PEMBERSIHAN ETNIK: PELAN BARU AMERIKA

PEMBERSIHAN ETNIK: PELAN BARU AMERIKA

Di dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Presiden Donald Trump berkata beliau mahu Amerika Syarikat mengambil alih Semenanjung Gaza, setelah menghalau rakyat Palestin ke negara-negara jiran. Tambah beliau, wilayah Gaza akan dibangunkan oleh Amerika, supaya “rakyat sedunia” dapat tinggal di sana.

Kenyataan tajam Donald Trump telah menggemparkan dunia, dan sudah tentu mengundang reaksi sewajarnya. Trump mengisytiharkan bahawa “Satu-satunya sebab rakyat Palestin mahu kembali ke Gaza adalah kerana mereka tidak mempunyai (tempat tinggal) alternatif,” dan mendakwa mereka lebih baik berada di tempat lain.

Pelan Donald Trump tidak lain tidak bukan merupakan satu pelan pembersihan etnik, yang berselindung di sebalik rancangan untuk membangunkan Gaza sebagai sebuah wilayah pelancongan. Ia sebenarnya pelan untuk mulakan
Nakba 2.0. Trump berpandangan bahawa Amerika akan mengambil alih Gaza sepenuhnya, dalam jangka masa panjang. Dan sudah tentu rancangan ini mendapat sokongan sepenuhnya puak Yahudi Zionis.

Maka terang lagi bersuluh Nakba 2.0 akan bermula. Sudah tiada lagi solusi 2 wilayah yang dibawa PBB dahulu. Pelan Partition PBB yang menyarankan supaya wujud 2 negara; Negara Arab Palestin sebesar 43% saiz keluasan dan
Tanah Air Yahudi sebesar 57% saiz keluasannya. Adilkah rancangan ini, apabila rakyat majoriti Arab Palestin yang lebih kurang 63% dari populasi keseluruhan, diberikan tanah yang lebih kecil? Setiap orang yang waras sudah tentu akan membantah pelan PBB ini, maka berlaku Nakba pertama pada tahun 1948.

Semasa peristiwa Nakba, kira-kira separuh daripada penduduk Palestin yang majoritinya Arab, sekitar 750,000 orang, telah diusir dari rumah mereka melalui tindakan ganas oleh tentera Israel. Berpuluh-puluh genosid menyasarkan orang Arab Palestin dan lebih 500 kawasan majoriti Arab dimusnahkan sepenuhnya, atau diambil secara paksa oleh orang Yahudi dan diberikan nama Ibrani. Ia merupakan rancangan teliti Yahudi Zionis melaksanakan depopulasi, supaya mereka pula menjadi majoriti di Palestin.

Inilah implikasi atau realitinya, jika Trump dibenarkan untuk melaksanakan rancangannya tanpa halangan. Kini soalan besar yang harus dijawab oleh seluruh ummah adalah; Mampukah ummah duduk diam dan lihat sahaja ia berlaku tanpa membantah?

Sejarah menyaksikan bagaimana kuasa imperial kuffar memperdaya negara dan wilayah Islam melalui muslihat perjanjian, hingga dunia Islam dilihat begitu lemah pada zaman ini. Lebih teruk dari itu, umat Islam di beberapa negara juga telah mengalami peristiwa genosid, yang dilakukan oleh tentera kafir harbi.

Pada 7 Mei 1099, tentera Salibiyah tiba di Baitulmaqdis, dan kemudian pada 15 Julai, mereka merobohkan bahagian tembok dan memasuki bandar suci itu. Sepanjang hari itu dan keesokannya, Tentera Salibiyah membunuh hampir setiap penduduk Baitulmaqdis. Walaupun ramai orang Islam mencari perlindungan di dalam Masjid Al-Aqsa, mereka tetap dibunuh dengan kejam.

Menurut catatan di dalam Gesta Francorum, “...pembunuhan itu begitu dahsyat sehingga tentera kita mengharungi sungai darah hingga ke buku lali....”. Menurut Fulcher of Chartres pula, “Tiada seorang pun daripada mereka yang masih hidup; wanita mahupun kanak-kanak tidak terselamat.”

Kejatuhan Al-Andalus dan wilayah-wilayah Islam kecil selepasnya juga menyaksikan penganiayaan ke atas umat Islam di Iberia. Semasa kempen ke selatan oleh kerajaan Kristian, orang Islam dibenarkan untuk kekal tinggal di situ
dengan syarat-syarat yang melampau, manakala sebahagian yang lain dipaksa memeluk agama Kristian. Selepas penaklukan Granada, semua orang Islam Sepanyol berada di bawah pemerintahan kerajaan Kristian. Perundangan diperkenalkan secara beransur-ansur untuk menghapuskan Islam, dan memuncak apabila orang Islam dipaksa untuk memeluk agama Katolik oleh Inkuisisi Sepanyol.

