PUNCA KEBAKARAN DI PUTRA HEIGHTS

PUNCA KEBAKARAN DI PUTRA HEIGHTS

Tragedi kebakaran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor bukanlah sekadar malapetaka. Seramai 305 mangsa dan 237 rumah terjejas dalam kebakaran tersebut. Lebih memilukan lagi, ia berlaku semasa umat Islam masih sedang menyambut Aidilfitri. Apakah reaksi yang dituntut oleh Islam, dan bagaimana untuk memahami musibah ini? 

Peristiwa seperti ini menyimpan hikmah besar yang dapat direnungkan oleh manusia, khususnya dalam perspektif Islam. Dalam Al-Qur’an, berbagai ayat mengingatkan umat manusia tentang pentingnya memahami tanda-tanda kekuasaan Allah melalui kejadian alam, termasuk bencana kebakaran.

Setiap bencana yang berlaku adalah tanda-tanda kekuasaan Allah swt kepada hambanya sepertimana firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Ayat ini memberi ingatan kepada kita bahawa bencana, termasuk kebakaran paip yang berlaku adalah ujian bagi manusia. Ujian ini bertujuan untuk menguatkan keimanan dan mengingatkan manusia agar selalu berserah diri kepada Allah. Bencana seperti kebakaran ini sepatutnya menjadikan kita lebih bermuhasabah diri bahawa setiap apa yang dimiliki oleh kita boleh hilang dalam sekelip mata dan termasuk menyedari keterbatasan manusia dalam menghadapi kekuatan alam. Antara contoh terdekat keterbatasan manusia dalam menangani bencana alam semulajadi adalah gempa bumi yang melanda Myanmar dan Thailand baru-baru ini.

Umat manusia sentiasa diingatkan supaya tidak mengundang bahaya, iaitu ‘mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan’ seperti yang terkandung dalam surah al-Baqarah, ayat 195. Perbuatan manusia mengganggu dan memusnahkan ekologi, tamak harta tanpa menghiraukan alam sekitar dan mengkhianati sesama manusia, akan membawa kepada kemusnahan. Setiap tindakan yang bakal diambil perlu memberikan perhitungan mendalam mengenai keseimbangan ekologi kehidupan, termasuk kesejahteraan orang lain.

Masyarakat umum, khususnya orang Islam yang terdekat dengan mangsa, seharusnya menjaga sensitiviti mereka yang baru sahaja mengalami kehilangan harta dan kecederaan. Di saat awal ini, mangsa-mangsa memerlukan suntikan semangat positif, doa-doa yang baik serta bantuan keperluan bagi meringankan beban mereka.

“Tidak ada suatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga `yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan ingatlah, Allah tidak suka kepada orang yang sombong dan takbur, lagi membanggakan diri.” - (Surah Al-Hadid ayat 22-23).

Jelas bahawa tidak ada yang terjadi di seluruh alam ini kecuali atas izin dan kehendak Allah SWT. Akan tetapi, perlu di ingat adalah bahawa kehendak-Nya tersebut, tercermin pada Sunnatullah yang diciptakankan-Nya. Apabila manusia tidak menyesuaikan diri dengan kehendak Allah dalam hukum alam, maka pasti akan mengalami kesulitan. Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun masyarakat. Di sini kita harus berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya juga. Bukankah Allah juga yang menciptakan hukum-hakamNya?

Sering kali kita menyatakan bahawa bencana itu takdir Ilahi. Akan tetapi, ketika diberikan nikmat oleh Allah, maka kata-kata takdir tidak pernah teringat. Padahal, pada hakikatnya, segala sesuatu adalah tanda-tanda kebesaran dan kekuatan dari Allah SWT.

Justeru wujudkah kaitan antara kedurhakaan manusia kepada Allah SWT seperti salahlaku undang-undang yang membawa kepada bencana seperti ini? Agaknya tidak keliru jika kita menegaskan bahawa Al-Quran menyatakan adanya dosa dan pelanggaran yang dilakukan manusia mengakibatkan gangguan keseimbangan di darat, di laut dan udara.

Ketiadaan keseimbangan itu, mengakibatkan bencana bagi makhluk hidup termasuk manusia. Di dalam tragedi kebakaran ini, perlu berjalan siasatan yang telus dan teliti, untuk mencari punca sebenar. Jika benar ada pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang demi memuaskan nafsu dan ketamakkan mereka, maka mereka wajib dibawa ke muka pengadilan.

Ia tidak bermakna manusia tidak perlu berikhtiar, yang lebih penting ialah bagaimana menguruskan trauma mangsa yang dilanda bencana saluran gas ini.Kita harus ada persiapan awal walaupun dalam keadaan kita sedang mengecapi kemakmuran kerana malapetaka itu boleh datang tiba-tiba

Manusia seharusnya semakin matang menguruskan kehidupannya sendiri, tetapi kadang kala manusia lupa apabila dilingkari kemakmuran sentiasa melupakan pusingan duka yang juga sebahagian daripada sejarah kehidupan. Inilah yang perlu ditanam dalam jiwa setiap insan, hidup ini bukan sahaja hanya untuk menguruskan kejayaan, perlu ada pengetahuan bagaimana menguruskan kekecewaan, kesedihan dan trauma akibat tertimpa malapetaka, bencana dan kemusnahan.

“Maka apakah engkau telah melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” -(Surah Jathiya, ayat 23)

Ayat ini menyasar orang-orang yang menyembah hawa nafsunya. Mereka menganggap bahwa kehidupan hanyalah di dunia. Setelah mati, maka segala sesuatunya berakhir. Oleh karena itu, perbuatan yang mereka lakukan tidak didasarkan pada prinsip kebenaran, kebaikan, kemaslahatan, dan keindahan. Hidup mereka hanya berlandaskan harta kekayaan, wang ringgit dan kepuasan nafsu di dunia sahaja.

Semakin banyak dan beraneka ragam dosa manusia, semakin parah pula kerosakan lingkungannya. Hakikat ini merupakan kenyataan yang tidak dapat disangkal. Demikian Allah SWT menciptakan semua makhluk, saling kait-berkait. Dalam keterkaitan yang harmoni, lahir keserasian dan keseimbangan dari yang terkecil hingga yang terbesar, dan semua tunduk dalam pengaturan Allah Yang Maha Besar. Di dalam tragedi kebakaran ini, sebaik-baiknya umat Islam menunjukkan sifat rahmah dalam menolong mangsa-mangsa yang terjejas, tanpa menghiraukan agama atau bangsa.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

019367
Hari ini: 217
Minggu Ini: 1,962
Bulan Ini: 4,508
Tahun Ini: 19,367
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.