Insiden penjaja belon di Jalan Tar tempoh hari telah membawa kepada 3 anggota DBKL yang terlibat direhatkan sementara. Keputusan ini memberi laluan untuk siasatan dalaman DBKL dan juga pihak PDRM. Namun isu yang lebih besar dan harus diteliti oleh umat Islam seluruh dunia, adalah ke mana hilangnya perikemanusiaan di dalam jiwa seorang muslim?
Sebenarnya kes kekasaran melampau ke atas penjaja belon merupakan hanya satu kes di mana umat Islam bertindak ganas sesama muslim. Setiap kali alasan sama yang diberi iaitu wujud penyebab kepada kemarahan dan keganasan yang melampau ini. Setiap muslim sepatutnya tahu bahawa doa orang yang teraniaya tiada hijabnya. Justeru berwaspadalah dengan doa mereka yang tidak memiliki apa pun selain Allah SWT.
Di dalam Islam, orang yang tidak mampu mengawal kemarahan dianggap sangat lemah dan tidak mencerminkan seseorang khalifah. Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud; “Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. - Riwayat al-Bukhārī (6114)
Selain itu, Abū Hurayrah RA juga meriwayatkan bahawa; “Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: ‘Sampaikanlah pesan kepadaku’, Baginda menjawab: ‘Jangan marah.’ Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: ‘Jangan marah’.” - Riwayat al-Bukhārī (6116)
Imam al-Ghazali menyebutkan jika potensi amarah meningkat, seseorang akan mudah tersulut perselisihan dan lebih mudah menyerang orang lain. Namun, jika potensi ini seimbang, lahirlah sifat sabar, berani, dan bijaksana. Di samping itu, ketika syahwat meningkat, akan melahirkan potensi kefasikan dan kejahatan. Jika ia seimbang, ia akan melahirkan sifat menjaga kehormatan, qanaah, dan kebaikan yang lain.
Kemarahan yang melampaui batas akan membawa seorang kepada perilaku yang tidak berperikemanusiaan. Mereka yang tidak berperikemanusiaan ini adalah manusia yang kasar jiwanya dan tidak mendapat bimbingan agama dan hidup di persekitaran orang-orang yang kasar jiwanya. Pengaruh ini cenderung untuk mereka melakukan tindakan di luar batas kemanusiaan.
“Sesungguhnya sejahat-jahat manusia kedudukannya disisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang dijauhi orang lain kerana takut akan kejahatan itu.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah SWT menganugerahkan akal kepada manusia bagi tujuan memelihara kemanusiaannya. Dengan akalnya manusia tidak akan secara membuta tuli mengikut hawa nafsu. Bahkan dengan akalnya ia dapat mengendalikan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang di luar batas perikemanusiaan.
Hanya agama yang mampu memberi ketenangan yang hakiki pada jiwa manusia, mampu mengatasi kerosakan moral serta memberi peraturan hidupnya yang universal sesuai dengan fitrah manusia. Agama sahaja yang mampu mengatasi persoalan-persoalan hidup yang semakin material dan hilang sifat-sifat kemanusiaan.
Al-Qur’an juga menyuruh untuk melakukan hal serupa dengan menguraikan maksud ihsan, yaitu berbuat baik kepada siapa pun, termasuk orang yang memusuhi atau bersikap buruk. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Fussilat ayat 34 yang bermaksud; “Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” - Surah al-Fussilat ayat 34
Maka tolaklah kejahatan dengan cara yang sebaik-baiknya. Itulah cara seorang muslim sejati, menyulam kebijaksanaan dengan cinta dan sifat ihsan dalam menangani segala konfrontasi. Justeru, Rasulullah SAW dalam satu hadisnya memberi panduan yang bermaksud: “Tidak beriman seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” - (Riwayat Tabrani)
Namun ketika peradaban manusia semakin memilih jalan materialistik, sombong, serta tamak haloba, masih adakah telinga yang mahu mendengar pesan-pesan agung para Nabi?
