Budaya politik berteraskan fitnah ini seolah-olah menjadi mazhab baru yang menjadi pegangan dan mainan bagi mereka begitu yang haus dan rakus untuk berkuasa. Fitnah itu syubhat .Apa itu syubhat? Itulah yang akan menimbulkan kebinasaan, merosakan agama, penyebab setiap bencana yang dasyat, penyebab terjadinya penyimpangan, perselisihan, kesesatan, perpecahan, kekufuran, kemunafikan, kemusyrikan dan keraguan. Justeru itu marilah kita berlindung pada Allah dari kejahatan fitnah yang nampak atau tidak nampak. Allah berfirman yang bermaksud: Dalam hati mereka ada penyakit,lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka siksa yang pedih disebabkan mereka berdusta. (Al-Baqarah ayat 10)
Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti telefon bimbit, SMS, Internet, blog dan instrumen-instrumen lain disalah-guna bagi meransang dan menyuburkan budaya negatif ini.
Persoalannya apakah budaya politik berasaskan fitnah sebegini sudah semakin sebati dalam masyarakat Melayu ketika ini? Adakah politikus-politikus Melayu sudah hilang jatidiri dan pertimbangan agama hingga sanggup mempersenjatakan fitnah untuk meraih kuasa? Atau apakah politik Melayu kini diambang kehancuran lantaran terlalu ghairah bertelingkah sesama sendiri hingga sanggup memperjudikan agama demi kuasa?
Hakikat yang harus difahami, fitnah merupakan penyakit yang amat merbahaya jika dibiar membarah dalam masyarakat. Jika tidak dikekang, budaya fitnah boleh menjadi wabak pembunuh utama dalam masyarakat hingga mampu menghancurkan keamanan dan keharmonian negara.
Lihatlah berapa banyak tamadun dan kuasa-kuasa besar dunia yang hancur akibat menggejalanya budaya fitnah dalam kehidupan bangsanya. Berapa banyak juga kerajaan Islam yang jatuh akibat budaya fitnah yang begitu mengakar dalam jiwa umatnya. Tidak hairanlah jika Islam memandang fitnah lebih buruk daripada membunuh.
Jika ditelusuri sejarah silam, fenomena fitnahlah yang menjadi penyebab utama berlakunya peristiwa pemberontakan terbesar dalam sejarah awal Islam khususnya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Pemberontakan yang membawa kepada peristiwa pembunuhan Khalifah ketiga Saiyyidina Uthman bin Affan r.a. adalah detik paling tragis dalam sejarah umat Islam Malah kematian tiga Khalifah Ar-Rasyidin, iaitu Saidina Umar, Uthman dan Ali juga disebabkan oleh angkara golongan penghasut. Demikian juga pembunuhan keatas Husin cucu Rasulullah saw juga berpunca dari fitnah. Terjadinya perang siffin dan perang jamal serta pertikaian antara sahabat-sahabat nabi juga berpunca dari fitnah.
Mengikut riwayat yang dikemukakan oleh Saif bin Umar di dalam buku Tarikh al-Tabariy, fitnah terbesar yang menbawa kepada kematian uthman tersebut berlaku akibat kegagalan mengekang usaha pengadu-pengadu domba yang diketuai Abdullah bin Sabaseorang munafik yang sangat pintar berbicara yang berketurunan Yahudi. Beliau dan pengikutnya bersungguh-sungguh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuklah ke Kufah, Basrah hingga ke Mesir untuk menyesat dan mencetuskan keraguan terhadap kepemimpinan dan Uthman yang berpusat di Madinah pada ketika itu.
Natijah daripada gerakan penabur fitnah ini telah berjaya menimbulkan kekeliruan dikalangan umat hingga membiakkan sejumlah kelompok pelampau yang akhirnya sanggup membunuh Saiyyidina Uthman dengan cara yang tidak berperikemanusian.
Demikianlah fitnah yang bukan sahaja menumpahkan darah seorang pemimpin agung umat bahkan berupaya menghancurkan keharmonian dan memporak-porandakan kestabilan agama dan negara. Sebab itulah Islam keras mencela golongan pencacai-pencacai dan pengadu-pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah di kalangan umat.
