Hari Raya Aidilfitri tahun ini boleh dianggap sebagai hari raya yang menyedihkan bagi kita kerana banyak berlaku tragedi-tragedi yang diluar kemanusiaan. Sudah tentu, senario ini bertentangan pula dengan anjuran dan sunnah Nabi yang menghendaki setiap umat Islam untuk bergembira ria menyambut hari kemenangan ini.
Di sinilah sebenarnya kesedihan itu terasa mengguris dada. Situasi yang sepatutnya diraikan dengan sukacita bertukar kepada perasaan duka cita. Apatah lagi, suasana gembira ini dijustifikasi agama sebagai ibadah. Gembira ria yang mendapatkan pahala. Bukan bergembira sakan sama seperti pesta perkahwinan, pesta hari jadi atau pesta yang tiada justifikasi agamanya.
Hari Raya Aidilfitri tidak lain adalah juga hari kegembiraan. Hari pengisytiharan kemenangan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperolehi pahala yang besar di sisi Allah. Hari di mana orang mukmin memperoleh dua kegembiraan yang besar dan memberi kesan yang kuat dalam kehidupan mereka.
Pertama, kegembiraan melaksanakan kewajipan mentaati perintah Allah dan kedua, kegembiraan akan memperoleh ganjaran yang besar.
Berhubung hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Bagi orang yang berpuasa itu memperoleh dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan menemui Tuhannya (andainya ajal sudah tiba) dalam keadaan berpuasa."
Kita turut bersimpati dengan perasaan ahli keluarga di mana cara kematian itu angkara kelalaian kita sendiri. Bukan bermaksud mempertikai kematian yang pasti datang, akan tetapi kematian dengan cara seolah-olah terlibat dalam konflik yang tidak kena mengena dengan kehidupan mangsa merupakan peristiwa yang memilukan. Kesedihan umat Islam semakin bertambah menjelang Raya ini dengan semakin biadabnya Israel yang membunuh saudara seakidah kita di Palestin. Berita setiap hari mengenai kekejaman tentera zionis yang tak berperikemanusiaan, menjadikan Aidilfitri tahun ini seolah-olah tiada bermakna.
Menjadi perkara yang wajar semasa kita meraikan Hari Raya kita nanti dengan perasaan bercampur baur. Antara deraian tangis gembira mengenangkan kemenangan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan tangis air mata mengingati penderitaan rakyat Palestin. Namun begitu kehidupan kita harus diteruskan walaupun banyak peristiwa sedih.
Sesungguhnya Aidilfitri adalah satu-satunya perayaan yang mengatasi semua perayaan yang ada. Suasana ini harus diraikan dengan penuh kegembiraan disertai ucapan tahniah, kunjung-mengunjungi, hormat-menghormati, memakai pakaian cantik dan baru serta menikmati juadah yang terbaik daripada limpahan rezeki Allah.
Aidilfitri akan menguatkan lagi hubungan kasih sayang dan persaudaraan di kalangan umat Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Gembirakanlah hatimu pada saat tertentu (gembira atau berhibur dengan tidak melanggar ketetapan agama serta dengan akhlak yang baik)."
Ramadan adalah bulan yang penuh hikmah dan pengabdian. Sedangkan Aidilfitri adalah hari bahagia dan gembira dengan mensyukuri nikmat Allah SWT yang tidak terhingga. Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat daripada Allah dan di sinilah bermulanya perjalanan baru yang menggabungkan roh dan jasad yang perlu dikekalkan sebagai persiapan untuk melaksanakan perjalanan mengerjakan haji kelak.
Setelah sebulan lamanya kita berusaha mendekatkan diri kepada Allah, kita mengurangi makan dan tidur untuk mentaati ketentuan dan petunjuk-Nya. Kita akan diuji sampai Ramadan yang akan datang. Apakah kita termasuk hamba-hamba Allah yang setia mengikuti ketentuan dan petunjuk-Nya sehingga sedikit demi sedikit kita naik ke makam yang lebih tinggi, setapak demi setapak kita mendekati Allah Yang Maha Mulia.
Untuk itu dalam suasana bahagia seperti ini, rugi jika kita tidak mengambil kesempatan bertafakur untuk menilai diri, bertanya serta merenungkan sejenak, apakah umur kita yang tersisa ini akan cukup panjang untuk menunggu kehadiran Ramadan, lailatulqadar dan lebaran tahun depan?
