ISLAM DAN ALAM SEKITAR - PART 2 (AKHIR)

ISLAM DAN ALAM SEKITAR - PART 2 (AKHIR)

Prinsip-prinsip Pengelolaan Alam Sekitar Menurut Islam
Ada beberapa prinsip-prinsip yang mesti dipenuhi saat manusia berinteraksi dengan alam sekitar. Prinsip-prinsip ini terbuka untuk dikembangkan lebih lanjut. Berikut adalah prinsip-prinsip yang dapat menjadi pegangan dan tuntunan bagi perilaku manusia baik perilaku terhadap alam mahupun perilaku terhadap sesama manusia yang memberi kesan kepada kehidupan alam:

Sikap Hormat terhadap Alam (Respect For Nature). Di dalam Al Quran surat Al-Anbiya ayat 107, Allah SWT berfirman :
Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Konsep Rahmatan lil alamin bukanlah sekedar slogan dalam Islam, akan tetapi merupakan tujuan dari Islam itu sendiri. Sesuai dengan tujuan tersebut, maka sudah sewajarnya apabila Islam menjadi pelopor kepada pengelolaan alam sekitar sebagai manifestasi dari rasa kasih bagi alam semesta tersebut. Selain melarang membuat kerosakan di muka bumi, Islam juga mempunyai kewajipan untuk menjaga dan menghormati alam sekitar yang merangkumi jagat raya yang di dalamya termasuk manusia, tumbuhan, haiwan, makhluk hidup dan makhluk tidak hidup.

Hormat terhadap alam merupakan suatu prinsip dasar bagi manusia sebagai bahagian dari sistem alam semesta. Seperti halnya, setiap anggota komuniti sosial mempunyai kewajipan untuk menghargai kehidupan bersama (cohesivisness), demikian pula setiap anggota komuniti ekologi perlu menghargai dan menghormati setiap kehidupan alam raya. Pada masa sama, ia mempunyai kewajipan moral untuk menjaga kebersamaan dan integriti komuniti ekologi di tempat manusia hidup. Sama halnya dengan setiap anggota keluarga mempunyai kewajipan untuk menjaga keberadaan, kesejahteraan dan kebersihan keluarga.  Setiap anggota komuniti ekologis juga mempunyai kewajipan untuk menghargai dan menjaga alam sebagai sebuah rumah tangga.

Prinsip Tanggungjawab (Moral Responsibility for Nature). Prinsip hormat  alam adalah tanggung jawab moral terhadap alam, kerana manusia diciptakan sebagai khalifah (penanggungjawab) di muka bumi. Secara ontologis manusia adalah bahagian yang tidak terpisahkan (integral) dari alam. Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 30. Kenyataan ini melahirkan sebuah prinsip moral bahawa manusia mempunyai tanggungjawab sama ada terhadap alam semesta seluruhnya mahupun terhadap keberadaan dan kelestariannya. Setiap apa yang ada di alam semesta ini diciptakan oleh Tuhan dengan tujuannya masing-masing, sama ada apakah tujuan itu untuk kepentingan manusia atau tidak. Oleh itu, manusia sebagai bahagian dari alam semesta bertanggungjawab untuk menjaganya.

Prinsip moral amat berkait rapat dengan prinsip solidariti. Prinsip solidariti tercetus dari kenyataan bahawa manusia adalah bahagian yang tidak terpisahkan dengan alam semesta. Dalam perspektif ekofeminisme, manusia mempunyai kedudukan sederajat dan setaraf dengan alam dan semua makhluk lain di alam semesta. Kenyataan ini membangkitkan dalam diri manusia perasaan solidariti, perasaan senasib dengan alam dan dengan sesama makhluk hidup lain.

Prinsip Kasih Sayang dan Prihatin terhadap Alam (Caring For Nature). Sebagai sesama anggota komuniti ekologis yang setara, manusia digesa untuk mencintai, menyayangi, dan melestarikan alam semesta dan seluruh isinya tanpa berbelah bahagi. Kasih sayang dan sikap prihatin ini berkaitan dengan realiti bahawa sebagai sesama anggota komuniti ekologis, semua makhluk hidup mempunyai hak untuk dilindungi, dipelihara, tidak disakiti dan dirawat. Perkara ini ditegaskan dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Shakhihain:

Dari Anas radhiyallahu anhu bahwa Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda, Tidak seorang pun muslim yang menanam tumbuhan atau bercocok tanam, kemudian buahnya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang ternak, kecuali yang dimakan itu akan bernilai sedekah untuknya.