Apakah kita lebih menghargai umat lain daripada sesama Islam? Atau kita halalkan segala perkara seperti fitnah, penyalahgunaan kuasa untuk menjatuhkan orang yang tidak sehaluan dengan kita? Khawarij masih berada di sekitar kita. Mereka menjual dan menjaja kewarakan diri demi kepentingan politik. Kuasa apabila jatuh ke tangan golongan seperti ini akan menghancurkan masyarakat seluruhnya.
Amaran keras Allah jelas ternukil dalam Al-Quran: Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang kesana kemari menghambur fitnah. (Al-Qalam : 10-11).
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: Pada satu hari Rasulullah S.A.W. melewati sebuah kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar dua orang yang sedang disiksa di dalam kuburnya, lalu Nabi S.A.W bersabda, Kedua-duanya disiksa, padahal bukan kerana dosa yang besar. Yang pertama disiksa kerana tidak betul-betul bersih sesudah membuang air kencingnya dan seorang lagi kerana suka mengadu domba" (Hadits Riwayat Al Bukhari, lihat Fathul Baari, 1/317) .
Banyak hadis-hadis lain yang menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mengadu-domba dan membudayakan fitnah dalam kehidupan. Bahkan dalam hadis yang lain Rasulullah jelas memberi indikasi bahawa orang yang mengadu-domba dan mereka-reka cerita tidak akan masuk syurga bahkan bakal berhadapan azab pedih di hari kiamat kelak.
Dalam apa jua keadaan rakyat harus kental berprinsip agar tidak mudah termakan dengan sebarang cerita-cerita sensasi yang meragukan. Setiap berita sensasi yang tercetus haruslah diselidiki kebenaran faktanya terlebih dahulu agar kita tidak turut terseret dalam penyebaran cerita-cerita fitnah sedemikian.
Cukuplah firman Allah yang amat keras memberikan amaran berkenaan dengan perilaku curang sebegini:
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar (an-Nur: 11).
Al-Quran turut memberi peringatan keras terhadap mereka yang mendengar dan menyebar fitnah dan tuduhan palsu, tanpa sikap berbaik sangka atau memastikan kebenaran fakta terlebih dahulu. Peringatan ini disampaikan dalam konteks kisah al-Ifk iaitu peristiwa isteri Nabi s.a.w. sendiri, Sayidatina Aisyah yang turut menjadi mangsa fitnah (Lihat an-Nur: 16-17).
Dalam satu hadis yang lain nabi saw bersabda yang bermaksud: Seburuk-buruk tunggangan seseorang adalah menginformasikan sesuatu yang belum pasti. (Riwayat Abu daud)
Justeru usaha bersepadu harus segera dilakukan untuk membendung gejala fitnah daripada terus menyubur dalam masyarakat Islam ketika ini. Sudah tiba masanya ahli-ahli politik kita dididik agar lebih berhemah, beradab dan dalam kesibukan mereka berpolitik, jangan sampai memperjudikan nasib bangsa dan meletakkan negara diambang kemusnahan. Mereka juga harus dididik agar dalam keghairahan untuk berkuasa, jangan sampai mengabaikan prinsip agama hingga menggejala budaya fitnah yang membinasakan.
Amalan berparti dan berpolitik dalam masyarakat Melayu kini memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadan berpolitik di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.
Amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita harus dikekang sama sekali. Ini termasuklah menghalalkan fitnah hanya kerana rakus untuk berkuasa. Sesungguhnya amalan politik berteraskan fitnah sebeginilah yang akan menghancurkan bangsa dan memporak-porandakan negara. Moga-moga api fitnah yang sedang menyemarak kini berjaya kita padamkan demi kepentingan bangsa dan negara tercinta.
Ambillah contoh dari sikap Abdullah bin Umar ketika fitnah semakin menyebar selepas kewafatan Othman beliau menjauhkan diri dari seluruh permasalahan dan ia tidak bergabung dgn pihak yang sedang bertikai bahkan ia memilih untuk keluar dari Madinah dan berdiam diri di Mekkah, Ini demi menjaga agamanya, mencegah tangan dan lisannya agar tidak menodai kaum muslim,Ia telah mengikuti perintah Nabi saw agar mengasingkan diri ketika terjadinya fitnah.
