannya adalah dengan merotan. Berbanding soalan sama yang kita tanya dengan individu yang lembut karakternya. Mungkin jawapannya adalah dengan menasihati.

Malah cara interaksi setiap individu juga berbeza. Mungkin ada orang yang bercakap dengan penuh emosi, atau berbicara dengan kata-kata yang tajam menikam hati, atau berkata-kata dengan penuh sopan dan teratur. Cuba bertanya pengalaman orang yang pernah menjadi panel temuduga mengambil pekerja, pasti dia akan menemukan dengan pelbagai karakter manusia dan pelbagai bentuk jawapan.

Justeru, persoalan yang perlu kita jawab adalah – apakah kita telah berpuas hati dengan ilmu yang kita miliki pada hari ini? Apakah kita merasakan kita sudah cukup menjadi yang terbaik untuk isteri dan anak-anak?

Ya, kita tidak boleh berasa cukup. Apabila kita mula berasa sudah cukup, maka kita tidak akan mampu untuk menerima ilmu dan pembaharuan. Air hanya turun di tempat yang rendah. Ilmu hanya boleh dicurahkan kepada hati yang rendah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

049184
Hari ini: 106
Minggu Ini: 614
Bulan Ini: 4,646
Tahun Ini: 49,184
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.