Penyair sufi besar, Jalaluddin Rumi, pernah mengungkapkan; “Jika tiada cinta, dunia akan membeku.” Tidak dinafikan bahawa peradaban yang menguasai arus globalisasi, berkat ilmu dan teknologi moden, adalah peradaban yang lahir daripada keadaan hati yang sedang membeku. Akibat kebekuan hati manusia akan lenyapnya perikemanusiaan.
Cinta baginya adalah penaka lautan luas dan dalam, seluas dan sedalam daya jelajah nurani manusia itu sendiri. Cinta yang semestinya menjadi penghubung atau kunci utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan dan antara sistem hidup yang berbeza. Jelas sekali hari ini akibat corak hubungan manusia yang terlepas dari panduan cinta dan pertimbangan yang rasional telah membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran.
Imam al-Ghazali memiliki tiga formula khusus yang harus diseimbangkan, agar seorang hamba dapat meraih kebahagiaan. Tiga potensi tersebut adalah potensi amarah, syahwat, dan ilmu. Jika ketiganya berjalan secara seimbang, hal ini dapat membawa seseorang kepada kebahagiaan yang sempurna. Ketika masing-masing potensi tidak berjalan secara harmoni, yang lahir hanyalah kesengsaraan. Jika potensi amarah lebih unggul, lahirlah kebodohan. Jika potensi syahwat yang lebih unggul, lahirlah seorang yang gelojoh.
Akibat terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan, kini telah lahir generasi yang sangat tebal sifat-sifat individualistik, generasi muda yang bersikap peduli apa orang lain kata. Demikian juga hari ini dalam hubungan antara saudara dengan saudara kandungnya, antara kerabat dan saudara dekatnya tidak ada lagi rasa kasih yang mengikat anggota keluarga yang satu, apatah lagi terhadap hubungan dengan sesama manusia di luar ikatan keluarga. Hal ini dicerminkan dalam budaya menziarahi saudara-mara, baik di dalam bulan Syawal mahupun diluarnya. Amalan ziarah ini semakin luntur di kalangan umat Islam zaman ini.
Orang yang memutuskan tali silaturrahim dilaknat oleh Allah SWT. Kehadiran orang yang memutuskan silaturrahim di tengah-tengah di antara kita, ia akan menularkan laknat itu kepada manusia di sekitarnya. Oleh itu, ketika Nabi berada di Arafah pada waktu Isyak, di tengah-tengah para sahabatnya, tiba-tiba Nabi bersabda; “Aku tidak menghalalkan siapa pun yang pada petang hari ini dalam keadaan memutuskan tali silaturrahim kecuali dia harus meninggalkan kami.”
Demikian juga hari ini dalam hubungan antara saudara dengan saudara kandungnya, antara kerabat dan saudara dekatnya tidak ada lagi rasa kasih yang mengikat anggota keluarga yang satu, apatah lagi terhadap hubungan dengan sesama manusia di luar ikatan keluarga Kerakusan itu sebenarnya adalah simbol dan struktur batin yang sakit dan tidak bermaya.
“Sesungguhnya orang yang beriman adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapatkan rahmat.” - Surah al-Hujurat, ayat 10
Malangnya, hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak manusia yang rakus ini kerana ia ditutupi dengan kekayaan dan kemewahan yang dirangkulnya. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam. Pelaku-pelaku keganasan, kekerasan melampau dan kezaliman seharusnya beringat bahawa doa orang-orang yang teraniaya tiada hijabnya. Maka waspadalah dengan doa mereka yg tidak memiliki apa pun selain Allah SWT.
Maka umat Islam hari ini perlu hidupkan kembali sifat perikemanusiaan antara satu sama lain, dalam usaha untuk menjauhi kemarahan dan keganasan yang melampau. Sempena perayaan aidilfitri, sambungkan kembali silaturrahim dan tonjolkan adab sebagai orang Islam, supaya orang Islam tidak dilihat lemah, layu dan lesu.
Ukhuwah, cinta dan mengutamakan orang lain adalah syarat kebangkitan dan kemenangan. Itulah strategi pertama dilakukan Rasulullah SAW dengan mempersaudarakan sahabat Ansar dan Muhajirin, dan seharusnya dijadikan contoh untuk menguatkan persaudaraan dan kesatuan kaum Muslimin.
