KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mahu pengagihan subsidi bersasar dilaksanakan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan rakyat yang benar-benar layak saja.
Ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini, baginda bertitah pelaksanaan kaedah itu berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa syukur melihat perkembangan ekonomi negara, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik.
“Nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah. Pada tahun lalu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama.
Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini serta berharap ia terus dipertingkatkan.
“Namun, kerajaan hendaklah menentukan supaya prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu saja,” titah baginda.
Baginda juga menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.
Pada masa sama, baginda bertitah agar pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini, perlu dilaksanakan dengan segera.
“Sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.
“Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya “red tape” (kerenah birokrasi) yang menyusahkan urusan rakyat,” titah baginda.
— BebasNews