Prinsip perikemakhlukan. Mengenai isu hubungan antara manusia dengan alam sekitar, Nurcholis Madjid menyatakan bahawa prinsip yang mendasari hubungan antara manusia dengan alam sekitar tidak semata-mata hubungan yang bersifat eksploitatif, tetapi perlu didasari oleh sikap apresiatif. Alam tidak hanya dimanfaatkan (secara sempit), tetapi juga harus dihargai. Dalam Al-Quran ditemukan beberapa penjelasan, bahawa alam raya ini beserta seluruh isinya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah untuk manusia, agar dimanfaatkan (QS. 45: 12-13). Ayat ini mengisyaratkan tidak hanya adanya hubungan eksploitatif antara manusia dengan alam, tetapi juga ditemukan berbagai petunjuk Ilahi yang dapat mengarah kepada keharusan untuk membina hubungan apresiatif dengan alam, iaitu hubungan yang bersifat saling menghargai dalam maknanya yang lebih spritual (QS. 6:  38 ; 17 : 44 ; 13 : 13).

Dalam istilah lain, hubungan yang lebih apresiatif dengan alam ini, oleh Harun Nasution disebut prinsip perikemakhlukan. Faham tauhid menyebutkan bahawa seluruh manusia berasal dari yang satu, yang membawa kepada prinsip humanitarianisme. Humanitarianisme bukan hanya kasih sayang kepada sesama manusia, tetapi juga kasih sayang kepada alam, binatang, tumbuh-tumbuhan, alam benda mati dan mencintai seluruh ciptaan Allah. Dalam Al-Quran Allah berfirman  : 
Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat (juga) seperti kamu ((Q.S. 6: 38). 

Mengenai kasih sayang kepada binatang, Nabi SAW menjelaskan dalam hadisnya, bahawa wanita yang mengikat kucingnya kemudian tidak memberi makanan kepada binatang itu, kelak ia akan dihumban ke dalam neraka.  Tetapi sebaliknya, wanita jahat yang memberi minum kepada anjing yang akan mati kerana kehausan, diampuni dosanya oleh Tuhan (Sayyed Sabiq : 1987). Hal ini dinukilkan oleh Rasulullah melalui sabdanya : 
Dari Ibnu Umar r.a., bahawa Nabi SAW telah bersabda, seorang perempuan disiksa kerana seekor kucing yang ditawannya sehingga kucing itu mati, maka perempuan itu masuk neraka; kerana perempuan itu tidak memberinya makan dan minum, dan tidak pula membiarkannya memakan serangga di muka bumi.
 
Adapun mengenai tumbuh-tumbuhan Nabi melarang menebang pohon yang akan berbuah. Nabi telah mengeluarkan arahan kepada pasukannya: "Jangan rosak pohon kuma, jangan cabut pepohonan, dan jangan runtuhkan rumah" (Harun Nasution : 1995). Diriwayatkan bahawa ketika Abu Bakar mengirim pasukan ke Syam, beliau berpesan agar pasukan dalam melakukan peperangan (sedapat mungkin) tidak memotong atau menebang pohon di daerah peperangan.  Riwayat tentang arahan Khalifah Abu Bakar tersebut telah dikemukakan oleh Malik bin Anas sebagai berikut : 
Bahawa Abu Bakar telah mengirim pasukan perang ke Syam. Maka dia berjalan kaki dengan Yazid bin Abi Sufyan. Dan Yazid itu adalah seorang ketua pasukan dari satu suku dari pasukan yang terbahagi kepada empat. (Para komandan yang berjumlah empat orang) telah memimpin (pasukan masing-masing dengan berkenderaan). Maka Yazid berkata kepada Abu Bakar, jika anda tidak naik kenderaan, maka saya turun dari kendaraan. Abu Bakar menjawab, anda tidak perlu naik kendaraan. Saya berharap langkah-langkah kakiku ini berjalan di jalan Allah. Kemudian Abu Bakar berkata lagi kepada Yazid, anda akan menjumpai suatu kaum yang mereka itu mengira bahawa diri mereka berada di jalan Allah juga, kerananya hendaklah anda berhati-hati. Dan apa yang mereka perkirakan itu adalah bahawa mereka memenjarakan diri mereka bagi (jalan) Allah.  Dan anda akan bertemu dengan kaum yang mencukur rambut mereka di tengah-tengah kepala mereka, maka pukullah (bunuhlah) kerana mereka telah mengintai-intai dengan pedang.  Saya berwasiat kepada anda sepuluh macam : 1) Janganlah membunuh perempuan; 2) Janganlah membunuh anak-anak; 3) Janganlah membunuh orang-orang yang sudah tua; 4) Janganlah memotong pohon yang sedang berbuah; 5) Janganlah meruntuhkan bangunan; 6) Janganlah memotong domba; 7) Janganlah memotong unta, kecuali bila domba dan unta itu untuk dimakan; 8) Janganlah membakar pohon kurma dan jangan pula menenggelamkannya (memusnahkannya); 9) Janganlah berlaku khianat; dan 10) Janganlah menakut-nakuti (rakyat) (H. R. Malik, dari Yahya bin Said).

