KUALA LUMPUR — Terserah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memutuskan penarikan balik atau pembatalan lesen syarikat yang gagal memenuhi pakej umrah yang ditawarkan kepada jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, kuasa membatalkan lesen mana-mana syarikat pelancongan termasuk yang mengendalikan umrah, adalah di bawah bidang kuasa MOTAC.
“Apapun, masyarakat diminta berhati-hati dalam memilih pakej umrah. Pastikan pengendali adalah berdaftar dengan MOTAC, dan jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga yang kelihatan terlalu murah. Tawaran seperti ini sering menjadi tanda amaran (berisiko penipuan).
“Pada masa sama, tindakan tegas perlu diambil terhadap pengendali tidak bertanggungjawab. Ini bagi memastikan isu sama tidak berulang serta memberi keadilan kepada mangsa yang terkesan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Ke-15, di sini, hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanji untuk diterbangkan ke Tanah Suci tetapi ditunda syarikat pengendali umrah terbabit.
Susulan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, semalam dipetik berkata 31 laporan polis diterima pihaknya berkait dakwaan penipuan umrah dengan kerugian berjumlah RM2.1 juta.
Dr Mohd Na’im menyifatkan zalim, tindakan segelintir pengendali perkhidmatan umrah mengkhianati amanah dengan menipu wang jemaah yang berhasrat menunaikan ibadah itu.
Katanya, pengendali perkhidmatan umrah perlu melaksanakan tanggungjawab mereka itu dengan penuh amanah sesuai dengan firman, Allah SWT bahawa amanah mesti dilaksanakan dengan sepenuh kejujuran tanpa niat untuk menyeleweng.
Justeru beliau meminta pengendali perkhidmatan itu bermuhasabah dan kembali kepada tanggungjawab sebenar mereka dengan ikhlas.
“Wang yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia bagi tujuan menunaikan ibadah umrah, bukan untuk disalahgunakan mana-mana pihak, terutama pengendali demi kepentingan peribadi.
“Perbuatan khianat seumpama itu tidak akan membawa keuntungan sebenar, sama ada di dunia mahupun akhirat,” katanya.
Sementara itu, hadir sama pada majlis itu ialah Canselor UCMI, Tan Sri Azman Hashim, dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Sumber: bebasnews.my
