TRAGEDI kebakaran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor semalam semasa umat Islam sedang menyambut hari lebaran Aidilfitri bukanlah sekadar malapetaka. Seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam kebakaran tersebut. Turut hadir bagi memberi semangat moral YAB Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor yang turun padang menziarahi mangsa-mangsa kebakaran. Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar juga berkesempatan untuk meninjau mangsa-mangsa kebakaran paip gas, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights, Puchong.
Peristiwa seperti ini menyimpan hikmah besar yang dapat direnungkan oleh manusia, khususnya dalam perspektif Islam. Dalam Al-Qur’an, berbagai ayat mengingatkan umat manusia tentang pentingnya memahami tanda-tanda kekuasaan Allah melalui kejadian alam, termasuk bencana kebakaran.
Setiap bencana yang berlaku adalah tanda-tanda kekuasaan Allah swt kepada hambanya sepertimana firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Ayat ini memberi ingatan kepada kita bahawa bencana, termasuk kebakaran paip yang berlaku adalah ujian bagi manusia. Ujian ini bertujuan untuk menguatkan keimanan dan mengingatkan manusia agar selalu berserah diri kepada Allah. Bencana seperti kebakaran ini sepatutnya menjadikan kita lebih bermuhasabah diri bahawa setiap apa yang dimiliki oleh kita boleh hilang dalam sekelip mata dan termasuk menyedari keterbatasan manusia dalam menghadapi kekuatan alam.
Secara umumnya, bencana boleh dikategorikan kepada dua, iaitu bencana alam dan bencana atas kelalaian manusia. Meskipun bencana alam dilihat sebagai malapetaka semula jadi, namun ia mempunyai kaitan rapat dengan aktiviti manusia yang menganggu kelestarian alam dan sistem ekologi.
Tsunami pada 2004 membuktikan bahawa ketiadaan pokok bakau dan pokok api-api sebagai penahan pantai telah memusnahkan perkampungan nelayan di Kuala Kedah dan Batu Feringghi. Atas alasan mengeksploitasi keindahan semula jadi sebagai kawasan pelancongan, pantai Miami dan persekitaran Tanjong Bungah teruk dilandai badai ganas.
Tragedi-tragedi ini walaupun berlaku secara semula jadi, ia ada kaitan rapat dengan tingkah laku manusia di bumi sebagaimana diingatkan oleh Allah SWT dalam surah ar-Ruum, ayat 41. Umat manusia sentiasa diingatkan supaya tidak mengundang bahaya, iaitu ‘mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan’ (al-Baqarah, 195), seperti mengganggu dan memusnahkan ekologi, tamak dan mengkhianati sesama manusia. Setiap tindakan yang bakal diambil perlu memberikan perhitungan mendalam mengenai keseimbangan ekologi kehidupan, termasuk kesejahteraan orang lain.
Ini bermakna, kaitan antara manusia dan alam sekitar begitu akrab sekali, seakrab hubungan sesama manusia. Benar segala apa yang ada di atas bumi dan di dalam bumi adalah untuk kegunaan manusia, tetapi penggunaannya hendaklah tidak melampau.
Dalam Islam, bencana alam seperti kebakaran tidak hanya dipandang sebagai musibah, tetapi juga sebagai peringatan untuk memperkuat tauhid. Tauhid, atau pengesaan Allah, mengajarkan manusia untuk mengetahui bahawa segala sesuatu terjadi atas izin Allah swt sepertimana firmanNya dalam surah al-An‘am ayat 59 yang bermaksud: “Dan di sisi-Nya kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia. Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan di lautan. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”
Bencana kebakaran ini dapat memberikan pelajaran berharga tentang hubungan manusia dengan Allah dan alam. Sebagai umat Islam, kita diajak untuk merenungi setiap kejadian sebagai tanda kebesaran Allah dan sebagai peringatan untuk meningkatkan keimanan serta menjaga amanah-Nya atas bumi. Melalui pemahaman ini, kita dapat menghadapi musibah dengan kesabaran, tawakal, dan usaha untuk memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik sepertimana orang-orang yang bertaqwa.
Alfalahmadani.my turut berdukacita ke atas mangsa-mangsa yang terlibat dan mendoakan agar setiap urusan-urusan mereka dipermudahkan oleh Allah swt.
