Umat Islam merupakan umat yang `satu' tanpa mengira batas, negeri, bangsa atau warna kulit. Bila seseorang itu telah membuat pengakuan dan bersyahadah serta meyakini dan menerima ajaran agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang dapat diketahui secara dharuri (spontan) maka dia dianggap sebagai orang Islam yang beriman. Dia dikenali sebagai ahli al-qiblah iaitu mereka yang bersyahadah, bersembahyang menghadap kiblat yang satu dan membaca al-Quran yang satu.
Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya umat ini adalah umat kamu yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu maka hendaklah kamu mengabdikan diri kepada-Ku. (Surah al-Anbiaa ayat 92).
Kalau para Rasul terdahulu mengumpul peribadi-peribadi ummah agar menjadi satu bangsa, kehadiran Muhammad s.a.w adalah mengumpulkan bangsa-bangsa tersebut menjadi satu ikatan yang kuat dan kukuh tanpa adanya perbezaan suku dan warna kulit. Seluruhnya sama iaitu satu saudara seagama.
Umar bin Khathab r.a ketika menjelaskan nilai ukhuwah kerana Allah, berkata: ``Tiada pemberian yang lebih baik bagi seorang hamba setelah Islam, kecuali saudara yang soleh. Maka jika salah seorang dari kamu memperoleh kecintaan dari saudaranya, hendaklah ia memegang cinta itu erat-erat.''
Allah memerintahkan orang yang beriman supaya bertakwa kepada-Nya dan jangan mati melainkan dalam keadaan Islam. Selepas itu langsung diperintahkan pula supaya mereka berpegang teguh dengan tali Allah dan dilarang keras mereka bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah terhadap mereka di waktu mereka dalam keadaan bermusuhan lalu dimesrakan di antara hati mereka maka jadilah mereka dengan nikmat Allah itu (agama-Nya) bersaudara. (Huraian surah al-Imran ayat 102 hingga 103).
Dalam firmannya yang lain, Allah menegaskan bahawa sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara. Dan selanjutnya Allah menegaskan bagaimana cara-cara untuk mengekalkan ukhuwah Islamiah tersebut. Antara lain ialah melalui usaha-usaha islah untuk meningkatkan rasa persaudaraan, timbang rasa dan kerjasama dalam kehidupan yang harmoni antara satu sama lain.
Mereka juga dilarang keras bertindak hingga boleh merosakkan ikatan persaudaraan sama ada melalui perbuatan seperti menghina dan mengintip atau secara perkataan misalnya mengumpat, menggelar, mencaci dan lain-lain. (Maksud al-Quran surah al-Hujurat ayat 10 hingga 13).
Hubungan persaudaraan atau silaturahim harus dipelihara, jangan putus kerana adanya perbezaan fahaman kerana sesungguhnya sesiapa yang menghubungkan diri dengan sesamanya, Allah akan menghubungkan diri dengan-Nya. Tetapi sesiapa yang memutuskan silaturahim, Allah akan memutuskan rahmat-Nya kepada dia.
Seseorang yang mengakui pengikut Rasulullah s.a.w harus saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Apabila silaturahim sudah menjadi kebiasaan, Insya-Allah dunia ini akan aman dan tenteram, bahkan keredhaan Allah akan dilimpahkan kepada kita.
Mencintai Nabi s.a.w tidak cukup hanya mengucapkannya, tetapi harus dibuktikan dalam kehidupan sehari-hari dengan melaksanakan ajarannya. Saling menolong dan membantu kerana masih banyak saudara seagama yang memerlukan bantuan dan kita harus membantu berdasarkan kemampuan masing-masing.
Dalam hal ini Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud, Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.
Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan dalam satu hadisnya riwayat Muslim yang bermaksud bahawa setiap orang Islam itu adalah saudara kepada orang Islam yang lain, mereka sekali-kali tidak akan menghinanya atau mengecewakannya atau menganiayainya.
Dalam suatu hadisnya yang lain, Baginda menegaskan bahawa Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang sesama kamu. Adakah kamu ingin aku tunjukkan suatu perkara yang mana bila kamu mengerjakannya, kamu akan berkasih sayang sesama kamu iaitu sebarkan salam di kalangan kamu semua. (Maksud hadis riwayat Al-Tarmizi).
Di kalangan para sahabat terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk mengembalikan perpaduan dan kekuatan umat Islam, umpamanya Khalifah Ali pernah menghantar Ibnu Abbas sahabat rapat Rasulullah s.a.w yang terkenal itu untuk membetulkan kembali pandangan ekstrem di kalangan kaum Khawarij kepada kesederhanaan dan kewarasan ajaran Islam.
Golongan Khawarij ini terkenal dengan sikapnya yang keras hati tidak mahu kembali bersatu dalam barisan jemaah majoriti umat Islam. Mereka terlalu taksub dengan fikiran dan perasaan masing-masing yang sudah begitu jauh kesesatannya sehingga sanggup menuduh saudara yang seagama dengan mereka sebagai kafir.
Di kalangan mereka ada yang sengaja merangka mazhab yang ekstrem sebagai mazhab Khawarij dan Muktazilah. Menurut pendapat mereka, siapa yang melakukan dosa besar dia akan menjadi kafir. Bila kumpulan ini muncul, Imam Hasan Al-Basri r.a menganggap dan menamakan mereka kumpulan serpihan dan terasing daripada kumpulan jemaah majoriti umat Islam.
Para ulama Ahli Sunah telah bersepakat memberi amaran dan melarang keras daripada tindakan mengkafirkan saudara sesama Islam. Jangan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang cuba membawa dalil al-Quran dan hadis yang bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
Perpaduan adalah satu-satunya benteng kekuatan yang masih ada untuk mempertahankan maruah dan nasib umat Islam di dunia ini kerana kekuatan-kekuatan yang lain seperti kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan ketenteraan, kekuatan ekonomi dan lain-lain sudah roboh dan runtuh.
Kekuatan ukhuwah Islamiah dan perpaduan ummah inilah sahaja yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhuwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam.
Kerana sejarah di zaman Nabi s.a.w telah menunjukkan bahawa ada golongan Muhajirin, ada golongan Ansar. Dalam Muhajirin ada golongan Bani Hasyim dan ada golongan Bani Umayyah. Dalam golongan Ansar ada puak Aus dan ada puak Khazaraj. Semuanya berlindung di bawah naungan kalimat Lailaha illallah Muhammadur Rasulullah.
Dan jika terjadi peperangan dengan musuh, Nabi s.a.w membahagikan bendera kepada tiap-tiap golongan itu dan masing-masing mempertahankan benderanya daripada jatuh ketika berhadapan dengan musuh.