Undang-undang susulan menetapkan bahawa mereka “Dipaksa meninggalkan bahasa Arab, menukar budaya pakaian mereka, pintu-pintu mereka mesti dibuka setiap hari Jumaat, dan tempat mandi mereka akan dirobohkan.” Mengambil wudhu dan solat Jumaat diharamkan, serta mereka yang menyimpan buku-buku atau kertas dalam bahasa Arab dikenakan hukuman berat.

Ketika pembubaran Empayar Uthmaniyyah pula, umat Islam yang tinggal di wilayah minoriti Muslim di bawah wilayah Uthmaniyyah sering dianiaya setelah sempadan empayar itu mengecil. Genosid dilakukan ke atas mereka, serta perampasan harta dan pembersihan etnik. Secara ringkas, semua umat Islam yang menetap di Croatia, Slavonia dan Dalmatia dihalau, dibunuh atau diperhambakan oleh penaklukan Habsburg dan Venetian pada penghujung abad ke-17.

Pada tahun 1821, pemberontakan besar Yunani tercetus di Selatan Greece. Para pemberontak menguasai sebahagian besar kawasan luar bandar, manakala orang Islam dan Yahudi berlindung di bandar dan istana yang
berkubu. Mereka kemudian dikepung hingga menyerah diri akibat kelaparan. Dalam genosid yang berlaku pada April 1821 di sana, kira-kira 15,000 nyawa dibunuh.

Adakah umat Islam seluruh dunia akan biarkan rancangan Trump ini, dan lihat sahaja pembunuhan etnik ke atas warga Palestin? Patutkah kita hanya senyap dan berdiam diri kerana dipandang lemah dan ketakutan? Umat Islam seharusnya mencontohi semangat yang ada di dalam setiap jiwa saudara Palestin kita.

Di saat kutukan membanjiri rancangan Trump ini, penduduk Palestin di kawasan Gaza tetap memberi respon yang tegas dan tidak mengalah. “Kami tidak akan meninggalkan kawasan kami, kami tidak akan membenarkan Nakba kedua,” berkata Um Tamer, ibu kepada 6 anak berusia 65 tahun di Gaza. “[Trump] gila,” tambahnya. “Kami tidak tinggalkan Gaza ketika lapar dan dibom, bagaimana dia fikir untuk mengusir kami?” Samir Abu Basel, bapa kepada lima anak pula berkata, “Trump boleh pergi ke neraka, bersama-sama dengan ideanya, dengan duitnya, dan dengan
kepercayaannya”.

Seluruh ummah tidak boleh berputus asa, namun harus bangkit mempengaruhi media digital dan tradisional sebagai tindak balas kepada rancangan gila Trump. Umat Islam perlu terus menyerang ideologi kolonial Presiden Amerika itu, dan perlu tawan hati masyarakat se-dunia yang masih berperikemanusiaan.

Rancangan Trump dan Israel wajib dikutuk dan ditolak seluruhnya. Pemimpin-pemimpin Islam seperti DS Anwar Ibrahim harus bijaksana mengembeling kuasa dunia seperti Russia, Cina, Asia, Afrika, Timur Tengah, Timur Eropah, ASEAN dan lain-lain untuk menolak imperialisme Trump yang jahat dan berbahaya. Mesir, Arab Saudi, Jordan, dan Turkiye telah pun menolak mentah-mentah cadangan Trump, dan setiap negara Islam wajib mengikut langkah ini.

OIC dan Liga Arab perlu letak ke tepi segala perselisihan dan bersatu untuk menangani isu Trump dan Gaza. Begitu juga dengan umat Islam di seluruh dunia, jangan menjadi umpama buih di lautan, seperti peringatan yang disabdakan Nabi SAW. Seluruh ummah tanpa mengenal bangsa dan negara, sewajarnya terus beristighfar, berdoa serta mengadakan qunut nazilah memohon bantuan Allah SWT untuk menyelamatkan ummah ini. Seiring dengan itu, umat Islam mesti membina semula kekuatan, kesatuan, dan menguasai sepak terajang politik dan perhubungan antara bangsa.

Elak perselisihan dan tumpukan usaha di media sosial untuk melawan pelan Donald Trump. Naratif masyarakat dunia tidak boleh dimanipulasi oleh pegangan New World Order yang bersifat syaithani, tetapi seharusnya dikuasai
ajaran suci Islam yang menyebelahi kemanusian dan karamah insaniah.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019396
Hari ini: 246
Minggu Ini: 1,991
Bulan Ini: 4,537
Tahun Ini: 19,396
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.