KEMALANGAN BERLAKU KERANA SIKAP CUAI KITA?

KEMALANGAN BERLAKU KERANA SIKAP CUAI KITA?

Setiap kali menjelang perayaan atau musim cuti sekolah kita dikejutkan dengan pelbagai kemalangan sehingga mengorbankan banyak nyawa, harta benda dan trauma sanak saudara. Terbaharu adalah kemalangan yang melibatkan kematian seorang pelajar cemerlang yang dianggap sebagai prospek generasi cemerlang pada masa hadapan. Tetapi semuanya itu tidak memberikan kesan dalam mengubah sikap kita untuk mengelakkan tragedi tersebut berulang lagi dalam jangka masa panjang.

Bahkan setiap tahun perangkaan kemalangan maut sehingga menjadikan pusara di lebuh raya dan jalan sungai darah tidak pernah berkurangan secara drastiknya. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa masyarakat Malaysia hanyalah mampu berubah ketika kesedihan masih terasa tetapi beberapa lama selepasnya ia dilupakan begitu sahaja sehingga kesalahan yang sama diulangi lagi saban tahun oleh orang yang berlainan. Dianggarkan negara mengalami kerugian lebih bejruta-juta ringgit kerana terpaksa mengeluarkan belanja untuk membaiki kerosakan kenderaan, membayar pampasan oleh syarikat insuran dan kos perubatan.

Lebih mendukacitakan lagi ialah lebih separuh mereka yang mati akibat kemalangan maut ialah dalam kategori umur 18 hingga 40 tahun, yang mana dari sudut ekonomi merupakan kumpulan yang produktif menyumbang pendapatan keluarga dan negara. Mereka merupakan golongan pekerja yang bukan sahaja menjadi punca pendapatan keluarga bahkan sumber kekuatan penghasilan produk untuk mengisi pendapatan negara.

Berasaskan kajian, punca utama yang menyebabkan kemalangan adalah sikap pemandu dan pengguna jalanraya yang tidak sayangkan nyawa kerana mahu menguji kecanggihan teknologi kenderaan yang semakin maju. Keadaan ini didorong oleh pelbagai gimik pemasaran produk kononnya peralatan canggih itu mampu memberikan keselamatan maksima menerusi pelbagai ujian saintifik walaupun realitinya ia tidak memberikan jaminan bahawa kehilangan nyawa tidak berlaku.

Penghasilan kenderaan moden dengan kerangka yang lebih ringan dan semakin melimpah ciri-ciri aerodinamik dan kapasiti enjin yang lebih tinggi menyebabkan para pemandu semacam terasa dirinya terhina bila memandu perlahan. Para pengeluar kenderaan pula menggunakan kegilaan manusia terhadap kelajuan sebagai sebahagian daripada mesej periklanan mereka kerana boleh memecut dengan cepat dan boleh melakukan pembelokan dengan cepat walaupun dalam keadaan permukaan jalan yang berbukit-bukit menjadikan ia dorongan utama kenapa kelajuan itu membunuh.

Saban tahun kerajaan membelanjakan wang besar untuk mendidik para pemandu agar lebih berhati-hati ketika memandu, memandu dengan selamat dan tanpa dipengaruhi oleh alkohol, membuat pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan balik kampong dan mengerahkan penguatkuasaaan untuk mengetatkan jalan raya agar tidak dijadikan medan perang, ia tidak mampu mengurangkan kemalangan maut.

Dalam hubungan kelalaian manusia yang dikatakan punca berlakunya kemalangan jalan raya memang ia dianggap sebagai satu takdir. Namun takdir berlakunya kemalangan jalan raya itu disebabkan oleh kecuaian dan sikap buruk kita. Sikap seperti ini pada pandangan agama sebagai 'tahlukah' (menuju kebinasaan). Sikap tidak mempedulikan keselamatan diri dan orang lain kerana akhirnya ia membawa kepada kebinasaan.

Mengenai sikap sedemikian, Allah SWT berfirman: ''Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan" (Surah al-Baqarah ayat 195).