Dari sepuluh wasiat Abu Bakar ini, dua di antaranya adalah : jangan memotong pohon yang sedang berbuah, dan jangan membakar pohon kurma dan jangan pula menenggelamkannya (memusnahkannya). Dari wasiat tersebut dapat difahami, bahawa dalam keadaan perang sekalipun sedapat mungkin dihindari penebangan pohon-pohon, terutama yang sedang berbuah, kerana pohon-pohon tersebut sangat bermanfaat bagi manusia dan makhluk lainnya. Dalam kerangka ini pulalah, buah yang belum mencapai kematangannya, dianjurkan untuk tidak dipetik (Alwi Shihab, 1997). Ini kerana penebangan pokok secara sembarangan mengabaikan kesempatan kepada makhluk untuk mencapai tujuan penciptaannya (M.Quraish Shihab,1992).

Islam memberi amaran keras kepada umatnya untuk tidak mencemari alam sekitar. Penebangan pohon dan pembakaran hutan dengan tujuan merosak dan tanpa alasan yang dibenarkan merupakan salah satu bentuk kejahatan yang tidak boleh diterima. Sebab, mereka juga makhluk Allah SWT yang juga punya hak dan telah diatur pemanfaatannya bagi kemaslahatan manusia (Anwar Masyari, 1990). Allah SWT menciptakan isi bumi ini bermacam-macam bentuk dan sifatnya. Manusia adalah salah satu ciptaan Allah SWT yang mempunyai derajat yang paling tinggi, kerana ia dibekali akal pikiran yang membezakannya dengan ciptaan Allah SWT yang lain.

Amanah manusia sebagai khalifah ini ditegaskan dalam Al Quran surat Al-Baqarah ayat 30: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi, dan surat Hud ayat 61 Dan Dia yang menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menugaskan kamu untuk memakmurkannya. Ertinya, manusia yang dijadikan khalifah bertugas memakmurkan atau membangun bumi ini sesuai dengan konsep yang ditetapkan oleh yang menugaskan, iaitu Allah SWT. Dengan demikian, tidak ada perkara lain selain kita mengabdi kepada-Nya. Pengabdian yang dimaksud di sini tentu mengandungi pengertian yang sangat luas baik dari sisi cara (metode), objek dan lainnya iaitu pengabdian kepada pengelolaan alam sekitar.

Manusia adalah makhluk-Nya yang paling berupaya berbanding makhluk yang lain (Jalaluddin, 2003). Manusia mempunyai pelbagai macam kelebihan yang tidak dimiliki oleh makhluk ciptaan-Nya yang lain sebagaimana manusia miliki (Purwanto, 2002). Kiranya anugerah Tuhan tersebut tidaklah berlebihan, memandangkan tugas dan tanggungjawab manusia adalah paling besar dan paling menentukan kelangsungan hidup seluruh makhluk-Nya. Bertolak dari realiti ini, manusia semestinya berusaha keras untuk memanfaatkan potensi yang ada sebaik dan semaksima mungkin. Bagaimanapun, ada di antara mereka lebih mengikuti hawa nafsunya, iaitu kecenderungan jiwa yang salah (Kafie, 2003). Akibatnya, kini kita menyaksikan berbagai kerosakan pada alam sekitar, sama ada yang terjadi di daratan mahupun di lautan.

