MENEGAKKAN HUKUM TANPA PILIH BULU

MENEGAKKAN HUKUM TANPA PILIH BULU

Islam dengan tegasnya tidak mengecualikan sesiapa pun daripada hukuman jika didapati bersalah. Islam diturunkan sebagai cara hidup berusaha melengkapkan akhlak manusia sebagai penghuni bumi yang lengkap dengan peraturannya.
  
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai sekalian manusia sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah, apabila orang-orang terhormat(pembesar) mencuri, mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang-orang yang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka menegakkan hukuman had. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sungguh aku sendiri yang akan memotong tangannya (HR Muslim).

Hadis itu memberikan pemahaman yang jelas,  Nabi Muhammad SAW tidak akan melindungi sesiapa pun yang melakukan kesalahan hatta puteri kesayangan baginda. Baginda sendiri akan menghukumkannya, yakni memotong tangan jika Fatimah didapati bersalah mencuri.  Sebagai seorang pemimpin, Nabi Muhammad SAW  tidak akan memilih untuk menghukum, kerana menegakkan peraturan dan undang-undang adalah tanggungjawab pemimpin dalam menentukan keadilan. Seseorang pemimpin, akan dianggap bersalah dan tidak adil apabila menegakkan undang-undang (law enforcement) secara selektif. 

Undang-undang dibentuk dan dikuatkuasakan untuk menjadikan manusia menghormati hak orang lain agar sifat tamak dapat dijauhi. Dalam kes musibah, seringkali ditemukan kerosakan sistem dan kehidupan manusia sebenarnya berpunca daripada manusia sendiri, bukan sahaja mengkhianati undang-undang bahkan kerakusan menguasai kekayaan tanpa memikirakan kesejahteraan orang lain.Manusia saperti ini kering moralnya,hilang dari rasa sayang,jiwanya gersang kerana menjadikan benda sebagai matalamat hidupnya.

Falsafah pembentukan dan penguatkuasaan undang-undang ialah membangunkan keadilan untuk setiap orang, mengikis perasaan tamak dan membenteras aktiviti haram. Kes penyeludupan minyak masak bersubsidi, menyeludup keluar petrol, makanan bersubsidi bukan sahaja merugikan negara bahkan boleh menyebabkan rakyat merasai kesannya, kekurangan barangan keperluan harian. Mereka yang melakukan aktivti sedemikian dikategorikan sebagai pengkhianat dan   penjenayah.

Pihak yang berkuasa yang melakukan salah guna kuasa, tidak wajar diberikan ruang untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang, hatta ianya berada dalam kedudukan yang tinggi. Saat ini, belum ada tindakan undang-undang ke atas penerokaan balak secara haram oleh segelintir daripada mereka mempunyai kepentingan dalam meneroka hasil hutan itu. Ertinya, pemimpin atau pihak berkuasa sendirilah yang mengkhianati peraturan, sepatutnya merekalah yang bertungkus lumus menegakkan keadilan dan membangunkan kehidupan harmoni antara manusia dan alam, manusia dengan manusia.

Menegakkan keadilan merupakan kemuncak kepada nilai ketakwaan yang kita miliki. Keadilan mesti ditegakkan dalam keadaan apapun meskipun dalam perkara yang nyata kita benci. Kebencian kita kepada kaum atau kumpulan tertentu tidak boleh menghalang kita kuntuk berbuat keadilan untuk mereka yang kita benci. Perkara ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: 
“Dan janganlah kebencian kalian terhadap suatu kaum menghalangi kalian berlaku adil. Berlaku adil-lah, karena perbuatan adil itu lebih dekat kepada taqwa (Al Maidah: 8).    

Persoalannya adakah keindahan dan idealisme undang-undang itu hanya berlaku di atas kertas dan tersimpan rapi sebagai dokumen keramat? Adakah ia dapat diterapkan secara berkesan dalam konteks semasa yang menyaksikan berlakunya penyelewengan semakin berleluasa? Sayangnya, dalam pembenterasan jenayah, yang terungkap kesalahan ialah si ikan bilis manakala si jerung terus bebas. Ikan bilis tidak mempunyai kecekapan mengelak, kerana si ikan bilis kebiasaannya menjadi runner kepada si jerung.

Ramai pemerhati melihat, tindakan mendakwa ikan bilis itu hanyalah sandiwara untuk mengikis persepsi dan kemarahan rakyat terhadap pemimpin atasan. Tindakan membiarkan ikan jerung masih berenang bebas di ‘samudera haloba cukup disesalkan. Ini kerana ikan jerunglah sebagai pihak yang paling bertanggungjawab terhadap wilayah kekuasaannya dan sebarang polisi berkaitan dengan ketenteraman dan kesejahteraan rakyatnya. Ibarat sebuah pisau, tindakan pihak berkuasa bagi menunjukkan kejantanannya dalam isu ini hanya tajam di bahagian bawah tapi tumpul di bahagian atas.