Memang benar takdir telah ditentukan Allah, tetapi kita tidak harus memahami takdir dalam pengertian segala sesuatu telah ditetapkan perincian kejadiannya oleh Allah, sehingga manusia tidak dapat mengelaknya. Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya, dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat. Kedua-dua ini adalah takdir-Nya, namun demikian manusia berpotensi untuk memilih dan berusaha menghindarinya.

Salah satu usaha tersebut adalah doa. Justeru itu kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.

Memandu dengan laju tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sia-sia. Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan yang lain-lain.

Memang pada hakikatnya semua yang berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya menentukan sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya. Manakala kehendak-Nya pula bertindak memilih selaras dengan kemahuan hamba-Nya. Justeru itu balasan baik atau buruk hanya bergantung kepada pilihan hamba sendiri .

Manusia adalah kejadian-Nya yang terpilih, dijadikan lengkap dengan segala keperluannya sebagai tempat yang boleh melaksanakan arahan dan menerima perintah-Nya. Dan manusia juga diberikan kebebasan memilih ke kanan atau kiri, baik atau buruk dan seterusnya.

Kita juga tahu bahawa iradat (kehendak ketuhanan) itu akan berlaku menurut sunah-Nya yang diletakan di dalam kejadian makhluk-Nya. Justeru itu bila Allah hendak menjadikan manusia, Dia tidak mengatakan jadilah kamu lalu kamu terus wujud lengkap dengan segala-galanya. Tetapi manusia tadi akan dijadikan menurut proses peraturan-Nya iaitu bermula dari mani kemudian bayi kepada remaja, dewasa dan seterusnya. Kita tidak boleh mengatakan segala apa yang berlaku itu tanpa ada sebab dan pendahuluannya. Dalam hal ini Umar r.a pernah mengatakan kita lari dari qadar-Nya (yang buruk) kepada qadar-Nya (yang baik dan selamat). (Hadis riwayat Bukhari).

Demikianlah makna qadar bukan bererti Allah mencabut kemahuan dan pilihan daripada seseorang, sebab dia sendiri boleh berusaha mengubah sikap sombong, mementingkan diri serta cuai ketika memandu. Kita selalu diperdengarkan firman-Nya yang bermaksud "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa (nasib) yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa (sikap) yang ada pada diri mereka". (Surah ar- Radu ayat 11).

Apabila berada dijalan raya terutama dihari-hari perayaan ini kita di ingatkan supaya mempastikan segalanya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan . Agama menuntut kita agar jangan terlalu gembira sangat sehingga hilang tumpuan kita untuk sampai ke destinasi yang sebenar. Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk hendaklah berhenti rehat dan buatlah sedikit senaman ringan.

Sebagai umat Islam, sebelum memulakan perjalanan kita digalakkan berdoa. Doa yang diajarkan kepada kita antara lain ialah "subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin wainna ila rabbina lamunqalibun".

Menurut kata setengah ulama sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya Allah.

Biarlah musim cuti sekolah dan perayaan pada tahun ini kita kuatkan azam tidak akan terjebak dengan sebarang bentuk kemalangan sama ada kemalangan maut di jalan raya ataupun kebakaran kerana ia membuktikan bahawa kesalahan besar adalah kerana sikap kita sendiri. Kita terlalu mengambil mudah dan tidak berusaha mengawal emosi sehingga kita lupa bahawa kemalangan itu menyebabkan kita trauma. Kita harus memahami bahawa punca sebenar sesuatu kemalangan adalah disebabkan kecuaian kita sendiri manakala faktor-faktor di luar kawalan kita jauh lebih kecil yang menjadi penyebabnya. Kita jadikan tahun ini bebas daripada tangisan dan esakan tragedi. 

Alfalahmadani.my mengucapkan salam takziah buat keluarga Aysar Zahran Saiful Alimin. Didoakan semoga almarhum ditempatkan bersama-sama orang-orang soleh insyaAllah..

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019392
Hari ini: 242
Minggu Ini: 1,987
Bulan Ini: 4,533
Tahun Ini: 19,392
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.