Langkah-langkag yang perlu dilakukan untuk menangani isu alam sekitar adalah dengan memperkenalkan dan mengajak manusia untuk melaksanakan prinsip-prinsip etika alam sekitar dalam kehidupan sehari-hari. Etika alam sekitar yang dimaksudkan adalah sikap tanggungjawab terhadap alam, iaitu mengenai keutuhan biosfer mahupun generasi-generasi yang akan datang (Suseno dalam Santoso 2000). Usaha untuk menumbuhkan kesedaran berakhlak terhadap alam sekitar perlu dimulai dari pengetahuan manusia tehadap unsur-unsur etika alam sekitar di antaranya: manusia perlu belajar untuk menghormati alam, memberikan suatu perasaan tanggungjawab khasnya terhadap lingkungan lokal. Disebabkan manusia adalah menjadi bahagian dari biosfer maka ia harus merasa bertanggung jawab terhadap kelestarian biosfer. Etika alam sekitar menuntut larangan keras untuk merosak, mengotori, meracuni dan menubuhkan solidariti dengan generasi-generasi yang akan datang (Suseno dalam Santoso, 2000). Atas dasar itu, seseorang dikatakan memiliki kesedaran beretika terhadap alam sekitar, sekiranya ia telah memiliki kemampuan untuk memahami, memikirkan dan menginsyafi makna alam sekitar, kegunaan dan kemanfaatan serta hakekat kewujudan alam sekitar (Bachtiar Ghazali, 1996).

Usaha-usaha untuk mencetuskan kesedaran beretika kepada alam sekitar juga tidak lari dari pelbagai hambatan, antara lain: 
(1)  Adanya paradigma pengetahuan mengenai kehidupan yang sifatnya mekanistik, iaitu kehidupan yang berorientasi kepada matlamat menghalalkan segala cara. Paradigma seperti itu telah mengakar kuat di dalam minda masyarakat, di mana hal itu sangat bertentangan dengan cara pandang era sebelum 1500-an (Jalaluddin Capra, 2002). 
(2) Adanya keinginan sebahagian manusia untuk menghasilkan produk sebanyak-banyaknya, waktu yang sesingkat-singkatnya dan modal sesedikit-sedikitnya (Resosoedarmo dkk, 1993). 
(3) Di masyarakat negara berkembang, penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi tidak memadai dan masih sedikit. 
(4) Di bidang politik, masih banyak parti politik yang kurang peduli terhadap pelestarian alam sekitar. Hal ini disebabkan isu alam sekitar merupakan program jangka panjang yang bertentangan dengan perspektif parti politik yang berjangka pendek dan selalu bersikap pragmatis. Pendekatan politik lebih mementingkan mempertahankan kekuasaan dengan meningkatkan pembangunan sektor ekonomi. 
(5) Di bidang undang-undang, lemah dalam penguatkuasaan terhadap isu alam sekitar. (Fachrudin M. Mangunjaya, 2006). 
(6) Adanya pembangunan yang kurang ramah terhadap alam sekitar kerana program yang dirancang mengabaikan prinsip kelestarian alam sekitar (Emil Salim, 1993). 
(7) Tidak seluruh kalangan dan semua lapisan masyarakat memahami bahawa isu sosial turut memberi kesan kepada alam sekitar iaitu penerokaan alam secara tidak terkendali. Isu sosial di antaranya ialah masalah kemiskinan (Jonny Purba, 2005) dan pandangan konservatif bahawa orang mesti hidup sesuai kedudukan dan tarafnya serta pola hidup yang konsumtif (Soemarwoto, 2004).
Secara umum, strategi yang dibuat perlu mengacu pada beberapa aspek pokok seperti: menawarkan paradigma baru yang disebut dengan pandangan dunia holistik iaitu pandangan yang mencerminkan bahawa manusia merupakan entiti paling penting dalam persoalan alam sekitar (Jalaluddin Capra, 2002). Dalam hal ini, kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan dari ekosistemnya. Keselamatan dan kesejahteraannya tergantung dari keutuhan ekosistem tempat hidupnya (Soemarwoto, 2004). Dengan begitu akan terbentuk sikap dan perilaku sedar alam sekitar demi kelangsungan manusia khasnya dan alam raya secara amnya (Resosoedarmo dkk, 1993).

