Zaman ini, naratif memainkan peranan besar dalam usaha untuk menawan hati dan sokongan awam. Dalam usaha ini, pelbagai alat teknologi telah muncul, dan digunakan sepenuhnya oleh pemain-pemain naratif. Bagaimana cara untuk umat Islam menguasai permainan naratif ini?
Kelunturan kepercayaan dalam komunikasi rasmi dan kemunculan naratif melawan arus, boleh dikaitkan dengan beberapa faktor yang saling berkaitan. Populisme muncul sebagai faktor utama yang semakin berkembang di seluruh dunia. Hari ini, semakin banyak naratif yang mengeksploitasi pandangan anti-establishment, melalui pendekatan populisme. Berbanding dengan naratif kemapanan, populisme semakin mempengaruhi minda awam, oleh kerana ia menggunakan pendekatan sensasi, kontroversi dan negativiti.
Namun kaedah mensensasikan isu tidak semestinya seiring dengan kebenaran dalam setiap paparan isu atau perkongsian di media sosial. Sikap buruk manusia, terutamanya dalam hal-hal politik kerap kali mengaburkan kebenaran, hak, dan keadilan. Sesetengah pempengaruh atau pembesar suara tidak menghiraukan adab dan tanggungjawab sebagai seorang muslim, demi populariti dan pengikut. Pembohongan, tipu muslihat, kesombongan, buruk sangka, menabur fitnah, propaganda jelek menjadi alat-alat mereka yang memperjuangkan populisme, supaya dapat mencapai puncak kuasa.
Antara sebab utama mengapa hati manusia zaman ini tidak lagi mementingkan kebenaran adalah kerana hilangnya dua proses Tasawuf atau Tazkiyatun-Nafs. Dua proses penting ini ialah At-Takhalli, iaitu membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis maknawi yang menghalang untuk sampai kepada hadrat Allah SWT yang Quddus. Manakala keduanya ialah At-Tahalli iaitu menghias jiwa dengan sifat-sifat yang mulia sebagaimana yang dituntut oleh Islam.
Kedua-dua proses ini adalah penting kerana manusia itu hakikatnya bukannya semata-mata keadaan fizikalnya, tetapi yang membezakannya dengan kehidupan lain ialah kekuatan jiwanya. Seseorang yang jiwanya cerah hasil dari limpahan cahaya hidayah yang diberikan oleh Allah selepas melalui tazkiyah, tidak mungkin bergelumang dengan pembohongan, penipuan dan penyebaran fitnah. Hidupnya benar-benar sebagai manusia, tidak lagi dikuasai oleh sifat alam rendah dan kebinatangan.
“Dan sungguh rugi orang yang menutupi kemuliaan jiwa itu, mengotorinya dengan sifat-sifat buruk, dan mematikan potensinya untuk berbuat baik. Dengan melakukan hal itu, manusia tidak malu lagi berperilaku buruk, berbuat dosa, dan merugikan orang lain.” - (Surah Asy-Syams, ayat 10)
Menurut Al-Quran, setiap manusia telah mempunyai kelengkapan dalam diri kita untuk membandingkan antara perkara baik dan buruk, antara yang benar atau salah. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud; “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? - (Surah Al-Balad 10)
Ianya terletak di dalam setiap hati Nurani. Namun, sesetengah hati manusia sudah tidak lagi bersifat Nurani, akan tetapi Dzulmani, oleh kerana kekotoran yang mencemarinya, sedikit demi sedikit. Dunia akan hancur kerana adanya hati-hati jahat, tetapi menyamar seperti berbuat baik. Islam mengajar umatnya, baik orang awam, pempengaruh, mahupun pemimpin, untuk sentiasa menjaga akhlak dalam setiap perkara. Antara akhlak seorang muslim adalah memastikan kebenaran setiap berita atau maklumat yang sampai kepadanya.
Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” - (Surah Al-Hujurat, ayat 6)
Sejujurnya, masyarakat awam seringkali terbawa-bawa oleh bahasa yang emotif dan tajuk-tajuk sensasi tanpa mengira keabsahan maklumat itu. Dengan lahirnya media sosial dan kini Kecerdasan Buatan atau AI, amaran Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat semakin penting untuk dihalusi dan diamalkan.
Hari ini juga, Artificial Intelligence atau Kecerdasan Buatan wujud di mana-mana. Kemajuan pesat dalam teknologi AI menimbulkan cabaran yang merangkumi autonomi, privasi, keadilan dan ketelusan. Namun wacana tentang etika AI kebanyakannya berpusat kepada dunia Barat atau Eurosentrik. Ketika ini, pembangun model AI dimonopoli oleh syarikat-syarikat gergasi barat, seperti OpenAI, Amazon Web Services, Google, Meta dan Microsoft.
Adakah kita sebagai orang Islam mahu kekal dalam kenaifan, dan anggap bahawa konglomerat barat ini memikirkan tentang kepentingan agama dan negara Islam? Atau adakah mereka mempunyai agenda tersembunyi, dan perlahan-lahan menyuntik racun ke dalam tubuh Ummah? Kuasa-kuasa imperialisme tetap akan memanipulasi pendapat dan persepsi tentang kekuatan dan kelemahan mereka, untuk mengelirukan dunia. Justeru umat Islam mesti sentiasa berhati-hati dengan manipulasi sedemikian.
Media barat sudah begitu lama menyebarkan kepalsuan tentang Islam, merendah-rendahkan orang Islam seperti di Palestin dan Afghanistan, hanya untuk menyesuaikan dengan naratif yang mereka bawa. Kemudian naratif ini pula dikodkan ke dalam algoritma platform media sosial, dan kandungan pro-Islamik ditapis dan disensor. Tidak mustahil AI juga akan melalui proses yang sama dalam pembelajarannya, dan akan membawa perspektif yang sama sekali serong tentang Islam dan umatnya. Ia tidak lain akan menggandakan fenomena Islamofobia, dan memupuk kebencian ke atas umat Islam sejagat.
Dunia hari ini benar-benar berhadapan dengan pertembungan antara dua polar bertentangan. Kezaliman melawan keadilan, pengkhianatan melawan amanah, kepalsuan melawan kebenaran dan sebagainya. Masing-masing berkejar untuk memenuhi ruang komunikasi dan media baharu, demi sokongan awam melalui naratif yang dicipta. Akibatnya, mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk melayari media sosial dengan akal yang kuat, akan keliru, kecewa dan senang dimanipulasi.
Adakah situasi ini akan menjadi platform yang menyambut kedatangan Al-Masih Ad-Dajjal? Dunia yang penuh dengan kekeliruan dan kekecewaan, hingga Dajjal muncul sebagai penyelamat atau ‘The Messiah’ (Al-Masih)? Umat Islam seharusnya berwaspada dengan perkembangan dunia, khususnya dengan permainan naratif media sosial dan agenda tersembunyi di dalam AI. Semoga Allah SWT merahmati Ummah ini.
“Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendakmu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta dihiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus.” - (Surah Al hujurat, ayat 7)
