HUTANG pendidikan merupakan satu bentuk bantuan kewangan untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi tanpa beban kewangan yang besar. Walaupun pinjaman ini memberikan peluang kepada ramai pelajar untuk ke menara gading, ia tetap merupakan satu bentuk hutang yang perlu dijelaskan selepas tamat pengajian.
Oleh itu, peminjam hendaklah mengambil berat terhadap bayaran balik pinjaman PTPTN kerana ia merupakan satu tuntutan agama. Dalam hadis disebutkan bahawa seseorang akan terhalang masuk syurga jika masih meninggalkan hutang yang belum dijelaskan.
“Barangsiapa yang datang pada hari kiamat dalam keadaan bebas dari tiga perkara iaitu takabur, khianat dan hutang maka mereka akan masuk surga” (Hadis riwayat Nasai dan Ibnu Hiban).
Hakikatnya, apa yang berlaku didalam masyarakat hari ini terdapat satu amalan burok dikalangan pelajar iaitu cuba melengah-lengahkan hutang PTPTN. Padahal sebenarnya mereka mempunyai kemampuan untuk menjelaskan hutangnya.
Namun kerana telah menjadi perangai dan tabiat buruk yang sudah mendarah daging, kebiasaan itu seolah-olah menjadi amalan biasa. Hal ini berlaku kerana di masyarakat sudah tertanam satu sikap untuk memandang enteng masalah hutang.
Hutang dianggap masalah kecil. Padahal hakitatnya ia amat berkait rapat dengan menjaga hubungan dengan orang lain yang perlu dijaga dengan baik. Hubungan yang baik merupakan perkara yang wajib dijaga dalam Islam. Selagi hutang itu tidak dijelaskan, selagi itulah perkara itu menjadi bebanan sehingga ke hari akhirat kelak.
Siapa yang mempunyai hutang, sudah tentu ia wajib membayar hutangnya. Sungguh rugi, siapa yang meninggal dunia masih mempunyai hutang yang belum dibayarnya. Niat kita yang menjadi dasar kepada waktu kita berhutang, harus betul, iaitu harus berniat untuk membayar hutang kita dan tidak niat untuk menipu. Ini penting sekali kita perhatikan sebab kemampuan kita untuk dapat membayar hutang kita pada akhirnya besar atau kecil, dipengaruhi oleh bagaimana niat kita sewaktu berhutang.
Rasulullah bersabda: “Barangsiapa mengambil harta orang lain dengan maksud akan membayarnya, maka Allah akan memberikan kemampuan kepadanya untuk membayarnya dan barang siapa yang mengambil harta orang lain dengan maksud merosakkan orang itu, tidak memberikan kemampuan kepadanya untuk membayar hutangnya.” (Riwayat Bukhari)
Ayat yang berbicara tentang hutang piutang antara lain berpesan:
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu melakukan transaksi tidak secara tunai, untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya.” (al-Baqarah ayat 282)
Penggalan kalimat “untuk waktu yang ditentukan” bukan sahaja mengisyaratkan bahawa ketika berhutang kita harus menentukan masa untuk menbayarnya, bukan dengan berkata, “Kalau saya ada wang”, tetapi untuk mengisyaratkan bahawa ketika berhutang, sudah tergambar dalam hati kita bagaimana,serta dari mana, sumber pembayar yang dijangka diperoleh itu.
Ini secara tidak langsung mengajar kita agar lebih berhati-hati dalam masalah hutang-piutang ini.
Sehubungan dengan ini Nabi bersabda yang bermaksud: “Diampuni bagi syahid semua dosanya, kecuali hutang.” (Riwayat Muslim)
Demikian juga orang yang menunda membayar hutang ini ternyata orang yang sebenarnya mampu membayar hutang itu tepat pada waktunya, maka penundaan yang dilakukannya adalah satu kezaliman. Iaitu kezaliman kepada orang yang memberi hutang kepadanya.
Seseorang yang tidak merasa resah kerana berhutang sebenarnya ia bukanlah seorang yang menghayati tuntutan agama. Ia seorang yang telah hilang harga diri. Bagaimanapun hutang adalah beban yang sedikit sebanyak membuat hidup kita terasa tidak lapang.
Lebih-lebih kalau hutang kita terlalu banyak dan waktu untuk membayarnya demikian dekat, padahal kita belum bersedia untuk menbayarnya, hidup kita menjadi sangat terseksa. Hidup yang dikejar-kejar oleh banyak hutang, sungguh tidak tenteram. Kerana itu hendaknya kita mengusahakan dan mengatur kehidupan ini dalam situasi sebaik-baiknya, supaya kita dapat hidup bahagia dan tidak dibebani banyak hutang.
Itulah sebabnya, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kaum Muslimin:
Kurangilah berbuat dosa, supaya mudah menghadapi mati, dan kurangilah berhutang, supaya engkau hidup merdeka!”
Selain itu, Rasulullah pernah berdoa, yang antara lain juga memohon kepada Allah untuk dijauhkan daripada hidup yang terjerat oleh banyak hutang.
Baginda bersabda yang bermaksud:
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dukacita dan susah hati, aku berlindung kepada-Mu dari penakut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari banyak hutang dan dikuasai orang lain.” (Hadis Sahih)
Bagi pelajar yang yang masih berhutang dengan PTPTN harus menyedari kerugian-kerugian yang ditimbulkan oleh hutangnya itu. Sebenarnya kerugian orang yang berhutang, tidak hanya hidupnya di dunia menjadi tidak tenteram tetapi ia juga menderita kerugian di akhirat.
Dalam sejarah disebutkan, bahawa Rasulullah SAW tidak mahu menyembahyangkan jenazah orang yang meninggal dunia yang masih mempunyai hutang. Kata beliau kepada orang-orang yang membawa jenazah itu:
“Sembahyangkan orang yang mati itu, sesungguhnya aku tidak mahu menyembahyangkan jenazah seseorang yang masih mempunyai hutang dan ia mati tidak melunasnya.”
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tirmidzi diterangkan bahawa kalau orang yang mempunyai hutang itu meninggal dunia Allah menahan pahala amal baik orang itu, sampai ada orang (misalnya ahli warisnya) yang mahu melunas semua hutang yang ditinggalkannya.
Kata orang-orang tua kita, si mayat tergantung-gantung di awang-awang (angkasa) kerana belum terbayar hutangnya. “Jiwa orang mukmin tergantung itu oleh sebab hutangnya sampai hutangnya itu dibayarkan.” Demikian Sabda Rasulullah dalam hadis riwayat Tirmidzi itu.
