Allahu akhbar... Allahu akhbar... Allahu akhbar... Laila.. Haillallahu wallahu akhbar... Allahu akhbar walillahil hamd...
Itulah lafaz takbir Aidilfitri yang dilafazkan apabila tiba tanggal satu Syawal sehinggalah umat Islam selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri. Hari Raya Aidilfitri (bahasa Arab: عيد الفطر; 'Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran.
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu,India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.
Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia.
Pada bulan Ramadhan, istilah takbiran atau malam takbir sudah tidak asing lagi terdengar. Di negara kita tiap-tiap tahun ketika menjelang 1 shawal umat Islam Meraikan Aidilfitri ialah dengan melafazkan kalimah takbir, tahlil, tahmid, yang berbunyi `Allahu akbar, la ilaha ilallah, walillahil hamd' yang bermaksud `Allah Maha Agung, tiada Tuhan selain Allah, dan Dialah yang harus dipuji'. Kalimah suci ini diiringi pula dengan ikrar `Shadaqa wa'dah, wa nashara abdah, wa a azzajun wahazamal ahza bawahdah', yang bermaksud `Allah sentiasa benar janji-Nya, menolong hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya, menghalau kekuatan musuh dengan kekuatan-Nya sendiri'. Ikrar seperti inilah yang memperkuat semangat tauhid dan memberikan optimistik (pengharapan) umat Islam pada masa hadapan.
Sejarah Takbir Raya ini ada kaitannya dengan perang yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, iaitu perang Khandak atau Ahzab, yang telah berlaku pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah. Takbir telah dilaungkan oleh para tentera Islam sejurus selepas mencapai kemenangan atas perintah Rasulullah S.A.W. yang bersabda:
“Allahuakbar, bergembiralah wahai orang-orang muslimin dengan kemenangan dan pertolongan daripada Allah S.W.T ini.”
Maka, secara ringkasnya, takbir ini bermula bagi menandakan kemenangan umat Islam dalam peperangan Khandak, dan dalam masa yang sama bagi menunjukkan rasa syukur kepada Allah S.W.T atas pertolongan yang diberikan sewaktu peperangan tersebut.
Takbir yang sama ini juga, telah dilaungkan setiap kali menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha dengan niat yang sama iaitu untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah S.W.T setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa sebulan lamanya dalam bulan Ramadan.
Takbir Raya merupakan cara untuk kita mengagungkan dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran kepadanya setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa sebulan lamanya dalam bulan Ramadan. Hanya Allah yang Maha besar bukan makhluk termasuk bukan manusia terunggul atau haiwan raksasa sekali pun. Jangan sesekali manusia merasa sombong hanya kerana merasa paling berjaya dan terkenal. Orang yang menyedari bahawa hanya Allah yang Maha Besar maka dia akan bersikap tawaduk dan tidak akan berbuat sombong. Ingat bahawa, “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada kesombongan walaupun sedikit”
Takbir adalah bahagian dari empat kalimat yang paling dicintai Allah. Dari Samurah bin Jundub ra Rasulullah bersabda: ”Kalimat yang paling dicintai Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillaalah, Allahuakhbar." (Riwayat muslim dan ibnu Majah)
Dengan mengumandangkan takbir, tahlil dan tahmid kita menyedari sepenuhnya bahawa manusia adalah makhluk yang kecil di hadapan kebesaran Allah s.w.t. pencipta alam semesta. Juga kita menyedari bahawa kita hanyalah sebagai makhluk yang daif dan hina di hadapan Allah s.w.t; Zat Yang Maha Mulia, Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.
Sebagai makhluk yang daif , makhluk yang hina di hadapan Allah s.w.t kita yang hanya dapat berharap dan memohon kasih sayang-Nya, semoga perjalanan hidup kita di dunia ini hingga akhirat kelak mendapat keselamatan dan kebahagiaan. Bahkan kita pun berharap agar kiranya Allah menjauhi kita daripada azab seksa-Nya yang amat pedih, sebagaimana yang tertera dalam doa yang sangat popular. Ertinya: “Ya Allah, berilah kepada kami kebahagiaan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat kelak serta hindarkan kami daripada seksa-Mu yang
amat pedih.”