Pada anggapan tertentu, "kerusi emas" yang dinikmati ikan jerung sebagai satu kedudukan yang boleh memberikan mereka keseronokan duniawi dan seterusnya menjadi kebal. Atas sifat itulah, kedudukan dan kekebalan kedudukan itu digunakan untuk berkhianat dan membolot kekayaan negara untuk kepentingan peribadi dan puak-puaknya.

Ketamakan mereka menyebabkan negara terus terjerumus dalam indeks persepsi rasuah dunia. Agaknya, kerana kekuasaan yang di pegangnya begitu lama membuatkannya terlena dan mudah terjerumus dalam amalan rasuah sepertimana diktum politik yang disuarakan sejarahwan terkenal Lord Acton bahawa kekuasaan yang terlalu lama cenderung melakukan korupsi.  

Kes rasuah merupakan cerminan kepada corak dan gaya pentadbiran kerajaan yang korup yang apabila tidak ditangani secara serius, ia akan menjejaskan keseluruhan imej pentadbiran negara secara keseluruhan. Cara yang berkesan dalam memulihkan imej ini ialah dengan mengheret pelaku rasuah ke muka pengadilan. Bila tidak, kita mempertaruhkan kuasa ini akan hilang untuk selamanya.

Jika menghubungkan tingkah laku mereka yang diberikan tanggungjawab tersebut dengan keimanan dalam Islam, maka ternyata mereka menyalahi konteks keimanan.Mereka mengkhianati amanah.Para pelaku telah menodai hakikat kebertanggungjawaban. Jika seorang ahli politik, kewujudannya untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya memboleh sumber kekayaan dari rakyat. Seorang hakim perlu melakukan keputusan yang adil dan bukannya berdasarkan naluri mencari kesalahan teknikal kerana dibayar upah lebih tinggi.

Umat Islam juga harus berani menegur dan membongkar segala penyelewengan yang berunsur rasuah. Ini adalah jihad sosial yang amat dituntut bagi menegakkan keadilan dalam masyarakat. Rasulullah SAW memberi amaran keras dalam sabda Baginda: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dan mereka yang menjadi orang tengah (perantaraan) keduanya. Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka."

Oleh itu amat diperlukan batasan-batasan dalam rangka menjaga kekuasaan tersebut. Batasan itu bergantung juga pada budaya bangsa. Bagaimanapun kalau kita beranjak daripada Islam, tentu saja kita menekankan lebih kepada soal iman, soal Islam, dan soal ihsan. 

Fikiran dan perbuatan haruslah disandarkan pada ajaran ini. Orang yang berkuasa itu boleh saja mempunyai ilmu apa lagi pada zaman serba canggih ini. Dalam Islam dituntut bahawa ilmu itu juga disandarkan pada iman. Kita memang mempunyai akal, tetapi dalam Islam hendaknya kita menyedari bahawa akal pun harus ditundukkan pada Allah. Kepercayaan seperti ini mengajak kita menjaga kekuasaan.

Antara lain, umpamanya kalau kita (si penguasa) diingatkan orang, kita perlu mendengarnya; kalau ditegur orang, kita perhatikan; kalau orang mempunyai pendapat lain, kita usahakan supaya kita dapat bertukar-tukar fikiran. Kita mencari yang benar yang mungkin muncul daripada orang lain. Pemimpin itu adalah seorang yang ihsan, yang bukan sekadar berbuat baik, tetapi juga menyedari bahawa semua sikap, fikiran dan perbuatannya sentiasa diketahui atau diawasi Allah SWT. Pemimpin itu hendaknya jangan membuat kerosakan di muka bumi ataupun bersifat munafik iaitu berkata yang baik-baik namun dari segi praktiknya, perbuatannya tidak baik. Mereka bukan seorang yang khianat. Maksudnya kalau ia bersumpah untuk memajukan rakyat maka hendaknya jangan berbuat sesuatu yang terbalik, memiskinkan rakyat. Pemimpin juga jangan berlebihan dalam memiliki harta, dalam berkata-kata, ataupun mengeluarkan perintah yang tidak boleh dipatuhi oleh orang lain.

Bersolat tidak melambangkan seseorang itu tidak melakukan rasuah, tetapi rasa cinta kepada Allah SWT dalam mutiara ketaqwaan akan membawa kepada terhindar daripada tragedi hidup oleh tangan kita sendiri, iaitu perangkap rasuah. Negara boleh hancur bila rasuah berleluasa jika masyarakatnya menganggap ia adalah sesuatu yang wajar kerana telah berjaya mendorong mendapatkan sesuatu kepada seseorang.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019402
Hari ini: 252
Minggu Ini: 1,997
Bulan Ini: 4,543
Tahun Ini: 19,402
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.