Berbahagialah orang yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, yang membangun kuburannya sebelum memasukinya dan yang redha kepada Tuhannya sebelum berjumpa dengan- Nya. (Yahya bin Muad ar- Razi dalam An- Nawawi, Nashaih al- ibad, hlm 12).
Imam an-Nawawi menyatakan, Pertama: meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya bermakna menghabiskan harta dalam berbagai amal kebajkan sebelum Allah mencabut harta itu dari dirinya. Kedua: membangun kuburan sebelum memasukinya bermakna memperbanyak amal solih ketika di dunia sehingga ia boleh merasakan kedamaian di alam kuburnya setelah kematiannya. Ketiga: redha kepada Tuhannya sebelum berjumpa dengan- Nya dengan menjalankan seluruh perintah Allah dan menjauhi semua larangan- Nya sebelum menghadap Allah SWT untuk mempertanggungjawabkan seluruh perbuatannya.
Jika direnungkan kenyataan di atas, sesungguhnya amat dalam maknanya dan amat berharga. Apalagi jika dikaitkan dengan realiti kehidupan orang Islam saat ini. Sekarang ini sebagaimana kita lihat, banyak orang Islam yang hidupnya berkecukupan. Namun, banyak di antara yang berkecukupan itu menghabiskan hartanya justeru dalam perkara- perkara yang kurang bermanafaat, bahkan dalam perkara- perkara maksiat. Ramai di kalangan kita dengan mudah membeli segelas kopi berharga puluhan ringgit di hotel mewah, tetapi begitu susah mengeluarkan beberapa ringgit sahaja untuk bersedekah. Ramai juga dikalangan kita dengan ringan memasukkan koceknya dengan ratusan ringgit bahkan jutaan ringgit untuk menyewa bilik hotal mewah untuk beberapa malam sahaja tetapi betapa beratnya hati untuk menyumbang kepada majlis dakwah/ ilmu atau membangunkan masjid meskipun dengan jumlah yang sedikit.
Ramai yang berlumba- lumba membangunkan rumah atau apartment mewah meski pun untuk hidup sementara sahaja, anehnya tidak sedikitpun tertarik untuk berlumba- lumba membangunkan kuburnya (baca: dengan memperbanyak amal soleh sebagai bekalan didalamnya). Padahal alam kubur itulah yang akan kita duduki sebagai alam penantian, sebelum akhirnya tinggal di alam akhirat dengan abadi. Begitu juga dengan perintah Allah, ramai yang jarang menunaikan perintah- perintah Allah SWT dan malah meninggalkan larangan- larangan- Nya, seolah- olah tidak redha menerima semua itu dari Tuhannya dan tidak akan bertemu dengan- Nya di Akhirat nanti, untuk mempertanggungjawabkan seluruh sikap dan amal perbuatannya itu saat di dunia.
Agar kita tidak terjebak dengan perilaku- perilaku di atas, alangkah baiknya kita merenungkan kata- kata Syaikh Abdul Qadir al- Jailani, Jika seseorang berjumpa dengan seseorang, hanya melihat keutamaan dan keunggulan dirinya lalu berkata, Boleh jadi Allah menjadikan dia lebih baik dan lebih tinggi derajatnya daripada aku. Jika orang yang ditemui itu lebih muda darinya lalu berkata, Sudah tentu dia lebih sedikit bermaksiat kepada Allah , sedangkan aku telah banyak bermaksiat kepadanya sehingga tentu ia lebih baik daripada aku. Jika orang yang yang dijumpai lebih tua, lalu berkata, Dia tentu lebih banyak beribadah daripada aku, sudah tentu dia mendapatkan karunia dari Allah apa yang tidak aku perolehi, mengetahui banyak hal dari apa yang tidak banyak aku ketahui dan dia pasti telah banyak mengamalkan ilmunya.” Jika orang yang dijumpai itu adalah orang awam/ bodoh darnya, lalu berkata Kalaupun ia bermaksiat kepada Allah tentu kerana ketidaktahuan dari ketidak- sedarannya, sedangkan jika aku bermaksiatkan kepada- Nya tentu dengan sepenuh pengetahuan dan kesedaraanku
Dengan kata- katanya ini tentu Syaikh Abdul Kadir al- Jailani tidak menyuruh kita bersikap persimis dan berkecil hati. Beliau hanya ingin agar kita selalu bersikap rendah hati dan tahu diri, bahawa dalam hal kebajikan dan amal soleh boleh jadi kita belum apa- apa dibandingkan dengan orang lain. Dengan itu, kita akan selalu terpacu untuk menjadi orang yang lebih baik daripada orang lain. Sebaliknya , kita pun dituntut untuk sedar diri, bahawa boleh jadi kita lebih banyak berdosa dan bermaksiat dibandingkan dengan orang lain. Dengan itu, kita akan lebih banyak bertaubat dan meninggalkan lebih banyak lagi maksiat. Dengan semua itu,kita akan lebih mulia dalam pandangan Allah SWT. Benarlah kata- kata Imam Ali kw., Jadilah Anda Besar (mulia dalam pandangan Allah SWT) dan kecil dalam pandangan Anda sendiri.