Penutup
Berdasarkan teori pengelolaan alam sekitar yang dikenali dengan Teorema Alim menyebutkan bahawa misi manusia sebagai khalifah di muka bumi adalah memelihara alam sekitar dengan lebih mendekatkan diri pada Allah SWT. Kerangka utama dari misi ini adalah dasar dan peraturan, penyelidikan dan kempen kesedaran terhadap alam sekitar. Penilaian mengenai pencapaian misi ini adalah dengan semakin baiknya kualiti alam sekitar.  Menurut teori ini, kerosakan alam sekitar adalah cerminan dari merosotnya kadar keimanan manusia. Untuk itu, Islam telah memberikan konsep pencegahan dan pendidikan agar manusia berperanan secara aktif dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Islam merupakan agama yang memandang alam sekitar sebagai bahagian yang tidak terpisahkan dari keimanan seseorang terhadap Tuhannya. Manifestasi keimanan seseorang dapat dilihat dari perilaku manusia sebagai khalifah terhadap alam sekitar. Sebab, Islam mempunyai konsep yang cukup terperinci mengenai pemeliharaan dan kelestarian alam sekitar.

 

Penulis bersama: Mohd. Fathil bin Hj. Daud, Zulfan Saam, Sukendi, Samsul Nizar (Universitas Riau)


Sumber Rujukan

Abdullah Qadir Djaelani, 1993, Pandangan Islam Tentang Lingkungan Hidup, Surabaya, Bina Ilmu
Al-Gore, 1990, Earth in the Balance : Ecology and the Human Spirit, Houghton Mifflin Company, Boston
Cf. Al-Gore, 1990, Earth in the Balance : Ecology and the Human Spirit, Houghton Mifflin Company, Boston
Cf. Eka Budianta, 1997, Eksekutif Bijak Lingkungan, Pustaka Pembangunan Swadaya Nusantara, Jakarta    
Cf. Theo Huijbers, 1986, Manusia Merenungkan Dunia,  Yayasan    Kanisius, Yogyakarta
Djanius Djamin, 2007,  Pengawasan dan Pelaksanaan Undang-Undang Lingkungan Hidup: Suatu Analisis Sosial, Yayasan Obor Indonesia, Jakarta
Emil Salim, 1993, Pembangunan Berwawasan Lingkungan, Jakarta, LP3ES
Fachrudin M. Mangunjaya, 2006. Hidup Harmonis dengan Alam. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia
Fazlun M. Khalid, Islam and the Environment dalam Social and Economic Dimensions of Global Environmental Change, Vol.5, diedit oleh Peter Timmermen, 2002 
Ghazali, Bachtiar. 1996. Lingkungan Hidup dalam Pemahaman Islam. Jakarta: Pedoman Ilmu Jaya.
Hamka, 1998, Tafsir al-Azhar Juz I-XXX, Jakarta, Pustaka Panjimas
J.M.D Jahi, 1996, Impak Pembangunan Terhadap ALam Sekitar, Oenerbit Universitas Kebangsaan Malaysia Bangi.
Jonny Purba, 2005. Pengelolaan Lingkungan Sosial. Jakarta, Yayasan Obor Indonesia
Juzar, Aidil. 1995. Pengembangan Industri dalam Menghadapi Isu Lingkungan Hidup Global, dalam Djajadiningrat (Eds.). Ecolabelling dan Kecenderungan Lingkungan Hidup Global, Jakarta: Bina Rena Pariwara.
Mawil Izzi Dien, Islam Soumaya Pernilla Ouis, Global Environmental Relations :  An Islamic Perspective, Human Ecology Division, Lund University, Sweden
Otto Soemarwoto, 2004. Ekologi, Lingkungan Hidup dan Pembangunan. Jakarta, Djambatan.
Sayyed Hossein Nasr, Islam and the Environmental Crisis dalam The Islamic Quarterly, Vol. XXXIV, No. 4 tahun 1990. Terj. Abas Al-Jauhari dan Ihsan Ali-Fauzi dengan judul Islam dan Krisis Lingkungan dan dimuat dalam Islamika, No. 3, Januari-Maret, 1994
S. Parvez Manzour, 1984, Environment and Values: the Islamic Perspective dalam Ziauddin Sardar (ed), The Touch of Midas: Science, Values and Environment in Islam and the West, Manchester, Manchester University Press

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

016910
Hari ini: 6
Minggu Ini: 1,715
Bulan Ini: 2,051
Tahun Ini: 16,910
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.